Menurut Dr Ahmad Faroukh Musa dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah, Universiti Monash, Malaysia, dakwaan yang mengatakan diet ikan adalah baik untuk kesihatan memang menunjukkan perbezaan ketara. Kebaikannya bukan hanya khusus untuk kanak-kanak, tetapi juga untuk pesakit yang baru menjalani pembedahan jantung!
Ikan tempatan memperlihatkan keajaiban dalam bidang perubatan
Biarpun ikan baik untuk kesihatan namun yang paling menyerlah khasiatnya adalah Channa Striatus atau lebih dikenali sebagai ikan haruan di Asia.
“Walaupun tanpa bukti kajian, telah lama diketahui bahawa pesakit yang memakan haruan selepas menjalani pembedahan cenderung sembuh lebih baik dan cepat. Untuk mempelajari sebabnya, kami telah menjalankan kajian saintifik mengenai penyembuhan luka selepas pembedahan pintasan graf arteri koronari,” kata Dr Musa.
Kajian rawak yang terkawal melibatkan pemantauan prestasi dan kadar penyembuhan pesakit yang diberi pil ekstrak haruan diakui mendatangkan hasil menakjubkan. “Ternyata kisah nenek moyang turun-temurun ada benarnya. Ekstrak haruan ketara mempercepatkan proses penyembuhan luka. Ekstraknya juga mempunyai kesan anti-nosiceptif yang membantu mengurangkan rasa sakit. Pesakit akan rasa lebih selesa dan kurang tertekan serta pulih lebih cepat,” tambah Dr Musa.
Ads
Apa itu Haruan?
Haruan yang juga dikenali sebagai ikan gabus adalah karnivor air tawar. Haruan memakan ikan lain yang lebih kecil dan kadangkala katak turut menjadi habuannya. Oleh kerana ia adalah ikan air tawar, ia sering boleh ditemui di kawasan-kawasan tasik dan sungai.
Ia juga boleh diternak. Namun tidak sebegitu popular di Malaysia sepertimana usaha penternakan Keli atau Tilapia. Situasi ini mungkin akan berubah apabila hasil kajian Universiti Monash tentang ekstrak haruan dikomersialkan untuk aplikasi nutraseutikal.
Ads
Kebiasaannya, wanita selepas bersalin terutamanya yang melalui pembedahan C Sec akan mengambil pati haruan untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka pembedahan. Melalui kajian yang dijalankan ini, ternyata haruan bukan sahaja boleh dinikmati oleh wanita selepas bersalin, malah ia juga berkesan untuk beberapa penyakit lain.
Kenapa ekstrak Haruan berfungsi?
Ekstrak haruan mempunyai kandungan khasiat tertentu yang membantu penyembuhan luka. Haruan mengandungi glisin, asid amino penting yang diperlukan. Ia juga mempunyai asid arakidonat dan asid lemak tak tepu pada tahap yang tinggi yang menghasilkan kesan anti-radang dan menggalakkan sintesis prostaglandin, penting dalam membantu badan menangani kerosakan atau jangkitan tisu. Ia juga menggalakkan pembentukan semula kolagen melalui sintesis sambung-silang inter dan intramolekul protein. Ini menghasilkan peningkatan ketara dalam kekuatan tegangan yang menyegerakan penyembuhan luka. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Meskipun keadaan muka bumi Yellowstone National Park yang terletak di Wyoming, utara Amerika Syarikat cukup cantik dan dikagumi ramai kerana kewujudan beberapa kawasan haba dan kawah berapinya… namun di sebalik keindahan itu tersimpan satu situasi yang mampu menggemparkan dunia. Pakar geologi baru-baru ini memberi amaran dua pertiga populasi dunia berdepan kepupusan sekiranya kawah berapi Yellowstone meletus!
Lebih menggerunkan, letusan itu juga akan menyebabkan hampir keseluruhan Amerika Syarikat musnah.
Menurut Dr Jerzy Zaba dari University of Silesia di Poland, letusan itu sangat berbahaya dan ia merupakan kejadian alam yang tidak dapat dielakkan. Kawah berapi yang terdapat di Yellowstone National Park di Amerika Syarikat ini turut dilaporkan bakal meletus pada bila-bila masa sahaja.
Ini kerana telah banyak amaran dikeluarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Rentetan itu, Dr Jerzy mendedahkan kepada Daily Star, “Saya menjangkakan letusan yang sama seperti 640,000 tahun dahulu bakal berlaku sekali lagi dan letusan itu sangat hebat sehingga memusnahkan kebanyakan daerah di AS.
Bahan-bahan letusan dari kawah itu akan meliputi segalanya dalam radius 500 kilometer. Malah, akibat daripada debu dan pembebas gas dari sulfur monoksida ke ruang udara akan menyebabkan cuaca sejuk.”
