
Jika dihitung pencapaian anak jati kelahiran Pulau Pinang ini, memang tak terkira banyaknya. Meskipun namanya dalam industri sukan terkenal di seluruh dunia namun Datuk Nicol cukup merendah diri.
Nama Datuk Nicol Ann David menjadi bualan tidak hanya di dalam negara bahkan seluruh dunia apabila beliau merangkul gelaran berprestij Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia!
Menerusi undian yang dibuat secara dalam talian di laman web Sukan Dunia itu, ratu skuasy berkenaan mendapat 318,943 undi menewaskan 23 atlet lain dari seluruh dunia.
Dilahirkan pada 26 Ogos 1983, bekas atlet ini merupakan anak kepada Desmond David dan Ann Marie David. Beliau mempunyai dua beradik perempuan iaitu Lianne Marie dan Cheryl Therese.
Minatnya dalam sukan skuasy mula disedari bapanya ketika beliau berusia lima tahun. Difahamkan, ketiga-tiga beradik ini didedahkan dengan sukan berkenaan sejak kecil lagi.
Seawal usia 15 tahun, Datuk Nicol sudah berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia. Kejayaan meraih pingat emas di Sukan Asia Pattaya, Thailand pada tahun 1998
menjadi pembakar semangat buat tokoh sukan ini untuk terus melakar pelbagai sejarah.
Sebelum itu pun, dia telah beberapa kali memenangi kejohanan peringkat antarabangsa Terbuka Junior Scotland Under-12 dan Kejohanan Hong Kong Under-13.
Sepanjang pembabitannya sebagai atlet skuasy, jaguh wanita ini merangkul gelaran Juara Dunia sebanyak 8 kali! Beliau kemudian mengumumkan persaraan pada tahun 2019.
Yang pasti, Datuk Nicol David merupakan antara atlet yang berpendidikan tinggi. Pada tahun 2019, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan dari Universiti
Sains Malaysia (USM).
Berkongsi momen istimewa itu, ujarnya, “I’m so honoured! Never thought I would get this. Thanks to USM for this Honorary Degree of Doctor of Sports Science.”
Biarpun meraih pelbagai kejayaan di pentas dunia tapi wanita lasak tersebut tetap setia menimba ilmu. Walau sudah bersara, beliau masih menjadikan ilmu sebagai keutamaan.
Tambahan pula pada akhir Januari 2021, Datuk Nicol berkongsi rasa teruja dan gembira selepas berjaya menamatkan pembelajaran secara dalam talian dalam Foundations of Positive Psychology, University of Pennsylvania!
“I never thought I would be studying after squash but I gave it a shot during the pandemic. I have always been interested in understanding more how our mind works for us and against us and this specialization has given me better insights and tools for understanding our thoughts better. Never too late to learn something new.”
Datuk Nicol yang meniti usia 40 tahun pernah menarik perhatian masyarakat ketika masih bergelar pelajar sekolah apabila beliau memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ramai mengagumi kepintaran jaguh sukan kebanggaan ini apatah lagi waktu itu dia sudah mula aktif dengan skuasy. Moga kejayaan bekas atlet kebanggaan negara ini terus menjadi sumber inspirasi ramai wanita!
Anak Pulau Pinang Juara Badminton Dunia, Loh Kean Yew Hadiahkan Kemenangan Buat Rakyat Singapura!

