
Baru-baru ini tular di media sosial seorang wanita Fatin Nursyahirah Yusuf,24, pelajar Jabatan Geografi, Fakulti Sastera, Universiti Malaya telah kembali kerahmatullah pada subuh sabtu lepas akibat menghidap kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) tahap 4 selepas tidak sampai 24 jam dinikahkan dengan suami Muhammad Saiful Azzam.




Apa yang menyentuh hati, setelah isterinya disahkan meninggal dunia, Azzam turut memuat naik gambar terakhir beliau mengucup dahi isterinya yang ketika itu sudah dikafankan di insta story berserta kapsyen yang menyentuh hati. Azzam juga memakai baju melayu yang sama ketika majlis pernikahan mereka yang diadakan pada pagi Jumaat, 3 Ogos.

“Saya juga memakai baju melayu yang sama ketika majlis pernikahan kami kerana dia cakap saya nampak segak dengan baju ini. Tidak ada sesuatu yang berinspirasi dengan cerita saya sebenarnya. Saya yakin, anda juga akan melakukan perkara yang sama dengan orang kesayangan”, tulisnya di insta story disertakan gambar kali terakhir mencium dahi isterinya.


Fatin Nursyahirah disahkan menghidap kanser Sacorma pada tahun 2017 yang pada ketika itu sudah berada di tahap 3. Kemudian, pada September 2017 Fatin melakukan pembedahan untuk membuang kanser tersebut namun pada Disember 2017, kanser datang kembali tapi kali ini lebih agresif. Fatin seterusnya melakukan pembedahan kedua pada Februari 2018 namun tidak dapat membuang sepenuhnya kanser dan mula melakukan sesi radioterapi. Kemudian, beliau disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2018.
Benar cinta sejati itu wujud. Walaupun Fatin sudah lumpu separuh badan, Azzam masih tetap mahu meneruskan majlis perkahwinan mereka dan sudi menerima Fatin seadanya. Walaupun kebahagiaan mereka hanya sementara, tapi memori ini pastinya terpahat dalam ingatan Azzam buat selama-lamanya.
Takziah NONA ucapakan kepada seluruh ahli keluarga Fatin Nursyahirah terutama suaminya. Semoga terus kuat dengan dugaan yang diberikan dan dipermudahkan segala urusan.
sumber: instagram
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
DATO’ RUBY Bangga Anak Ikut Jejak Langkah Buat Kerja Amal, Derma Sejumlah Besar Duit Perkahwinan Demi Kebajikan!

Reputasinya dalam aktiviti kebajikan tiada siapa pun dapat melupakan. Lapan tahun, Dato’ Ruby Khong merupakan pendorong utama di belakang Kechara Soup Kitchen (KSK), sebuah yayasan yang bertujuan untuk memberi makan dan menyediakan bantuan perubatan kepada gelandangan di Malaysia.
Dia sebenarnya memulakan perjalanannya seperti jelitawan VIP lain, bergaya anggun hadir ke pelbagai keramaian tetapi kala turun menyusuri lorong-lorong ibu kota segala-galanya ditinggalkan. Hanya tampil ringkas dengan membawa visi untuk memberi bantuan seikhlas mungkin kepada mereka yang memerlukan. Itu dua tahun lalu, sewaktu perjalanannya bersama KSK dan kini beliau terus gembira meniti hidup baru yang lebih aktif…
Sesiapa sahaja pasti merasakan keseronokan tatkala bertemu Dato’ Ruby. Sikapnya yang positif dan memberi inspirasi kepada masyarakat sekeliling membezakan keseronokan peribadi dan tuntutan untuk berbudi kembali kepada dunia sebagai tempat yang lebih baik. “Ya! 8 tahun saya bersama KSK dan dua tahun lalu saya melepaskan tanggungjawab itu kerana ingin memberi ruang rehat kepada diri sendiri. Perjalanan saya dengan KSK telah menjadi satu kenangan terindah.
Terlalu banyak cerita untuk diberitahu dan dikongsi tetapi yang boleh saya katakan… Setiap hari, sama ada dari pejabat KSK dan di sepanjang jalan ibu kota, saya melihat ramai sukarelawan dari pelbagai latar belakang yang tampil memberi bantuan kepada rakyat kita yang miskin dan tiada tempat tinggal. Ini menyejukkan hati saya bahawa masih ada banyak rakyat Malaysia yang prihatin dan tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada manusia lain yang kurang bernasib baik. Hidup ini akan lebih bermakna kiranya kita dapat memberi senyuman terindah buat mereka yang memerlukan.”
Sejak tidak aktif bersama KSK, Dato’ Ruby menghabiskan masa untuk dirinya berehat, melancong, keluar bersama rakan-rakan, bermain golf dan melukis. “Setelah puas berehat selama sebelas bulan, saya mula terasa sepi dan timbul keinginan untuk aktif kembali. Melalui laman sosial, saya terlihat adanya peluang sebagai konsultan untuk satu projek jangka pendek. Tanpa berfikir panjang, saya terus menghubungi pihak tersebut dan saya diterima sebagai Project Consultant, Malaysia Global Innovation & Creativity Centre (MAGIC) di bawah naungan Kementerian Kewangan. Projek ini telah berjalan dengan jayanya pada tahun lepas 2016.

