Kata orang, masakan ibu pengikat kasih sayang. Dan kerana seni memasak itu sering dikaitkan dengan wanita, Majalah Nona meninjau kemahiran wanita VIP di dapur ketika mereka menyiapkan hidangan kegemaran keluarga.
Meskipun majoriti wanita kenamaan mempunyai pembantu atau tukang masak sendiri, namun kemahiran memasak mereka juga tidak kurang hebatnya. Seperti wanita lain, golongan rich and famous ini juga mewarisi bakat memasak dari ibu masing-masing, malah ada yang sanggup menyertai kelas memasak di luar negara demi minat di dada.
Sesekali tengok personaliti VIP Nona menyinsing lengan baju, menumbuk cili, menggaul rendang dan tomyam… aduh, terangkat selera dibuatnya! Banyak juga petua dan tip yang dikongsi, selain kesempatan meninjau dekorasi dapur mereka yang serba mewah.
Rancangan video yang diterbitkan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd ini mula bersiaran setiap bulan di saluran YouTube dan Facebook rasmi Majalah Nona. Menariknya, penonton dapat mendekati sisi sebenar wanita kenamaan yang dipaparkan, inspirasi gaya mereka di dapur berbanding hanya berpenampilan cantik dan elegan semata-mata.
Ads
Ads
Ads
Video masakan berdurasi sekitar 10-15 minit ini dihoskan oleh Editor Pengurusan Nona, Kiffy Razak secara santai dan bersahaja. Beberapa personaliti VIP yang pernah ditampilkan adalah YM Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati, YM Tengku Datin Seri Zawyah Tengku Idham dan Puan Seri Nooraisha Farizan.
Selama 33 tahun di pasaran, jenama majalah gaya hidup berbahasa Melayu, Nona, terus menjadi pilihan wanita di Malaysia. Dari helaian majalah ke layar digital, Nona versi online kini terus melengkapi lifestyle wanita moden. Layari YouTube Majalah Nona untuk pelbagai lagi video menarik dan menginspirasikan.
Selamat menonton!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap individu yang memiliki tubuh badan bersaiz besar (Plusize) terutamanya para wanita pastinya mendambakan gaya yang mengikuti perkembangan fesyen semasa demi kelihatan cantik dan versatil seperti mereka yang bersaiz normal.
Tapi ramai diantara golongan plusize kurang keyakinan untuk bergaya, terutamanya dalam mengenakan warna-warna terang. NONA berjaya mendapatkan tips perkongsian daripada pengacara dan personaliti TV, Sherry Al Hadad yang sentiasa tampil menyerlah dan stailo dalam setiap penampilan yang di peragakan olehnya!
Menurut Sherry, sebagai figura bertubuh montel dia juga tidak pernah terlepas dari segala tohmahan, kecaman mahupun kritikan. Namun, jika terlalu asyik mendengar cakap-cakap orang susah bagi dirinya untuk maju kehadapan.
Selain itu, Sherry turut menitipkan pesan agar wanita yang bertubuh gempal yakin dalam menggayakan warna-warna bertona lembut tanpa terlalu memikirkan kelihatan lebih gemuk atau sebagainya jika ingin berfesyen dan kelihatan bergaya.
“Setiap kali Sherry berada di atas pentas atau ketika berlakon, Sherry gemar tampil dengan penampilan berfesyen. Walaupun kadang kena kecam, ada orang suka dan ada yang tidak suka. Tapi kita letak ketepi pandangan mereka, sekurang-kurangnya kita sudah mencuba.
“Selalunya golongan plusize ni, mereka takut nak menggayakan warna pastel kerana bimbang tubuh akan kelihatan lebih besar, but no guys kita akan nampak very demure, very cutesy look at me,” selorohnya.
Tambahnya lagi, ketika memilih fesyen yang sesuai untuk diperagakan, Sherry menitikberatkan dua perkara iaitu jenis fabrik dan keselesaan dalam menatarias gaya dan stail sebagai personaliti TV.
“Cuaca di Malaysia ni panas, jadi pemilihan fabrik amat penting terutama untuk mereka yang plusize. Jadi pastikan memilih material fabrik yang mempunyai keupayaan untuk menyerap peluh.
