Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan mendirikan rumahtangga dengan Mohamed Raqeem Brian Abdullah yang berasal dari Sarawak dan berketurunan Cina-India. Mereka bernikah pada 6 Jun 2009 dan dikurniakan sepasang cahayamata, Althea dan Aaqib.
Pasangan romantik!
Sempena genapnya usia perkahwinan mereka yang ke-13 tahun baru-baru ini, dalam satu video pendek di akaun Instagramnya, Nana berkongsi ungkapan ringkas buat suami tersayang sebagai tanda menghargai pengorbanannya selama ini.
“Selamat ulang tahun ke-13 @raqeembrian Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan tanpa jemu, kasih sayang tanpa syarat, perhatian dan menjadikan hidup ku lebih bermakna. Terima kasih kerana menjadi ayah terbaik untuk anak-anak.
Ads
Terima kasih kerana menerima ku seadanya. Isteri yang tidak begitu sempurna, seorang yang sangat sibuk dan sentiasa mahu melakukan banyak perkara. Terima kasih kerana sentiasa ada untuk ku. Terima kasih atas segalanya sayang… I love yuh!”
Menjengah ke akaun Instagram suaminya pula, Raqeem Brian, hanya ucapan ringkas ditujukan buat Nana namun ianya sangat bermakna. Menurutnya, selama 13 tahun mereka bersama penuh dengan memori-memori indah.
“Selamat ulang tahun buat kita @nanamahazan 13 tahun yang indah bersama penuh dengan kenangan indah dan manis setiap tahun. Kamu adalah kamu & ia cukup sempurna buat ku”
Ads
Beautiful family! Sejuk je mata memandang.
Sejak ‘penghijrahannya’ pada Ogos 2021, Nana mula menjadi perhatian ramai. Malah pengacara, penyanyi dan bekas pelajar Akademi Fantasia musmi ke-6 ini makin cantik dan berseri-seri sejak bergelar usahawan. Nana dilihat makin rancak mengusahakan perniagaannya yang makin berkembang.
Terbukti, sejak bertudung rezeki Nana kian mencurah-curah terutama perniagaan miliknya Selauk Nana dan Nana Mahazan Beauty. Semoga Nana terus istiqamah, perniagaan terus maju dan kekal bahagia bersama keluarga tersayang.
Kredit Foto: IG Nana Mahazan & Raqeem Brian
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kanser payudara sangat digeruni kerana ia merupakan penyebab utama kematian penyakit kanser dalam kalangan wanita. Tidak kira umur atau pekerjaan anda sekalipun, kanser boleh menyerang dan pada waktu ini, anda harus tabah menghadapi pelbagai ujian yang perlu dilalui dalam melawan penyakit yang menjadi musuh di kalangan wanita ini.
Walaupun memegang gelaran sebagai seorang doktor dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, Dr Nor Aniza, 44 tidak terkecuali menjadi salah seorang ‘mangsa’ kanser membunuh ini. Namun, dengan semangat yang cekal dan azam yang tinggi untuk menjalani kehidupan yang lebih positif, beliau berjaya menjadi salah seorang cancer survivor.
“Pada tahun 2006, ketika berumur 32 tahun saya mendapati terdapat satu ketulan kecil lebih kurang 2cm di payudara kiri melalui pemeriksaan sendiri payudara (PSP). Anehnya, ketulan itu tidak pernah ada di situ dan saya tidak langsung merasai sakit. Atas dasar kesedaran, saya berjumpa dengan pakar di PPUM dan selang beberapa hari, doktor mengesahkan ia sel kanser.
Saya menyusukan anak-anak dan mengamalkan gaya hidup sihat. Bahkan, tiada siapa di kalangan ahli keluarga menghidap kanser”, jelasnya ketika mula-mula disahkan menghidap kanser payudara.
“Sukar untuk saya percayai. Otak ligat memikirkan anak-anak yang masih kecil dan klinik saya yang baharu saja dibuka. Walaupun saya tahu apakah langkah rawatan terbaik, perasaan sedih dan air mata tidak dapat dibendung”, jelasnya lagi.
