NOIR, jenama produk kecantikan yang mempunyai maksud yang unik dan tersendiri. Mana tidaknya, menurut empunya jenama NOIR, Eriyca Baiduri Abd Rashid, dia memperoleh inspirasi nama NOIR sebagai jenama produk kecantikan miliknya ketika berkunjung ke New Castle, London pada tahun 2014 dan terlihat sekuntum bunga berwarna hitam yang dinamakan NOIR.
“Saya dapat rasakan bunga NOIR itu mempunyai keunikannya yang tersendiri. Dari situ, tercetus idea untuk meletakkan nama NOIR untuk produk kecantikan dan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan tersebut,” ujar Eriyca memulakan bicara.
Wanita yang memiliki pakej lengkap sebagai pengusaha kecantikan ini bukan sahaja bijak bergaya malah mempunyai kredibiliti dalam bidang perniagaan. Itu antara persona yang dimiliki oleh ibu muda ini apatah lagi apabila jenama produk yang diasaskannya semakin menempa kejayaan dan diterima baik di kalangan penggemar kosmetik.
NOIR kini mempunyai sembilan produk di pasaran dan antara produk yang paling mendapat sambutan ialah pembersih muka dan essence kerana ianya merupakan regim penjagaan wajah berasaskan dari yis beras yang amat sesuai untuk merawat kulit wanita Asia.
Obsesi Eryica terhadap kecantikan mendorongnya memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan dan mengasaskan jenama NOIR meskipun dia sedar bukan calang-calang persaingan yang perlu ditempuhinya. Pernah merasai jatuh bangun dalam dunia perniagaan serta melakukan sendiri kerja-kerja penghantaran demi memastikan produk kecantikannya sampai ke tangan pelanggan, Eryica berkata tidak mudah untuk NOIR sampai ke tahap kini tanpa usaha yang berterusan serta kerjasama dari kakitangannya.
Atas inisiatif ini, NOIR memperkenalkan kempen NOIR melahirkan usahawan wanita bagi membantu lebih ramai wanita menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bagi Eryica, penglibatan wanita dalam bidang perniagaan menjadi tunjang perubahan status kewangan untuk wanita dan seterusnya menjadikan wanita lebih berkeyakinan diri untuk maju dalam apa jua perniagaan yang diceburinya.
Ads
“Sesuai dengan motto NOIR iaitu mengeluarkan produk premium dengan harga mampu milik serta membuka peluang untuk wanita menjadi usahawan, NOIR bakal menjadikan kempen ‘melahirkan usahawan wanita’ sebagai usaha untuk memperkasakan wanita dalam dunia perniagaan. Saya ingin melihat lebih ramai wanita menceburkan diri dalam dunia perniagaan dan meningkatkan ekonomi mereka,” ujar Eryica yang mempunyai niat murni membantu golongan wanita agar mereka menjadi lebih maju dan berdaya saing.
Selain itu, sempena kempen tersebut, NOIR bakal mengadakan majlis khas untuk menghargai agen dan stokis NOIR yang selama ini menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan jenama tersebut. Bakal mengetengahkan konsep Melayu Deli untuk majlis tersebut, ia bagai mengimbas kembali zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang menjadi kebanggaan sejak dahulu.
Menurutnya lagi, jenama itu kini bakal meluaskan rangkaian produk dengan mengeluarkan beberapa produk kecantikan antaranya produk penjagaan wajah berasaskan yis beras selain suplemen untuk kulit dan produk kosmetik.
Atas inisiatif dan kerja keras membina jenama NOIR setanding jenama produk lain, NOIR diiktiraf sebagai salah seorang penerima NONA Top Beauty Enterprenuer sempena majlis Hi Tea NONA Top Beauty Enterprenuer baru-baru ini.
Ads
Menyentuh mengenai suka duka dalam melalui perjalanan dalam dunia perniagaan,katanya, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha gigih dan tidak kenal jemu. Baginya, keyakinan diri, tidak malu dan berdisiplin tinggi adalah kunci utama dalam menjayakan sesuatu.
“Pada pandangan saya, kenangan pahit adalah sebahagian dari rencah dalam dunia perniagaan. Tanpa ujian, pastinya kemanisan tidak dapat dikecapi. Saya yakin untuk maju dalam dunia perniagaan, pengalaman pahit dan manis adalah kombinasi terbaik untuk menjadi usahawan yang berjaya.
