Kesusahan adalah kunci kepada kejayaan dalam mendidik jiwa anak-anak. Kesusahan juga dapat melahirkan seorang insan berjiwa kental. Sebaliknya, kesenangan dan kemewahan umpama racun yang mampu membunuh jiwa insan. Perkongsian Pengurus Rumah Amal Limpahan Kasih Puchong, Rashidah Abdullah membuka membawa kita untuk melihat lebih dekat kehidupan anak-anak yatim di Rumah Amal Limpahan Kasih. Jelas terpancar raut wajah mereka yang bersih dan menenangkan jiwa.
Rumah Amal Limpahan Kasih, ia merupakan pusat kebajikan dan pendidikan yang menaungi anak-anak yatim, anak fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan asnaf zakat yang beroperasi sejak Januari 2007 di atas tanah milik persendirian.
SUKARELAWAN
Sejak kematian suami beberapa tahun lalu, Rashidah yang berusia 53 tahun ini menjadi sukarelawan sepenuh masa di Rumah Amal Limpahan Kasih. Rashidah amat bertuah kerana arwah suaminya juga seorang yang sangat menyokong tugas-tugas sukarelawan. Atas alasan itulah Rashidah mengambil keputusan untuk membantu anak-anak yang kurang bernasib baik di Rumah Amal Limpahan Kasih.
“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir kerana arwah suami sangat menggalakkan saya melakukan tugas-tugas sukarelawan. Memandangkan saya seorang ibu tunggal maka mudah untuk saya menyelami perasaan dan kehidupan anak-anak ini.
Ads
Naluri keibuan saya sangat kuat, maka mudah untuk menyemai kasih sayang dalam jiwa anak-anak di sini. Ada caranya untuk mendekati mereka yang sentiasa ingin dibelai dan dimanja. Mereka kurang kasih sayang. Rasulullah SAW juga seorang anak yatim piatu, Baginda juga membela anak-anak yatim. Saya mengambil inspirasi daripada Rasulullah SAW.
Hubungan kami umpama ibu dengan anak. Mereka menggelarkan saya Ibu. Tiada langsung jurang sebaliknya kami lebih mesra dan rapat. Apa jua masalah mudah dikongsi kerana keselesaan dan kemesraan telah ada. Selain saya, ada lapan lagi kakitangan wanita di sini yang digelar Ibu,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang memiliki 4 orang anak.
CABARAN
Ads
“Untuk mendidik anak-anak ini tak boleh terlalu tegas atau terlalu berlembut. Perlu banyak bersabar dan berikan kasih sayang sepenuhnya buat mereka. Ini salah satu cabaran buat saya selain mendapatkan dana untuk pendidikan dan pentadbiran.
Selain usaha dan doa, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Alhamdulillah rezeki datang menjemput tanpa diduga. Apa yang penting jangan meminta. Itulah yang kami didik ke dalam jiwa anak-anak di sini.
Anak-anak juga perlu dididik agar seimbang rohaniah dan lahiriah. Anak-anak dilatih dengan ketabahan, kekuatan jiwa dan hubungan hati dengan Allah SWT. Usaha secara berterusan ialah mendapatkan rasa takut setakutnya pada Allah SWT dan rindu serindu rindunya pada Nabi SAW.
Ads
Segalanya dilakukan melalui disiplin ibadah solat, selawat dan aktiviti kerohanian. Juga melalui usrah yang dapat mengasah bakat kepimpinan, rasa tanggungjawab, meningkatkan kemahiran hidup dan keyakinan diri mereka. Semua penghuni dibantu sehingga mereka dapat merasai hidup umpama sebuah keluarga,” kongsi Rashidah.
RAMADAN
“Setiap kali menjelang Ramadan, selain memenuhi jemputan berbuka puasa di luar kami turut menjemput warga emas dan ibu tunggal untuk sama-sama berbuka puasa di sini. Maka dapatlah kami berkongsi rezeki bersama-sama di samping mengeratkan silaturrahim,” akhiri Rashidah dengan senyuman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami.
Salam yang dihulur bonda Tun Dr Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… kira-kira enam tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis.
Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu.
65 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda.
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 95 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara.
Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.” Tun Dr Siti Hasmah
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri.
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural.”
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
MENULIS
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan.
Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya – buku istimewa My Name is Hasmah.
Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit.
Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita terawal di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya.
“Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh.
Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia.
Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu.
Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya.
Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa.” Tun Dr Siti Hasmah
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola.
Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekalung tahniah buat anak perempuan dan menantu pakar motivasi terkenal, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa. Kesibukan mengurus rumah tangga dengan kehadiran cahaya mata bukan penghalang buat Nur Nadratun Naeemah dan suami iaitu Akmal untuk menggenggam ijazah.
Lebih bermakna, ia merupakan degree kedua buat Nadratun Naeemah dan Akmal. Kejayaan pasangan suami isteri ini memang patut jadi inspirasi dan ikutan ramai.
Tumpang bangga apabila kedua-duanya dapat sama-sama naik pentas di Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-39 baru-baru ini.
Berkongsi khabar gembira berkenaan di media sosial, Ustazah Datuk Dr Norhafizah melahirkan rasa syukur atas kejayaan anak dan menantu kesayangan apatah lagi menguruskan anak yang masih kecil.
“Alhamdulillah. Tahniah anak kami Nadratun Naeemah dan Akmal untuk konvokesyen second degree kalian berdua (Law Syariah). Dua degree dan seorang baby dalam tahun yang sama. Allah mudahkan perjalanan pengajian kalian dalam kekalutan mengurus kehamilan dan kelahiran.
Alhamdulillah alhamdulillah. Semoga terus cemerlang anak-anak semua. Jangan berhenti belajar. InsyaAllah doa kami sentiasa mengiringi kalian.”
Di samping bergelar pakar motivasi dan pendakwah, Ustazah Datuk Dr Norhafizah juga merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Penasihat Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz.
Tanggal 1 Februari 2018, beliau menjadi penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Pengurniaan darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk.
Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa juga bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada kaum wanita bahkan anak-anaknya turut mengagumi kemampuan ibu mereka.
Mana tidaknya, dalam kesibukan mengurus kerjaya penceramah, suami dan tujuh anak, beliau berjaya meraih PhD ketika berusia 43 tahun.
Bagi yang mengikut rapat industri fesyen tanahair dan global, sudah pastinya cukup mengenali model legenda, Linda Avangelista yang suatu ketika dahulu merupakan peragawati yang sangat terkenal di era 90-an bersama Kate Moss, Naomi Campbell, Cindy Crawford dan lain-lain. Namun selepas beberapa ketika, Linda dilihat kian menyepi dari dunia modeling.
Kredit Foto: Instagram @LindaEvangelista
Namun, selepas 15 tahun tidak ‘beraksi’ di atas runaway mahupun lensa, Linda Evangelista kembali memeriahkan New York Fashion Week (NYFW) tahun ini dengan menutup acara jenama Fendi pada hari Jumaat lepas di mana supermodel berusia 57 tahun ini menyarung gaun taffeta Tiffany biru yang menakjubkan.
Linda dijemput untuk mengambil bahagian dalam persembahan itu bagi meraikan ulang tahun ke-25 beg Baguette ikonik Fendi. Pada majlis itu, jenama fesyen Itali itu turut melancarkan kerjasama mengejut dengan Marc Jacobs. Evangelista dilihat berjalan di runaway Minggu Fesyen New York dengan gaun mewahnya, dihiasi dengan anting-anting berlian, sarung tangan sutera perak, dan aksesori beg Fendi Baguette yang terkenal.
Kredit Foto: Twitter FENDI
Ini merupakan kemunculan pertama kali selepas 15 tahun Linda ke acara fesyen selepas mendedahkan keputusan prosedurnya di media sosial pada September 2021, yang mendakwa dirinya ‘cacat’ selepas menjalani prosedur pembekuan lemak CoolSculpting yang telahpun diluluskan oleh FDA. Linda dimaklumkan bahawa prosedur ini merupakan alternatif lain liposuction bukan invasif – yang didakwa telah mengubah bentuk badannya.
Kredit Foto: Fox News
Selepas bertindak menyaman syarikat induk CoolSculpting, Zeltiq Aesthetics Inc. untuk ganti rugi sebanyak $50 juta, Evangelista mendedahkan kepada umum yang kesnya sudah tamat.
Kredit Foto: People Magazine
“Saya menanti-nantikan babak seterusnya dalam hidup saya bersama rakan dan keluarga, dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya berterima kasih atas sokongan dan bantuan yang dihulurkan oleh semua pihak”, jelasnya Linda dalam salah satu hantaran di Instagramnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.