
New Zealand bukan sahaja terkenal dengan keindahan negaranya, malah negara kiwi ini mempunyai seorang Perdana Menteri Wanita. Sebagai seorang wanita kita tentu bangga apabila melihat wanita lain sukses sehingga ke peringkat tertinggi dan bergelar Perdana Menteri. Bagaimana agaknya wanita yang bergelar Perdana Menteri ini membahagikan masanya sebagai seorang isteri.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern ini masih muda lagi, baru berusia 37 tahun dan semalam beliau bersama suami telah mengumumkan tentang kelahiran bayi sulungnya kepada umum sejurus selepas keluar dari Hospital Auckland City. Bayi yang baru berusia 3 hari ini telah diberi nama Neve Te Aroha. Kelahiran bayi perempuan ini adalah lambang kasih sayang wanita ini bersama suami, Clarke Gayford yang merupakan seorang pengantara televisyen di sana.
Sumber : Instagram @jacindaardern
Bayi telah dilahirkan seberat 3.31kg ini menunjukkan bukti bahawa wanita dapat mengimbangi kehidupan walaupun memegang jawatan yang tertinggi dalam negara. Beliau juga telah mencetuskan rasa bangga di kalangan wanita apabila menjadi Perdana Menteri termuda yang memulakan khidmatnya di dalam sejarah New Zealand.
Wanita ini turut mendapat perhatian Ratu Elizabeth dengan mengirimkan ucapan tahniah melalui kiriman email dan juga ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dalam tweet yang berbunyi “Pro tip, Jacinda: Briefing notes make excellent bed time stories.”
Perdana menteri ini akan bercuti selama 6 minggu dan menyerahkan tugas sementara kepada Timbalan Perdana Menteri Winston Peters dan akan kembali bertugas awal bulan Ogos nanti.
Jacinta Ardern merupakan Perdana Menteri wanita kedua di dunia yang melahirkan anak sewaktu sedang bertugas selepas Perdana Menteri Wanita Pakistan, Benazir Bhutto pada tahun 1990 yang lalu.
Kredit: www.telegraph.co.uk.
Ajaibnya DOA! Datin Noor Kartini Ucap Nama 10 Anak Usai Solat & Biar Didengari

Tiada apa yang diharap oleh seorang ibu melainkan melihat anak-anaknya berjaya di dunia dan akhirat. Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang juga ibu kepada selebriti dan usahawan Neelofa ini turut mengharapkan perkara yang sama.

Memiliki 10 orang anak di usia 54 tahun, wanita kelahiran Kelantan ini telah menyuntik inspirasi terutama kepada ibu muda lain untuk mendidik anak-anak. Peluang berjumpa dengan Datin Kartini di majlis pelancaran butik Naelofar baru-baru ini sempat bertanya bagaimana wanita anggun ini mendidik anak-anaknya.

“Cara saya mendidik mereka adalah dengan kata pujian. Sebagai contoh kalau ada masalah di sekolah saya akan cakap kepada anak-anak ‘wow, ini lebih bagus daripada dulu tapi kalau buat lebih sikit mesti lebih bagus’. Jadi apabila anak-anak tunjuk kat saya apa yang mereka buat saya macam tunjuk kepada mereka saya gembira dan sokong mereka. Contoh lagi, kalau mereka membuat teks ucapan saya akan beri mereka standing oviation.

Kemudian saya doakan anak-anak dan bagi anak-anak dengar apa doa saya. Sebagai contoh, doa saya, “Ya Allah Ya Tuhanku, Kau jadikanlah anak-anak (saya akan sebut nama anak terutama yang solat bersama-sama dengan saya). Saya akan berdoa kepada Allah perkara yang hebat-hebat tentang anak-anak supaya mereka yakin akan ‘dapat’ apa yang saya doakan kepada Allah. Memang dalam Islam doa ibu tiada hijab,” tutur Datin Kartini sambil memandang anak-anaknya.
Wanita tinggi lampai ini turut menzahirkan rasa syukur dan gembiranya tentang perubahan Neelofa berniqab, Doa Datin Kartini, “MashaAllah mashaAllah Ya Allah aku tiada ungkapan untuk ku ucapkan syukur dengan karuniaMu mengamanatkan ku bidadari yang terindah untuk ku, yang banyak mengajar ku, yang menjadi inspirasi ku.

Ya Allah syukur atas hidayah untuknya yang Kau kurniakan dan ku mohon kurniakan hidayah yang terbaik untuk ku, seluruh keluarga ku dan seluruh umat manusia, amin,” coretnya di media sosial milik peribadinya.

Tertarik mendengar cerita Datin Kartini tentang 10 orang cahaya matanya. “Benar saya memiliki 10 orang anak. Dulu bila saya sudah memiliki 5 orang anak kemudian saya menjadi ibu tunggal. Kemudian saya mendirikan rumahtangga sekali lagi bersama suami saya sekarang ni.
Waktu itu suami mahu keluarga yang kecil tapi saya memang sukakan budak-budak dan tidak mahu merancang keluarga. Memang cita-cita saya nak ramai anak. Kalau ikut hati saya, saya nak 20 orang anak. Sampai sekarang ini, suami selalu cakap, nasib baiklah saya nak ramai anak kerana dahulu suami tak nampak apa yang kami ada hari ini,” bicara Pengasas Young & Glow ini.