Menerusi kenyatannya dalam sebuah portal Wirtualna Polska pula, pakar geologi ini berkata, “Saya turut menjangkakan akibat dari letusan kawah berapi ini… akan menyebabkan perubahan iklim secara drastik dan lebih lima bilion penduduk dunia ini akan mati akibat kelaparan.”
Difahamkan, sejak lebih 2 juta tahun lalu kawah berapi berkenaan pernah meletus sebanyak tiga kali dan lanskapnya akan berubah setiap kali ia terjadi.
Sebagai persediaan dan langkah awal, Dr Jerzy berkata pemindahan penduduk setempat secara besar-besaran perlu dilakukan terutamanya apabila tanda-tanda letusan mula kelihatan dalam masa terdekat. Sejak tahun 2001, The Yellowstone Volcano Observatory (YVO) yang diketuai Kajian Geologi AS telah melakukan pemerhatian terperinci terhadap kawah berapi berkenaan.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tinggal sekitar dua minggu saja lagi menuju ke hari bahagia pasangan Raja Sehari, Shuib Sepahtu dan Watie Hanifiah. Memilih tarikh walimatulurus 23 Jun 2023, majlis perkahwinan mereka turut mendapat tajaan mewah bernilai RM1.7 juta.
Pelawak dan penyampai radio, Shuib mendedahkan majlis perkahwinannya bersama Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah pada 23 Jun depan bakal mendapat tajaan lebih RM1 juta.
Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, tajaan yang diterima bukan berbentuk wang ringgit, tetapi lebih kepada lokasi, busana nikah dan barangan kemas yang akan dipakai Watie.
Menurut sumber Media Hiburan, majlis raja sehari pasangan ini akan dilangsungkan di Putra Glass Hall, Putra Height, Selangor pada 8.00 malam.
“Alhamdulillah, sekitar RM1 juta lebih begitu, termasuk barangan kemas. Bagaimanapun, majlis kami tidak ditaja sepenuhnya memandangkan saya dan Watie turut mengeluarkan bajet sendiri untuk beberapa keperluan.
Apa pun saya bersyukur kerana ada pihak yang sudi berkongsi rezeki dan saya mengharapkan agar majlis kami nanti berjalan dengan lancar.” Shuib
Shuib dan Watie berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Walimatulurus Shuib & Watie di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Ditanya mengenai perjalanan majlis raja seharinya nanti, Shuib menjelaskan mereka memilih untuk tidak bersanding, sebaliknya hanya melangsungkan majlis nikah sahaja.
“Memandangkan ini adalah perkahwinan pertama Watie, bagi saya tidak adik sekiranya majlis hari bahagia dibuat secara ringkas.
Jadi akan ada pelaminan untuk ahli keluarga dan rakan-rakan yang mahu merakam gambar kenangan bersama kami, insyaAllah.” Shuib
Majlis perkahwinan mereka akan disiarkan secara eksklusif menerusi program Walimatulurus Shuib & Watie bermula 24 Jun di Astro Ria sebanyak empat episod.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hari ini, penulis selaku salah seorang team Editorial Majalah NONA menerima suntikan vaksin dos pertama AstraZeneca (AZ) bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada jam 9.30 pagi. Syukur Alhamdulillah!
Harapan untuk divaksin terlaksana pagi ini, apabila penulis menerima dos pertama AstraZeneca (AZ) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC). Penulis merupakan antara pendaftar pusingan pertama pendaftaran untuk vaksinasi AstraZeneca yang dibuka pada 2 Mei,
Ia menyaksikan keseluruhan 268,000 slot habis ditempah dalam tempoh tiga jam dua puluh minit pendaftaran tempahan dibuka.
Tahniah diucapkan kepada petugas di Pusat Penerimaan Vaksin IDCC kerana segalanya berjalan lancar daripada proses menunggu, divaksin sehinggalah keluar daripada IDCC, mengambil masa kira-kira sejam sahaja!
Tidak dinafikan, sebelum sampai ke pisat penerimaan vaksin, perasaan gugup tetap muncul dalam diri penulis memandangkan pelbagai andaian mengenai kesan sampingan vaksin yang dimomokkan. Tetapi berbekalkan rasa reda dan tawakal vaksin sebagai salah satu cara mencegah penyakit, penulis menerima dengan hati terbuka dan melaksanakannya.
Memetik kata-kata Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) Prof Datuk Dr Abdul Rahim Mohamad bahawa pengambilan vaksin membuktikan bahawa ia lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan sekaligus tidak bercanggah dengan Islam.
Malah beliau berkata pengambilan vaksin menurut pandangan Islam adalah harus memandangkan ia mampu mencegah kemudaratan daripada berlaku ke atas manusia.