Kejayaan itu, membuatkan saya masih diperlukan untuk kelangsungan projek jangka lebih panjang. Tugasan ini amat menarik, sebagai contoh ramai ibu tunggal yang berjaya menjalankan pelbagai perniagaan. Kita ingin mereka turun padang di kawasan luar bandar untuk berjumpa dengan wanita lain untuk sama-sama melaksanakan perniagaan tersebut sebagai francais dengan kerjasama TEKUN. Saya akan membawa pihak terlibat untuk memberi penerangan dan informasi tentang peluang perniagaan,” ujar Dato’ Ruby yang juga merupakan Special Advisor, UN World Food Programme (WFP).
Kata Dato’ Ruby tentang kejayaan wanita hari ini, “Ini adalah senario yang sihat apabila semakin ramai wanita yang agresif bekerja. Saya gembira melihat trend sekarang yang membuka banyak peluang untuk wanita yang mempunyai anak untuk bekerja dengan menyediakan pelbagai kemudahan. Saya percaya dengan sokongan ekosistem kita, pasti ramai wanita ingin kembali bekerja selepas berkahwin dan mempunyai anak. Contohnya kalau dahulu kurangnya kemudahan untuk ibu menyusukan anak tetapi sekarang kemudahan itu telah diperbanyakkan dan memudahkan pergerakan wanita ke mana sahaja.”
Status sebagai seorang VIP, “Membawa status tentu sahaja menuntut saya untuk menjaga tatasusila, kesopanan dan penampilan di mata umum. Ya! Benar perkara ini perlu dititik beratkan tetapi saya juga merupakan manusia biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan mungkin hari-hari tertentu sedih, malas atau tidak ingin berjumpa dengan sesiapa kerana ingin masa untuk bersendiri. Saya percaya jika kita menjadi diri sendiri dan ikhlas dengan sesiapa sahaja, kita akan bersikap jujur dengan mereka.
Jika saya boleh membantu, saya akan cuba untuk menolong tetapi jika ia di luar daripada kemampuan, saya akan berterus-terang dan meminta maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan itu. Saya bersyukur dengan individu yang masih sudi untuk datang bagi meminta bantuan tetapi seperti saya katakan tadi, kita hanya manusia mungkin tidak semua dapat dipenuhi.

Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. “Berbicara tentang anak saya Elisa, 29 dan Clifford, 28, saya bersyukur mereka juga berminat untuk melakukan kerja amal. Saya berbangga dengan Elisa yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Sepatutnya majlis itu boleh diabadikan sebagai sebuah majlis besar-besaran dengan menelan belanja jutaan ringgit, tetapi anak saya sanggup mengetepikan impian perkahwinan itu dengan mendermakan RM1.5 juta yang kami beri kepada sebuah badan kebajikan dan juga menderma untuk pekerja sosial yang akan melanjutkan pelajaran di Oxford University.
Keputusan yang dibuat itu amat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu dan amat bangga dengan tindakan itu. Saya bersyukur mempunyai anak-anak yang sangat baik dan sentiasa mengambil berat orang di sekeliling mereka,” jelas Dato’ Ruby yang turut bangga dengan kejayaan anaknya, Clifford yang bakal menjadi seorang pilot suatu hari nanti.
Pada waktu senggang, tetamu VIP ini bukan memilih aktiviti untuk membeli-belah atau menghabiskan waktu di spa tetapi beliau senang sekali melayari Google. “Mungkin hobi ini jarang sekali menjadi pilihan ramai wanita tetapi itulah hakikatnya. Saya suka Google kerana terdapat banyak ilmu, informasi dan perkembangan semasa yang boleh diperoleh dari situ. Melalui cara ini saya dapat menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa dengan mudah. Buat semua wanita, lakukanlah apa sahaja yang terbaik yang boleh memberi faedah kepada diri sendiri asalkan tidak menyusahkan atau menyakiti orang lain,” terangnya mengakhiri perbualan. #nonasuperwoman #inspirasinona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebak! 24 Jam Paling Berharga, Sah Positif COVID-19 DATO’ SHAREEN Nekad Bantu Pesakit Tak Berdaya

