“Saya ke Palestin pada tahun 2014 bersama ibu serta rakan-rakannya. Sebenarnya, setahun sebelum ke sana sudah beberapa kali saya mengusulkan kepada ibu yang saya teringin sangat hendak menziarahi bumi Palestin yang merupakan tempat para anbiya. Memang saya berminat untuk mempelajari sejarah-sejarah Islam.
Kebetulan juga ketika itu salah seorang adik saya sedang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Ketika melawatnya di sana, kami dibawa berjalan melawat Mesir oleh pelajar-pelajar Malaysia di sana. Banyak kisah-kisah agama dikongsi oleh mereka sehingga membuatkan saya tertarik untuk mempelajari lebih banyak tentang sejarah Islam.
Kami tiba melalui Jordan. Untuk memasuki sempadan Palestin perlu melalui checkpoint atau tempat pemeriksaan yang dikawal dan diperiksa oleh petugas Israel. Sewaktu pemeriksaan terakhir, saya diminta oleh pegawai bertugas untuk ke ruang soal jawab. Ada juga beberapa orang dari group kami mengalami situasi yang sama dan ada juga yang ditahan untuk di soal siasat kerana membawa Al-Quran dan disuruh untuk menyelak satu persatu helaian muka surat Al-Quran untuk diperiksa. Setelah beberapa jam barulah segala urusan kami selesai. Walau mengalami beberapa situasi yang tidak diduga tetapi segala urusan di pintu sempadan berakhir dengan baik.
Tour leader membawa kami menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk makam para Nabi dan pejuang Islam. Kami juga berpeluang melihat tempat yang dipercayai terikatnya buraq, seterusnya menunaikan solat di masjid Al-Aqsa. Pertemuan dengan Imam Al-Aqsa merupakan pengalaman paling berharga buat saya. Di samping itu, menurut tour leader kami (yang berasal dari sana) kumpulan kami adalah yang pertama dari Malaysia melawat Tel Aviv. Sebelum ini, ada kumpulan yang mahu melawat Tel Aviv tetapi tiada rezeki. Walau tidak terlalu lama di Tel Aviv, jurang perbezaan antara Tel Aviv dan Jerusalem amatlah besar. Bila teringat balik, kasihan dengan saudara Islam kita yang sentiasa hidup dalam kekurangan dan perlu sentiasa berjuang mempertaruhkan nyawa demi keluarga dan agama.
Kami menetap di hotel yang lebih kurang 1 kilometer dari masjid Al-Aqsa. Setiap subuh kami akan berjalan dari hotel ke masjid. Ia dikawal ketat oleh beberapa tentera Israel yang memegang senjata. Segala perjalanan keluar masuk ke masjid agak lancar. Kami juga diberitahu mungkin tentera Israel akan soal siasat lelaki yang lebih muda. Dan jawapan perlu jujur iaitu mahu ke masjid untuk solat.
Ads
Kali pertama menjejaki masjid Al-Alqsa di waktu subuh membuatkan saya sebak sehingga mengalirkan air mata usai menunaikan solat. Sangat bersyukur, Allah memilih saya untuk merasai pengalaman bersolat di masjid yang merupakan kiblat pertama umat Islam. Sebenarnya, setiap kali kami pergi ke masjid, sebelum memasuki perkarangan masjid dan melihat tentera-tentera Israel yang memegang senjata sedikit sebanyak ada perasan gusar dan tidak selesa sewaktu melewati mereka. Walau bagaimanapun, bila tiba di dalam masjid dan mendengar bacaan Al-Quran oleh jemaah perasaan tenang datang secara semulajadi.
Bagaimanapun, pada hari Jumaat sebelum kami menunaikan solat Jumaat, tour guide memaklumkan selesai sahaja menunaikan solat sebolehnya cepat-cepat keluar dari kawasan masjid kerana di sana sering berlaku pergaduhan antara umat Islam dan tentera Israel. Malah, kalau dilihat di dalam masjid ada kesan-kesan pergaduhan.
