Bergelar isteri kepada pegawai tentera memang sangat mencabar. Usahawan makanan laut kering, Nurul Syamimi Mohd Fauzi, 32, berkongsi pengalaman cabaran dalam perniagaan dan pada masa yang sama terikat dengan tugas suami yang sering bertukar unit sehingga terpaksa berpindah. Anak jati Kelantan ini merupakan ibu kepada 4 orang anak yang berusia 12, 10, 7 dan 4 tahun.
“Sebelum berniaga, saya merupakan seorang pelajar dan suri rumah. Saya berkahwin di usia sangat muda iaitu 19 tahun. Anak pertama dilahirkan ketika umur saya 20 tahun. Selain itu, saya juga membuat kerja sambilan sebagai talent (model) untuk butik pengantin termasuk berkolaborasi dengan jurugambar yang memerlukan khidmat model bertudung. Saya juga pernah terlibat dalam TVC Ariani serta bergelar juruacara di majlis rasmi dan tidak rasmi.
Minat berniaga memang sudah dipupuk sejak kecil kerana arwah Mama merupakan peniaga kecil-kecilan dan mempunyai kedai pakaian Muslimah. Ayah pula seorang pesara polis. Saya juga berniaga kerana merupakan isteri kepada seorang pegawai tentera yang kerap berpindah. Jadi, jika bekerja saya agak terikat untuk mengikut suami bertukar unit. Ini juga cabaran yang sangat besar buat saya sebagai usahawan yang baru mula bertatih dalam dunia perniagaan.
Saya menjalankan perniagaan makanan laut kering seperti ikan bilis, kerang kering dan ikan kering. Perniagaan ini bermula pada tahun 2013 ketika usia saya ketika itu 23 tahun.
CABARAN PANDEMIK
Pada awalnya saya agak tertekan juga. Tambahan, bekalan makanan laut kering mengalami masalah dari segi pengurusan. Saya memanfaatkan sepenuhnya bantuan diberikan oleh kerajaan (GKP) kerana meringankan beban kami para usahawan mikro. Selain itu, saya mengurangkan perbelanjaan modal dengan menguruskan sendiri perniagaan di rumah dari segi pembungkusan walau dalam keadaan yang agak struggle kerana pada masa sama perlu memantau pelajaran (PdPR) anak-anak.
Ads
Mujurlah suami dan keluarga sentiasa memberi sokongan dan menjadi pendorong utama saya. Mereka jugalah penyokong kuat dalam apa jua yang saya lakukan termasuk dari segi bantuan modal.
Saya perlu kuat dan berani menempuh apa jua cabaran mendatang demi menstabilkan ekonomi keluarga. Tiada jalan mudah untuk berjaya. Jika tidak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Saya juga percaya, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia,” kongsi Nurul Syamimi yang juga merupakan ahli BAKAT (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera).
DETIK STRUGGLE
“Pengalaman paling memberi kesan ketika saya dan anak-anak berjauhan dari suami selama 6 bulan kerana bertugas di Sarawak. Saya terpaksa menguruskan perniagaan seorang diri, dengan nak menguruskan anak-anak lagi yang masih kecil. Hanya Allah saja yang tahu betapa peritnya saya ketika itu melalui kesukaran menguruskan perniagaan dan anak-anak. Waktu tidur yang tidak terurus, makan tak menentu, saya pula terkejar-kejar menguruskan anak termasuklah membeli barang-barang keperluan harian. Akhirnya, saya terpaksa menghentikan perniagaan seketika untuk selesaikan urusan berpindah dan menetap di Sibu, Sarawak.
Ads
Dari situlah tercetusnya idea untuk berniaga kerepek peria katak dan sambutan sangat baik. Cabarannya permintaan lebih tinggi daripada pengeluaran. Agak kelam kabut dari segi pengurusan dan bekalan bahan sebab bisnes tersebut masih baru.
Kemudian saya beranikan diri menjadi founder produk pemakanan tambahan. Dari situ baru saya sedar bukan mudah menjadi seorang founder dalam bisnes ini. Apabila perniagaan saya makin dikenali saya terpaksa sekali lagi berhenti berniaga kerana mengikut suami yang bertukar ke Tawau, Sabah. Sekali lagi saya berhadapan dengan masalah pengurusan. Kemudian diuji pula dengan pandemik COVID-19.
Pada tahun 2020 suami saya sekali lagi ditukarkan ke Kuala Lumpur. Sejak berada di Tawau, Sabah lagi dah tercetus idea untuk menjalankan bisnes ikan bilis. Memang terkesan dengan PKP dan bekalan ikan bilis dari sana kerana ia ada musim tertentu. Saya hold dulu sehingga keadaan kembali stabil.
Ads
Kemudian saya memberanikan diri menyertai Pencarian Nona Superwoman. Mungkin ini satu peluang buat saya untuk belajar pelbagai tip dan ilmu perniagaan seterusnya kuat menghadapi cabaran sebagai seorang usahawan wanita.
NASIHAT & IMPIAN
Sebagai usahawan terutama wanita, jangan pernah merasa putus asa dalam apa jua yang dilakukan. Jika penat rehat seketika, bukan berhenti. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.
Seterusnya, impian saya untuk membantu wanita-wanita di luar sana. Saya mahu membuka peluang dan menarik minat mereka terutamanya yang berada di luar bandar dengan pendedahan maklumat tentang perniagaan saya yang berasaskan pertanian dan perikanan. Selain itu, saya juga ingin memiliki sebuah premis perniagaan dan bergelar usahawan wanita berjaya yang mampu mencipta nama di dalam mahupun luar negara. Secara tidak langsung dapat membantu mereka menjana ekonomi rumahtangga,” akhiri graduan Diploma Komunikasi dan Media ini.
Rancangan Pencarian Nona Superwoman 2021 di ASTRO PRIMA bermula 22 September setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Nurul Syamimi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tan Sri Vincent Tan, antara individu paling berpengaruh di Malaysia. Pengasas kepada Berjaya Corporation Berhad sebuah perniagaan konglomerat yang disenaraikan di Bursa Malaysia berusia 71 tahun ini sememangnya cukup terkenal dengan kewibawaan dan disiplin kerjanya.
Walau sececara rasminya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa pada 1 Mac 2023 lepas, beliau tetap meneruskan peranan sebagai penasihat bagi memberikan bimbingan kepada Lembaga Pengarah dan menyokong pertumbuhan berterusan kumpulan tersebut.
Pun begitu, padanlah Vincent Tan tersenarai pada kedudukan ke-20 dalam senarai Forbes dengan nilai harta sebanyak AS $ 820 juta (RM3.51 bilion), dan kekal sebagai salah seorang individu terkaya di Malaysia sehingga kini.
Dan baru-baru ini, video tembual bekas peserta Hero Remaja dan pelakon Harris Anuar bersama Tan Sri Vincent Tan tular apabila Harris menembual beliau dalam keadaan cukup santai ketika menaiki kapal layar miliknya sambil bertanya soalan.
Menerusi video berkenaan, Harris memulakan tembual tersebut dengan memuji kapal layar Tan Sri dan kemudia terus mengajukan soalan. ‘What you do for living?’ tanya Harris kepada Tan Sri Vincent Tan, lalu Tan Sri Vincent dengan selamba menjawab, ‘kerja lah, saya kerja’.
Selepas itu, Tan Sri Vincent terus memberikan nasihatnya terutama sekali kepada golongan anak-anak muda.
“Saya nak nasihat orang muda. Belajar rajin-rajin, selepas belajar kalau kerja kena rajin juga. Selepas dapat gaji, berapa gaji pun tak apalah. Boleh sedekah, sedekah sikit pun tak mengapa. Bersedekahlah sikit-sikit walau belum kaya, tak payah nak tunggu kaya baru nak bersedekah.
Mengintai ruangan komen hantaran video tersebut di Instagram Harris, ramai warga maya bersetuju dengan nasihat Tan Sri Vincent Tan tersebut.
Malah ada yang memuji Tan Sri Vincent yang petah berbahasa Melayu walau diaju soalan dalam bahasa Inggeris, serta personaliti Tan Sri yang humble dan soft spoken.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
April ini, genap setahun Nor Farhatul Fairuzah Panut bergelar Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019. Sepanjang tempoh itu bermacam-macam usaha telah dilakukan gadis berusia 20 tahun ini demi menyebarkan syiar Islam di mata dunia dan Malaysia khasnya. Selain berjaya menghasilkan single dakwah ‘Bukti’, Farha turut menceburi bidang perniagaan dengan mengusahakan label tudung miliknya sendiri iaitu Farha Looks.
