Penghayatan watak sebagai Puteri oleh Uqasha Senrose dan Noah Farizam oleh Fikry Ibrahim dalam drama Hero Seorang Cinderella begitu membekas di hujung sanubari peminat.
Biarpun sudah beberapa ketika berlalu, namun masih ramai yang merindui serta rajin mengikuti perkembangan mereka menerusi laman sosial. Bakat yang dimiliki oleh dua pelakon muda ini dikatakan setaraf aktor Awie dan heroinnya, Erra Fazira.
Ketika pasangan ini hadir ke sesi fotografi cover Nona, kedua-duanya jelas menunjukkan keserasian dan rasa ‘selesa’ apabila berdekatan satu sama lain. Bahasa anak muda, masing-masing kuat menyakat dan sesekali terlihat Uqasha menarik muncung pabila gurauan Fikry terdengar agak ‘kasar’.
Walau bagaimanapun, keletah Uqasha, 25, dan Fikry, 23, cukup menghidupkan suasana. Usikan mereka menyimpan seribu satu persoalan yang hanya dapat dirungkai oleh empunya badan. Puas ditanya, namun akhirnya Nona akur pada jawapan bahawa jodoh adalah sesuatu yang menjadi rahsia Allah SWT. Sama-samalah kita mendoakan yang baik-baik buat mereka.
Fikry Ibrahim
Biarpun Fikry lahir dari sebuah program realiti komedi, namun bakatnya sebagai pelakon lebih menyerlah berbanding pelawak. Malah, drama pertama lakonannya, Hero Seorang Cinderella mendapat pujian di kalangan peminat yang menjangkakan Fikry boleh pergi lebih jauh dalam bidang lakonan suatu hari nanti.
“Alhamdulillah, tidak sia-sia saya menghadiri uji bakat yang dijalankan seterusnya terpilih memegang watak yang sedikit sebanyak telah melonjakkan nama dalam industri ini. Kepercayaan itu sebagai refleksi bahawa karyawan seni menerima dan percaya akan kebolehan saya.
Ads
Saya anggap ini sebagai amanah dan perlu untuk mencabar diri. Walaupun bergelar pelakon, saya tidak akan meminggirkan komedi kerana ia juga membuka ruang untuk diri saya dalam bidang ini.
Itulah antara sebab mengapa saya turut melibatkan diri dalam bidang pengacaraan,” ujar Fikry yang menganggap kehadirannya dalam industri memberi warna dan nafas baru dalam industri.
Selain bergiat dalam bidang seni, Fikry tidak pernah memadamkan hasrat untuk menggenggam segulung ijazah sebagai motivasi diri untuk dirinya.
Dia yang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Pengiklanan di Fakulti Komunikasi Massa dan Pengajian Media berharap dapat menghabiskan pengajiannya tidak lama lagi setelah menangguhkan sementara pembelajarannya demi memberi fokus terhadap kerjaya baharunya ini.
Ads
Uqasha Senrose
Tidak berkedip mata penulis melihat kulit wajahnya yang mulus dan berbayang rona kemerah-merahan. Menyelongkar rejim kecantikan gadis ini, Uqasha menekankan bahawa dia tidak mempunyai rahsia tertentu dalam penjagaan kecantikan kecuali amalan-amalan berikut.
“Memandangkan saya sering bersolek tebal, sama ada di set penggambaran mahupun sesi fotografi, jadi saya amat prihatin tentang soal penjagaan wajah.
Ads
Saya amat mementingkan rawatan facial kerana kulit harus dibersihkan dengan betul untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang baik,” ujar Uqasha yang menjadikan rawatan wajah di spa sebagai aktiviti wajib setiap bulan.
Uqasha turut melahirkan rasa syukur kerana mempunyai adik-beradik yang turut bergiat aktif dalam bidang seni. Bermula dengan Nelydia kemudian dirinya, diikuti Raysha.
“Saya happy kerana kami memilih kerjaya yang sama. Jangan tak tahu kami mempunyai hubungan kekeluargaan yang utuh dan saling menyokong kerjaya satu sama lain.