“Dalam masa sama, wanita plusize seperti Sherry amat pentingkan keselesaan, kedua mestilah sopan.
“Sebagai plusize ni ada beberapa pekara yang kita perlu tutup, janganlah kita tunjukkan pada orang. Asalkan kita dapat menutup cela-cela dan aib tu inshaaAllah okay,” jelasnya lagi.
Mungkin diantara anda ada yang masih tercari-cari baju raya yang sesuai untuk digayakan oleh si tubuh gempal, NONA ada berita baik, untuk wanita montel di luar sana yang nak melaram sakan pada Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang nanti tau!
Tahun ini pelopor pakaian Plusize, Misclaire telah berkolaborasi dengan designer ternama Nurita Harith demi menghidupkan mimpi dan impian para remaja plusize di luar sana!
Menariknya! Terdapat enam koleksi pakaian very classy, very demure yang tercipta hasil dari kolaborasi Misclaire x NH yang dilancarkan pada hari ini! Korang wajib dapatkan sebab semua koleksi direka dengan keunikkan dan keselesaan tersendiri khusus buat golongan plusize!
Sherry pun teruja tau dengan kolaborasi yang julung kali diadakan ni.
“Bila Misclaire collab dengan designer ternama seperti Nurita Harith, pastinya ia menjadi satu benchmark kerana ramai golongan plusize yang sememangnya berminat menggayakan rekaan atau baju daripada Nurita Harith tapi kerana kekangan dan selalunya bila kita tengok model semuanya kurus dan petite, jadi Impian tu hanyalah tinggal kenangan ya.
“Tapi kali ini bila Misclaire dan Nurita berkolaborasi bersama, adalah satu perkara yang amat menggembirakan bagi kami, bila dapat pakai baju Nurita tu, terus rasa macam kayangan lah.
“Paling Sherry suka ialah Nurita berani untuk mengambil warna-warna pastel,” katanya.
Untuk rekod, koleksi Pesona Raya kolaborasi antara Misclaire x Nurita Harith menawarkan pilihan saiz bermula dari M sehingga 7XL dan boleh di dapatkan secara atas talian menerusi website Misclaire atau korang boleh walk in terus ke Butik Misclaire yang terletak di Taman Sea PJ (HQ), Sogo KL, Shah Alam, IOI Putrajaya dan Taman Damansara Aliff JB.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baik Dayana mahupun Sakinah kedua-duanya kini melalui fasa kehidupan yang cukup membahagiakan biarpun harus berkongsi kasih seorang suami. Kepahitan permulaan hidup berpoligami yang dirasai sebelum ini akhirnya memancarkan hikmahnya yang membawa seribu satu kemanisan buat keluarga sempurna milik penerbit dan aktor kacak Ashraf Muslim bersama Dr Noor Dayana Lokman serta isteri keduanya, Wan Sakinah Ahmad Saburi.
Kehadiran pengikat kasih iaitu Sarah Ashraf (4 tahun), Adam Ashraf (3 tahun) dan Anas Ashraf (2 tahun) mengeratkan lagi hubungan mereka sekeluarga lebih-lebih lagi antara Dayana dan Sakinah yang dilihat sangat akrab umpama adik-beradik. Ternyata, mereka cukup bahagia bersuamikan Ashraf sekali gus menerima kehidupan bermadu dengan penuh berlapang dada.
AMANAH
“Dayana dan Sakinah adalah amanah Allah SWT buat saya agar dapat mendidik mereka sebaik mungkin untuk menjadi isteri yang solehah. Sebagai hamba-Nya yang terpilih saya perlu memikul amanah ini sebaik mungkin hingga dipandang tinggi oleh Allah.
Salah satu detik paling bermakna buat saya ialah dapat membawa Dayana, Sakinah serta anak-anak yang masih kecil ketika itu menunaikan umrah bersama di tanah suci Mekah. Selain itu, dapat pergi bercuti satu keluarga antaranya ke Korea. Saya percaya Allah SWT masih sayangkan keluarga saya, ini adalah ukhwah terhebat dalam hidup saya.
