
Natasha Roslan rangkul kejuaraan Piala Dunia, pecah rekod 53 tahun boling. Berusia 28 tahun, Natasha Mohamed Roslan terus mencipta nama sebagai atlet tenpin wanita negara sebaris dengan Datuk Shalin Zulkifli yang pernah menjadi jurulatihnya.
Selain bergelar Olahragawati Kebangsaan menerusi Anugerah Sukan Kebangsaan 2024, Ntasha baru saja merangkul kejuaraan di Kejohanan Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong awal tahun ini sekaligus menamatkan kemarau pingat emas negara selama 53 tahun negara tanpa kejuaraan kategori individu wanita sejak dipertandingkan pada 1972.
Kejayaan dilakarnya menerima ucapan tahniah dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membanggakan negara.
Natasha Roslan Rangkul Kejuaraan Piala Dunia
Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook berkata, pencapaian atlet berusia 28 tahun itu sangat membanggakan negara.
“Hebat! Memang luar biasa! Natasha Roslan melakar sejarah menjadi pemain boling wanita pertama negara menjuarai Piala Dunia,” tulis Perdana Menteri.
Ia juga menjadi koleksi gelaran dunia ketiga buat atlet kelahiran Selangor itu selepas mengungguli Kejohanan Tenpin Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait dan menjuarai kejohanan sama dalam acara berpasukan wanita bersama Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Datuk Shalin Zulkifli pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Terpilih menerima pengiktirafan Nona Active Award 2024, Natasha Roslan punya banyak cerita untuk dikongsikan.
Pecah Rekod 53 Tahun Boling
Seawal usia 8 tahun, ibu Natasha iaitu Anita Mohamad Ali sudah sering membawanya bermain di pusat boling. Siapa sangka, langkah pertama itu membawanya mengelilingi dunia dan meraih pelbagai anugerah. Natasha terpilih menyertai skuad remaja kebangsaan pada usia 15 tahun, seterusnya bergelar Juara Remaja Dunia pada 2016. Meskipun di ambang kejayaan, Natasha memilih untuk berundur seketika bagi memberi tumpuan kepada peperiksaan SPM sebelum kembali beraksi di pentas dunia.
Merupakan satu-satunya anak perempuan daripada lima adik-beradik, jelas Natasha hanya dirinya seorang yang masih aktif selepas seorang adiknya berundur dari sukan boling sebaik tamat sekolah. “Sebagai anak, saya mahu ibu bapa bangga dengan setiap kejayaan yang saya kecapi dan sebagai kakak pula, saya mahu adik melihat diri saya sebagai contoh yang baik buat dirinya. Buat negara, saya mahu menjadi ikon dalam sukan ini di mana saya pernah terinspirasi dengan kejayaan Datuk Shalin Zulkifli.”
Selepas berusaha keras selama 12 tahun dalam sukan boling, kejayaan paling manis bagi Natasha adalah apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 baru-baru ini. “Bila tersenarai sebagai top 5 bagi anugerah kebangsaan, ia sudah pun menjadi satu kebanggaan buat saya. One of my bucket list. Sebab bukan mudah melalui semua ini tambahan bersaing pula dengan ramai atlet wanita lain.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- 16 Tahun Bahagia Kahwin Bekas Atlet Boling & Ada Anak Remaja, Datuk Shalin Zulkifli Kian Manis Berhijab!
Rumah Agam Mewah Bintang Tenis MARIA SHARAPOVA, Ada Ruang Boling Bawah Tanah!
Bersama saya dalam calon Olahragawati Kebangsaan 2023 ialah Nur Syazrin Mohamad Latif yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, S Sivasangari (skuasy), Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang). Alhamdulillah kemenangan berpihak kepada saya dan ia satu pencapaian yang amat saya hargai selepas melalui usaha keras dalam sukan boling tenpin,” tuturnya merendah diri.


KECEDERAAN
Di sebalik kejayaan bergelar Juara Dunia di Kejohanan Tenpin Boling Dunia di Salmiya, Kuwait tahun lalu, ada cerita yang tidak ramai ketahui. Ia kenangan pahit yang berakhir dengan kemanisan di penghujungnya. Jelas Natasha, ketika menyertai kejohanan itu, jarinya cedera dan luka teruk.
“Setiap kali saya buat satu hayunan, plaster yang membalut ibu jari akan ditukar. Ketika itu saya memang pasrah kalau kalah tapi saya cakap di dalam hati, saya mahu buat yang terbaik. Sakit hanya Allah yang tahu tapi sokongan daripada rakan sepasukan membuatkan saya nekad melawan kesakitan yang ada.