Kemenangan Loh Kean Yew di final Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (WBF) di Huelva, Sepanyol baru-baru ini merupakan hadiah hujung tahun terbaik buat rakyat Singapura. Meskipun dilahirkan di Pulau Pinang, namun juara badminton dunia ini sebenarnya merupakan atlet negara jiran.
Berusia 24 tahun, Loh yang memiliki ketinggian 175cm merupakan pemain badminton perseorangan lelaki Singapura sejak tahun 2015.
Memetik laporan Berita Harian Singapura, Presiden Halimah Yacob turut memuji pencapaian jejaka tampan ini yang berjaya mengharumkan nama Singapura biarpun dalam keadaan pandemik sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Kata pepatah, seluruh kampung harus bekerjasama untuk mendewasakan seorang kanak-kanak. Serupa dengan ini, sebuah ekosistem juga diperlukan untuk memberi sokongan kepada seorang juara.” Presiden Halimah Yacob



Loh Kean Yew menjadi warga Singapura pertama menjadi juara badminton dunia selepas menewaskan pemain nombor ke-14 dunia dari India, Srikanth Kidambi, dalam straight set 21-15, 22-20 di final Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (WBF) di Huelva, Sepanyol, untuk meraih gelaran dunia itu.
Walaupun bersaing dengan kecederaan buku lali, tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda buat sementara, semangat Loh untuk bekerja keras memenangi kejohanan dunia itu amat mengagumkan.
“Terima kasih kerana yakin akan keupayaan saya dan kerana sentiasa hadir untuk menyokong saya.
Ia adalah sesuatu yang amat bermakna bagi saya kerana saya tahu saya mempunyai sokongan hebat sepanjang perjalanan ini.” Loh Kean Yew


Selain mengucapkan taniah kepada Persatuan Badminton Singapura (SBA), Institut Sukan Singapura (SSI) dan penajanya, Li-Ning, Loh memberi penghargaan kepada jurulatih, rakan sepasukan dan pasukan sokongan yang lain.
Lengkap pakej atlet bertaraf dunia, segak dan mengharumkan nama negara yang diwakilinya, pencapaian Loh Kean Yew pasti sesungguhnya menjadi inspirasi kepada atlet-atlet lain di Singapura! Syabas.

Foto: Instagram @lohkeanyew
Semangat Juang YB DATUK SERI RINA HARUN Cetus Inspirasi Buat Wanita Mendepani Cabaran

Genap setahun negara dilanda pandemik COVID-19, sudah pasti dalam tempoh tersebut ramai golongan wanita yang terjejas.
Pertemuan eksklusif bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Datuk Seri Rina Mohd Harun bersempena Hari Wanita Sedunia baru-baru ini, terserlah kredibiliti dan keprihatinan beliau terhadap rakyat khususnya golongan wanita dan kanak-kanak. Ternyata beliau seorang yang sangat komited dalam setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

Kini kebanyakan wanita terjejas dari segi kehidupan, pendapatan, rumahtangga dan sebagainya. “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran” bukan sekadar tema sebaliknya ia menyeru agar kita sama-sama bangkit. Segala cabaran dihadapi bersama dan saling menyokong antara satu sama lain.
Contohnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada wanita yang perlu bekerja dari rumah. Walau bekerja dari rumah mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Ini antara cabaran yang kebanyakan wanita perlu hadapi saat ini.
Baca perkongsian bicara Datuk Seri Rina Harun berkenaan tema Hari Wanita tahun ini dan sumbangan beliau yang mewakili ‘suara wanita’ di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
JIWA MUDAH TERSENTUH
“Sepanjang melaksanakan amanah pelbagai kisah suka duka wanita yang saya temui. Namun dua kisah wanita ini benar-benar menyentuh jiwa saya. Jika berada di tempat mereka belum tentu saya mampu mengharunginya.
Saya pernah bertemu dengan seorang wanita yang mana dia berhenti kerja kerana mahu menjaga 6 orang anak yang masih kecil. Hanya suaminya yang bekerja. Namun pada Ogos 2020 suaminya telah diberhentikan kerja dan dia diceraikan. Inilah dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Kisah ini benar-benar menyentuh hati saya.

