Walaupun masih ramai memilih untuk menjadikan telefon bimbit untuk melihat masa namun penggunaan jam tangan masih relevan tambah-tambah lagi untuk menambah penampilan nampak professional.
Senarai ini adalah sebab terbaik mengapa anda perlu mula memakai jam tangan.
Hormat masa
Pemakaian jam tangan memudahkan anda untuk menjadi seorang yang lebih berdisplin dan menghormati masa. Bukan sahaja masa anda malah masa orang lain juga.
Perincian dan perhatian
Dua kualiti yang membuatkan anda diperhatikan; kehalusan dan ketelitian pada perincian yang terukir pada jam tangan.
Hijab kelemahan
Ads
Tidak, bukan bercakap soal tudung. Jam tangan menjadi daya tumpuan paling sedikit pada figura anda. Jadi, alihkan perhatian mata orang lain pada bahagian paling anda rasa insecure. Tonjolkan jam tangan yang cantik ukirannya.
Pelengkap gaya
Jam tangan melengkapkan penampilan anda setiap hari, di mana-mana jua. Disebabkan anda memakai jam tangan setiap hari, maka kuranglah perhatian dan masa untuk anda memilih aksesori apa yang akan digayakan.
Jaga adab
Jam tangan boleh menjaga adab? Ya…kerana setiap kali anda memilih untuk melihat masa pada telefon bimbit, anda boleh mengganggu suasana ketika dalam perbincangan, perbualan mahupun mesyuarat. Agak biadap untuk memegang telefon bimbit ketika anda sedang dalam perbincangan.
Ads
Hukum memakai jam tangan kiri
Melalui perkongsian daripada Datuk Seri Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama mengenai pemakaian jam tangan di laman Instagramnya, boleh menjadi panduan untuk kita semua.
Daripada A’isyah R.A, beliau berkata:
“Adalah Nabi Muhammad S.A.W suka kepada mendahulukan bahagian kanan, dari sudut memakai selipar, menyikat rambut, semasa berwudhu’ dan juga dalam urusan baginda seluruhnya.” (Riwayat Al-Bukhari:168)
Ads
Tambahnya lagi, menurut para ulama Syafi’eyyah:
Pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdal dan utama.
Pemakaian jam tangan adalah lebih sesuai diqiyaskan kepada pemakaian cincin, kerana kedua-duanya di pakai di tangan.
Pemakaian jam tangan di tangan kiri tidak termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang-orang kafir.
Diringkaskan lagi oleh Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli:
Hukum memakai jam di tangan kiri adalah harus. Memakai jam di tangan kanan dengan tujuan mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W adalah lebih afdal dan mendapat pahala, Insha Allah.”
Kredit info: Instagram Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Al Bakri
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat mereka yang merindui filem Ketika Cinta Bertasbih sudah tentu mengenali pendakwah selebriti dan pelakon Oki Setiana Dewi ini.
Pendakwah selebriti terkenal dari Indonesia ini membawakan watak Anna Althafunnisa dalam filem yang telah memenangi pelbagai anugerah itu. Setelah 13 tahun berlalu pertembungan watak utama dalam filem Ketika Cinta Bertasbih itu telah ditemukan semula dalam filem Hayya 2; Hope, Dream & Reality.
Khabar gembira ini telah dikongsi oleh pelakon itu sendiri di laman media sosial milik peribadinya. “Siapa yang merindu kehadiran Ana, Husna dan Mas Azam? Reuni Ketika Cinta Bertasbih. Nikmati pertemuan ketiga bintangnya setelah 13 tahun lalu, melalui film Hayya 2,” tulis wanita ini.
Oki Setiana Dewi sebagai Executive Producer filem ini telah mengangkat genre drama keluarga. Filem Hayya 2 berkisar tentang isu kemanusiaan sekali gus menjadi medium refleksi situasi hari ini.
Sesungguhnya figura hebat ini telah menunjukkan contoh yang baik sebagai wanita, isteri dan juga ibu. Bahagia bersama keluarga tercinta wanita ini juga telah berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah pada tahun lalu.
Di usia 31 tahun, ibu kepada 4 orang cahaya mata ini telah meraih PhD. Lebih istimewa lagi ketika menyiapkan kajian dan penulisan tesis bertajuk “Pengajian Selebriti Hijrah Kelas Menengah Muslim (2000-2019): Respons Atas Dakwah Salafi dan Jamaah Tabligh”, Oki Setiana Dewi sarat hamil anak keempatnya.
Kagum dengan semangat wanita yang pernah mengutip dana untuk mendirikan sebuah Masjid di Sepanyol ini.
Tertarik dengan perkongsian wanita kelahiran Batam Indonesia ini tentang sifat bersangka baik kepada Allah SWT dalam salah satu kuliah Dhuhanya di Ibu Negara suatu ketika dahulu. Antara kupasannya berkenaan tajuk ini;
“Ujian kesenangan apabila dikurniakan harta yang melimpah-ruah, anak yang sihat dan bijak dan kesihatan yang baik namun tidak pernah bersyukur.
Tapi Allah tetap mengurniakan nikmat, hati-hati ya ini yang dinamakan istidraj. Istidraj adalah apabila Allah akan beri semua kenikmatan di dunia tetapi akan dihitung di akhirat kelak.
Terdapat tiga golongan iaitu;
1. Golongan paling rendah apabila mempersoalkan ujian yang menimpanya.
2. Golongan tinggi apabila ikhlas apabila diuji dengan dugaan hidup.
3. Golongan tertinggi apabila mengucapkan rasa syukur apabila diuji dengan dahsyat sekali.
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!
Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.
CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.
BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.
Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.
Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah untuk bangkit dari kesakitan apalagi bila ia adalah barah payudara. Tetapi kesungguhan Dr Siti Zubaidah untuk kembali sihat sangat memberi inspirasi. Malah, dia kini begitu aktif mengendalikan klinik estetik sendiri, Cosmoglam Clinic yang terletak di Cheras. Kisahnya dikongsikan bersama majalah Nona.
“Saya berada di Moscow untuk sambung pengajian. Ketika sedang mandi, saya perasan ada ketulan di bahagian puting menyebabkan saya terus terfikir untuk lakukan pemeriksaan.
Sebagai seorang pelajar perubatan, pensyarah adalah tempat untuk kami membuat pemeriksaan dan nyata, selepas scan, pensyarah saya mencadangkan untuk membuat biopsi kerana ia nampak seperti sedang merebak.
Saya terus hubungi keluarga di Malaysia dan petang itu juga saya dipaksa pulang ke tanahair. Kebimbangan kedua ibu bapa saya membuatkan otak ini ligat berfikir. Entahlah, macam-macam bermain di fikiran. Di Malaysia, temujanji sudah pun ditetapkan di salah sebuah hospital swasta. Pembedahan membuang ketulan terus dilakukan sebanyak dua kali,”ujar Dr. Siti.
Semuanya berlaku terlalu cepat. Kehadiran ketulan sebesar 3×4 sentimeter itu tidak langsung memberikan rasa sakit. Benarlah, setiap perubahan yang berlaku pada tubuh tidak hanya datang dengan kesakitan, kerana yang sakit itu adakalanya tidak membimbangkan.
“Pembedahan kali kedua dilakukan untuk membuang ketulan yang sudah merebak ke bahagian bawah lengan dan payudara. Sebaik selesai, saya menjadi sangat lemah dan sakit.
Ketika itu bohonglah jika saya tak terfikirkan soal kematian. Tidak cukup dengan pembedahan, saya juga melalui radioterapi. Ya Allah, lembik sungguh badan selepas itu sehingga ayah terpaksa mengangkat saya. 42 saat radioterapi terasa seperti 42 minit!
Saya teringat kembali ketika doktor beritahu pada saya dan ibu bapa mengenai kanser ini, ayah saya terduduk di hadapan pintu lif. Ibu pula menangis sehingga saya memaksa diri menjadi kuat untuk mereka.
Saya hanya minta kekuatan ibu dan ayah untuk saya bangkit dari perasaan takut dan sedih. Saya mohon agar mereka menyembunyikan rasa sedih di hadapan saya kerana sokongan keluarga adalah kekuatan untuk mana-mana pesakit kanser untuk pulih, atau sekurang-kurangnya untuk menikmati kehidupan yang bersisa,” katanya.
SURVIVOR
Enam tahun menyimpan kisah penyakit dihadapi, baru kini Dr. Siti terbuka hati untuk berkongsi kisahnya pada dunia. Menurut Dr. Siti, ini adalah kali pertama dia menceritakan secara terbuka hal kanser ini kepada umum bersama Nona.
“Selepas lima tahun, saya dikategorikan sebagai survivor. Alhamdulillah saya bebas kanser. Terdapat juga kes di mana kanser datang kembali dan saya sentiasa berdoa agar ia tidak terjadi kepada saya.
Kawan-kawan langsung tak tahu apa yang berlaku, begitu juga saudara-mara. Kali ini saya memilih untuk bersama kumpulan sokongan di Breast Cancer Foundation (BCF) dan berkongsi kisah kehidupan saya.
Saya sungguh tergamam apabila melihat pesakit kanser ini lebih positif daripada saya. Sungguhpun derita yang mereka hadapi lebih teruk, tetapi sikap positif mereka begitu tinggi. Saya sungguh terharu melihat seorang wanita yang botak masih melakukan yoga dan tersenyum dengan senyuman yang amat manis,” hampir menitis air matanya kala mengenangkan kembali nasib yang menimpa pesakit kanser yang ditemui,” ujarnya.
Sesungguhnya, kanser mengubah seseorang dan seluruh keluarga di sekeliling. Sewaktu dalam pengajian dulu dia meletakkan matlamat untuk mendapat senarai dekan dalam setiap peperiksaan tetapi disebabkan apa yang berlaku, dia lebih tenang dan berusaha sekadarnya sahaja.
“Selepas pembedahan, saya sambung pengajian yang tertangguh walaupun dihalang oleh keluarga. Mereka meminta saya sambung pengajian di sini sahaja untuk memudahkan mereka menjaga saya. Tiket penerbangan balik pun saya terpaksa beli sendiri kerana ibu dan ayah langsung boikot, tak mahu saya ke sana.
Tetapi saya ada matlamat. Seandainya saya berada di sini, tak buat apa-apa dan ditakdirkan saya sihat, kan dah rugi kerana tak dapat ijazah kedoktoran. Itu kata-kata saya pada ayah.
Akhirnya, saya berjaya di Moscow. Saya rendahkan aim supaya tidak rasa stres kerana stres dan pemakanan yang tak terkawal membuatkan saya mendapat kanser. Itu hakikat! Saya kembali ke Malaysia dengan cita-cita untuk membuka klinik aestetik dan Alhamdulillah Cosmoglam Clinic, sebuah klinik aestetik yang saya usahakan kini bertapak di Cheras,” katanya.
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.