Selain itu, tercetusnya Ashrafs Legacy juga salah satu cara Allah SWT menyatukan Dayana dan Sakinah. Mereka kini bekerjasama menguruskan perniagaan homemadelasagna yang dilakukan secara online. Idea tersebut datangnya daripada mereka berdua dan sebagai suami saya memberikan sokongan sepenuhnya terhadap apa yang mereka suka buat. Alhamdulillah bisnes ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Paling saya rasa syukur ialah Dayana dan Sakinah terus akrab hari demi hari,” kongsi Ashraf yang kian matang sebagai seorang suami, bapa serta figura umum.
BISNES
Dayana dan Sakinah turut tidak melepaskan peluang berkongsi pengalaman mereka sepanjang menguruskan perniagaan tersebut yang disifatkan cukup menyeronokkan. “Sebenarnya idea bisnes ini datang secara spontan. Kami terfikir-fikir apa yang kami boleh buat sama-sama. Kebetulan Dayana memang pandai membuat lasagna lantas mengajak saya untuk mencuba bisnes ini. Suami pula menyokong dan minta kami cuba buat sama-sama.
Buat online business ni memang banyak cabarannya seperti masa. Kami hanya fokuskan bisnes ini pada hujung minggu sahaja memandangkan Dayana bertugas di Klinik Kesihatan pada hari biasa. Setelah mengambil pesanan, kami sendiri yang akan melakukan cash on delivery (COD) kepada pelanggan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Banting.
Kami turut dibantu oleh adik kepada suami yang baru sahaja tamat pengajiannya dalam bidang kulinari. Maka kami serahkan kepadanya untuk ubah suai mana yang perlu mengikut kepakarannya” ujar Sakinah. Bagi memudahkan bakal pelanggan membuat tempahan, satu-satunya akaun Instagram yang diuruskan oleh Sakinah dan Dayana ialah @ashraflegacy dengan hashtag #projekmamaibu
KONTRA
“Bergelar isteri pertama saya harus belajar untuk memberi dan menerima. Kebahagiaan suami adalah kebahagiaan kami juga sebagai isteri. Berpaksikan kepada matlamat untuk menjadi isteri yang solehah saya cuba lakukan yang terbaik buat suami.
Saya dan Sakinah mengambil masa lebih kurang setahun untuk rapat seperti hari ini. Alhamdulillah Allah SWT permudahkan segalanya. Kami tidak boleh mementingkan diri apatah lagi terlalu mengikut emosi. Sabar itu paling penting yang seringkali suami ingatkan kepada kami berdua,” bual Dayana yang berkahwin dengan Ashraf pada Ogos 2011 dan kini berusia 31 tahun.
Sakinah turut bersetuju dengan apa yang dikongsikan oleh Dayana. Sejujurnya menggalas gelaran isteri kedua bukan mudah kerana ia sering dipandang serong oleh segelintir masyarakat. Bagi Sakinah bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak.
“Saya lebih fokus terhadap kerja dan meneruskan hidup seperti biasa. Alhamdulillah perjalanan hidup bermadu semakin membahagiakan kami. Biarpun usia saya lebih tua daripada Dayana namun saya menghormatinya sebagai isteri pertama. Saya kagum dengan sikap Dayana yang tenang serta tidak mudah melatah. Apabila bermadu masing-masing perlu faham peranan termasuklah berkaitan dengan giliran. Saya dan Dayana tidak akan mengganggu privasi masing-masing terutama ketika giliran,” kongsi Sakinah, ibu kepada dua anak berusia 34 tahun ini. Sakinah berkahwin dengan Ashraf pada Julai 2013. AMY MOHD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Merancang percutian bukannya mudah tambah-tambah lagi jika mempunyai keluarga besar. Kena fikirkan bajet percutian, duit makan dan minum, tol dan minyak serta paling penting rumah penginapan. Bukan calang-calang nak duduk hotel untuk ahli keluarga lebih daripada enam orang. Untuk jimat, homestay adalah pilihan terbaik.