Selain itu, cabaran dalam perniagaan membabitkan percaturan besar apatah lagi bidang kosmetik yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kami perlu memastikan penghasilan produk terbaik dan tidak sesekali berkompromi dengan kualiti produk dikeluarkan. Oleh itu, kajian dan pembangunan produk sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa,” ujar Eryica lagi.
Ads
Ketika ditanya mengenai kebanjiran produk kosmetik di pasaran yang banyak didominasi golongan selebriti, Eryica bijak mengatur strategi agar jenamanya kekal relevan dan digemari oleh para pengguna setianya.
“Saya anggap persaingan ini suatu yang sihat dan setiap pengeluar produk mahu menjadi yang terbaik. Keadaan ini sebenarnya menguntungkan pengguna kerana mendapat manfaat terbaik dalam setiap produk. Saya percaya setiap produk yang berada di pasaran mempunyai keunikan masing-masing dan saya yakin produk NOIR merupakan produk yang sangat berkualiti.
“Sebab itu, saya berusaha keras memastikan produk Noir kekal relevan dan memuaskan hati pelanggan dengan menampilkan inovasi dan teknologi terbaru dalam pembuatan produk,” katanya.
Merancang mewujudkan legasi dalam dunia perniagaan, wanita ini turut merancang untuk menghasilkan produk kecantikan premium pada harga mampu milik serta mencetus sejarah tersendiri untuk berada di papan Bursa Saham Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Saya mempunyai banyak perancangan dan impian untuk melebarkan lagi jenama NOIR dalam bidang kosmetik. Banyak lagi yang perlu diterokai untuk memastikan cita-cita serta azam NOIR untuk tempuh 10 tahun akan datang terlaksana,” ujar Eryica yang yakin kuasa wanita mampu memiliki segalanya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut sahaja kosmetik, sudah tentu pelbagai jenama ksometik tempatan mahupun antarabangsa mula berlegar di benak fikiran. Mana tidaknya, produk kosmetik menjadi sebahagian gaya hidup wanita untuk kekal jelita demi untuk penampilan diri sekaligus membangkitkan aura seseorang wanita. Tidak hairanlah mengapa semakin ramai usahawan menceburkan diri dalam bidang kosmetik memandangkan ia mendapat sambutan hangat di kalangan wanita.
Antara jenama kosmetik yang semakin mendapat tempat di hati pengguna termasuklah Skindara Global di bawah jenama Skindara yang diasaskan oleh Iskandar Abdillah Suffian dan isteri tersayang, Nur Hidayu Zorkafli. Walaupun jenama Skindara baharu ditubuhkan kurang setahun yang lalu, namun ia semakin mencuri tumpuan pengguna kosmetik yang mementingkan jenama tempatan yang membawakan produk berkualiti setaraf antarabangsa.
Ketika ditanya di sebalik jenama Skindara, ia sebenarnya mempunyai kisah menarik di sebalik terbitnya jenama yang dekat di hati masyarakat Melayu.
“Skindara telah ditubuhkan lebih kurang setahun yang lalu. Tetapi kami suami isteri tidak terlalu fokus terhadap perniagaan ini kerana mempunyai perniagaan lain iaitu fesyen dan tekstil,” ujar Iskandar mewakili jenama Skindara.
Iskandar dan Nur Hidayu merupakan pengasas jenama fesyen terkemuka Shawlpublika dan Sp.casual. Namun begitu, pasangan suami isteri ini kami kembali aktif beberapa bulan lepas dengan mengeluarkan lipmatte pertama Skindara. Mereka juga tidak menyangka lipmatte yang dikeluarkan di bawah jenama Skindara mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Alhamdullilah sambutan yang kami terima terhadap produk lipmatte ini amat menggalakkan. Lipmatte dan wanita sememangnya berpisah tiada. Pasti setiap hari masa ada sahaja wanita yang hendak mendapatkan lipmatte baharu dan mencuba lipmatte baharu,” ujar Iskandar yang turut berkongsi strategi pemasaran turut memainkan peranan penting dalam menguruskan perniagaan.
“Antara perkara yang amat kami titikberatkan dalam perniagaan adalah membuat kajian tentang tabiat pengguna. Alhamdulillah setelah kami membuat market survey dan market research, kami dapati permintaan terhadap produk ini amat tinggi. Itu adalah antara sebab utama kami mengambil keputusan menceburkan diri dalam satu lagi cabang perniagaan berasaskan kosmetik dan menghasilkan lipmatte,” ujar Iskandar lagi.
