
Mungkin pada pandangan Pak Nil, insiden yang berlaku sekitar minggu lalu ini hanya tindakan kecil darinya yang risau akan keselamatan seorang kanak-kanak ketika menaiki motorsikal bersama bapanya. Namun bagi rakan-rakan artis dan peminat, usaha murni Datuk Aznil Haji Nawawi tersebut wajar diberi pujian kerana sekurang-kurangnya ia mampu ‘mengetuk’ pintu hati masyarakat untuk berbuat perkara sama dan peka dengan nasib orang sekeliling.
Datuk Aznil yang selama ini terkenal dengan sikap penyayang terhadap kanak-kanak menarik perhatian pengguna laman media sosial selepas video tentang seorang kanak-kanak membonceng motorsikal bersama bapanya dimuatnaik Pak Nil di laman Instagram.


Sambil berkongsi situasi yang berlaku di atas lebuhraya tersebut, Pak Nil menjelaskan, “Petang tadi Pak Nil selisih dengan seorang abang yang membonceng anaknya dalam usia 6 atau 7 tahun gitu. Masa selisih Pak Nil perasan anaknya seperti terlelap.
Terus terfikir. Macam mana kalau anak itu terlepas tangan dari pautan badan ayahnya. Malang tak berbau. Jangan ambil ringan ya ayah-ayah ibu-ibu semua. Pak Nil doakan ayahnya diberi tambahan rezeki agar mampu memberikan kenderaan lebih selamat untuk si comel itu.”
Dalam video yang hanya berdurasi 44 saat itu juga kelihatan Pak Nil cuba memberhentikan kenderaan dan ingin membantu namun ditolak secara baik oleh bapa tadi. Meskipun semuanya selamat … di akhir video tersebut turut kelihatan wajah sayu Pak Nil menahan sebak.
https://www.instagram.com/p/BtOrFVhB4Ug/?utm_source=ig_share_sheet&igshid=1gqp4ez5d5pf
Melihat keikhlasan dan kemuliaan hati Pak Nil, ramai rakan artis menghargai dan memuji sikap baik pengacara kesayangan ramai ini.

Walau sibuk dengan jadual pengacaraan yang padat, Datuk Aznil juga sebenarnya Pengasas Yayasan Pesona yang bertujuan melahirkan generasi bijak bertutur dan menyuarakan pendapat secara beretika dan penuh tatasusila dalam kalangan anak muda termasuk pelajar sekolah.
Kredit : Instagram Aznil Hj Nawawi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Dulu Saya Hanya Pengawal Keselamatan” Usahawan Intan Diana Cerita Kesusahan Sebelum Hidup Senang

Dalam kehidupan ini, ramai insan yang tersilap faham tentang maksud Qada’ dan Qadar. Kita sering mengeluh dan menyalahkan takdir apabila sesuatu yang dipohon tidak ditunaikan-Nya. Inilah juga yang pernah dilalui usahawan pelaburan, Intan Diana Yunus sewaktu bekerja sebagai pengawal keselamatan dulu.
“Dulu saya hanyalah seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dengan pendapatan yang sekadar cukup makan, saya menggalas tanggungjawab membesarkan anak seorang diri.
Kehidupan yang susah pernah memaksa saya menebalkan muka, meminjam wang di sana sini untuk perbelanjaan harian dan keperluan anak kerana gaji tidak mencukupi.
Masa tu saya sangat sedih memikirkan nasib anak yang dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Kerap juga saya pendamkan rasa lapar dan perut yang berkeroncong demi anak. Hari-hari air mata tumpah memikirkan tentang masa depannya jika terus-terusan hidup begini,” kongsi Intan Diana yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Wanita berusia 35 tahun itu nyata tidak mahu mengalah dengan keadaan. “Dalam masa saya berdoa, mintak pada Yang Esa moga diberikan jalan untuk keluar dari kesusahan ini, saya terjumpa iklan di dalam laman sosial (wechat) tentang peluang jana pendapatan sampingan.
Saya cuba bertanya tentang peluang yang diiklankan. Malangnya bila beliau beritahu yang perniagaan ini memerlukan modal untuk bermula, saya jadi sedih sebab saya memang tiada simpanan langsung. Yang ada cumalah barang kemas, itu pun nilainya sangat sedikit.
Tapi disebabkan niat mahu ubah nasib hidup saya dan anak, saya gadaikan barang kemas yang ada. Di situlah bermulanya saya dalam perniagaan ini.