“Harapan kepada anak-anak supaya mereka sentiasa bersatu hati bekerjasama sampai bila-bila walaupun sudah mempunyai keluarga sendiri. Impian saya anak-anak duduk dalam satu bumbung dan tidak ada perbezaan rezeki antara mereka,” doa Datin Kartini kepada anak-anaknya.
‘Saham Akhirat’ HELIZA HELMI, Reda Kaki Terperosok Dalam SALJI TEBAL Demi Rakyat SYRIA!

Demi membantu dan menyelamatkan rakyat Syria meniti musim sejuk melampau ketika ini, Heliza Helmi sanggup mengenepikan urusan keduniaan lain dan berangkat ke negara bergolak tersebut tiga hari lalu. Menerima panggilan kecemasan Misi Musim Sejuk Rescue Syria dalam masa kurang sehari, tanpa berfikir panjang selebriti berjiwa murni ini tiba di bumi Syria bersama adiknya, Hazwani Helmi. Meskipun diberitahu dalam masa yang suntuk namun kedua-duanya sudah mempersiapkan diri untuk berjuang ke jalan yang diredai Allah SWT.
Menerusi salah satu video yang dikongsikan Heliza, kelihatan dia dan adiknya sedang berlari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik menerima panggilan daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Ini merupakan misi bantuan kemanusiaan kali ke-10 bertujuan membantu masyarakat Syria keluar dari belenggu kesukaran.
Cukup sinonim dengan aktiviti sukarelawan dan pernah menyertai beberapa siri bantuan kemanusiaan di Sulawesi, Gaza dan sebagainya.. Heliza mengakui keadaan di Syria waktu ini sangat sejuk hingga mencengkam tulang. Allahu, tidak dapat dibayangkan kesukaran penduduk di sana.

“Kaki tangan semua makin kebas dan pedih! MENGGIGIL! Walaupun semua kelengkapan ada, tetap sejuk ke tulang hitam!
Terus terang nak share, sekarang suhunya terlampau sejuk. Kakja habis pakai berlapis-lapis baju, stokin, pakai selimut tebal, namun sepanjang malam Kakja menggigil kesejukan. Kelmarin ke kem pelarian Syria, ada yang tiada langsung kelengkapan musim sejuk, khemah mereka sangat usang dan senang runtuh.
Tak dapat lena semalam fikir, “Ya Allah macam manalah mereka nak survive ni, mereka macam dah sehelai sepinggang dah ni,” ujarnya.
Setakat ini, team MAPIM tersebut telah mengagihkan bantuan kepada 95 keluarga di 2 titik penempatan dan khabarnya masih ada ribuan rakyat lagi yang masih dalam mode ‘frozen to death’.
Antara bantuan terdesak yang disumbangkan kepada mangsa kemanusiaan Syria termasuk selimut, khemah pelarian, ubat-ubatan, food pack, alat pemanas dan baju sejuk.
View this post on InstagramA post shared by ?H E L I Z A H E L M I ? (@nurhelizahelmi) on
“Kami merayu.. tolong share, VIRALKAN, biar lebih ramai yang membantu, tak tahu macam mana nak gambarkan keadaan di sini. Namun KUASA VIRAL ANDA SANGAT POWER, mungkin menyelamatkan ramai nyawa.”
Anda yang berhasrat menyumbangkan sumbangan boleh dilakukan melalui dua cara iaitu layari laman web www.tabungsyria.com atau Maybank Islamic di bawah akaun SYRIA EMERGENCY APPEAL di 5628 3463 6987. Moga sumbangan kecil kita di dunia ini dapat memudahkan kehidupan saudara Islam di Syria selain menambah amal kebaikan sebagai bekalan di akhirat kelak.
Kredit: Instagram Heliza Helmi
Tuhan Bagi Kita Ujian Berbeza, Semangat Gadis Istimewa Hikmah Razlan Cetus Inspirasi