Tiada istilah membandingkan bakat masing-masing tetapi bagi kami, sesiapa yang berjaya sudah semestinya membanggakan. Yang penting, kami sentiasa ada bila diperlukan,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan. Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hidayah itu milik Allah dan Dia berhak menurunkan kepada sesiapa saja yang dikehendakinya. Model, pempengaruh dan juga bintang televisyen Perancis, Marine El Himer memaklumkan dirinya telah memeluk agama Islam. Khabarnya, saat dirinya memeluk Islam merupakan ‘hari paling bahagia’ dalam hidupnya.
Difahamkan, Marine sudah memeluk Islam sejak beberapa bulan lalu dan tidak mendedahkannya kepada umum sehinggalah pada Rabu lalu. Beliau berkongsi berita gembira itu melalui laman Instagram miliknya dengan memaparkan beberapa foto dan video saat-saat penghijrahannya memeluk agama Islam.
Marine juga berkongsi beberapa foto lain memaparkan dirinya memakai tudung dan berjubah di sekitar Kaabah di Masjidil Haram. Beliau mengharapkan perjalanan rohani yang dilaluinya akan sentiasa membawanya kepada YANG MAHA BERKUASA dan berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka sepanjang penghijrahannya itu.
“Moga perjalanan rohani ini akan terus mendorong dan membimbing saya, insya-ALLAH. Saya tidak malu menukar agama dengan memilih Islam kerana percaya agama Islam memberi ketenangan fikiran, hati dan jiwa.
“Ia adalah pilihan yang datang kepada saya dengan jelas dan saya mengamalkannya dengan bebas serta berasa bangga tentangnya. Ketahuilah, saya tidak ada rasa malu untuk menukar agama lain. Ia adalah hak asasi bahawa setiap orang harus hidup (memilih haluan) dengan bebas,” katanya.
Berita penghijrahan Marine disambut baik oleh peminat-peminatnya dan mereka mengucapkan tahniah atas keputusannya yang berani berhijrah pada waktu ketika dirinya berada di puncak populariti.
Marine dilahirkan pada Julai 1993 di Bordeaux, selatan Perancis, dan berketurunan Maghribi-Mesir. Dia Mempunyai saudara kembar bernama Oceane El Himer, dan Marine merupakan salah seorang model, bintang Instagram dan pempengaruh media sosial(influencer) yang terkenal di Perancis. Beliau memiliki lebih 1.5 juta pengikut di Instagram. Marine muncul dalam rancangan televisyen realiti Les Princes et les Princess de l’Amour (Putera dan Puteri Cinta) di Perancis.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Sumber: Sinar Plus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pengalaman itu universiti kehidupan. Bagi usahawan spa resort Rumah Hutan Terapi Alam yang juga Pengasas Jamu Ratu Malaya dan Sendayu Tinggi iaitu Bonda Rozita Ibrahim, cabaran yang menimpa para peniaga bazar waktu pandemik ini cukup memberi kesan kepadanya.
“Wallahi, kesian sangatlah dengan peniaga bazar. Saya pernah lalui saat tu, masa hujan tak laku jualan. Payung tumbang habislah makanan rosak. Tak laku pun pernah, walaupun saya masak sedap!” Bonda Rozita
Kesusahan meniti hidup sebagai ibu tunggal dan tidak berpelajaran tinggi banyak memberi motivasi kepada wanita berusia 50-an ini untuk memajukan diri. Biarpun empayar perniagaannya kini sudah berdiri kukuh, namun beliau tidak segan berkongsi kenangan menjadi penoreh getah, bekerja kilang, menjadi penyambut tetamu serta menjalankan bisnes direct selling dari rumah ke rumah.
Bahkan sebelum membina empayar perniagaan kosmetik, Bonda Rozita juga berniaga kecil-kecilan dengan menjual surat khabar, majalah dan nasi lemak. “Hikmahnya, survival jiwa harus kuat. Jangan mudah koyak…” tulisnya.
Resort Rumah Hutan Terapi Alam dikelilingi kehijauan
Noor Hayati dan Aliff Syukri bersama ibu tersayang
“Kenangan masa Yati dan Kri kecik-kecik, saya taknak orang hina mereka. Saya rajin kerja dan latih mereka kerja lasak. Bila miskin sangat anak-anak takde pilihan, ikut jelah walau merungut.
Kami menjual kuih, laksa. Penat jangan cakaplah. Ada masa rugi tak balik modal pun. Kami teringin nak makan pakai dan setahun sekali pegi jalan, jadilah. Tak pernah terlintas nak hidup kaya pun. Memadai hidup sederhana dan tak menyusahkan orang lain.
