Setiap pasangan yang sudah lama berkahwin memang disarankan untuk meraikan tarikh ulang tahun perkahwinan. Tahniah! diucapkan kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu Curiga, Awan Yang terpilu dank au dan Aku ini, telah menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-11 bersama suami tercinta, Omar Shariff Christopher Layton Dayton, 45 tahun.
IKLAN
Rupanya ulang tahun perkahwinan Ning Baizura yang berusia 43 tahun ini jatuh pada 31 Januari turut berkongsi dengan ulang tahun kelahiran anak tunggalnya, Ryan Sky Dalton. Patut lah Ning Baizura menjadikan tradisi sambutan ulang tahun perkahwinannya dan ulang tahun kelahiran anaknya di Jepun. Menurut Ning Baizura pemergiannya ke Jepun tahun ini sudah masuk tahun yang ke-2.
Malangnya ketika hari ke-5 sedang menikmati keindahan gunung bersalji di sana, Ning Baizura telah ditimpa kemalangan. Ning terjatuh ketika sedang bermain ski di sana yang mengakibatkan kaki dan lututnya cedera. Ning Baizura turut berkongsi di laman Instagramnya tentang peristiwa ini.
“Day 5 – Iwatake fun and challenging…This all taken before my twisted fall…My knee is better it needs TLC rest, because it’s swollen today…,” katanya.
Sebelum kejadian Ning Baizura turut berkongsi di laman Instagram yang mengatakan ini adalah kali ke-3 dirinya bermain ski. Walaupun tidak begitu arif dalam selok-belok bermain ski tetapi Ning Baizura teruja meluncur di atas ais tersebut. Ning Baizura bersemangat menyeimbangkan diri dan gunung yang memutih dilitupi salji.
IKLAN
Namun, Ning turut menyatakan lututnya sudah beransur pulih kerana mengambil pil penahan sakit. Walaupun telah cedera di bahagian lutut dan kaki tetapi Ning Baizura tetap optimis mahu meluncur laju di atas gunung bersalji tersebut.
Perjalanan menaiki pesawat penerbangan untuk berjam-jam lamanya mungkin bukan suatu kisah menarik apabila banyak laporan perubatan menyiarkan kes ‘sakit kaki’, atau lebih dikenali Sindrom Kelas Ekonomi.
Fenomena yang sama turut menimpa mereka yang duduk terlalu lama di depan komputer, atau bekerja tanpa henti di atas kerusi. Tanpa disedari, insiden yang disangka biasa ini rupanya simptom-simptom Venous Thromboembolism (VTE) atau gejala pembekuan darah yang menyebabkan salur pembuluh darah di bahagian betis, peha dan pelvis tersumbat.
Penyakit ini biasanya terjadi di bahagian kaki akibat pesakit tidak menggerakkannya atau kes darah membeku lebih cepat daripada kebiasaannya (hypercoagulability).
Darah sepatutnya mengalir untuk membawa oksigen ke seluruh tubuh, tetapi jika perjalanannya tersekat atau tidak lancar, darah berpotensi untuk membeku, sekaligus menyukarkan ia dipam ke paru-paru.
Mengapa Thrombosis Berbahaya?
Darah akan kembali ke jantung kerana otot-otot tubuh yang besar menekan salur darah ketika kita melakukan aktiviti normal dari gerakan tubuh. Pembekuan darah (thrombus) di dalam salur darah kaki sebenarnya tidak berbahaya, tetapi situasi akan mengancam nyawa apabila VTE (ketulan darah beku) menyumbat arteri.
VTE terbahagi kepada Deep Vein Thrombosis (DVT) iaitu situasi darah beku merosakkan saraf kaki; dan Pulmonary Embolism (PE) iaitu darah beku terlepas melalui jantung ke paru-paru, lalu menyekat peredaran darah di situ.
Risiko VTE sukar dikenalpasti sehingga ia dikesan sudah terlewat. Tanpa terapi pencegahan, lebih dari 60% pesakit yang menjalani pembedahan ortopedik boleh mendapat VTE. Sehingga kini, Amerika Syarikat melaporkan lebih daripada dua juta kes VTE dengan 60,000 daripadanya gagal diselamatkan. Sementara di England, kes pembekuan darah membunuh 25,000 orang setahun.
FAKTOR RISIKO
Usia lanjut
Obesiti melebihi BMI >30
Tidak bergerak dari katil (lebih 4 hari)
Kehamilan (termasuk 6-8 minggu selepas melahirkan)
Pengambilan dos estrogen/pil perancang yang tinggi
Pernah menghidapi DVT atau PE
Genetik
Thrombophilia
Melakukan surgeri di bahagian pelvis, pinggul atau anggota bawah badan
Pernah melakukan ‘replacement’ pinggul atau lutut
Malignancy (sebarang pembedahan di abdomen)
Kegagalan hati
Jangkitan
Penyakit radang usus
Otot tidak berfungsi
Sindrom nefrotik (air kencing berprotein, tinggi kolestrol dan bengkak)
SIMPTOM
Ramai yang bertanya, mengapa VTE banyak terjadi di bahagian bawah kaki (lower leg)? Ini kerana bahagian itu lebih terdedah kepada trauma atau aktiviti berat, dan ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa disedari.