Awal Januari lalu, Farha berangkat ke Korea Selatan dan bertemu mualaf popular di sana yang dikenali sebagai Daud Kim untuk mengajar ilmu dan bacaan tarannum Al-Quran. Sehingga ke hari ini, video mengaji Al-Quran mereka berdua yang dimuatnaik di Youtube milik Daud Kim telah ditonton hampir 600 ribu orang!
Susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan kepada setiap rakyat, Farha terpanggil untuk mengadakan slot ‘live’ untuk mengajak lebih ramai umat Islam mendalami Al-Quran sepanjang tempoh kuarantin ini. Walau tidak dapat bersemuka dengan followers namun niat untuk memgimarahkan kitab suci tetap giat dilakukan Farha menerusi alam maya.
Jelas anak bongsu daripada lima beradik ini, dia menggunakan media sosial Instagram miliknya sebagai platform untuk mengajar dan bertarannum Al-Quran. Ketika dihubungi untuk bertanyakan mengenai usaha tersebut, Farha dalam nada gembira membuka bicara. “Farha akan buat live IG selama dua jam atau lebih sebab alhamdulillah banyak sangat request nak join baca Quran berlagu.
Selain belajar bertarannum bersama, Farha juga buka QnA untuk mereka bertanyakan soalan atau penjelasan tentang tarannum. Dengan adanya teknologi media sosial macam ni, mereka yang ada di luar negara pun boleh ikut serta dan Farha sendiri tak sangka ada di antara mereka dari Iraq dan Palestin. Yang paling muda pula kalau tak silap Farha dalam lingkungan 10 atau 11 tahun. Alhamdulillah.”
Kongsi Farha lagi, kebiasaannya dia akan mula bersiaran langsung di IG selepas Isyak. “Antara yang Farha buat semasa live ialah perkongsian tarannum dengan bacaan surah-surah yang pendek. Tarannum asas dan tajwid yang betul. Tak semestinya join live ini untuk bertarannum, yang ‘datang’ untuk mendengar saja pun sebenarnya dah boleh dapat pahala,” pelawa bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan ini.
Melihat usaha menggaji Al-Quran turut diamalkan golongan selebriti tanah air ketika PKP ini, Farha turut mengambil kesempatan ini untuk memberi penghargaan. “MashaAllah, sangatlah bagus bila selebriti dan golongan artis ini dapat manfaatkan masa PKP dengan mengimarahkan media sosial dengan membaca Al-Quran. Bagi Farha, ia secara tak langsung dapat menarik lebih ramai orang di luar sana untuk sama-sama mendalaminya.
Alhamdulillah Farha tengok ramai selebriti yang minat dalam bacaan Quran bertarannum macam Mira Filzah, Zizan Razak, Aliff Satar dan Faizal Tahir. Mereka semua ada komen di posting Farha dan follow IG saya. Tarannum ini salah satu seni Al-Quran yang indah Allah turunkan dan memberi impak yang besar dalam menarik minat.”
Dalam pada itu, anak kepada pasangan Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini turut mahu menzahirkan ucapan terima kasih kepada para frontliners negara yang telah bertungkus-lumus menangani Covid-19. “Allahu, pertama sekali nak ucap ribuan terima kasih atas bantuan dan penat lelah semua pekerja-pekerja dan petugas yang menangani Covid-19 ini. Rasulullah bersabda, ‘Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.’ Alhamdulillah semoga Allah beri ganjaran pahala yang melimpah buat mereka dan diberi perlindungan. Teruskan semangat.
Setakat ini Farha hanya bantu mana yang mampu dengan menyalurkan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara dalam talian. Lagipun hendak keluar rumah sekarang ni agak susah. InshaAllah Farha sentiasa doakan semoga mereka semua dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segalanya.”
Mengimbas kembali perjalanan awal Farha sebelum bergelar Johan Qariah negara, gadis yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah bidang Al-Quran ini berkata, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah. Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaan.” Apa yang membuatkan penulis kagum dan teruja, kelima-lima beradik Farha juga aktif mendalami Al-Quran dan menyertai pertandingan tilawah. “Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih ingat lagi kisah seorang bayi kacukan Malaysia-Rusia, Dhuhaa Sophea Stumbrys yang tular sekitar dua tahun sebagai bayi tercantik dunia. Begitu pantas masa berlalu kini Sophea sudah pun berusia dua tahun dan bergelar kakak.
