Majlis perkahwinan di antara anak bongsu mendiang Puteri Diana dan pelakon Hollywood, Megan Markle telah mencipta sejarah dan mendapat perhatian dunia. Sebagai isteri kepada putera diraja Britain, Megan Markle perlu cepat belajar menyesuaikan diri dengan protokol istana.

IKLAN

Tiada siapa pun mampu menyelami transisi hidup wanita ini di dalam istana melainkan dirinya sendiri sahaja. Mungkin hidupnya hanya seperti berada dalam ‘sangkar emas’. Bermula dengan keputusan untuk tinggal berasingan dengan keluarga diraja dan kini pasangan diraja ini telah membuat keputusan untuk membina kehidupan keluarga sendiri di Amerika.

Duke dan Duchess of Sussex ini telah mengumumkan pengunduran diri mereka daripada keluarga diraja Britain di laman Instagram mereka. Kongsi Megan Markle dan suami tercintanya bahawa mereka telah membuat keputusan untuk mengundur diri sebagai ‘senior members‘ keluarga diraja Britain dan akan memulakan hidup keluarga kecil mereka di Amerika Utara.

Pasangan diraja ini juga akan mula bekerja untuk menampung kehidupan bersama anak mereka, Archie. Walau bagaimanapun Megan Markle dan Putera Harry tidak memutuskan hubungan dengan keluarga diraja Britain dan masih akan pulang ke sana untuk menyokong Ratu Elizabeth. Pasangan ini juga berjanji akan menyeimbangkan masa mereka di antara kehidupan di Amerika dan juga United Kingdom.

IKLAN

Adakah dengan penghijrahan Megan Markle dan Putera Harry ke Amerika ini bermakna mereka hilang gelaran sebagai Duke dan Duchess of Sussex? Buat masa ini pasangan diraja ini tidak hilang gelaran yang telah dikurniakan oleh Ratu Elizabeth di hari perkahwinan mereka dahulu. Namun, Ratu Elizabeth berhak menarik balik kurniaan yang telah diberikan. Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie adalah contoh yang boleh dilihat apabila mereka mempunyai kerjaya sendiri di luar istana dan dalam masa yang sama masih memegang gelaran sebagai keluarga diraja.

IKLAN

Diharapkan Megan Markle dan Putera Harry telah berfikir dengan teliti sebelum mengambil keputusan ini. Semoga pasangan diraja ini bahagia hidup dengan cara sendiri tanpa campur tangan istana dan membesarkan anak-anak dengan cara yang terbaik. Kita doakan yang baik-baik sahaja.

Sumber: people.com