Selesai sahaja solat, kami dengan pantas keluar dari masjid dan pergi ke tempat yang diminta untuk menunggu bersama ahli kumpulan lain. Sedang kami menunggu, tiba-tiba berlaku pergaduhan antara orang-orang Palestin dan tentera Israel. Perkara pertama yang terlintas sudah pasti ibu saya dan rakan-rakannya. Bagaimana mereka mahu berlari atau menyelamatkan diri jika berlaku perkara yang tidak diingini. Ada juga beberapa ahli kumpulan kami tidak tiba ke tempat yang di minta untuk berkumpul.
Ads
Tour leader dengan pantas menyuruh kami segera meninggalkan kawasan masjid dan akan mencari beberapa orang yang tidak kelihatan. Alhamdulillah, seluruh ahli kumpulan kami selamat.
Ketika di sana kami sentiasa on-the-go bersama group untuk berziarah dari satu tempat ke satu tempat. Interaksi kami agak terbatas untuk beramah mesra dengan penduduk setempat. Bagaimanapun, jika bertemu jemaah di masjid kami akan memberi salam dan berbual sambil bertanya khabar. Jika mereka bertanya dan tahu kami dari Malaysia, serta merta mereka akan tersenyum dan sangat gembira.
Ini jelas dapat dilihat pada suatu malam, suami kepada teman saya solat berjemaah di saf depan. Selesai solat, suaminya bersama adik-beradik menegur Imam. Selepas mengetahui mereka dari Malaysia, Imam Masjid Al-Aqsa terus mengajak beliau dan kumpulan kami untuk diberi tour di sekitar masjid. Lebih bermakna, Imam berbesar hati mengajak kami ke tempat istirehatnya untuk mengenali kami dengan lebih dekat. Menurut Imam, beliau sangat berterima kasih dan bersyukur dengan sifat pemurah orang Malaysia.
Ads
Satu lagi kisah menarik iaitu ada seorang kanak-kanak bernama Ishaq sering muncul. Ishaq cukup disenangi kerana sering menawarkan bantuan kepada kami. Dialah jurugambar termasuk memberi info-info jika kami memerlukan petunjuk untuk berjalan sekitar kawasan hotel dan pasar. Jika ada orang tua yang memerlukan bantuan, Ishaq orang pertama akan membantu. Ketika saya berkongsi gambar Ishaq di Instagram, ada beberapa rakan dari Malaysia yang pernah menjejaki ke bumi Palestin juga mengenali Ishaq.
Saya juga mempunyai teman rapat berasal dari Palestin yang menetap di Malaysia sekarang. Bagi saya orang Palestin sikatnya suka membantu, baik hati dan ikhlas bila melakukan sesuatu. Bila terkenang kebaikan mereka, terasa kasihan pula dengan saudara Islam kita di sana. Disebabkan sikap terlalu baik, mereka ditindas oleh Zionis.
Buat Rakyat Palestin, kalian adalah pejuang umat Islam yang kuat dan terpilih oleh Allah SWT untuk berdepan dengan kekejaman Yahudi. Teruskan berjuang. Sesungguhnya kemenangan akan berpihak kepada umat Islam tidak lama lagi.
Untuk rakyat Malaysia, teruskan membantu saudara Islam kita yang berada di Palestin selagi boleh. Jika tidak dapat membantu dari segi tenaga dan wang ringgit, panjatkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka. Perjuangan mereka sangat besar. Doa adalah senjata terkuat buat saudara Islam kita di sana.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dato’ Farah Zarina
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pembaca berita kaum lain menyampaikan berita berbahasa Melayu bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia penyiaran, namun sesuatu yang unik jika pembaca berbangsa Melayu membaca berita dalam bahasa Mandarin. Yang pasti, tidak semua yang mampu berbuat demikian.