Sejujurnya kisah gadis ini pernah membuat penulis bergenang air mata. Kagum betul dengan semangatnya, biar tak mudah namun Siti Nurhikmah Razlan, 23 tahun, melalui kehidupan ini dengan tenang dan senyuman.
I tak mampu nak adakan satu mata lagi you, tapi later i belajar jadi yang terbaik okay… @hikhokkkk
Ciapan di atas pernah tular sekitar hujung 2019 disamping beberapa foto selfie-nya. Seorang gadis muda bertudung ayu, Hikmah namanya, tersenyum manis dengan hanya sebelah mata.
Kekuatan itu bagai memanggil penulis menjejaki akaun Hikmah di Instagram @hikmahrazlan. Bermula di situlah perkenalan kami, Hikmah yang kini masih menuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Kuantan rupa-rupanya seorang yang mesra dan mudah didekati.
“Sebenarnya sejak lahir lagi memang asal dah macam ni. Ramai ingat (hilang satu penglihatan) sebab kemalangan tapi bukan. Mungkin itulah rezeki Allah untuk Umi dan Abah saya serta dugaan untuk mereka.
Sejak kecil lagi saya selalu tengok Umi bersusah payah dengan Abah cari rezeki, mereka juga sanggup bersusah ulang-alik ke hospital untuk bagi rawatan terbaik untuk saya,” cerita gadis dari Utara itu.
Tambahnya, “Umi saya, Puan Diana Hussain, tak penah penat nasihat kami supaya jadi manusia terbaik. Dia taknak anak-anak dikeji atau menjadi orang tak berguna, lebih-lebih lagi dengan keadaan saya yang istimewa ni.
Sejak berjauhan dengan Umi kerana menuntut ilmu, saya rindu sangat bihun goreng dia. Rindu nak jumpa Umi dan dengar bebelan manjanya, meriah sangat!
Doa saya supaya Umi selalu sihat, dapat tengok kejayaan anak-anak, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Saya nak jadi macam Umi, seorang wanita yang kuat tapi penuh kasih sayang.
Saya juga selalu doa supaya Allah kembalikan semua yang Umi penah hilang dulu dia akan dapat balik satu hari nanti, insyaAllah.”
Kenangan paling sukar dilupakan tentang Umi? Soal penulis.
“Ada satu momen ni takkan saya lupakan sampai bila-bila. Masa tu saya dapat join satu brand ni dan telah diminta #OOTD dengan tudung tersebut.
Dengan perasaan teruja, saya pun dimekapkan oleh Umi. Umi cuba pakaikan eyeliner dekat sebelah mata saya yang takde ni, tapi nampak pelik sangat. Lepas tu tahu dia buat apa? Umi sapu buang balik eyeliner tu dan cakap dengan lembut, ‘Isy anak bertuah Umi ni’. Sampai sekarang kalau teringat momen tu, saya akan nangis sebab terlalu sebak.
Satu lagi bila saya nak exam, Umi selalu akan minta semua orang doakan kejayaan saya. Alhamdulilah, mungkin kerana doa Umi dan semua orang, saya mampu berada di sini sekarang.
Terapi Mekap
Dulu saya langsung tak pandai mekap. Saya cukup segan bila nak bersiap lawa-lawa. Takut orang cakap, ‘Budak tu dahlah macam tu, ada hati nak lawa-lawa.’ Jadi sebab kurang keyakinan diri, saya tekad belajar sendiri je.
Satu benda yang paling saya ingat, masa pertama kali belajar pakai kanta lekap. Sebelum ni saya takut sebab mata saya sebelah je, dan selalu tertanya-tanya boleh ke pakai sebelah mata? Punyalah curious sampai pegi tanya sorang akak di kedai cermin mata. Rupa-rupanya boleh.
Saya makin seronok bila dapat belajar mekap sikit-sikit walaupun yang ringkas. Ada sekali tu, Umi pakaikan eyeliner kat mata saya sebab saya fikir macam mana nak pakai sendiri kan? Kalau kita garis mata tentu kena tengok guna sebelah mata lagi.
Satu hari, saya try garis sendiri. Ya Allah, boleh sebenarnya! Kalau teringat perasaan saya masa tu, boleh menangis tau. Bukan sebab sedih, tapi sebab bangga dah boleh buat sendiri,” katanya sambil tertawa.
Positifkan Diri Sendiri
Sebagai wanita istimewa, Hikmah tentunya mempunyai cara tersendiri hingga jadi berani dan selamba ke tahap ini. Paling utama, dia boleh bergaul dengan semua pihak tanpa rasa segan, malah menginspirasikan pula orang lain.
“Saya rasa rugi kalau wujud perasaan down. Rasa membazir masa je nak sedih-sedih. Kalau dengar benda negatif, selalunya saya cakap dengan diri saya, jangan benci orang tu, boleh jadi kita pula jadi sumber kekuatan mereka satu hari nanti, atau sebaliknya.
Cukuplah saya selalu gembirakan orang lain walaupun dengan perkara yang ringkas. Itu pun dah buat saya jadi happy bila mudahkan orang lain.
Saya juga harap masyarakat akan lebih terbuka dan beri peluang sama rata kepada golongan istimewa macam kami. Kita semua tak sempurna, bukankah Allah bagi ujian yang berbeza untuk hamba-hamba-Nya?”
Mengakhiri perbualan, Hikmah turut menyatakan penghargaan pada rakan-rakan sebayanya yang selalu ada dari dia kecil sampai dewasa. “Selain Abah dan ahli keluarga saya, terima kasih juga untuk kawan-kawan sebab tak pernah malu ada kawan ‘kurang sempurna’ macam saya. Terima kasih sebab selalu ada dan terima kasih sebab ‘tolong bangunkan’ saya bila down.”