Perhatikan simptom-simptom VTE ini untuk pencegahan awal:
Cepat penat dan mengah
Kerap sakit dada dan batuk
Denyutan nadi yang laju
Sering lemah di bahagian kaki
Kurang selera makan
Nafas pendek samada dalam keadaan rehat atau aktif
PENCEGAHAN
Menggunakan compression stockings untuk perjalanan jarak jauh. Ia mampu mengelakkan berlakunya darah beku dalam saluran darah, mencengkam kulit dan mengempiskan saraf supaya darah tidak bertakung.
Perbanyakkan gerakan terutamanya di bahagian kaki (dan selepas surgeri).
Elakkan meminum ais dan biasakan mengambil air panas.
Elakkan memasang hawa dingin sehingga suhu terlalu sejuk.
RAWATAN
Pesakit VTE biasanya akan dirawat dengan ubat-ubatan untuk menghentikan dan memperlahankan darah beku seperti heparin atau warfarin. Ia juga membantu untuk mencegah darah beku sedia ada daripada membesar dan menghalang pembentukan darah beku yang baru.
Menerusi Garis Panduan Amalan Klinikal Malaysia, pelbagai pendekatan rawatan disyorkan untuk mencegah VTE, antaranya Primary Prophylaxis iaitu panduan penggunaan ubat-ubatan atau pengubatan mekanikal.
Primary Prophylaxis boleh diamalkan di klinik kerana pencegahan lebih baik berbanding kesan rawatan VTE itu sendiri. Ia lebih selamat, mudah dikendalikan, kos berpatutan, dan menggalakkan kepatuhan di antara pesakit, doktor dan jururawat.
Panduan ini mengesyorkan agar rawatan dimulakan sebaik pesakit pulih daripada surgeri dan disambung sehingga mereka benar-benar mampu bergerak sendiri. Durasi minimum ialah lima hari atau sehingga pesakit keluar dari hospital.
Selain itu, terdapat juga pelbagai rawatan terapi lain seperti penggunaan aspirin, ‘low molecular weight heparin’, ‘synthetic antithrombotic agents’ dan warfarin. Rosmah Idayu Abu Samah
Beristirahat dan melelapkan mata di sisi pasangan pastinya menjadi momen terbaik untuk merawat tubuh badan yang keletihan. Tidur yang lena bukan sahaja menenangkan fikiran, bahkan berupaya mengembalikan kecergasan saat diri terjaga pada keesokan hari. Namun walau bagaimanapun, nikmat ini mampu terjejas jika teman tidur anda mengeruh atau berdengkur tanpa disedarinya!
Bayangkan betapa stresnya apabila tidur yang lena diganggu dek dengkuran pasangan? Pasti nikmat tidur yang berkualiti tidak akan dicapai lantaran bunyi yang kuat serta akan menyebabkan anda bangun dalam keadan letih dan lesu pada keesokan harinya. Bayangkan jika ia berlarutan setiap malam, setiap bulan malah memakan masa bertahun? Stres bukan?
Dengkur… biar tidak membahayakan, namun tetap mempunyai implikasi kesihatan yang serius. Berdengkur ialah bunyi bising yang dihasilkan oleh seseorang semasa tidur. Ia menjadi perkara biasa di kalangan masyarakat di seluruh dunia. Dengkur juga sering dipandang ringan walhal ia sejujurnya mengganggu teman sebilik anda.
Seseorang yang mengalami masalah ini tidak sedar akan bunyi dengkur yang terhasil sehinggalah dimaklumkan. Ada bunyi dengkuran yang perlahan dan ada juga yang mencapai sehingga 90 dB, atau setara dengan bunyi kereta api yang lalu!
Dengkur berlaku kerana masalah penyempitan pada saluran pernafasan terutama di bahagian hidung, tekak dan larinks. Selain itu, posisi tidur terlentang juga membuatkan lidah turun ke belakang (semua otot berehat ketika tidur) dan menyempitkan pernafasan.
FAKTOR
Masalah dalam hidung (polip atau dinding septum bengkok).
Tonsil dan tisu adenoid membengkak.
Uvula (anak tekak) panjang dan mengecilkan rongga pembukaan nafas.
Lidah besar dan tertolak ke belakang.
Otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak.
Pengambilan alkohol atau ubatan tertentu yang melemahkan otot.
Memiliki rahang kecil.
Usia yang meningkat.