Rasyidah Abu Johan memecah tradisi apabila menjadi pembaca berita berketurunan Melayu pertama membaca Berita Mandarin di RTM (TV2). Rasyidah Abu Johan menggalas peranan membaca Berita Mandarin RTM setiap pukul 12 tengah hari dan 7 malam sekali gus menjadi wanita Melayu pertama yang berbuat demikian.
Rasyidah yang merupakan anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini memulakan tugas ini pada hari kedua Tahun Baru Cina 2020 atau 26 Januari. Menerusi temubual bersama dengan Bebas News, “Saya memenuhi impian ibu saya, Noraishah Badaruddin yang memang hendak tengok saya jadi pembaca berita berbahasa Mandarin sejak saya belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Saya pula menjalankan kerja yang boleh saya selami pelbagai benda baru setiap hari dan apabila masuk bidang kewartawanan, saya memang amat menyukainya,” katanya kepada BebasNews.
“Saya mula menyertai RTM pada tahun 2011. Selaku Penerbit Rancangan, saya perlu juga membuat pelbagai tugas termasuk meliputi berita am dan bisnes. Tiga tahun kemudian, saya ditempatkan di Meja Mandarin. Dari situ, saya kerap membuat laporan, suara latar (VO), standupper (pelapor di tempat kejadian), lintas langsung (crossover) berita dalam bahasa Mandarin,” kata lulusan Ijazah Komunikasi Perhubungan Awam dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Petaling Jaya ini.
“Selepas saya mula terlibat sebagai suara latar berita, baru saya mendapat tawaran untuk membaca berita,” katanya.
Rasyidah juga berkongsi ramai rakan-rakan sekerjanya yang berbangsa Cina banya membantu dia menguasai pemahaman dan penyampaian dalam bahasa Mandarin.
Malah, Rasyidah juga banyak menonton pelbagai berita TV termasuk tayangan stesen lain seperti dari China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura. Saya juga menggemari lagu dan siri-siri TV berbahasa Cina, membaca akhbar-akhbar Cina dan menonton konsertnya.
Sumber: Bebas News (Abdul Hafiz Ahmad)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita penghijrahan Serina Datuk Redzuawan telah menggembirakan hati seluruh peminat yang mengikuti perkembangannya. Syukur kerana Serina kini manis bertudung dan telah nekad untuk menutup auratnya seperti yang dikehendaki syarak.
Bercerita tentang awal penghijrahan Pengarah Urusan Serina Food Empire (M) Sdn Bhd ini akui media sosial yang menjadi turning point untuk dirinya berubah seperti sekarang.
“Saya sangat bersyukur dalam berjuta-juta orang Allah pilih saya untuk berubah dan dibuka pintu hati di saat masih bernyawa.
Awal penghijrahan adalah bermula dengan saya mendengar ceramah-ceramah di Facebook. Lepas itu, saya hubungi ustazah yang saya kagumi, Ustazah Asma Harun. Beliau adalah ikon dan sifu yang saya mahu angkat sebagai guru.
Saya jumpanya secara personally, masa tu saya belum berhijab lagi. Saya katakan kepadanya, “Ustazah, Allah pilih saya untuk jadi anak murid ustazah dan Allah pilih ustazah untuk jadi guru saya.
Sebab bila saya tengok ustazah dalam ceramah membuatkan saya nak berubah, saya nak perbaiki diri saya, boleh tak Ustazah jadi guru saya,” cerita Serina.
Tambah Serina lagi apabila mendengar permintaanya, Ustazah Asma menjadi sebak. Jawab ustazah pula, “Ya Allah Serina, saya tak sangka. Saya peminat awak sebenarnya. Saya tengok awak dalam drama polis kini saya dapat jumpa dan nak jadi anak murid pula lagi. Saya sudi jadi guru awak,” luah Serina lagi.
Menurut ibu kepada dua orang anak ini, penerimaan Ustazah Asma merupakan hadiah yang cukup istimewa bila seseorang atau pendakwah hebat sudi menerima sebagai anak murid.