Sekali lagi, emosinya terusik dan dunia menjadi gelap tiba-tiba apabila beliau disahkan sekali lagi menghidap kanser payudara.
” Tidak tahu di mana silapnya, saya adalah peratusan kecil kanser berulang seperti disebut pakar dan saya terpaksa akur bahawa punca usia muda dan hormon yang masih aktif menyebabkan kanser berulang kembali.
Saya nekad menjalani pembedahan membuang payudara sekali gus Rekonstruksi Implan dan pembedahan mengambil masa selama 6 jam dan saya diberi suntikan di perut untuk menyekat hormon”, jelasnya lagi yang aktif dalam pelbagai kumpulan sokongan kanser seperti Cancer Survivors Malaysia.
Bukan mudah untuk kekal positif dalam keadaan sebegini namun semangat yang ada dalam diri doktor ini sewajarnya dijadikan inspirasi. Beliau juga sentiasa bersyukur kerana sekalipun menghidap kanser berulang, Allah masih murah hati mengurniakan banyak nikmat lain kepadanya dan tidak sedikit pun berasa kurang sifat kewanitaan.
Jangan mudah mengalah kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya. Malah, kanser payudara boleh dirawat jika seseorang pesakit dapat mengesan dan menyedari antara tanda-tanda lebih awal lagi dengan melakukan pemeriksaan sendiri (PSP) ke atas payudara pada setiap bulan. Jangan terlalu memandang ringan dan ambil sikap tidak peduli lebih-lebih lagi untuk wanita yang berumur 20 tahun ke atas. Sekiranya berlaku sebarang perubahan di bahagian payudara segera dapatkan rujukan daripada pakar.
Diharapkan, agar wanita di luar sana lebih peka dengan kesihatan diri sendiri dan keluarga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Saya ke Palestin pada tahun 2014 bersama ibu serta rakan-rakannya. Sebenarnya, setahun sebelum ke sana sudah beberapa kali saya mengusulkan kepada ibu yang saya teringin sangat hendak menziarahi bumi Palestin yang merupakan tempat para anbiya. Memang saya berminat untuk mempelajari sejarah-sejarah Islam.
Kebetulan juga ketika itu salah seorang adik saya sedang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Ketika melawatnya di sana, kami dibawa berjalan melawat Mesir oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana. Banyak kisah-kisah agama dikongsi oleh mereka sehingga membuatkan saya tertarik untuk mempelajari lebih banyak tentang sejarah Islam.
Kami tiba melalui Jordan. Untuk memasuki sempadan Palestin perlu melalui checkpoint atau tempat pemeriksaan yang dikawal dan diperiksa oleh petugas Israel. Sewaktu pemeriksaan terakhir, saya diminta oleh pegawai bertugas untuk ke ruang soal jawab. Ada juga beberapa orang dari group kami mengalami situasi yang sama dan ada juga yang ditahan untuk di soal siasat kerana membawa Al-Quran dan disuruh untuk menyelak satu persatu helaian muka surat Al-Quran untuk diperiksa. Setelah beberapa jam barulah segala urusan kami selesai. Walau mengalami beberapa situasi yang tidak diduga tetapi segala urusan di pintu sempadan berakhir dengan baik.
Tour leader membawa kami menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk makam para Nabi dan pejuang Islam. Kami juga berpeluang melihat tempat yang dipercayai terikatnya buraq, seterusnya menunaikan solat di masjid Al-Aqsa. Pertemuan dengan Imam Al-Aqsa merupakan pengalaman paling berharga buat saya. Di samping itu, menurut tour leader kami (yang berasal dari sana) kumpulan kami adalah yang pertama dari Malaysia melawat Tel Aviv. Sebelum ini, ada kumpulan yang mahu melawat Tel Aviv tetapi tiada rezeki. Walau tidak terlalu lama di Tel Aviv, jurang perbezaan antara Tel Aviv dan Jerusalem amatlah besar. Bila teringat balik, kasihan dengan saudara Islam kita yang sentiasa hidup dalam kekurangan dan perlu sentiasa berjuang mempertaruhkan nyawa demi keluarga dan agama.