Rugi banyak kali sebab jualan makanan ni untungnya tak seberapa. Walaupun saya ada kafe di Rumah Hutan tapi jual makanan ni susah dan selalu rugi. Jadi kami makan apa yang tak habis jualan tu je.”
ERTI KESUSAHAN
Bonda Rozita yang merupakan ibu kepada jutawan kosmetik, Dato’ Seri Aliff Syukri dan Yatie Sendayu Tinggi turut mengimbau kenangannya menggadai emas semata-mata untuk menyewa rumah.
“Banyak pengalaman mencabar dalam membesarkan anak-anak seorang diri. Tapi yang penting, usaha, walaupun hasilnya tak pasti lagi. Niat saya mereka tak merempat macam saya waktu zaman muda,” kongsi Bonda Rozita yang pernah melalui episod kegagalan perkahwinan semasa muda.
Kemiskinan itu ujian, Allah bagi segalanya pada manusia untuk meneruskan kehidupan. Namun siapa yang berusaha lebih, berdoa lebih dan bertawakal, maka Allah tidak akan sia-siakan pengorbanan mereka. Resipi kejayaannya adalah kerajinan.
Aktif mengusahakan perniagaan frozen food
Meskipun kini hidup senang-lenang, wanita cekal ini masih mengusahakan perniagaan frozen food seperti karipap daging, karipap ayam dan karipap kentang melalui platform @dapurkayubybonda.
“Saya jual makanan frozen ni sebagai latihan minda supaya sifat insaniah tinggi. Ia mengingatkan saya tentang orang lain yang lebih memerlukan” Bonda Rozita
Sumber: Facebook Bonda Rozita Ibrahim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tangan seorang ibu terbuka ketika anaknya memerlukan sebuah pelukan… Hati seorang ibu mengerti ketika anaknya perlukan teman… Mata seorang ibu lembut tetapi tegas ketika anaknya perlukan satu pelajaran… Dan, cinta seorang ibu memberikan sayap agar anak-anaknya bisa terbang!
Kasih sayang seorang ibu tiada berpenghujung. Bayangkan pada usia menghampiri satu abad, ibu tua bernama Ada Keating ini sanggup menjadi penghuni di rumah kebajikan Moss View, Liverpool, semata-mata untuk menjaga anak sulungnya, Tom.
Ada, 98, mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan mendiang suaminya iaitu Tom, Barbara, Margi dan Janet (meninggal pada usia 13 tahun).
Sebelum bersara, Tom bekerja sebagai tukang cat dan juruhias di sebuah firma perkhidmatan bangunan. Dia mula menjadi residen di Moss View pada tahun lepas.
Selepas memasuki Moss View, Ada dan Tom kelihatan sukar berpisah malah mereka suka meluangkan masa bersama.
“Saya akan mengucapkan selamat malam kepada Tom sebelum tidur dan saya akan ke biliknya sebaik bangun tidur untuk mengucapkan selamat pagi,” cerita Ada yang pernah bekerja sebagai pembantu jururawat.
“Jika saya keluar berjumpa hairdresser, Tom pasti akan ternanti-nanti kepulangan saya. Rasanya seperti kembali ke zaman dulu, apabila saya tiba di rumah saja pasti dia akan berlari memeluk tubuh ini.”
Semestinya sebagai anak, Tom juga gembira semenjak ibunya tinggal di situ. Masakan tidak, serba-serbi keperluannya dijaga rapi. Tapi kadangkala, ibu Tom juga masih menegurnya seperti kanak-kanak, malah selalu berpesan behave yourself!”
Menurut pengurus rumah kebajikan tersebut, Philip Daniels, mereka selalu tersentuh dengan keakraban ibu dan anak itu. “Jarang sekali dapat melihat hubungan seperti ini di sebuah rumah yang sama dan kami akan pastikan mereka sentiasa gembira.”
Ya Tuhan, tersentuhnya hati dengar kata-kata nenek tua ini. Tiba-tiba teringat satu pesanan, ‘Sebesar mana pun kasih sayang seorang anak kepada orang tua, tetap tidak mampu melebihi kasih sayang orang tua kepada anaknya!‘ Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!