Saya memilih untuk berniaga dan membuat keputusan untuk berhenti kerja kerana perniagaan ini memberi saya banyak masa bersama anak dan keluarga. Tidak perlu lagi saya bekerja hari-hari tanpa cuti sehingga tiada sangat masa bersama keluarga seperti sebelum ini,” akuinya yang turut aktif menulis blog di dianadina907.wordpress.com.
UJIAN HIDUP
Tambah Intan Diana lagi, ada banyak cabaran yang ditempuhinya untuk memajukan perniagaan. “Saya juga pernah diuji dengan satu kemalangan. Kemalangan tu menyebabkan dahi saya luka besar dan terpaksa menerima 14 jahitan.
Tapi disebabkan tekad yang kuat dan anak yang perlu dibesarkan, saya tabah dan sabar dengan ujian ini.. Saya bangkit dan tekad untuk bantu orang lain juga. Alhamdulillah pengorbanan ini berhasil.
Dalam situasi pandemik COVID-19 ini juga memberi kesan kerana ramai yang tidak berani mengambil peluang sebab kewangan banyak terjejas. “Nasihat saya untuk wanita yang pernah melalui dugaan seperti saya, bangkitlah demi masa depan keluarga.
Jangan cepat merasa diri kalah kerana Allah sentiasa ada bagi mereka yang berusaha walau sesusah mana pun.
Jadilah wanita yang kuat dan tabah. Saya boleh anda juga boleh,” pesan Intan Diana yang menjadikan mentor bisnesnya, Mohamad Azmi Mohd Noor sebagai idola.


INSPIRASI
Sempat juga Intan Diana berkongsi cerita tentang idola beliau yang membakar semangatnya untuk berusaha memajukan diri. “Beliau juga seperti saya, berasal dari keluarga yang susah. Hanya anak kampung tanpa pendidikan tinggi tapi mahu keluar dari kepompong kemiskinan.
Teringat ceritanya, rumah keluarga tempat beliau berteduh berdindingkan lebihan-lebihan papan dan kayu terbuang saja. Maka dengan niat mahu membahagiakan ibu bapa, Mohamad Azmi melangkah mencari ilmu perniagaan sambil memasang azam mahu membawa ibu bapanya ke Tanah Suci.


Tapi kini keadaan sudah berubah. Berkat doa ibu bapa dan keikhlasan berniaga dalam bidang pelaburan, rezeki yang dinikmati melimpah ruah. Beliau berjaya mengubah kehidupan ramai orang yang senasib, malah memberi peluang untuk kami hidup senang tanpa hutang,” akhirinya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Remaja Bawa Beg Berisi Bayi Baru Lahir Ke Sini,” Kongsi Ummi Rose Tentang Pusat Raudatus Sakinah

Menyelami fasa kehidupan Rosmawati Zainal atau lebih mesra di sapan Ummi Rose yang hidup bergelumang dengan ceritera penghuni remaja puteri Raudhatus Sakinah sangat menyentuh hati. Bergetar tangkai hati penulis saat melihat raut wajah setiap penghuni di sana. Tiada sifat ramah hanya tertunduk sambil jari memintal biku tudung yang tersarung. Mata semakin sarat tidak terbendung hingga tertumpah mengenang apa yang telah mereka lalui.

Jiwa murni wanita yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Raudhatus Sakinah ini begitu luhur. Sanggup berkorban masa dan tenaga demi melihat nasib remaja terus terbela. “Ada banyak pengalaman yang sentiasa menjadi ingatan. Antaranya adalah menerima kehadiran seorang ibu dan anak remaja yang membawa sebuah bagasi yang berisi seorang bayi yang baru dilahirkan ke pejabat kami.
Ada ibu bapa yang sanggup berselindung membantu anak mereka menggugurkan kandungan pertama dan apabila mengandung kali kedua baru berusaha mendapatkan bantuan. Kemudian ada seorang bapa yang baru keluar Pusat Serenti datang menggoncang pagar rumah ini meminta cucunya. Akhirnya kami dapat tahu bahawa dia mempunyai niat untuk menjual cucunya demi mendapatkan dadah.