Lantas saya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan bantuan kepadanya. Kami berikan bantuan bulanan termasuk pekerjaan untuknya apa yang boleh dilakukan di rumah memandangkan dia perlu menjaga anak. Contohnya menjadi agen atau dropship. Walau duduk di rumah dia boleh menjana pendapatan. Nasihat saya kepadanya, sebagai wanita kita jangan mudah mengalah.
Satu lagi kisah mengenai seorang ibu tunggal yang mempunyai tahap pendidikan hanya darjah 6. Dia diceraikan suami dan tidak diberikan nafkah yang sepatutnya. Melalui program dan latihan bimbingan yang diberikan, dia mendapat kekuatan untuk pergi ke mahkamah demi mendapatkan haknya.
Dengan dokumen-dokumen yang disediakan sendiri dan tanpa diwakili peguam, dia fight di mahkamah. Akhirnya dia menang kes dan dapat apa yang dimahukan. Inilah semangat yang menyentuh hati saya sekaligus memberikan motivasi buat wanita-wanita lain.
Apa yang ingin saya sampaikan ialah wanita ini hatinya cekal. Wanita boleh bangkit menghadapi cabaran. Sebab itu kita perlukan kumpulan sokongan yang positif di kalangan wanita. Mereka perlu lebih berfikiran positif walaupun ada cabaran dalan hidup masing-masing.
Saya juga ada cabaran tersendiri namun kita perlu mengambil sesuatu itu sebagai pengajaran dan sama-sama bangkit. Sebagai wanita kita mesti sokong wanita. Apabila melihat sesuatu kita jangan mudah menjatuhkan hukum atau persepsi negatif kepada mereka. Usah ada niat hendak menjatuhkan kerana wanita perlu bersatu. Itu harapan saya sempena Hari Wanita ini.
INISIATIF KPWKM
Seperti mana disebutkan tadi ramai wanita yang terjejas dari segi pendapatan, kehilangan pekerjaan dan sebagainya. Ada juga yang diceraikan dalam situasi sekarang. Maka pelbagai isu yang dihadapi oleh wanita. Di pihak Kementerian kami memahami apa yang berlaku. Justeru, kami menyediakan bantuan khas ibu tunggal sebanyak RM300 yang diberikan secara one-off dan dinikmati oleh 150 ribu ibu tunggal seluruh Malaysia.

Tidak sekadar itu, kami turut mengadakan kolaborasi bersama kementerian-kementerian termasuk agensi-agensi kerajaan dan swasta. Contohnya kolaborasi antara Jabatan Pembangunan Wanita dan TalentCorp. yang menyediakan peluang-peluang pekerjaan khusus untuk wanita.
Seterusnya, dari segi tekanan emosi dan kehidupan pula kami wujudkan lebih banyak kumpulan psikososial. Bermula Mac 2020 kami mewujudkan Talian Kasih dan tele-kaunseling yang dikhususkan untuk mereka yang memerlukan pandangan dan bimbingan. Terdapat 700 kaunselor berdaftar dengan pihak Kementerian.
Pada tahun 2019 kami menerima 20-25 ribu panggilan setahun. Namun menjelang tahun 2020 apabila pandemik COVID-19 melanda angka tersebut meningkat ke 153 ribu panggilan. Kebanyakan panggilan bertanyakan tentang bantuan kebajikan.
Sebenarnya tidak semua orang ada tempat mengadu apatah lagi untuk membantunya. Mungkin seseorang itu malu untuk luahkan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan. Namun apabila bersama kaunselor dia mampu luahkan apa yang dialami. Pihak kaunselor akan bimbing apa yang sepatutnya dilakukan. Kami tidak mahu mereka terus berputus asa. Kami ingin mencetuskan semangat juang kepada mereka melalui kaunseling.
Selain itu, Kementerian turut memperkenalkan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) atau Skuad WAJA bagi memberikan latihan dan bimbingan. Tahun lalu kami perluaskan lagi dari segi psikososial kerana ramai yang ada tekanan mental dan emosi. Bukan semua dapat menghadapi dugaan ini. Maka kumpulan sokongan itu penting dan tele-kaunseling akan ada di setiap daerah.