Tidak lengkap perjuangan seorang ahli perniagaan tanpa berhadapan dengan cabaran untuk memajukan lagi jenama yang diperkenalkannya. Walaupun Shawalpublika sudah mempunyai followers yang ramai dan tidak sukar untuk memperkenalkan jenama baharu untuk para pengikut setianya, namun bagi Iskandar dan Nur Hidayu atau lebih mesra disapa Ayu berkata cabaran dalam perniagaan kosmetik dan tekstil mempunyai cabaran tersendiri dan ia perlu ditangani dengan bijak dan professional agar setiap cabaran mampu diatasi sebaik mungkin.
“Antara cabaran yang dihadapi ialah dari segi kelewatan supply dari pembekal memandangkan permintaan terhadap produk ini begitu baik wlaupun baharu sahaja diperkenalkan di pasaran. Ia merupakan sesuatu yang diluar jangkaan kami apabila produk tersebut mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pengguna lipmatte,” ujar Ayu yang menggunakan pendekatan lokal untuk memperkenalkan jenamanya.
Tambah Ayu lagi, terdapat beberapa faktor mempengaruhi penjualan mendadak produk lipmatte Skindara antaranya termasuklah penggunaan nama untuk setiap jenis lipmatte yang dihasilkan.
“Skindara lipmatte sangat berbeza dengan produk lain yang berada di pasaran kerana lipmatte kami sangat ringan, tidak melekat, mempunyai efek pemakaian yang tahan lama dan tidak mudah merekah di bibir selepas penggunaannya. Selain itu, lipmatte Skindara jugak tidak menghitamkan bibir seperti sesetengah lipmatte yang lain kerana kandungan minyak chamomile dan vitamin E yang membantu melembabkan kulit.
Lebih istimewa, kami memperkenalkan nama-nama yang unik untuk setiap lipmatte antaranya Along, Angah, Achik dan sebagainya. Nama-nama ini lebih dekat di hati masyarakat Malaysia untuk dikomersilkan ke peringkat antarabangsa,” ujar Ayu lagi.
Ayu turut berkongsi kisah lucu disebalik munculnya nama Skindara yang pada pandangan penulis mencuit hati dan amat dekat di hati pasangan suami isteri ini.
‘Ramai yang bertanyakan dari mana inspirasi nama Skindara itu. Sebenarnya nama itu diambil sempena nama suami iaitu “Iskandar” dan sedikit penambahan melengkapkan nama jenama ini,” ujar Ayu yang ternyata gembira dengan perkembangan perniagaan lip matte itu.
Perniagaan yang diasaskan oleh pasangan suami isteri ini juga menggunakan mottoMan Jadda Wa Jadda yang membawa maksud sesiapa yang berusaha pasti berjaya sekaligus melambangkan usaha tanpa mengenal jemu pasangan ini untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan yang diusahakan oleh mereka. Walaupun mengetahui bahawa sejak kebelakangan ini sudah ramai di kalangan usahawan dan golongan selebriti yang menceburkan dalam bidang perniagaan, Iskandar secara jujurnya mempunyai pandangannya tersendiri.
Menjadi salah satu jenama kosmetik tempatan yang menerima anugerah NONA TOP BEAUTY ENTERPRENUER baru-baru merupakan satu permulaan terbaik buat jenama Skindara mengorak langkah memeriahkan lagi industri kosmetik tempatan.
“Secara jujurnya, sesuatu produk itu tidak mampu berdiri hanya kerana pengasasnya semata-mata tetapi kerana kualiti produk yang dihasilkan serta sistem pemasaran yangg proaktif. Saya yakin rezeki Allah amat luas di muka bumi ini dan usaha adalah kunci utama untuk mengecapi kejayaan. Saya yakin, satu hari nanti jenama Skindara bukan sahaja mampu menguasai pasaran Malaysia tetapi mampu menembusi pasaran luar negara dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Saya ingin menjadikan jenama skindara sebagai household name di Malaysia,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mendekati figura pemilik NR Cosmetics, Muhammad Khairul Anwar bin Rosli atau lebih dikenali sebagai Nuex Rosli memberi inspirasi buat penulis untuk mengetahui kisah di sebalik kejayaannya membina empayar perniagaan kosmetik premium. Ternyata pengalaman lebih sembilan tahun sebagai jurusolek professional menjadi kelebihan buat pemegang Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Biologi ini melahirkan jenama sendiri kosmetik mengikut acuan dari sudut pandangan professional yang mementingkan kualiti dalam setiap produk yang dihasilkan.