Di kalangan anak-anak kami ini ada juga yang pernah terlibat dengan ilmu hitam sehingga mereka merana sendirian. Pernah juga dalam dewan bersalin, anak kami yang begitu sukar untuk bersalin dan apabila kami putuskan untuk menelefon ibunya supaya dia dapat bercakap dan memohon keampunan dari ibunya, akhirnya dipermudahkan Allah untuk dia melahirkan. Subhanallah! Menambahkan keyakinan kami terhadap keizinan dan ketentuanNya,” ujar Ummi Rose.
Raudhatus Sakinah merupakan pusat bimbingan dan perlindungan remaja puteri yang berusaha membantu memulihkan remaja mangsa gejala sosial dan tersasar jauh daripada landasan agama. Dengan modul bimbingan yang komprehensif meliputi pendidikan rohani dan kemahiran fizikal, mereka dibantu meningkatkan keyakinan dan keupayaan diri agar menjadi individu yang menghayati Islam dalam kehidupan.

Sejak beroperasi sehingga kini, Raudhatus Sakinah telah membimbing lebih 1000 orang remaja puteri di tiga buah pusat perlindungan remaja yang beroperasi di Selangor, Pulau Pinang dan Melaka. 80 peratus daripada mereka telah berjaya menjadi individu yang berguna kepada keluarga dan masyarakat. Di samping itu, kami juga sedang giat melaksanakan program-program kesedaran tentang bahaya zina ke seluruh pelusuk Malaysia sebagai usaha pencegahan dan kesedaran demi memartabatkan maruah agama, remaja belia dan masyarakat.
Jom beramal sambil ketawa besar dan menjamu selera dengan persembahan Harith Iskander, Mark Adam, Nabil, Kumpulan Zero, Elly Mazlein serta penyanyi R&B terkemuka Dayang Nurfaizah di Showcase Amal Raikan Wanita.
Sebahagian kutipan jualan meja untuk acara ini akan disalurkan kepada pusat kebajikan wanita Raudatus Sakinah dan Rumah Kita. Tempah meja anda dengan kami sekarang, PLATINUM, GOLD dan SILVER sebelum penuh. Details harga seperti di bawah. Berminat sila PM sekarang!

Harga:
Platinum : RM4,499/per table
Gold: RM3,499/per table
Silver: RM2,499/per table
***********
Platinum: RM449.90/per head
Gold: RM349.90/per head
Silver: RM249.90/per head
Sebarang pertanyaan hubungi 019 675 3057 (secretariat)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak-Anak Yatim & Asnaf RPWP Sumbang Tenaga Hasilkan PPE (COVID-19) Buat Petugas Barisan Hadapan

Pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terdiri daripada para doktor, jururawat, pembantu perubatan dan lain-lain sepanjang penularan wabak COVID-19 cukup menyentuh jiwa rakyat Malaysia.
Semua pesakit dibantu tanpa mengira penat dan lelah. Mereka berjuang siang dan malam demi memastikan para pesakit sembuh seperti mana misi utama mereka iaitu berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan pesakit. Sesungguhnya berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