Norma baharu “Kita Jaga Kita” turut dipraktiskan dalam kehidupan masyarakat. Saya mahu mewujudkan masyarakat yang penyayang agar mereka ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling. Contohnya kes penderaan kanak-kanak. Kalau kita tinggal di satu perumahan kita terdengar suara kanak-kanak menangis atau mungkin ada perkara yang mencurigakan apa perlu buat? Adakah kita tidak akan ambil tahu sebab tidak mahu sibuk hal orang atau kita perlu bertindak seperti membuat aduan?
Tak bermaksud kita mesti ambil tahu semua perkara tetapi jika ada sesuatu perkara yang mencurigakan segeralah bertindak. Saya mahu rakyat sedar dengan hanya satu panggilan boleh menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak. Nyawa tidak boleh dijual beli. Bayangkan kanak-kanak itu anak kita. Apa perasaan kita? Maka, perlunya ambil berat kepada apa yang berlaku dalam masyarakat.
Tidak sekadar itu, sepanjang tahun 2020 melalui Jabatan Pembangunan Wanita kami telah menganjurkan 969 program yang disertai 400,438 wanita. Antara tujuannya memberi mereka kesedaran tentang hak undang-undang jika berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
Sebenarnya kita boleh ada rakan pembimbing di setiap komuniti dan masyarakat agar lebih ramai lagi psikososial dan Skuad WAJA. Ramai wanita yang terjejas maka kami mahu membantu mereka dari segi keusahawanan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga banyak memfokuskan kepada pemberian bantuan. 80% daripada peruntukan lebih kepada bantuan kebajikan setiap bulan.
Namun bagi saya ia belum cukup membantu dalam menyelesaikan masalah. Sebab itulah kita berkolaborasi dengan kementerian-kementerian seperti Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi Malaysia dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Tujuannya untuk membantu wanita.

Contohnya, untuk tahun 2021 kerajaan memperuntukkan 30 juta geran taska sektor awam dan 20 juta geran untuk diberikan kepada syarikat-syarikat swasta yang mahu membuka taska. Apa yang dilaksanakan ini bagi membantu wanita kerana mereka juga seorang ibu.
Pada masa sama, kita mahu memperkasakan wanita dari segi ilmu undang-undang. Pada 6 dan 8 Mac 2021 kami adakan program untuk ibu-ibu tunggal sebagai persediaan apabila mereka ke mahkamah. Antaranya program bantuan guaman. Kami juga mahu melahirkan wanita yang apabila mereka ke mahkamah (mungkin tidak semua mampu upah peguam) mampu bercakap di hadapan peguam dan hakim dengan penuh keyakinan seterusnya menang kes.
AKTIVITI HARI WANITA
Aktiviti kali ini disambut dalam norma baharu. Antaranya Skuad WAJA, bantuan keusahawanan, kewangan dan program-program literasi undang-undang. Ini semua ke arah memperkasakan wanita sesuai dengan tema “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran” Hendak bangkit perlukan ilmu, kesedaran dan sokongan. Kami wujudkan program-program ke arah kebangkitan wanita.
Antaranya program bersama LPPKN dan Forum Perdana Ehwal Islam membincangkan topik “Mencari Khadijah”. Sambutan Hari Wanita tahun ini dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut diberikan anugerah-anugerah khas kepada wanita-wanita hebat yang memfokuskan kepada memperkasakan wanita.
HALA TUJU
Tahun 2021 buat pertama kalinya kadar bantuan bulanan di bawah JKM meningkat merangkumi pelbagai golongan. Contohnya, jika sebelum ini bantuan kanak-kanak RM100 seorang dan satu keluarga maksimum RM450, tetapi sekarang naik kepada RM200 bagi kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah. Manakala RM150 bagi kanak-kanak berusia 7 tahun ke 18 tahun. Untuk satu keluarga pula RM1,000.
Untuk golongan OKU yang tidak bekerja jika sebelum ini menerima RM250 tetapi sekarang RM300 seorang. Bagi OKU yang bekerja pula sebanyak RM450. Untuk bantuan warga tua yang sakit terlantar sebanyak RM500. Bantuan-bantuan ini diberikan setiap bulan kepada mereka. Hampir 40 ribu keluarga menerima bantuan minimum RM1,000 sebulan. Saya betul-betul fight untuk mereka, alhamdulillah suara saya didengari.
Selain itu, kami mempunyai 192 program bantuan meliputi agensi dan kerajaan persekutuan. Ini tidak termasuk lagi di negeri, pusat zakat dan sebagainya. Kami pecahkan lagi bantuan ini kerana hendak melihat adakah bantuan yang diberikan itu benar-benar membantu mereka atau kita melahirkan rakyat Malaysia yang hanya bergantung kepada kerajaan. Inilah cerita yang hendak kami sampaikan tentang apa yang kami lakukan untuk rakyat.
Kami juga perlu ada satu agensi berpusat bagi pemantauan dan penilaian program bantuan sosial. Kami mahu selaraskan koordinasi antara bantuan sosial dan mewujudkan pangkalan data berpusat bagi bantuan sosial. Cadangan lain ialah pemberian bantuan sosial yang bersyarat agar bantuan itu benar-benar memberi manfaat kepada mereka.