Setiap hari pasti kita mendengar khabar tentang saudara rapat mahupun rakan terdekat sedang kritikal mendepani pandemik COVID-19. Dari sehari ke sehari pasti ada berita duka sampai ke telinga. Sesungguh COVID-19 bukan mainan kerana ramai yang terkesan dengan pandemik ini.
Apabila sudah terkena kepada ahli keluarga baharu kita tahu erti sebenar COVID-19 ini. Sebak mendengar perkongsian Dato’ Hajah Sharifah Shareen Almashoor tentang pengalamannya sebagai pesakit COVID-19.

Dalam masa sama, terpalit rasa terharu dengan pengorbanan wanita yang mesra di sapa sebagai Dato’ Shareen ini membantu pesakit COVID-19 tidak berupaya menjaga diri sendiri.
Pengalaman 24 Jam
“Pengalaman 24 jam di hospital, memang suatu pengalaman yang tak akan lupa sampai mati. Saya bersyukur kerana Allah bagi saya peluang tempuh pengalaman begitu,” ujar peneraju pelbagai bisnes termasuk bisnes keluarga iaitu ‘Saudagar Arab Malaysia’ yang hampir 40 tahun beroperasi ini.
Tidak berbayang bagaimana seorang wanita VIP atau ‘Kayangan’ terlupa bahawa dirinya pesakit COVID-19 dan sibuk membantu pesakit lain sepanjang menerima rawatan di salah sebuah hospital kerajaan. “Saya telah ditempat di sebuah hospital selepas melalui detik cemas tidak boleh bernafas di Pusat CAC Stadium Melawati, Shah Alam.

Setelah melalui rawatan di sana, saya telah dihantar dengan ambulan ke sebuah hospital. Setibanya di sana, saya melihat ramainya pesakit. Ini sangat berbeza dengan pengalaman saya menerima rawatan kanser dahulu.
Sayu melihat warga emas yang tidak berdaya menjaga diri sendiri telah membuatkan saya lupa bahawa saya juga pesakit seperti mereka. Rasa bersalah mula menyelinap dalam diri apabila melihat pesakit lain yang lebih kritikal dan berusia,” tutur wanita berusia 41 tahun ini.

Naluri
Pemilik hotel The Lov Penang ini memang terkenal rajin berkongsi rezeki dan aktif melakukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan serta misi bantuan kemanusiaan. Ketika dirinya diuji positif COVID-19 dan sedang kesakitan, nalurinya untuk membantu orang lain tidak mampu dibendung lagi.
“Saya tak sanggup melihat mereka terutama warga emas yang tak dapat menguruskan diri sendiri. Jika dalam situasi biasa, orang tua sakit pasti anak-anak akan datang menguruskan makan pakai mereka.

Tapi situasi pandemik ini, pesakit terpaksa urus diri sendiri. Di sini saya melihat bagaimana jika ibu kita sendiri yang terbaring di atas katil tanpa bantuan. Ada yang nak bangun nak makan pun tak boleh. Tak boleh nak harapkan doktor dan jururawat kerana mereka semua sibuk dengan urusan lebih penting,” katanya.
Tukar Lampin
Tambahnya lagi, “Apa yang saya buat selama 48 jam itu, pergi ke katil orang yang tak boleh bangun. Saya bercakap dengan mereka dan fikir apa yang saya boleh tolong. Saya bantu bagi makan tukar lampin pakai buang dan bantu mereka ke bilik air untuk mandi,” ucap Dato’ Shareen sambil menitiskan air mata.