Biasanya, mak-mak yang akan memikul tanggungjawab nak cari homestay. Sebab, ciri-ciri homestay yang sesuai tu terlalu banyak. Nak diserahkan kepada suami, nanti ada saja yang tak kena. Jadi, untuk memudahkan kerja mak-mak, apa kata si ayah ni ikut tips di bawah. Ini semua ciri-ciri yang termasuk dalam list homestay terbaik pilihan mak-mak.
Kenal pasti bilangan ahli keluarga
Sebelum sibuk mencari homestay, pastikan anda tahu berapa orang ahli keluarga yang akan mengikuti rombongan percutian. Bahagikan kuantiti dewasa dan kanak-kanak dalam sesebuah keluarga. Bimbang pula nanti tak cukup katil untuk anak-anak.
Laman percutian
Selepas semuanya sudah bersetuju untuk join percutian, barulah mulakan carian Google. Ada banyak laman pencarian yang anda boleh gunakan. Ala…iklan yang selalu keluar TV tu. Ha, boleh gunakan laman pencarian itu untuk pilih jenis rumah yang bersesuaian dengan bajet anda.
Ruang dapur
Paling penting sekali, homestay pilihan anda perlu lengkap terutamanya peralatan dapur termasuklah kuali, periuk nasi, periuk masak, pinggan mangkuk, cawan sehinggalah ke sudu garfu dan sudip. Mak-mak ni adakalanya nak panaskan lauk, buat teh panas. Semuanya untuk dihidangkan kepada ayah-ayah dan anak-anak.
Mesin basuh
Percutian walaupun singkat tetap banyak pakaian kotor yang perlu di basuh. Mak-mak ni memang ligat orangnya. Pantang ada kelapangan, pasti dia akan mula mencari ruang masa uuntuk membasuh baju. Jika ada mesin basuh, lagi memudahkan kerja mereka. Tugas anda, beli sahaja sabun pencuci. Silap-silap, mak-mak bawa sendiri sabun basuh baju!
Ruang tamu
Selepas dua perkara penting tadi, barulah ayah-ayah perlu fikirkan bahagian ruang tamu rumah. Pastikan ada televisyen, sofa dan meja makan. Ada ketikanya, mungkin anda hanya akan makan di rumah untuk menjimatkan kos.
Hiburan berhampiran lokasi
Hiburan bukan bermaksud pusat karaoke atau panggung wayang. Untuk mak-mak, cukup sekadar pasar tani, pasar malam, kompleks membeli-belah atau sekurang-kurangnya satu kawasan yang menjual tudung atau kain murah-murah. Boleh juga mereka ke sana untuk ‘me’ time.
Penghawa dingin
Baik cuaca panas ataupun tidak, penghawa dingin dalam setiap bilik adalah satu kemestian lebih-lebih lagi untuk anda yang membawa anak kecil. Dalam kepenatan, tentu kita nak berehat dengan selesa. Bila dah sejukkan bilik, barulah boleh rehat dengan cukup. Tetapi biasanya untuk sesebuah homestay, hanya beberapa bilik disediakan penghawa dingin. Nampaknya anda perlu ada sifat bertoleransi sebelum membuat tempahan bilik, takut ada yang bermasam muka pula.
Tapak BBQ
Sesekali berBBQ bersama keluarga seronok juga. Sebelum anda jadualkan aktiviti BBQ, pastikan tuan rumah menyediakan pit BBQ dalam kompaun rumah. Tidak perlulah anda pula yang sibuk mengangkut pit BBQ dari rumah. Rajin-rajin bertanya pada tuan rumah sama ada mereka mempunyai peralatan untuk BBQ seperti penyepit, dulang dan sebagainya.
Pembayaran homestay
Pastikan anda membuat bayaran tempahan untuk lock homestay pilihan. Takut nanti homestay itu jatuh ke tangan orang lain pula. Beberapa hari sebelum pergi bercuti, hubungi tuan rumah semula untuk membuat bayaran penuh. Barulah anda boleh bercuti dengan tenang.
Selamat bercuti semua!
Sumber foto: FB Ceri Merah Homestay
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!