Seiring dengan bertambahnya kes positif COVID-19 setiap hari, semakin berat beban tugasan mereka. Namun berpaksikan kepada tanggungjawab serta amanah yang diberikan mereka terus berjuang demi menghapuskan virus ini.
Dalam pada itu kekangan terbesar selain berhadapan dengan peningkatan kes setiap hari ialah kekurangan bekalan material untuk menjahit PPE (Personal Protective Equipment). Malah ada yang kehabisan stok! Pun begitu, kini ramai yang telah menunjukkan keprihatinan dengan menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk. Ini satu perkembangan yang positif!
INISIATIF
Tersentuh melihat tubuh-tubuh kecil ini berganding bahu dalam membantu menyempurnakan kelengkapan buat para petugas barisan hadapan. Usaha murni yang tak boleh dipandang enteng ini merupakan inisiatif sendiri oleh anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP). Tercetusnya Projek Pelangi adalah hasil idea anak-anak yatim dan asnaf itu sendiri sambil dibantu oleh tenaga-tenaga pengajar RPWP.
Mereka juga telah dilatih untuk membantu insan lain dan dalam masa yang sama tidak merasa rendah diri dengan kekurangan yang ada. Pendedahan ini juga bagi membuktikan bahawa ramai lagi yang lebih susah dan memerlukan bantuan. Secara tak langsung mereka menjadi lebih bersemangat untuk memajukan diri.
Permulaan Projek Pelangi adalah ketika negara dilanda musibah banjir besar di Kelantan sekitar tahun 2015 sampailah sekarang. Terdapat kira-kira 20 orang Co-Founder yang turut sama membantu Warga Prihatin ini.
Projek Pelangi juga ihsan daripada pengasasnya, Dr Hj Masjuki Hj Mohd Musuri bersama anak-anak yatim untuk membantu petugas barisan hadapan (frontliners). Untuk projek ini mereka telah membeli sebanyak 52,000 meter material PPE untuk dijahit. Anak-anak yatim dan asnaf tekun menjana tenaga menghasilkan face shield untuk kegunaan petugas barisan hadapan.
Tersentuh hati melihat kesungguhan dan ketekunan anak-anak ini membantu frontliners dengan niat untuk membantu Malaysia memerangi wabak COVID-19 bersama-sama. Walaupun tidak berada di barisan hadapan, sekurang-kurangnya mereka memberi bantuan dari segi sokongan material yang diperlukan.



‘Menyedari akan hakikat ini, kami di RPWP bersama anak-anak melalui Projek Pelangi telah memulakan projek “Bantuan PPE COVID-19”, kerjasama bermula dengan Klinik As Salam Bangi, kami sedang menyiapkan “Face Visor” untuk kegunaan para frontliners. Insya Allah, kami juga sedang usahakan bantuan PPE untuk peralatan keselamatan yang lain juga.
Seruan kepada seluruh rakyat Malaysia, ayuh sama-sama kita menghulurkan bantuan kepada mereka dengan menyumbang semampunya. Biarlah kami bersengkang mata untuk mereka kerana mereka sanggup mati untuk kita.
Projek ini BUKAN untuk mengisi masa lapang di kala PKP ini semata. Tapi sebagai ruang bagi kami untuk mendidik diri sendiri dan anak-anak erti sebenar “ikhlas” dan “kholas” yang bermaksud “habis” dan “selesai”. Oleh itu, setiap yang dibuat haruslah SEHABIS BAIK hingga SELESAI!
Biarpun kos penghasilannya lebih tinggi daripada DIY biasa, kami menekankan kualiti PPE yang dihasilkan Projek Pelangi. Ini bagi menepati piawaian yang diperlukan oleh frontliners COVID-19.’
OBJEKTIF
Projek ini menyediakan platform kepada masyarakat untuk menyalurkan bantuan modal kepada anggota KKM. Selain itu, menyediakan dan mengedar bantuan PPE kepada anggota KKM di seluruh negara.
Seterusnya ialah menjadikan proses penyediaan dan tadbir urus sebagai satu sarana pendidikan kepada anak-anak Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin marilah kita sama-sama membantu dengan memberi sumbangan terhadap Projek Pelangi ini untuk menyalurkan bantuan PPE buat petugas-petugas keselamatan bagi menentang wabak virus COVID-19.

Anda juga dialu-alukan untuk turut serta di dalam projek ini atau seumpamanya sekaligus dapat membantu RPWP menjayakan projek mulia ini. Sememangnya mereka masih memerlukan sumbangan dari segi kewangan bagi menjana pembelian material dan peralatan untuk menghasilkan PPE. Semoga kerjasama serta niat kita diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Layari https://projekpelangi.com/kempen/bantuan-ppe-covid-19/ bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menyalurkan sumbangan anda kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Pengasih Warga Prihatin. Sasaran sumbangan yang diperlukan ialah sejumlah RM500,000.00 Sama-samalah kita mengekang wabak COVID-19 ini daripada terus menular.
Stay at home, patuhilah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita jaga kita!
Kredit: Rumah Pengasih Warga Prihatin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


