Nama Dr Anwar Fazal Abu Bakar dan Dr Fatin Liyana Asri sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Pasangan suami isteri yang memilih kerjaya sebagai doktor ini ternyata mempunyai kelebihan tersendiri. Mana tidaknya, walaupun sibuk dengan kerjaya dalam bidang perubatan, namun pasangan suami isteri ini membuktikan mereka bijak membahagikan masa antara karier dan minat terutamanya dalam bidang penulisan.

Pasangan ini mempunyai pengikut tersendiri memandangkan buku siri DIAgnosis yang ditulis bersama kumpulan doktor DIAgnosis, termasuklah Dr Fatin Liyana sendiri telah dinobatkan sebagai Buku Melayu Terbaik Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut 2014 hingga 2016.

IKLAN

Dr Anwar sendiri bukan sahaja aktif dalam penulisan buku, malah pernah menghasilkan lirik bagi runut bunyi Munafik iaitu Kalah Dalam Menang dan terkini melalui lagu Senorita untuk runut bunyi filem Abang Long Fadil 2.

Sebelum berkecimpung dalam dunia penulisan lirik, Dr Anwar Fazal dan Syamsul Yusof yang merupakan sepupu ini memang sudah pernah menyanyi bersama atas nama kumpulan duo “Burn & Soul”. Antara lagu-lagu yang mereka pernah cipta dan nyanyi bersama ialah Bidadari, Apakah Semuanya Itu (OST KL Drift 2), Hingga Hujung Dunia (OST Aku Bukan Tomboy) dan Ya Robbi (OST Khurafat).

Bakat menulis ini turun daripada Ibu dan bapa saudaranya, Dato’ Yusof Haslam. Idea-idea yang datang pula adalah inspirasi dari episod-episod kehidupan dan kecintaan pada isteri serta puteri tunggalnya, Ajda.

Manakala Dr Fatin yang merupakan graduan perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menerima beberapa anugerah yang membanggakan antaranya Blog Selebriti Terbaik Best Celebrity Blog For World Bloggers Social Media Awards 2012 (dengan viewers blog tertinggi di Malaysia ketika itu), Anugerah Tokoh Srikandi Harapan Negara 2014 dan Anugerah Ikon Papti (Persatuan Alumni Pengajian Tinggi Indonesia) 2015.

Walaupun mempunyai pelbagai perkara yang boleh dibanggakan, pasangan ini masih bersikap merendah diri dan menganggap mereka berdua masih dalam proses mempelajari kehidupan untuk menjadi yang lebih baik.

Penulis Lirik Runut Bunyi Filem Munafik & Abang Long Fadil 2 Rupa-Rupanya Seorang Doktor. Kenali Doktor Yang Miliki Jiwa Menulis Ini!

“Kami hanya pasangan biasa yang masih bertatih dalam membangunkan rumah tangga. Saban hari kami berusaha menjadi yang terbaik, yang pertamanya untuk pasangan dan keluarga sebelum yang lainnya. Kami berdoa dan berharap agar usaha-usaha kami ini dapat menyuntik semangat kepada followers kami di luar sana dengan mengingatkan yang kehidupan ini sentiasa perlukan pengorbanan. Kejayaan dunia dan akhirat yang kita semua dambakan hanya dapat kita raih insyaAllah dengan keikhlasan dari pengorbanan yang kita berikan,” ujar Dr Anwar.

“Saya sendiri tidak menyangka bila pada saat-saat genting sepanjang dua tahun bergelar doktor pelatih (houseman) dulu saya mampu berkahwin, mendapat seorang cahaya mata, menguruskan rumah tangga tanpa bantuan pembantu rumah dan menghasilkan 3 buah novel siri DIAgnosis yang menjadi bestseller negara bersama suami. Pengorbanan yang saya lakukan? Tentulah tidak cukup tidur dan menjadi ‘anti-sosial’ buat sementara waktu demi untuk fokus terhadap kerjaya dan keluarga,” cerita Dr Fatin yang menjadikan pengorbanannya berbaloi untuk dihargai oleh diri dan keluarga tercinta.

IKLAN

Umum pasti mengenali Dr Anwar Fazal melalui buku sulungnya bertajuk DIAgnosis manakala Dr Fatin pula aktif dalam penulisan blog Honeykoyuki. Penulis berkesempatan bertemu pasangan bahagia ini yang nyata mempunyai misi dan visi dalam bidang perubatan yang mereka cintai serta menjadikan medium penulisan buku dan blog untuk mendidik masyarakat dalam pelbagai perkara. Malah, kedua-duanya bijak menggunakan pendekatan serta medium media sosial untuk mendekatkan diri dengan masyarakat.

Tambah Dr Anwar yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia ini,  ledakan teknologi kini memberi peluang untuk masyarakat lebih peka dan bijak memilih informasi yang hendak disampaikan kepada umum. Sebagai doktor, kami menggunakan kemudahan teknologi untuk membantu memberi informasi kemaskini mengenai penyakit-penyakit dan langkah-langkah pencegahan atau pembasmian terkini. Selain itu, medium ini juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan isu-isu semasa dan penyebaran bantuan dapat dilakukan dengan pantas,” ulas Dr Anwar yang menjadi perintis penulisan novel perubatan negara.

Sehati Sejiwa

IKLAN

Memandangkan kedua-duanya mempunyai kerjaya yang sibuk, baik Dr Anwar mahupun Dr Fatin mengamalkan pengurusan waktu yang baik untuk memastikan buah hati kesayangan mereka, Ajda Anwar mendapat perhatian sepenuhnya.

“Tinggalkan kerja di tempat kerja” melainkan ada hal-hal kecemasan yang memaksa untuk membawa urusan kerja ke rumah. Itu yang kami berdua amalkan. Waktu kualiti bersama penting dengan adanya komunikasi dua hala. Setiap hari, usai solat jemaah, kami ambil masa untuk berkongsi cerita seputar harian. Biar sesibuk mana sekalipun urusan kerja setiap hari, masa untuk berkongsi cerita wajib dicari. Selain itu, kami juga gemar bersukan, melancong, menonton wayang serta melakukan sesi brainstorming untuk mencari idea mengenai projek penulisan akan datang.” ROSMAHIDAYUABUSAMAH

 

 

 

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI