Memimpin sebuah syarikat gergasi media sosial bertaraf dunia, tentunya kedengaran hebat. Apatah lagi jika bekerja di syarikat antarabangsa seperti Facebook. Nona mengatur pertemuan eksklusif dengan Country Director Meta Malaysia, Nicole Tan, bersembang tentang pengalaman beliau sebagai pemimpin di sini.
Melangkah masuk ke Meta Malaysia di KL Sentral, suasana santai dengan dekorasi yang ‘playful’ serta ruang kerja yang terbuka menyambut kedatangan.
Setenang perasaan di rumah, begitulah yang dirasai penulis saat dibawa berkunjung ke serata pejabat Facebook, yang kini dijenamakan semula sebagai Meta Platforms.
Ketika menatap tanda tangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpampang di Facebook Wall, Nicole Tan tiba sambil membantu menerangkan serba-sedikit konsep di sini.
Wanita hebat yang memegang jawatan Country Director Meta Malaysia itu sesungguhnya cukup menyenangkan. Selama lima tahun memimpin syarikat, banyak perkara baru yang telah diperkenalkan untuk manfaat pengguna.
Meskipun berusia 40-an, Nicole Tan sebenarnya baru mendapat cahaya mata sulung. Lebih beruntung, beliau diberi tempoh cuti bersalin yang lama iaitu 6 bulan!
“Dalam tempoh pandemik dua tahun ini, banyak masa saya di rumah bersama si kecil yang kini sudah pun mencecah umur setahun.
Sebelum menyertai Meta, saya pernah berkhidmat di agensi kreatif, pengiklanan dan teknologi selama 20 tahun.” Nicole Tan
Pernah bertugas sebagai Pengarah Urusan di J.Walter Thompson Malaysia serta menetap di China selama beberapa tahun, pengalaman kerja Nicole selama ini sudah tentunya memberi kelebihan besar kepada Meta.
Beliau juga lambang wanita kuat, yang mengutamakan kerjaya serta berani menentang ‘norma’ demi mengejar minat dan impiannya.
Ads
Berperanan sebagai pemimpin di Meta Malaysia, wanita asal Petaling Jaya ini bertanggungjawab membantu rakyat agar lebih celik digital, membina teknologi yang lebih cekap dan menyokong perniagaan ke arah pengalaman baru.
“Di seluruh dunia, kami ada 2.8 billion pengguna yang menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi Meta, tak kiralah Facebook, Instagram atau WhatsApp.
Di Malaysia pula, kami ada 26 juta pengguna yang menggunakan Facebook setiap bulan.
Bayangkan pada waktu pandemik, kajian mendapati trend penggunaan digital lima tahun telah dipercepatkan dalam masa satu tahun saja.
Dan di Malaysia, penetrasi penggunaan digital adalah 88% – yang tertinggi di rantau Asia Tenggara!” Nicole Tan
Ads
Tambahnya, orang ramai memang sering memilih aplikasi Meta untuk berhubung, mengekspresikan diri dan berniaga secara online sewaktu PKP berkuat kuasa.
Nicole turut berkongsi tentang pelancaran Reels di Facebook, susulan kejayaan Reels yang diperkenalkan sebelum ini di Instagram.
“Reels di Facebook baru dilancarkan dua minggu lalu. Berdasarkan kajian terhadap trend di media sosial, kami dapati jumlah tontonan terhadap video yang cepat, pendek dan menarik telah meningkat.
Kandungan berbentuk hiburan, masakan atau life hacks paling mendapat tontonan tinggi. Tambahan lagi jika ada ‘peralatan’ untuk mengekspresikan diri seperti filter.”
USAHAWAN
Sempena Hari Wanita Sedunia yang bertemakan #SaksamaBersama atau #BreakTheBias, Nicole menerusi Meta turut meraikan kecekalan wanita di Malaysia.
Ads
Selain ingin terus memperkasakan golongan Hawa dengan ilmu pengetahuan, beliau juga ingin membantu wanita yang berniaga serta yang menyokong perubahan.
Terdapat peningkatan sebanyak lebih 25% perniagaan Instagram dan lebih 40% halaman perniagaan (Pages) Facebook yang diterajui wanita sejak pandemik bermula.
Malah terdapat lebih 45% kumpulan Facebook berkaitan dengan keusahawanan telah dicipta oleh wanita sejak tahun 2021.
“Wanita mewakili separuh populasi dunia dan separuh daripada potensinya untuk berkembang, mencipta peluang dan membasmi kemiskinan.
Oleh itu kesaksamaan jantina amat penting untuk kemakmuran ekonomi dan komuniti. Kami percaya akan usaha bagi membantu wanita meneroka potensi diri dan pembinaan masyarakat yang lebih berdaya tahan.
Antara teras utama Meta adalah memupuk perkembangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) milik wanita dengan memberi akses kepada pendidikan, wawasan dan peralatan menerusi webinar, latihan, kursus dan program pensijilan seperti Blueprint, Facebook IQ dan sebagainya.” Nicole Tan
Di sebalik komitmen sebagai pemimpin, Nicole senang memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor di tempat kerja. Beliau juga mahu melihat lebih ramai wanita lain bangkit menjadi pemimpin seperti dirinya.
Mengakhiri perbualan, Nicole sempat mengajak para wanita agar membeli daripada usahawan wanita sebagai sokongan.
“Kami akan menampilkan usahawan wanita tempatan seperti peniaga katering dari rumah (vegetarian), Preeti’s Farsan di Pages Facebook Meta Malaysia dan kami mengalu-alukan ahli komuniti untuk berkongsi perniagaan dan komuniti yang diterajui wanita kegemaran di bahagian komen bersama tanda pagar #BuyFromHer.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebut sahaja Primadona Malaysia, pasti anda semua familiar dengan sosok wanita jelita dan juga pelakon era 90-an, Erra Fazira. Siapa sangka meski kini usianya 49 tahun, namun kejelitaan Erra Fazira tetap terserlah dan tidak memudar.
Malah, Di yang disifatkan sebagai seorang wanita yang mesra, humble dan berfikiran positif, tidak hairanlah mengapa dirinya kekal relevan dalam idustri seni tanah air sehingga ke hari ini.
Selain aktif membintangi bidang lakonan, bakat Erra dalam dunia nyanyian turut menyerlah. Hingga kemampuan vokal bekas Ratu Cantik Malaysia ini mendapat pujian ramai apabila dia berjaya berpadu suara dengan legenda rock tanah air di Konsert Romantika Awie di Sabah pada Ogos tahun lepas.
Dalam kesibukan kerjaya sebagai anak seni, duta dan ahli perniagaan serta usia yang makin meningkat, ia nyata tidak menjadi penghalang buat pemenang anugerah Pelakon Filem Wanita Popular tersebut untuk melakukan aktiviti lasak dan bersukan.
Bahkan aktres filem Maria Mariana ini gemar beriadah seperti berbasikal bersama teman-teman dan anak tersayang, Engku Aleesya.
Apatah lagi, Erra mengamalkan gaya hidup sihat dengan pelbagai rutin senaman dan pengambilan diet seimbang.
Luangkan Masa Berkualiti Bersama ‘Permata Hati’ Engku Aleesya
Terdahulu, Erra berkongsi video bersama Aleesya ketika keluar menonton tayangan filem Barbie.
“Hari ni mom patut ada sesi usrah tau. Tapi mom lupa dah janji dengan anakanda nak layan Barbie. Terpaksalah mom korbankan sesi mom. Maka ke cinema lah kami.
Mom dok komplen sebab nak ber’pink’ bagai. Rupanya memang yang menonton movie ni majoriti pakai pink. And guess who we bumped into..?!
It’s @kupu_kupu n @qasander s family. Semua pun pakai pink. Pheww lega. Anyway, kepada yang jarang dengar Aleesya potpet haaa sekarang dah dengar kan? Dia kalau potpet mom pun kalah.”
Hadiri Usrah Dan Kutip Ilmu Agama Demi Dekatkan Diri Pada Allah
Sejak beberapa tahun lepas, kelibat Erra Fazira sering kelihatan menghadiri banyak majlis ilmu. Setiap kali rakan-rakan artis mengadakan sesi usrah di kediaman mereka, pasti jelitawan ini hadir untuk mendalami ilmu agama.
Malah, ada ketika dia turut membawa anak tersayang ke majlis seumpama itu.
Mengimbas temu bual Nona bersama Erra ketika dia menjadi penghias Nona Oktober 2018, dia yang merupakan wanita berdikari dan berstatus ibu tunggal tak mahu menjadikan ia halangan mengejar impian.
“Jangan menghempas diri.. kita kena bangun. Kita tak ada orang lain untuk kita nak bersandar. Jadi, semua sandaran tu hanya kepada kita. Maka bangunlah.
Kita ketepikan tanggapan orang lain terhadap kita. Tapi kadang-kadang yang paling sakit itu adalah tanggapan daripada keluarga atau saudara-mara sendiri.
Tapi tak apa, itu semua cliche. Kita buktikan bahawa ibu tunggal boleh membesarkan anak, boleh hidup dengan baik.. boleh didik anak dengan baik. Yang penting, kita balance dunia akhirat.”