Walaupun wanita yang lembut tutur kata ini berjaya menempatkan diri di hopsital swasta untuk meneruskan rawatan lanjut namun jauh di sudut hatinya mahu kekal di situ untuk terus membantu mereka yang memerlukan.
“Selepas memberitahu doktor saya sudah dapat tempat di hospital swasta saya bersyukur kerana proses discharge mengambil masa lama dalam 7 jam. Saya berdoa agar doktor lambatkan proses discharge.

Dalam masa 7 jam itu sempat saya bantu mereka semaksimum mungkin beri makan, tukar lampin pakai buang dan mandi termasuk mendengar cerita mereka. Dalam situasi begini duit mungkin sudah tidak berharga lagi, kalau ada orang dengar cerita pun sudah mampu menceriakan pesakit,” ucapnya.
Kanser Survivor
“Sepanjang saya di sana juga saya melihat lima kematian. Antara momen yang tak dapat dilupakan bila ada seorang makcik berbangsa Tionghua, saya bawa ke tandas untuk mandi sebelum saya nak discharge. Tapi dia tak mahu dan beberapa hari selepas itu saya dapat khabar dia sudah meninggal dunia.

Kalau kita sakit kanser hanya kita seorang. Tapi COVID-19 kita tengok semua orang sakit. Kita rasa helpless tak tahu macam mana nak tolong. Saya panic attack tak tahu macam mana nak tolong,” ujar kanser survivor ini.


Kagum dengan usahawan korporat yang berjiwa murni ini. Terpahat kukuh pesanannya, “Kalau nak bantu orang jangan pandang bangsa dan agama. Kalau dia wanita pandanglah dia sebagai mak kita. kalau dia lelaki pandanglah seperti dia ayah kita,” tutur Dato’ Shareen penuh kelembutan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kerana Tangguh Zakat, Kamera Datuk Yusof Haslam Pernah Jatuh Laut! MUJUR BERUBAH, Makin Berkat Rezekinya

Tiga tahun yang suram, gara-gara iklim industri perfileman yang merudum hampir membuat ramai penggiat seni hilang semangat. Jutawan berumur lebih separuh abad ini sendiri tidak terkecuali.
Datuk Yusof Haslam, pemilik syarikat perfileman gergasi Skop Production itu seperti biasa rancak berkongsi pengalaman hidupnya. Cuma berbeza kali ini, ia berkisar tentang insiden menginsafkan iaitu zakat.
Memang lumrah perniagaan… ada masa pasang, ada masa surut. Ada masa untung melimpah, ada masa rugi bersepah.
“Selama berkecimpung dalam bidang ini, saya sudah hasilkan pelbagai program TV dan filem. Malah sebagai sebuah syarikat bumiputera, saya turut gembira kerana perniagaan yang dibina mampu berkekalan.
Restoran Haslam juga sudah 33 tahun beroperasi, itu pun modalnya diberi oleh bapa mertua saya dahulu. Saya fikir semua ini adalah berkat yang dinikmati hasil daripada membayar zakat sejak mula berniaga lagi.
Saya masih ingat, ada satu peristiwa berlaku yang sangat menyedarkan tentang akibat lalai berzakat. Pernah sekitar tahun 1988, sewaktu syarikat saya baru bertatih, saya terlalu sibuk dengan kerja hingga terabai kewajipan membayarnya.
Kerana asyik tertangguh-tangguh, suatu hari pelakon saya iaitu A. Galak beritahu kamera kami jatuh ke dalam laut semasa penggambaran. Harga kamera masa tu memang mahal, tak silap saya RM20,000 lebur begitu saja. Ia jatuh kerana bot yang dinaiki krew dipukul ombak di Pelabuhan Klang.
Sambil mengenangkan nasib, tiba-tiba isteri saya iaitu Datin Fatimah Ismail bertanya sama ada saya sudah membayar zakat atau belum. Barulah saya sedar ini padahnya kerana bertangguh-tangguh urusan rezeki dengan Allah.
Saya termenung panjang. Sejak itu saya tak pernah sekali pun tertinggal membayarnya.