Penulis ingin kongsikan sedikit pengalaman sebelum melalui proses vaksinasi pagi ini. Melalui aplikasi MySejahtera dan vaksincovid.gov.my, penulis berjaya mendapatkan slot untuk temujanji bagi menerima suntikan vaksin AZ.Syukur Alhamdulillah, ketika penulis ‘menekan’ slot temujanji, tidak berlaku sebarang masalah untuk mendapatkan slot. Lebih menyeronokkan, suami juga mendapat slot janjitemu pada masa dan tarikh yang sama!
Beberapa hari sebelum tarikh temujanji, penulis menerima beberapa kiriman SMS selain panggilan telefon sebagai peringatan tarikh untuk menerima suntikan vaksin.
Setelah menghitung hari melihat beberapa kaum keluarga dan sahabat handai yang selamat melalui proses vaksinasi masing-masing, akhirnya temujanji penulis terlaksana pada tarikh hari ini, 3 Jun 2021 jam 9.30 pagi. Sebaik tiba di IDCC dan sebelum naik ke tingkat tujuh untuk proses vaksinasi, semua perlu melakukan imbasan kod QR di pintu masuk yang disediakan.
Anggota RELA pula memeriksa aplikasi MySejahtera setiap individu sama ada individu berkenaan berisiko atau sebaliknya.Setibanya di tingkat tujuh, penulis dan para penerima vaksin yang lain mematuhi arahan yang diberikan oleh para petugas dan memastikan penjarakan fizikal diberi keutamaan sambil diberi taklimat bagi mengisi borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 di Stesen 1 sebelum dibenarkan masuk ke dewan utama.
Usah risau kerana para sukarelawan bertugas pula sedia membantu dan sentiasa ada bagi memastikan proses berjalan lancar selain memastikan orang ramai tidak kehilangan arah. Tidak sampai beberapa minit selepas mengisi borang di stesen 1, penulis dipanggil untuk pendaftaran, sekali lagi melalui imbasan kod QR MySejahtera, bagi memaklumkan kehadiran di Stesen 2.
Proses selanjutnya pula membawa penulis ke Stesen 3 di mana penulis bertemu doktor untuk pengesahan tahap kesihatan selain menandatangani borang persetujuan sebelum ke Stesen 4 bagi suntikan vaksin. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan, anda boleh bertanya dengan doktor bertugas di stesen ini bagi merungkaikan permasalahan yang membelenggu diri anda sebelum suntikan vaksin diberikan!
Tibalah ke stesen 4, proses vaksinasi berjalan lancar dengan penulis hanya menunggu tidak sampai lima minit untuk divaksin. Di Stesen 4 ini, terdapat lebih 10 bilik kecil menempatkan dua vaksinator untuk menyuntik vaksin AZ kepada dua individu pada satu-satu masa. Dalam bilik berkenaan, penulis juga melakukan imbasan kod QR MySejahtera untuk pengesahan menerima vaksin. Sebelum proses vaksinasi dijalankan, petugas menunjukkan jumlah dos yang bakal diberikan serta menerangkan proses bagaimana suntikan vaksin dijalankan. Bagi wanita berhijab, usah bimbang, semasa proses vasinasi dijalankan, vaksinator akan meminta kebenaran anda untuk melakukan suntikan vaksin kerana anda perlu menyelak sedikit pakaian di bahagian lengan. Penting untuk memakai pakaian yang sesuai untuk memudahkan proses suntikan vaksin seperti kemeja t lengan pendek serta memakai cardigan di luar!
Usai menerima suntikan, penulis perlu ke stesen 5 untuk menunggu bagi mendapatkan kad pengesahan dan temujanji vaksin yang kedua dalam tempoh 12 minggu yang akan datang. Meskipun proses sudah selesai, semua penerima vaksin digalakkan menunggu di ruang pemerhatian (Observation Area) selama setengah jam untuk memastikan tiada alahan atau kesan sampingan yang berlaku selepas menerima vaksin. Ruang pemerhatian disediakan untuk penerima suntikan berehat sebentar selain memastikan tiada alahan selepas divaksin sambil diawasi oleh petugas kesihatan yang sentiasa meronda serta bertanyakan kepada penerima vaksin keadaan mereka.
Selain itu, taklimat melalui tayangan video berkaitan kesan dan langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat sebarang simptom selepas suntikan turut disediakan untuk memudahkan orang ramai memahami kesan sampingan sekiranya ada.
Tidak dinafikan, usai disuntik, lengan kiri penulis terasa agak sengal-sengal namun selainnya, tiada apa kesan sampingan berlaku.Insyaallah semoga usaha untuk menerima vaksin ini menjadi asbab untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.
Penulis juga amat berharap, lebih ramai akan menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. Akhir kata, jaga kesihatan, patuhi SOP yang telah ditetapkan dan terima kasih petugas barisan hadapan yang tidak putus-putus berkhidmat demi memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia!.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.