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Dua tahun lalu, kisah Syazwan Najmi Zulkarnain dan isteri pernah tular. Isterinya, Nur Nasuha Shafie meninggal dunia dalam keadaan koma selepas 14 hari melahirkan bayi kembar mereka pada 31 Mac 2020 di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.
Gambar kenangan bersama arwah isteri, Nur Nasuha Shafie.
Ketika itu, mereka baru 10 bulan bergelar suami isteri. Lebih memilukan, arwah tidak sempat melihat serta memeluk bayi kembar mereka yang dilahirkan tidak cukup bulan. Walau sedih namun Syazwan Najmi yang merupakan seorang peniaga pasrah dengan ketentuan Ilahi. Sebelum menghembuskan nafas terkahir, isterinya sempat memberikan nama kepada bayi kembar mereka.
Kini, Syazwan Najmi bahagia bersama anak kembarnya iaitu Nur Medina Sofiya dan Nur Medina Safiya. Makin besar makin banyak keletahnya. Syazwan Najmi sering berkongsi video-video dia bersama Sofiya dan Safiya di Instagram. Rata-rata pengikutnya memuji kecomelan Sofiya dan Safiya dengan keletahnya yang sangat mencuit hati.
Lebih bertuah, kisah mereka turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dan isteri tercinta, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson. Pasangan diraja berjiwa rakyat ini sudah dua kali membuat kunjungan kasih bertemu Syazwan Najmi dan anak kembarnya.
Tengku Mahkota Kelantan, YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra dan isteri, YAM Che Puan Sofie Louise Johansson.Pasangan diraja yang berjiwa penyayang dan prihatin.
“Orang-orang istana maklumkan yang Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie sangat suka pada Sofiya dan Safiya.
Mereka dalam pantauan YTM dan Che Puan Sofie. Saya diamanahkan untuk menjaga Sofiya dan Safiya baik-baik,” kongsi bapa tunggal yang berasal dari Tumpat, Kelantan dan berusia 25 tahun ini.
Sekental mana pun jiwa seorang lelaki pasti akan gugur jua air matanya, terutama saat terkenangkan nasib Sofiya dan Safiya yang tak pernah kenal sosok tubuh seorang ibu, apatah lagi merasa kasih sayangnya sejak lahir.
“Detik paling mencabar bagi saya bila Sofiya dan Safiya dah pandai bercakap. Bila mereka tengok orang sekeliling ada ibu, bermain dan bermanja dengan ibu mereka, Sofiya dan Safiya dah mula tanya, “Mana ibu kakak, adik Abiy?” sambil merenung saya dengan wajah sedih.
“Mula-mula dapat tahu arwah tak sedarkan diri, saya down sangat takut akan kehilangannya. Tapi apakan daya kita hanya merancang, Allah SWT menentukan. Kalau dulu isteri sentiasa ada, dialah tempat untuk saya bersandar bahu dan bercerita. Tapi sekarang hanya anak-anak tempat saya bermanja, meluahkan perasaan.
“Saya berjanji akan terus kuat demi Sofiya dan Safiya, demi masa depan mereka. Kalau sedih saya tak pernah tunjuk depan mereka sebab tak mahu mereka tahu. Sebab itulah saya perlu sentiasa ceria depan mereka.
“Pesan Ma (ibu) dan Abah, semua yang terjadi ni ada sebabnya. Ingat Allah, ada hikmah di sebalik dugaan ini. Terus kuat seperti mana Ma dan Abah membesarkan kami tujuh beradik tanpa ada apa-apa.”
MOMEN HARI BAPA “Kenangan ketika pertama kali sambut Hari Bapa ialah ketika Sofiya dan Safiya kejutkan saya dari tidur dan memberitahu “Abiy..Abiy..bangun Abiy. Lewat dah ni!”
Manakala kenangan paling indah ialah bila Sofiya dan Safiya tengok saya solat dan berdoa sambil menangis. Mereka datang tanya, kenapa Abiy nangis? Mereka peluk dan sapu air mata saya.
“Harapan saya agar Sofiya dan Safiya menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan masyarakat, taat suruhan Allah SWT seterusnya menjadi anak solehah serta ingat pengorbanan ibu dan Abiy. Sentiasa kenang jasa ibu bapa yang membantu kita saat susah mahupun senang.
KALAU ADA JODOH “Insha-Allah..kalau ada jodoh. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Sofiya dan Safiya kerana mereka juga perlukan kasih seorang ibu walapun bukan ibu kandung. Saya yakin, Allah SWT sudah aturkan yang terbaik. Tinggal kita saja yang perlu berusaha.