Sebab itu kami telah memulakan Projek Rintis di Kedah, Perlis dan Melaka pada Januari lalu kolaborasi bersama Bank Islam. Kita hendak tahu apa produk yang mereka beli. Adakah mereka gunakan untuk keperluan asas. Mereka juga mungkin perlu menghadiri satu kursus contohnya keibubapaan.
Statistik menunjukkan kes penderaan kanak-kanak, mereka yang melakukannya adalah di kalangan ibu bapa kandung. Saya benar-benar terkesan dengan isu ini. Sedangkan anak-anak ini perlu dilindungi. Jadi, kami mahu pastikan bantuan yang diberikan kepada kanak-kanak tidak disalah guna. Tujuannya bagi memastikan anak-anak ini berjaya suatu hari nanti. Sebab itulah saya letakkan bantuan bersyarat agar dapat menyelesaikan masalah.
Saya mahu setiap program yang diusahakan ada exit program agar kita dapat mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan dan kesegeraan memproses permohonan bantuan. Kita permudahkan bukan merumitkan. Ada orang menganggap RM200 itu mungkin sedikit tetapi bagi yang lain pula dengan bantuan RM200 itulah duit makan dia dan sebagainya.
HARAPAN
Pertamanya, semua wanita perlu kuat dan kedua sistem sokongan. Wanita perlu saling menyokong antara satu sama lain. Dalam memperjuangkan sesuatu kita tidak boleh mengharapkan lelaki semata-mata sedangkan kita sendiri tidak bersatu. Seterusnya, saya mahu wanita-wanita terus progresif, produktif dan positif dalam menghadapi apa jua cabaran. Kita mahu wanita lebih maju ke hadapan.
Saya juga mahukan peruntukan-peruntukan di bawah kerajaan yang lebih responsif kepada wanita. Seterusnya semogar wanita di Malaysia lebih ramai yang berjaya. Sebagai Menteri yang dipertanggungjawabkan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah pasti akan terus komited untuk memperkasakan wanita bukan sahaja dari segi program mahupun bantuan malah dari segi kelangsungan hidup ke tahap yang lebih baik.