Adiknya, Amiraa Al Imaan Stumbrys dilahirkan pada Februari 2019 di Karolinska Universitetssjukhuset Huddinge, Stockholm Sweden. Sophea dan Amiraa merupakan anak kepada pasangan bahagia, Siti Safuraa Hamzah dan Asadullah Stumbrys.
Lumrah apabila sering menjadi perhatian di laman sosial, rupa paras Sophea dan Amiraa mula menjadi perbandingan.
“Bagi saya itu pandangan masing-masing, terpulanglah. Saya dan suami tak pernah ambil kisah pun sampai jadi stres. Sophea dan Amiraa anugerah terindah dari Allah SWT dan terbaik di mata kami.
Didikan diberikan sepenuhnya buat mereka. Untuk Sophea kami ada mohon sekolah yang melebihkan aktiviti luar dan more to nature. Pada masa sama, kami terapkan ilmu agama di rumah biar seimbang dunia akhirat memandangkan kami menetap di negara yang majoritinya bukan Muslim.
Saya menjadikan ibu bapa sebagai inspirasi yang berjaya mendidik kami seramai 9 beradik. Setiap kepayahan dilalui bersama. Mereka mengutamakan tanggungjawab dan nilai kekeluargaan agar kami tak berpecah belah. Mereka juga mendidik kami saling menghormati dan tak mudah lupa diri. InshaAllah saya juga impikan perkara sama terhadap anak-anak.”
KONGSI PENGALAMAN BERPANTANG ANAK KEDUA
“Saya melahirkan Amiraa awal seminggu dari due date. Sakit contraction pun tak lama tanpa bantuan pain killer. Proses melahirkannya juga mudah dan tiada sebarang koyakan, alhamdulillah.
Namun pengalaman berpantang anak kedua ini agak mencabar kerana pada mulanya sukar mencari siapa yang dapat menjaga saya di rumah. Ibu bapa saya dah tiada, adik beradik pula ada hal masing-masing yang tak dapat dielakkan. Suami juga bekerja dan terlalu sibuk. Jadi suami tanya ada lagi tak sesiapa yang boleh datang untuk jaga saya. Tiba-tiba saya teringat kepada Kak Dini yang saya dah anggap seperti kakak kandung.
Dulu kami pernah berbual dan dia kata nak datang lawat saya di Sweden sambil berseloroh kalau saya beranak lagi dia nak datang. Bila teringat terus saya hubungi Kak Dini dan tak sangka dia setuju. Tanpa berlengah saya terus booked tiket untuknya.”
Bagi Dini pula pengalaman menjaga Safuraa ketika berpantang anak kedua di Stockholm, Sweden adalah pertama kali dalam hidupnya lebih-lebih lagi di negara asing yang berbeza dari segi cuaca. Niatnya cuma untuk memudahkan urusan Safuraa. Bagi Dini bila kita mudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan mudahkan urusan kita.
Ini komen Dini:
“Saya dan Safuraa dah lama kenal. Safuraa sebagai bekas model Muslimah dan saya pula sebagai jurumekap. Boleh dikatakan kami sering bekerjasama. Dari situlah kami menjadi akrab dan saya anggap Safuraa seperti adik sendiri.
Sepanjang menjaganya saya gabungkan cara berpantang tradisional-moden seperti dari segi urutan, menu berpantang dan pemakaian bengkung readymade. Bahan-bahan untuk menu berpantang saya dah bawa siap-siap dari Malaysia seperti ulam, rempah, jamu, halia, serai, daun kari, kunyit hidup, cekur dan mandian herba.
Antara menu berpantang yang saya sediakan ialah daging bakar, ayam bakar, ikan bakar, sambal bilis sangan dan bejah (menu berpantang Jawa). Semuanya dimakan bersama ulam.
Nasihat saya jaga makan sepanjang tempoh berpantang, tak lama pun… 44 hari saja. Badan nak pakai lama. Paling penting ketika berpantang ialah dua minggu pertama elak makanan pedas, belacan dan air bergas. Walau dah habis pantang jangan tinggalkan jamu, mandi herba dan ambil makanan seimbang. Banyakkan minum air suam lebih-lebih lagi bagi yang menyusukan bayi.”
Kredit Foto: Instagram ctsafuraa & Dinie Awalluddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saban hari nama Engku Aleesya makin menjadi bualan. Bukan kerana statusnya sebagai anak kepada selebriti terkenal, Erra Fazira tetapi keupayaan gadis bijak yang juga puteri kesayangan Engku Emran ini dalam bidang akademik dan sahsiah diri.