
Halle Berry menopaus, siap kongsi tip ‘powerful’ ini hadapi perubahan badan dalam fasa putus haid! Kini semakin ramai wanita, termasuk selebriti A-list, mula berkongsi pengalaman mereka secara terbuka. Ia bukan sekadar tentang perubahan fizikal, tetapi juga perjalanan emosi dan bagaimana seseorang wanita memilih untuk menerima fasa hidup yang baru ini dengan lebih matang.
Pelakon ikonik Hollywood, Halle Berry, antara figura yang lantang berkongsi kisahnya. Dalam temu bual podcast The Run Through by Vogue, pemenang Oscar ini membuka cerita tentang bagaimana dia menyesuaikan diri dengan menopaus dan perubahan yang datang bersamanya.
Pada usia hampir mencecah 60 tahun, Halle Berry yang dilahirkan pada 14 Ogos 1966 itu tampil dengan keyakinan yang lebih utuh, namun perjalanan ke arah itu bukanlah sesuatu yang mudah atau serta-merta.
Menariknya, Halle Berry pernah melalui pengalaman yang agak mengejutkan apabila simptom perimenopaus yang dialaminya disalah tafsir sebagai herpes.
Kesilapan diagnosis itu menjadi titik perubahan penting dalam hidupnya. Dari situ, dia mula menyedari betapa pentingnya wanita memahami tubuh sendiri dan tidak hanya bergantung kepada satu pandangan semata mata.


Menurut Halle Berry, “Everything has changed the way I do my life.” Perubahan itu bukan sekadar pada rutin harian, tetapi melibatkan keseluruhan gaya hidupnya, termasuk pemakanan, senaman dan pengambilan suplemen.
Bagi Halle Berry, kunci utama adalah menyesuaikan diri dengan perubahan tubuh, bukan melawannya. Pendekatan ini jelas apabila dia mula mengubah cara makan, rutin senaman dan sokongan nutrisi untuk memastikan dirinya kekal bertenaga dan sihat sepanjang melalui Halle Berry menopaus.
Halle Berry Menopaus, Ini Tip ‘Powerful’ Diamalkan!
1. Ubah cara makan, bukan sekadar ikut trend diet
Halle Berry sebelum ini mengamalkan diet keto, namun menyedari bahawa tubuhnya memerlukan pendekatan berbeza apabila usia meningkat. Dia kemudian mula mengambil lebih karbohidrat untuk membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Menurutnya, badan wanita tidak boleh terlalu dikongkong dengan diet ekstrem. Dia kini lebih memilih karbohidrat daripada sumber sihat seperti sayur-sayuran dan sesekali menikmati nasi dalam jumlah sederhana. Pendekatan ini lebih realistik dan menyokong keperluan tenaga harian wanita yang sedang melalui menopaus.
2. Tukar rutin senaman kepada latihan kekuatan
Selepas bertahun-tahun fokus kepada senaman kardio, kini Halle Berry mula beralih kepada latihan kekuatan atau strength training. Lebih mengejutkan, dia kini mengangkat beban yang lebih berat berbanding usia muda.

Perubahan ini bukan sekadar trend, tetapi disokong oleh kajian yang menunjukkan bahawa latihan kekuatan sangat penting untuk wanita berusia. Ia membantu mengekalkan kepadatan tulang, mengurangkan risiko kecederaan serta memastikan tubuh kekal kuat dan stabil. Dalam fasa Halle Berry menopaus, aspek ini menjadi semakin kritikal.
3. Sokong kesihatan dalaman dengan suplemen secara bijak
Selain menjaga pemakanan dan senaman, Halle juga memberi perhatian kepada kesihatan dalaman melalui pengambilan suplemen. Antaranya magnesium dan peptida, serta Creatine yang menurutnya membantu mengurangkan masalah brain fog atau kesukaran untuk fokus.
Kajian menunjukkan bahawa Creatine berpotensi meningkatkan fungsi kognitif seperti memori, fokus dan kelajuan pemprosesan maklumat. Namun begitu, Halle sendiri menekankan kepentingan mendapatkan nasihat profesional sebelum mengambil sebarang suplemen, kerana keperluan setiap individu adalah berbeza.
Fasa Kekuatan Baru
Apa yang boleh dipelajari daripada perjalanan Halle Berry adalah keberanian untuk menerima perubahan tanpa rasa takut. Dia tidak melihat menopaus sebagai penamat, sebaliknya sebagai satu fasa baru yang membuka ruang untuk memahami diri dengan lebih mendalam.
Perubahan gaya hidup yang dilakukannya membuktikan bahawa wanita masih mampu kekal aktif, sihat dan yakin walaupun usia meningkat. Malah, dengan pendekatan yang betul, fasa ini boleh menjadi tempoh paling stabil dari segi emosi dan fizikal.
Seperti yang diungkapkan oleh Halle Berry, menopaus boleh menjadi ‘episod terbaik dalam hidup wanita’. Kisah Halle Berry menopaus ini menunjukkan bahawa ia bukan tentang kehilangan, tetapi tentang penyesuaian dan penerimaan yang lebih matang.
Dalam dunia yang masih cenderung melihat penuaan sebagai sesuatu yang perlu dielakkan, kisah Halle Berry hadir sebagai peringatan penting. Wanita tidak perlu takut pada perubahan tubuh, sebaliknya perlu diberi ilmu, kesedaran dan ruang untuk memahami diri sendiri dengan lebih jujur.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/tenang-meniti-50-an-atilia-haron-menopaus-tidur-awal-tanpa-gangguan/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