“Nasihat saya khas buat bapa-bapa tunggal di luar sana, jangan lupa galas tanggungjawab sebagai seorang ayah walapun isteri tiada di sisi. Ingat, kalau kita rasa susah ada yang lagi susah dari kita. Terus kuat demi anak-anak.”
Kredit Foto: Instagram Syazwan Najmi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cukup sebiji kek. Begitulah sederhananya sambutan ulang tahun perkahwinan Edika Yusof dan isteri yang jatuh pada waktu PKP. Berbekalkan doa agar rumah tangga mereka kekal bahagia, pasangan hebat yang pernah menjadi buah mulut rakyat Malaysia ini, sama-sama meniup lilin.
Menerusi video pendek yang dikongsi oleh Edika Yusof itu, dia turut menitipkan sedikit kata-kata. “I’m the luckiest husband to have you beside me. A wife like you is a blessing. I am thankful to Allah for having you. Happy anniversary dear wife…” tulis aktor kacak tersebut.
Meniti usia perkahwinan ke-18, Edika turut menzahirkan rasa syukurnya kerana diamanahkan seorang isteri yang sentiasa di sisi. Sambil mendengar ucapan suami tersayang, bibir manis Hidayah sentiasa menguntumkan senyuman. Aduhai, sweetnya pasangan ni.
SUAMI PENYAYANG
Lembaran kisah cinta Edika Yusof yang setia menjaga isterinya, Nor Hidayah Yusri sampai sekarang masih diperkatakan. Pengorbanan sosok pelakon kacak ini menatang si isteri yang lumpuh umpama seorang bayi yang masih kecil cukup menyentuh perasaan.
Mengimbau kenangan tersebut menerusi temu bual Nona dengan pasangan ini, Edika Yusof pernah berkata, “Saya beruntung kerana dia seorang yang berdikari dan bercita-cita tinggi. Kami sama-sama merancang untuk membina empayar perniagaan dan ujian mula melanda selepas melahirkan anak kedua kami,” ujarnya.
Kebahagiaan yang diimpi hanya 2 tahun, mereka kemudian diuji hanya dalam sekelip mata. Ketabahan Edika Yusof menjaga isterinya yang menghidap meningitis sehingga lumpuh ini wajar menjadi iktibar dan dicontohi semua.
“5 hari selepas bersalin Hidayah diserang demam panas. Doktor mencadangkan saya membawanya ke hospital kerana itu bukan demam biasa.
Semasa dalam perjalanan ke hospital, dia sudah menunjukkan tanda sakit yang amat sangat. Setibanya saya di labour room pula, saya terdengar suara wanita menjerit-jerit kesakitan. Setelah dijengah, rupa-rupanya itu suara isteri saya.
Keluarga Edika Yusof sebagai cover Majalah Nona September 2017
Dari kejauhan, saya melihat dia sudah nyawa-nyawa ikan kerana jangkitan kuman sudah sampai ke kepala. Tiada apa yang boleh dilakukan ketika itu, saya terduduk sambil mengadu kesedihan pada Yang Maha Esa.
Setelah dibawa pulang, keadaan isteri ketika itu berubah 360 darjah. Dari seorang yang aktif dan periang, sudah bertukar lumpuh terbaring di atas katil.
Sejak itu saya perlu mengangkat Hidayah untuk ke bilik air dan membantu menguruskan segala keperluannya.
Saya dah janji dengan isteri, walau apa yang berlaku, saya akan jaga dia dengan baik. Apa yang sering saya bayangkan tentang dia adalah apa yang saya bayangkan jika berlaku kepada saya pula.
Saya terbayang, bagaimana perasaan saya yang sedang sakit jika isteri abaikan tanggungjawab dan tinggalkan saya sendirian,” ujar Edika yang pernah berkhidmat sebagai pramugara di Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selama lima tahun.
Kesetiaan seorang suami teruji tatkala isterinya tidak berdaya. Mujurlah pada usia 54 tahun, Edika masih kelihatan tampan dan laris di kaca TV. Dalam kesibukan berlakon, anak-anak mereka rajin membantu menguruskan ibu mereka yang berkerusi roda di rumah.
Semoga keluarga Edika terus bahagia dan dilimpahi rahmat-Nya. Kagum masih ada lelaki setia seperti Edika!
Sebagai sebuah negara Islam dengan anggaran populasi sekitar 3 juta orang, Nona tertarik melihat keanggunan 'First Lady of Qatar' iaitu Sheikha Jawaher Al Thani. Berusia 38 tahun, gaya elegan dan kecantikan semula jadi Baginda Permaisuri mencuit perhatian, ditambah lagi sifat cintakan ilmu yang menebal dalam jiwa isteri Emir Qatar tersebut.