Minatnya dalam bidang solekan bermula ketika menyertai kumpulan teater universiti di mana dia terpaksa menyolek rakan-rakan teater. Seterusnya, berbekalkan minat yang ada dan sokongan daripada orang sekeliling, Nuex memberanikan diri untuk meneroka lebih luas lagi peluang dalam bisnes.
“Pada awalnya saya tidak mempunyai minat dan pengetahuan langsung tentang dunia solekan. Namun, semuanya bermula ketika saya bergiat aktif menyertai kumpulan teater di universiti. Melalui pembabitan teater tersebut lah saya belajar cara mekap dan mula mendapat permintaan dan upah untuk menyolek rakan-rakan di kampus dengan harga bermula dari RM30”, kongsi Nuex yang merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik ini.
“Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Jadi apabila mendapat peluang untuk menjana pendapatan saya gunakan sebaik-baiknya. Sejurus itu, saya mula belajar dengan lebih mendalam lagi tentang dunia solekan dengan menonton video-video tutorial mekap di Youtube”, jelas lelaki yang mempunyai semangat kental dan tidak mudah berputus asa ini.
NR Cosmetics yang ditubuhkan sejak 2017 ini kini boleh berbangga dengan barisan produk kosmetik wanita premium yang dihasilkan melalui penyelidikan yang teliti dalam bidang kosmetik. Sejak di awal penubuhan NRC sudah bersedia dengan visi dan misi utama iaitu untuk menjadi jenama pilihan tempatan dan antarabangsa. Sehingga kini, NRC sudah diterima baik di Brunei dan Singapura. Malah, jenama ini sedang berusaha untuk menembusi pasaran antarabangsa pula seperti ke Turki, London dan Dubai. Tahun 2020 ini NR Cosmetics bakal memperbanyakkan program-progam berbentuk kebajikan khusus bagi membantu golongan wanita mempertingkatkan pendapatan mereka melalui penganjuran kelas-kelas solekan secara percuma. Tambah Nuex Rosli lagi, jika kebiasaannya kelas-kelas solekannya atau Grand Master Class yang dianjurkannya dikenakan bayaran, namun tahun ini dia berhasrat menganjurkan kelas-kelas solekan pada skala kecil untuk memberi peluang khusunya golongan wanita mempelajari kemahiran solekan dan perniagaan untuk membolehkan mereka memperkasakan kewangan.
“Sesiapa saja yang mempunyai duit boleh memulakan perniagaan walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam sesuatu bidang tersebut. Namun, untuk memulakan perniagaan dalam bidang kosmetik, anda dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi daripada pakar terlebih dahulu seperti mekap artis profesional.
Ini kerana, merekalah individu yang telah mencuba pelbagai jenis jenama dan produk mekap tidak kira dari dalam mahupun luar negara. Menjadi kelebihan mereka untuk menilai apa yang terbaik dari segi tekstur, warna dan bahan sesuai untuk menghasilkan satu produk kosmetik yang berkualiti”, kongsi Nuex yang merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik ini.
Tambah Nuex lagi, seorang usahawan juga perlu tahu untuk mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan, perlu tahu mewujudkan persaingan dan bukan hanya selesa berada di tahap yang sama.
“Untuk seseorang itu terus kekal dan berkembang dalam menjalankan sesebuah perniagaan anda juga harus pastikan kualiti produk terjaga dan sentiasa melahirkan produk-produk baharu supaya kekal relevan sepanjang masa”, jelas Nuex yang menjadikan produk kosmetik jenama antarabangsa seperti Charlotte Tilbury, Tom Ford dan Dolce & Gabbana sebagai penanda aras kejayaan untuk NRC.
Bercerita tentang elemen istimewa yang disuntik dalam setiap produknya, menurut Nuex untuk menghasilkan produk jenama tempatan berkualiti premium, NR Cosmetics sentiasa memastikan bahan-bahan yang digunakan bukan sahaja mampu memberi hasil solekan yang sempurna, tetapi juga mampu memberi kebaikan kepada kulit wajah pengguna dan sudah diuji terlebih dahulu pada kulit sensitif.