Kami menetap di hotel yang lebih kurang 1 kilometer dari masjid Al-Aqsa. Setiap subuh kami akan berjalan dari hotel ke masjid. Ia dikawal ketat oleh beberapa tentera Israel yang memegang senjata. Segala perjalanan keluar masuk ke masjid agak lancar. Kami juga diberitahu mungkin tentera Israel akan soal siasat lelaki yang lebih muda. Dan jawapan perlu jujur iaitu mahu ke masjid untuk solat.
Kali pertama menjejaki masjid Al-Alqsa di waktu subuh membuatkan saya sebak sehingga mengalirkan air mata usai menunaikan solat. Sangat bersyukur, Allah memilih saya untuk merasai pengalaman bersolat di masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam. Sebenarnya, setiap kali kami pergi ke masjid, sebelum memasuki perkarangan masjid dan melihat tentera-tentera Israel yang memegang senjata sedikit sebanyak ada perasan gusar dan tidak selesa sewaktu melewati mereka. Walau bagaimanapun, bila tiba di dalam masjid dan mendengar bacaan Al-Quran oleh jemaah perasaan tenang datang secara semulajadi.
Bagaimanapun, pada hari Jumaat sebelum kami menunaikan solat Jumaat, tour guide memaklumkan selesai sahaja menunaikan solat sebolehnya cepat-cepat keluar dari kawasan masjid kerana di sana sering berlaku pergaduhan antara umat Islam dan tentera Israel. Malah, kalau dilihat di dalam masjid ada kesan-kesan pergaduhan.
Selesai sahaja solat, kami dengan pantas keluar dari masjid dan pergi ke tempat yang diminta untuk menunggu bersama ahli kumpulan lain. Sedang kami menunggu, tiba-tiba berlaku pergaduhan antara orang-orang Palestin dan tentera Israel. Perkara pertama yang terlintas sudah pasti ibu saya dan rakan-rakannya. Bagaimana mereka mahu berlari atau menyelamatkan diri jika berlaku perkara yang tidak diingini. Ada juga beberapa ahli kumpulan kami tidak tiba ke tempat yang di minta untuk berkumpul.
Tour leader dengan pantas menyuruh kami segera meninggalkan kawasan masjid dan akan mencari beberapa orang yang tidak kelihatan. Alhamdulillah, seluruh ahli kumpulan kami selamat.
Ketika di sana kami sentiasa on-the-go bersama group untuk berziarah dari satu tempat ke satu tempat. Interaksi kami agak terbatas untuk beramah mesra dengan penduduk setempat. Bagaimanapun, jika bertemu jemaah di masjid kami akan memberi salam dan berbual sambil bertanya khabar. Jika mereka bertanya dan tahu kami dari Malaysia, serta merta mereka akan tersenyum dan sangat gembira.
Ini jelas dapat dilihat pada suatu malam, suami kepada teman saya solat berjemaah di saf depan. Selesai solat, suaminya bersama adik-beradik menegur Imam. Selepas mengetahui mereka dari Malaysia, Imam Masjid Al-Aqsa terus mengajak beliau dan kumpulan kami untuk diberi tour di sekitar masjid. Lebih bermakna, Imam berbesar hati mengajak kami ke tempat istirehatnya untuk mengenali kami dengan lebih dekat. Menurut Imam, beliau sangat berterima kasih dan bersyukur dengan sifat pemurah orang Malaysia.
