Ijab dan kabul adalah satu ikatan yang dijanjikan Allah dengan kebahagiaan. Masakan tidak, perhubungan tanpa ikatan halal ibarat mencampakkan diri ke lembah hina.
Setiap manusia diciptakan berpasang-pasangan, itu sesuatu yang klise didengar. Tetapi ramai juga berpendapat, semakin usia meningkat, jodoh pula semakin sukar ditemui dan akhirnya mereka membuat andaian, jodoh untuk mereka sudah mati.
Ramai berkahwin atas dasar cinta, ada juga yang berkahwin atas dasar jodoh tiba-tiba. Bahkan ada juga perkahwinan atas dasar paksaan. Tidak kiralah apa pun, kasih sayang pasti akan terbit jua sedikit demi sedikit.
Penulis menganggap, jodoh yang lambat tiba ini pasti ada hikmahnya. Penulis terus berdoa agar satu hari nanti, Allah utus seorang lelaki yang boleh membimbing dan memandu penulis ke jalan Allah.
Sementelah itu, penulis banyak melihat dan mendengar kisah-kisah teman yang sibuk bercerita mengenai kehidupan rumah tangga mereka. Ada yang melayan suami seadanya dan ada yang memartabatkan suami setinggi-tingginya. Subhanallah, teringat satu cerita yang pernah diceritakan kepada penulis satu ketika dahulu.
Fatimah, seorang pensyarah berkelulusan dari Mesir cukup baik orangnya. Pada mata penulis, dialah wanita, isteri dan ibu yang amat solehah. Penampilannya sopan, dengan tudung labuh serta baju kurung ringkas. Dalam setiap baris kata disampaikan dengan cukup lembut. Tapi kebaikannya ini rupanya hanya topeng semata-mata.
Di rumah, Fatimah mempunyai karakter yang cukup berbeza terutama apabila berhadapan dengan suaminya. Fatimah dan Ikram berkenalan sewaktu sama-sama belajar di Mesir.
Atas desakan kemiskinan keluarga Ikram, dia terpaksa berhenti dan pulang ke Malaysia. Sukar mencari pekerjaan stabil ketika itu dan Ikram perlu terus membantu keluarga. Dia pernah menjadi buruh, mengambil upah mencuci kereta malah dia juga bekas pengawal keselamatan.
Kerana sayang, sekembalinya Fatimah ke Malaysia selepas tamat pengajian, Ikram melamar mereka dan di situlah bermulanya satu kisah baru. Masa tu, Ikram sudah pun menjawat jawatan eksekutif di sebuah kilang. Tetapi perbelanjaannya sering genting.
Fatimah? Langsung tidak peduli akan perbelanjaan rumah. Yang dia tahu, urusan rumah adalah tanggungjawab suami. Setiap kali Ikram memohon bantuan, Fatimah mula ‘mengajar’ dengan dalil-dalil agama, membuatkan Ikram bagai terkunci untuk berkata-kata.
Sudahlah tidak mahu membantu, Fatimah demand macam-macam dari Ikram. Kereta mewah, barang kemas mahupun keperluan mewah lain. Ikram umpama lembu dicucuk hidung menurut sahaja kemahuan Fatimah. Dapat sahaja gaji, habis digunakan untuk membayar hutang.
Senang cerita, Ikram mengamalkan pepatah ‘biar papa asal bergaya’. Ya, masih ada lagi lelaki yang tidak ‘buka mata’ mengenai hal ini. Yang si isteri pun, langsung tidak ada hati dan perasaan. Nampak ini nak, nampak itu mahu.
Tanpa pengetahuan Fatimah, Ikram meminjam wang dari keluarganya, untuk menutup lubang-lubang hutang pada orang lain. Entah macam mana, satu hari rahsia Ikram terbongkar apabila ada seseorang yang menyampaikan berita ini ke pengetahuan Fatimah. Bagai petir di langit, segala kata makian singgah pada Ikram.
Fatimah terlalu malu atas apa yang berlaku. Ikram tiada pilihan dan terus mengakui kesilapannya. Rupanya keluarga dan saudara-mara sudah mengetahui keadaan ekonomi rumah tangga mereka yang sangat goyang tetapi Fatimah dan suami masih memotret kehidupan senang-lenang.
Mana mahu dibuang rasa malu itu. Suami sama naik, demi memenuhi impian isteri sehingga lupa tanggungjawab yang sebenar sebagai ketua keluarga.
Dia juga mula naik berang dengan sikap Fatimah. Dirasakan umpama seorang suami dayus. Tidak dididiknya Fatimah dengan baik. Sayang sungguh kerana Ikram cukup menjaga solat tetapi dia tidak pernah menegur isterinya yang solat hanya apabila memerlukan bantuan Allah! Anak sudah berderet tetapi solat tidak dijaga.
Sakit hati bila teringat kembali kisah mereka, semuanya terhenti di situ dan penulis tidak lagi mendengar khabar berita pasangan ini setelah mereka berpindah entah ke mana. Benar Fatimah nampak seperti figura penuh kelembutan dan Muslimah tetapi itu belum cukup untuk mentafsir sedalam mana kasih sayangnya pada suami dan paling penting, sayangnya pada Maha Pencipta! KR