Jujurnya bukan mudah kalau jari terkoyak ketika sedang dalam kejohanan. Selain menahan kesakitan, darah keluar tak berhenti. Kawan-kawan akan bantu tukar balutan setiap kali buat lontaran. Lagi satu saya fikir, sudah datang jauh-jauh. Team pun banyak beri sokongan, kami semua all out. Kita pula bertanding bawa nama Malaysia. Alhamdulillah, rasa nak menangis bila meraih kemenangan itu. Apatah lagi menamatkan kemarau penantian 12 tahun Malaysia,” katanya sambil mengukir senyuman manis.
Walaupun sudah terbang tinggi dan mencipta pelbagai kejayaan, namun kita seharusnya sentiasa merendah diri. Itulah pesanan ibu bapa yang dipegang oleh Natasha hingga ke saat ini. “Tak dinafikan, atlet sering jadi perhatian, baik di dalam lapangan mahu pun di luar. Tapi mak ayah selalu pesan agar bijak menjaga diri. Jangan cipta kontroversi kerana atlet bawa imej negara.
Kalau tak ada pertandingan dan latihan, saya juga seperti orang lain keluar bersama kawan-kawan. Selama 12 tahun bergelar atlet negara, sibuk berlatih dan menyertai kejohanan, ada waktunya saya habiskan masa ‘me time’ dengan mereka. Tapi saya sentiasa jaga diri kerana pesan Mommy, atlet ini ikon negara.
Orang akan nilai perlakuan kita dan mungkin kongsikan ke media sosial. Saya selalu terapkan untuk bersedia mental dan fizikal bahawa atlet yang membawa nama negara perlu menjaga keperibadian mereka.”
Bila menang disanjung, bila kalah dibenci. Ulas atlet negara ini, tiada siapa mahukan kekalahan dalam setiap pertandingan disertai. Orang ramai yang hanya mahukan kemenangan saja tapi bagi dirinya sebagai atlet, adalah kurang adil untuk mencaci maki atau mengutuk seseorang atlet apabila diuji kekalahan.
“Jujurnya jadual setiap atlet padat. Pagi dan petang sama ada ketika ada kejohanan ada atau tidak. Bila hari pertandingan, kita sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Semua mahukan kemenangan. Kepada para atlet, bagi saya sebaiknya jangan berputus asa kalau kalah.
Jangan ambil hati sangat dengan komen-komen negetif. Kena bersedia dari segi mental dan fizikal. Berusaha berikan yang terbaik dalam setiap kejohanan kita sertai. Do out best. Menyertai kejohanan luar negara juga adalah satu pendedahan baik untuk atlet.

Dalam masa yang sama, pada saat atlet sudah beri yang terbaik untuk negara, orang ramai seharusnya terus berikan sokongan. Jangan patahkan semangat atlet dengan kutukan dan sebagainya. Ia mungkin akan terus melemahkan semangat atlet jika berterusan dikutuk. Sebabnya atlet ini pun ada jangka masa mereka,” katanya berterus-terang.
Ditebak dengan soalan, apa persiapan Natasha selepas bersara nanti, dia sambil tertawa berkongsi impian mahu membuka sebuah kafe. “Saya minat baking. Kalau masak-masak lain tu, hanya tolong-tolong Mommy saja di dapur. Sebab Mommy pandai masak.
Tapi bab baking ni memang saya suka dan sebenarnya ada kawan-kawan yang order kek dan biskut dari Tasha. InsyaAllah, selain berhasrat nak jadi jurulatih negara, saya berniat nak buka kafe bila dah tak main boling lagi.”
Ditebak dengan pertanyaan bagaimana lelaki pilihan hatinya di saat usianya mencecah 28 tahun ini, sama ada orang kaya atau atlet sahaja, Natasha punya jawapan tersendiri. “Saya mencari lelaki yang memahami kerjaya saya dan sentiasa berikan sokongan. Jujurnya saya memang sibuk dengan pelbagai kejohanan, di dalam dan luar negara.
Masa berdating mungkin tak sebanyak orang lain. Saya tak letakkan kriteria yang bagaimana tapi dirinya mestilah ada hati yang baik, matang selain sedap mata memandang,” jawab gadis jelita ini sambil mengakui lebih meminati atlet berbanding lelaki kaya.
Dicalonkan sebagai penerima Nona Active Award dalam Nona Superwoman Award 2024, Natasha Roslan memaklumkan ia satu penghargaan tidak ternilai sepanjang kariernya. “Bagi saya, anugerah ini merupakan satu penghormatan buat atlet negara. Tidak mudah meletakkan diri sebaris wanita hebat dalam bidang masing-masing. Saya harap sokongan terhadap atlet-atlet negara yang berjuang atas nama sukan masing-masing akan berterusan,” akhirinya.