Kita sedia maklum sejak pandemik COVID-19 golongan wanita turut terjejas. Statistik menunjukkan 73% daripada mereka lebih terkesan dan 60% daripadanya adalah daripada golongan B40. Sekarang ini golongan M40 pun 600 ribu orang. Sebelum ini mereka dari golongan M40 tetapi sekarang sudah tergolong dalam kumpulan B40. Ini menunjukkan semakin ramai yang jatuh miskin.
Wanita merupakan salah satu kumpulan sasar termasuklah golongan OKU, warga emas, kanak-kanak dan gelandangan. Walau apa jua keadaan sekali pun saya yakin akan ada peluang-peluang lebih baik. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan malah semua pihak.
Sebab itulah pihak KPWKM membantu mereka dengan pelbagai usaha antaranya bertemu kementerian-kementerian lain, syarikat-syarikat swasta dan sebagainya untuk mempromosikan the corporate shared value dan ini lebih kepada win-win situation,” jelas Datuk Seri Rina yang semakin cantik dan langsing.
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan: Datin Saidatulnisa Aminuddin
Busana: Man Kajang
Lokasi: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat
Basikal Terpakai Hadiah Arwah Bapa Bawa Semangat Azizulhasni Raih Juara Dunia Keirin & Pingat Olimpik

Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mengharumkan nama negara dengan meraih kejayaan demi kejayaan di arena sukan basikal adalah suatu pengorbanan yang sukar dibalas.
Dalam persediaan memburu emas Olimpik sulung negara di Tokyo tak lama lagi, Juara Dunia Keirin 2017 ini terpaksa ‘meninggalkan’ sementara isteri tercinta dan anak-anak tersayang demi perjuangannya memburu pingat pertama untuk negara.



Besar sungguh pengorbanan ayah kepada dua anak puteri, Amna Mariam dan Amna Khadeeja dan suami kepada Athiah Ilyana Abdul Samat kepada negara.
Khabarnya, pemilik Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Deakin, Melbourne, Australia ini bukan saja menjadi tumpuan media tempatan. Malah turut diberi penghormatan oleh wartawan antarabangsa apabila disenaraikan antara 10 atlet yang harus diberi perhatian menjelang Sukan Olimpik Tokyo kelak.


THE POCKET ROCKETMAN
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini begitu terkenal seluruh dunia dengan gelaran The Pocket Rocketman.
Kemampuannya merakam kelajuan hampir mencecah 100 kilometer per jam (km/j) begitu luar biasa sehingga mendapat gelaran sebegitu. Kagum melihat kejayann anak ke-8 daripada 9 adik-beradik ini.


Azizul kini berada di tangga teratas dalam acara pecut individu berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 9 Februari 2021. Ranking pertama itu diperolehi kerana Azizul telah berjaya mengumpul 1,600 mata.
Imbas kisah antara Azizul dengan basikal apabila arwah bapanya yang memberi basikal terpakai sebagai ganjaran selepas dia mendapat 7A 1B dalam PMR. Ketika itu, Azizul banyak terima tawaran melanjutkan pelajaran di SBP dan MRSM tetapi memilih Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana minat yang mendalam bidang sukan.


Daripada basikal terpakai, Azizul bakal menggunakan basikal istimewa di sukan Olimpik nanti berdasarkan laporan Berita Harian Online. Basikal tersebut dihasilkan menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd.
BURUAN PINGAT
Semoga Azizul mampu melakar sejarah besar berbanding di Rio 2016 selepas mengakhiri musim 2020 penuh bergaya dengan meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Disember lalu.
Dilahirkan pada 5 Januari 1988 atlet negara ini membuat penampilan pertama di sukan Olimpik pada 2008 di Beijing apabila menduduki tempat ke-10 selepas terkandas di separuh akhir dalam acara keirin.
Empat tahun kemudian di London Azizul berjaya mara ke final acara berkenaan tapi menduduki tempat keenam.
Di Rio 2016, Azizul sekali lagi mara ke saingan akhir dan kali ini berjaya membawa pulang gangsa selepas tumpas kepada Jason Kenny (Great Britain) yang meraih emas dan pemenang pingat perak dari Belanda, Matthijis Buchli.