“Sebagai pengasas produk, saya amat cerewet dalam menghasilkan produk kerana pelbagai aspek perlu diambil kira. Produk yang dihasilkan bukan sahaja untuk Nampak cantik, malah ia perlu mengambil kira aspek penjagaan kulit secara dalaman.Sebelum sesuatu produk dihasilkan, saya akan bekerjasama dengan chemist dan gabungan teknologi untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi.
Jika dilihat aliran semasa, 60 peratus wanita bergantung terhadap penggunaan teknologi seperti skrin telefon pintar dan komputer. Jadi kulit wajah terdedah terhadap kerosakan kulit secara tidak langsung. Insyaallah saya dalam perancangan untuk menghasilkan produk kecantikan yang turut diformulasi dengan Blue light filter technology untuk membantu wanita kekal cantik dengan solekan bebas dari ancaman radiasi blue light yang terhasil dari skrin komputer dan telefon bimbit.
Cabaran dan rintangan merupakan asam garam dalam dunia perniagaan. Faham dengan resam tersebut, Nuex tetap berpegang teguh dengan prinsipnya untuk terus melangkah tanpa menoleh belakang.
“Pada awalnya, agak sukar untuk kami memperjuangkan NRC yang merupakan produk keluaran tempatan dan dijual dengan kadar harga premium. Kami ditolak oleh peminat-peminat mekap tanah air disebabkan harga yang ditetapkan. Namun, apabila kualiti produk mula ‘bercakap’ untuk produk itu sendiri, sedikit demi sedikit NRC mula diterima. Malah, ada beberapa selebriti yang menghubungi saya untuk mencuba sendiri produk NRC dan berkongsi tentang kebaikkannya,” bicara Nuex yang menjadikan keluarganya sebagai pendorong utama dalam berusaha lebih keras untuk membawa NRC di mercu kejayaan.
Nuex turut berbangga dipilih sebagai salah seorang penerima NONA TOP BEAUTY ENTERPRENUER anjuran majalah NONA baru-baru ini. Nuex menganggap ia sebagai dorongan untuk dirinya lebih melipat ganda usaha dalam bidang perniagaan. Dalam masa yang sama anak muda yang mempunyai misi dan visi besar ini juga bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang berkaitan kosmetik tidak lama lagi bagi mempersiapkan dirinya dengan ilmu kosmetik dan teknologi terkini.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Majalah Nona kerana memberi pengiktirafan kepada NRC sebagai penerima Anugerah Nona Top Beauty Entrepreneur. Sejujurnya, saya sangat berbangga dan berbesar hati kerana penghargaan ini diberikan sendiri oleh Majalah Nona yang sudah berada di industri lebih 30 tahun dan masih menjaga kualitinya sehingga kini”, ucap Nuex sebelum mengakhiri sesi temubual.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti bayi yang belajar berjalan, begitulah tawakal seorang usahawan dalam menstabilkan bisnes yang dijalankan. Dari merangkak mencari tapak, kemudian belajar berdiri dan bertatih memasarkan jualan, proses jatuh bangun itu berkembang sebagai latihan yang normal. Fasa inilah yang mematangkan Pengasas Kayman Beauty, Fatin Nabila Binti Khairul Anuar hingga produk yang diusahakannya menempa nama dalam industri.
Bermula dengan keuntungan berniaga kecil-kecilan, wang modal yang dikumpul oleh Fatin Nabila atau Belle, dilaburkan untuk membina empayar perniagaan yang diimpikan. “Saya mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ketika berusia 23 tahun. Akhirnya pada tahun 2017 dan bermodalkan RM15,000 hasil perniagaan baju, kasut, dan bag secara dropship agent, saya menubuhkan perniagaan sendiri yang diberi nama Kayman Beauty.
Usaha saya banyak dibantu oleh ahli keluarga terdekat termasuk nenek. Paling sukar dilupakan, saya pernah membuat business proposal dan disuruh membentangkannya di depan nenek semata-mata bagi mendapatkan pinjaman pada ketika itu untuk memulakan perniagaan. Dengan modal tersebut juga saya jalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk pertama saya iaitu CoalFace Soap dan Alhamdulillah sampai sekarang masih mendapat sambutan hangat,” tutur Bella memulakan bicara.