Alhamdulilah, berkat berzakat secara konsisten, rezeki kami tak pernah putus mengalir. Isteri saya pun salah satu rezeki itu kerana dia banyak beri nasihat dan ingatkan saya tentang agama,” cerita Datuk Yusof yang kini dibantu oleh anak-anaknya, Syamsul dan Syafiq.
Tambah Datuk Yusof, “Secara peribadinya ia memberi ketenangan hati. Saya percaya faedah berzakat itu besar, khususnya dalam perniagaan apabila pulangan yang didapati datang dari pelbagai arah.
Jika bukan melalui perniagaan, rezeki mungkin datang daripada kehidupan berkeluarga yang sentosa dan hati yang sentiasa reda dengan pemberian-Nya,” ujar beliau tentang faedah yang dinikmati hasil tuaian zakat selama ini.
Oktober lalu, ledakan filem Abang Long Fadil 2 yang diarahkan oleh anaknya iaitu Syafiq Yusof berjaya meraih kutipan box-office mencecah RM17.9 juta sepanjang 39 hari ditayangkan.
Mungkin berkat sabar, semangat dan pelaburan akhirat Datuk Yusof selama ini, sedikit sebanyak dibayar oleh Allah SWT secara tunai dalam bentuk tersebut.

Harta Di Dunia Cuma Pinjaman
Kisah benar Datuk Yusof Haslam ini turut diakui oleh Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian dari Pusat Pungutan Zakat MAIWP. Ikuti perkongsian beliau ini tentang besarnya nikmat berzakat.
“Walaupun zakat yang diperintahkan terdapat padanya syarat dan rukun, sebenarnya hikmah yang besar ialah ‘amanah harta’ yang telah Allah kurniakan pada hamba-Nya.
Mengapalah hati kita tak dapat merasakan hikmah tersebut? Adakah kita risau dan cemas harta berkurang atau tak cukup? Lihat dan renungi ayat Allah ini dengan hatimu.
“Dan bahawasanya Dia yang memberikan kekayaan dan memberikan kecukupan.” (Surah An- Najm: 48)
Lihatlah bagaimana Allah telah mengatur setiap urusan hamba-Nya apatah lagi mereka yang telah melaksanakan perintah zakat dalam menyucikan harta mereka. Renung sejenak ayat Allah ini,
“Jika kalian meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya Allah melipat gandakan (pembalasannya) kepada kalian dan mengampuni kalian. Dan Allah Maha Pembalas Jasa lagi Maha Penyantun.” (Surah At-Taghabun:17)
Penggunaan kata-kata ‘memberikan pinjaman’ dalam banyak ayat merupakan kemurahan Allah, sebab insan itu terkadang merasa memiliki barang dan harta yang ada padanya sehingga ia merasa sangat berat untuk menzakatkan hartanya di jalan Allah.

Kata-kata ‘memberikan pinjaman’ itu juga bererti bahawa sesungguhnya Allah akan mengembalikan kembali harta seorang hamba yang dikeluarkan di jalan-Nya, sehingga si hamba tidak merasa khuatir harta yang dikeluarkannya akan hilang begitu saja.
Indahnya apabila hamba menyusuri rukun Islam ke-3 ini dengan membawa iman dan hikmah atas setiap amanah harta yang telah dipinjamkan padanya. Bahkan dengan harta juga si hamba boleh menempah syurga yang dianugerahkan pada si hamba yang pemurah.
Malulah kita atas setiap pemberian Allah. Kita sering merasakan kita ialah tuan empunya segala-galanya, tapi ingat ia tidak kekal selamanya! Diri kita sendiri pun kepunyaan Allah yang Maha Baik, yang tidak pernah melupakan kita dari sejak kita lahir hinggalah nanti kita dibangkitkan dihadapan Allah.
Tunaikanlah semua hak Allah, hak pada diri dan orang lain, hak pada harta dan kekayaan yang telah diberi amanah untuk kita menjaganya. Tak rugi sebenarnya, semuanya akan dihitung dan dikira oleh Allah, lihatlah dalam hatimu sebuah janji Allah melalui lidah Nabi SAW,
Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seorang hamba memasuki waktu pagi pada setiap harinya, kecuali ada dua malaikat yang turun. Salah satunya memohon: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi dermawan yang infaqkan ( zakat) hartanya.’ Dan satu lagi memohon: ‘Ya Allah, musnahkanlah harta si bakhil.” (HR. Bukhary 5/270 Muslim 1678). Norzalina Mohd Alias
Sumber: PPZ-MAIWP
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