Satu lagi kisah menarik iaitu ada seorang kanak-kanak bernama Ishaq sering muncul. Ishaq cukup disenangi kerana sering menawarkan bantuan kepada kami. Dialah jurugambar termasuk memberi info-info jika kami memerlukan petunjuk untuk berjalan sekitar kawasan hotel dan pasar. Jika ada orang tua yang memerlukan bantuan, Ishaq orang pertama akan membantu. Ketika saya berkongsi gambar Ishaq di Instagram, ada beberapa rakan dari Malaysia yang pernah menjejaki ke bumi Palestin juga mengenali Ishaq.
Saya juga mempunyai teman rapat berasal dari Palestin yang menetap di Malaysia sekarang. Bagi saya orang Palestin sikatnya suka membantu, baik hati dan ikhlas bila melakukan sesuatu. Bila terkenang kebaikan mereka, terasa kasihan pula dengan saudara Islam kita di sana. Disebabkan sikap terlalu baik, mereka ditindas oleh Zionis.
Buat Rakyat Palestin, kalian adalah pejuang umat Islam yang kuat dan terpilih oleh Allah SWT untuk berdepan dengan kekejaman Yahudi. Teruskan berjuang. Sesungguhnya kemenangan akan berpihak kepada umat Islam tidak lama lagi.
Untuk rakyat Malaysia, teruskan membantu saudara Islam kita yang berada di Palestin selagi boleh. Jika tidak dapat membantu dari segi tenaga dan wang ringgit, panjatkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka. Perjuangan mereka sangat besar. Doa adalah senjata terkuat buat saudara Islam kita di sana.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dato’ Farah Zarina
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagaimana yang kita ketahui Dr. Soo Wincci sedang memburu PhD keduanya dalam jurusan Artistik Produksi di University of Polytechnic di Sepanyol. Berada di negara yang mendapat jolokan sebagai negara Matador ketika situasi pendemik ini memberi cabaran besar buat wanita yang pernah dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2008 ini.
Menurut Dr Soo Wincci ketika dihubungi, Sepanyol sedang menjalani lockdown dan kes jangkitan COVID-19 di sana cecah 10 ribu kes setiap hari. “Di bumi Sepenyol ini masih lockdown. Situasi di sini agak buruk dengan kes harian yang mencapai lima angka.
Bila tak boleh keluar rumah, aktiviti saya di sini terbatas dan apa yang boleh saya buat adalah masak, menulis, belajar dan tulis lagu. Sebagai seorang yang sedang menyiapkan PhD, saya menghadapi cabaran apabila terpaksa menjalani online class. Belajar secara atas talian ini membuat kerja menjadi dua kali ganda.
Bayangkan ketika membuat PhD pertama dulu pun memang susah, ini pula dengan cabaran situasi yang tak dijangka ini. Menyiapkan projek PhD dalam bidang muzik dan artistik bukan mudah. Perlu banyak berbincang dengan guru. Tambahan pula semuanya dalam bahasa Sepanyol. Namun, semua cabaran ini saya anggap hanya ujian untuk mengejar impian saya,” tutur Dr. Soo Wincci tentang cabaran PhD keduanya.
Tambah Dr. Soo Wincci, melalui situasi begini sendirian di Sepanyol kadang-kala membuatkan semangatnya ‘tergelincir’. “Banyak kali juga saya putus asa dan balik Malaysia. Tapi saya faham setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Saya perlu pulihkan semangat kembali untuk habiskan pengajian ini.
Saya terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk belajar di Berklee College of Music di Valencia kampus Sepanyol ini. Kolej ini merupakan impian semua ahli muzik untuk masuk belajar, tak kan saya nak berhenti separuh jalan,” ucap Dr. Soo Wincci yang dijadualkan pulang ke Malaysia bulan April nanti.
Meskipun sudah setahun berlalu namun pemergian isteri tercinta ke rahmatullah masih meninggalkan kesan mendalam terhadap Ridz Okumura sampai ke hari ini. ‘Kehilangan’ Allahyarham Akiko Okumura pada 28 Februari 2025 bukan hanya mengejutkan warga maya yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial suami, Ridz Okumura.