Sepanjang dua tahun di pasaran, Kayman Beauty telah memasarkan empat produk iaitu Coalface Soap, CoalFace Cleanser, Rosa Glow Treatment Essence dan terbaharu, Skintella Repairing Serum. “CoalFace Soap adalah sabun pencuci muka yang diformulasikan daripada arang dan madu. Manakala CoalFace Cleanser pula menggunakan formula yang lebih lembut untuk menangani kulit kering dan sensitif.
Rosa Glow Treatment Essence pula adalah esen pencerahan yang difokuskan kepada pengguna yang mempunyai masalah parut jerawat dan kulit kusam. Manakala Skintella Repairing Serum yang baru memasuki pasaran sekitar Jun tahun lalu, mengambil masa selama lebih satu tahun untuk dihasilkan. Ia berasaskan bahan centella dan bifida ferment filtrate, sesuai untuk memperbaiki kulit yang rosak akibat jerawat.”
Jelas wanita berusia 27 tahun ini lagi, sepanjang menjalankan perniagaan ada banyak dugaan dan halangan yang ditempuh sebelum melakar kejayaan. Namun, Belle menganggap setiap cabaran yang mendatang sebagai kenangan manis jika ia dilalui dengan penuh kesabaran.
“Tidak dinafikan, setiap perniagaan ada cabarannya. Bukan senang nak dapatkan kepercayaan masyarakat tentang kualiti produk keluaran Kayman Beauty, jadi itulah cabaran utama kami. Tapi saya yakin sebagai produk keluaran tempatan, Kayman Beauty juga boleh berdiri setanding dengan produk antarabangsa kerana selaku pengasas produk, saya hanya mahu yang terbaik. Tahun 2020 ini saya merancang untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti tinggi dan menembusi pasaran antarabangsa,” terangnya bersungguh-sungguh.
Biarpun menggalas tugas sebagai usahawan dan isteri dalam satu masa, itu tidak sesekali membuatkan Belle mengabaikan tanggungjawab hakiki. Malah, wanita yang memiliki senyuman manis ini menjadikan keluarga sebagai pendorong utama di sebalik kejayaan yang dikecapinya.Menjadikan dua usahawan wanita yang merupakan Pengasas Glow Recipe iaitu Sarah Lee dan Christine Chang sebagai sumber inspirasi dalam dunia perniagaan dan kecantikan, tidak hairanlah jika Belle mampu membuktikan produk keluarannya boleh diterima baik oleh masyarakat.
“Pengetahuan mereka tentang dunia kecantikan yang sangat terperinci membuatkan semangat saya semakin membuak-buak untuk belajar lebih mendalam lagi tentang sains kecantikan terutamanya dari segi penjagaan kulit wajah, sesuai dengan usaha Kayman Beauty untuk membantu pengguna fokus kepada kesihatan kulit wajah mereka. Tak cukup dengan itu, kegigihan mereka dalam mendidik masyarakat tentang penjagaan kulit wajah dan pada waktu yang sama membina jenama sendiri sentiasa membuatkan saya kagum.”
Ketika diajukan pertanyaan apa lagi impian yang belum tercapai sepanjang bergelar usahawan, Belle menjawab, “Menjadi impian saya untuk melihat Kayman Beauty menembusi pasaran antarabangsa dan dapat berdiri setanding dengan produk-produk jenama antarabangsa di pasaran sekarang.
Selain itu, saya juga ingin menubuhkan persatuan yang mengumpulkan semua usahawan wanita baru di bawah satu bumbung untuk berkongsi permasalahan dan pengalaman masing-masing dalam dunia perniagaan. Kita tahu usahawan muda yang baru ingin bermula agak clueless dengan dunia perniagaan dan diharapkan dengan wujudnya persatuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang baru ingin bertapak dalam dunia perniagaan,” jawabnya penuh harapan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Belle sempat menyatakan syukur ke atas penghargaan yang diterima oleh Kayman Beauty. “Alhamdulillah, terima kasih Majalah Nona kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima Anugerah Nona Top Beauty Entrepreneur. Saya teruja kerana masyarakat mula sedar potensi yang ada pada Kayman Beauty dan diri saya sendiri walaupun masih setahun jagung menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Pengiktirafan ini juga membuatkan saya lebih bersemangat dan berazam meningkatkan lagi usaha untuk terus memajukan diri dalam perniagaan. Selain itu, saya juga berharap jenama Kayman Beauty dapat memberi banyak manfaat kepada pengguna pada masa akan datang,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.