KESAN SOSIAL
Sungguhpun dengkur tidak berbahaya, ia boleh mencetuskan gangguan tidur daripada aspek sosial. Bayangkan betapa susahnya pasangan anda atau ahli keluarga yang ingin tidur, tetapi terpaksa mendengar bunyi dengkuran anda. Ia juga mengganggu keharmonian di bilik tidur dan mampu menjurus kepada pergaduhan rumah tangga. Pernah berlaku di Barat, pasangan suami isteri bercerai kerana tidak tahan bunyi dengkuran. Biar pun masyarakat di negara kita lebih bersifat bertolak ansur, namun ia mampu mendorong pasangan untuk merungut atau tidur di tempat lain. Ini tentu sekali menjadi penunjuk yang kurang sihat.
Tahap berdengkur yang paling membimbangkan ialah apabila ia mencapai sleep apnea. Contoh situasi sleep apnea ialah seperti seseorang yang berdengkur dan helaan nafasnya terhenti secara tiba-tiba. Lazim berlaku, pesakit akan bangun secara ‘mengejut’ kerana tindak balas badan. Keadaan ini boleh membuatkan beliau tidak dapat tidur dengan lena, seterusnya menjejaskan prestasi kerja, kurang konsentrasi, sakit kepala, mengantuk dan paling teruk adalah kemalangan semasa memandu. Selain itu, dengku juga menunjukkan implikasi kesihatan lain yang boleh berlaku seperti sakit jantung, strok atau darah tinggi.
Mereka yang sedar akan masalah dengkur perlu segera melakukan pemeriksaan. Pakar akan membuat diagnosis di bahagian hidung, tekak dan larinks, selain memeriksa tahap kesihatan dan berat badan seseorang. Jika perlu, kajian di makmal tidur juga akan dilakukan untuk merekodkan tahap dengkuran yang dialami. Rawatan adalah bergantung pada diagnosis yang dibuat tersebut.
JENIS RAWATAN
Rawatan Konservatif
Pesakit akan dinasihatkan agar berhenti merokok atau minuman keras jika ada dan mengurangkan berat badan jika obesiti.
Rawatan Surgeri
Terdapat banyak rawatan surgeri yang membantu mengurangkan dengkuran seperti Pillar Implants, Radiofrequency dan laser.
Continuos Positive Airway Pressure (CPAP)
Digunakan oleh pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan, melibatkan bius seluruh badan atau mempunyai penyakit jantung. Alat boleh dibeli dan dipasang semasa tidur. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Umum mengetahui bahawa Bill Gates sangat tegas terhadap peraturan memberikan gadget pada anak-anaknya. Lelaki terkaya di dunia ini juga turut menetapkan had usia, sebelum anak-anaknya boleh memiliki telefon pintar sendiri.
Begitu juga pendapat mendiang Steve Jobs, beliau melarang anak-anaknya untuk menggunakan teknologi terbaru meskipun kebanyakannya dicipta oleh syarikat Apple, seperti iPad yang menjadi ketagihan anak kecil.
Bill Gates mempunyai tiga orang anak yang semakin meningkat remaja. Sebagai individu teratas yang berkecimpung dalam dunia teknologi, pastinya dia lebih arif tentang usia terbaik bagi seorang kanak-kanak memegang apa-apa gadget pun, termasuk iPad.
Amalan Bill Gates
Anak tidak boleh memiliki telefon pintar atau gadget sebelum berusia 14 tahun.
Sesiapa pun tidak boleh memegang telefon sewaktu di meja makan.
Membataskan ‘waktu di depan skrin’ atau screen time supaya mereka meluangkan lebih masa dengan keluarga.
Menetapkan waktu untuk menggunakan gadget atau menonton televisyen.
Keburukan Gadget Terhadap Anak-Anak
Anak-anak cepat terpengaruh perbuatan negatif atau bahasa kesat di Internet.
Ketagih Internet hingga susah bersosial dengan baik dan tiada teman bermain.
Terdorong menjadi mangsa ‘predator’ atau pembuli di dunia digital.
Menjejaskan perkembangan otak anak-anak.
Terlalu bergantung pada gadget hingga tidak pandai menyelesaikan masalah.
Membuatkan anak-anak malas bergerak dan melambatkan sistem motor mereka.
Semoga dengan perkongsian ini dapat membuka mata ibu bapa moden supaya tidak menjadikan gadget sebagai hiburan anak-anak. Sebab selain menjejaskan kesihatan mata, lebih banyak pengaruh buruk daripada baik yang boleh menjejaskan tumbesaran si manja.
Cadangan Nona, sebelum anda membuat pelaburan besar membelikan gadget yang beribu-ribu harganya itu, apa kata guna bajet tersebut untuk membelikan permainan yang boleh merangsang minda mereka? Mungkin bawa ke Toys’R’Us untuk pilih permainan kesukaan atau watak kartun superhero kegemaran mereka.