Nasihat Serina, “Jangan skip bila ternampak ceramah-ceramah agama di Facebook. Bila ternampak tu maknanya Allah telah pilih kita.
Sila tengok sampai habis dan bila tengok sampai habis sebenarnya akan dapat satu detik kesedaran sedikit. Setiap satu topik akan berbeza-beza.
Kalau perasan kadang-kadang keluar topik kat sosial media hari ini topik pasal anak derhaka, anak yang kadang-kadang naik suara dengan ibu, kadang-kadang you terfikir, saya pun pernah buat.
Keluar pula detik, kalau you terlalu sibuk sehingga kan lupa akhirat. Kejar duit tapi duit tak pernah cukup. Kita kena tengok ceramah agama ini agar boleh membentuk hati kita,” tutur Serina.
“Dalam masa yang sama, istiqamah is not easy. Kena mohon doa. Saya sendiri sentiasa berdoa agar Allah tetapkan hati dan takut dengan cabaran yang datang. Kalau kita susah Allah duga, kalau kita senang pun Allah akan duga. Nak mencari keredhaan Allah pun akan diduga.
Cari seorang guru, sebab kalau tak ada guru you akan lost. Sebab ada satu tahap manusia hati dia kadang-kadang akan down sangat-sangat dan akan tend untuk buat perkara yang tak sepatutnya. That why kita perlu ada rujukan seperti seorang ustazah,” ujar Serina.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
YB Nurul Izzah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Lisa Surihani dan Zahirah MacWilson ini antara nama-nama besar yang pernah mendapat sentuhan ‘magis’ fashion stylist, Farah Dinana. Di sebalik penampilan glamor seorang artis mahupun selebriti, adanya sentuhan fashion stylist yang bertanggungjawab menyediakan, memilih serta menata gaya personaliti pilihan.
Farah Dinana atau nama sebenarnya, Nor Farah Dinana Abdul Fattah antara generasi muda yang sedang rancak membina nama sebagai fashion stylist berjaya di Malaysia. Bukan itu saja, Farah Dinana juga pernah terlibat dalam kempen-kempen yang dianjurkan oleh FashionValet, SimplySiti dan Creacion. Ternyata, kemampuan gadis berusia 25 tahun ini tak boleh dipandang mudah.
“Sebaik tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Seni Reka Fesyen UiTM Shah Alam saya memulakan karier sebagai pembantu penata gaya selama setahun bersama Min Luna. Setelah mendapat secebis pengalaman saya cuba untuk bergerak sendiri dalam bidang ini.
Sebenarnya tak pernah terlintas pun untuk menjadi seorang fashion stylist sebab cita-cita saya sejak kecil mahu menjadi fashion designer. Tapi lama kelamaan baru tersedar yang saya sering mengkritik cara berpakaian rakan-rakan dan ahli keluarga saya.
Sejak itu, mereka sering mendapatkan pandangan saya tentang apa yang sesuai untuk dipakai untuk ke majlis-majlis tertentu. Saya juga suka membeli koleksi majalah fesyen dan mengikuti perkembangan trend semasa.”
PENGALAMAN MENCABAR
“Antara pengalaman mencabar pernah ditempuhi sepanjang bergelar fashion stylist ialah pernah baju-baju yang saya bawa untuk klien tak muat atau terlalu besar. Satu lagi pengalaman, saya pernah tertinggal barang styling di rumah. Waktu itu saya dah pun sampai di set. Kebetulan shooting akan bermula setengah jam saja lagi.
Saya sangat panik tapi nasib baiklah ada seorang rakan sempat menghantar barang styling tu kepada saya sebelum shooting bermula. Bagi saya jika barang styling tak lengkap ia bukan saja akan menjejaskan mood bahkan mempengaruhi apa yang saya buat ketika itu.”
IDENTITI & CARA TERSENDIRI
“Setiap fashion stylist ada identiti dan cara tersendiri. Saya sendiri sukakan persaingan sihat. Saya sendiri sentiasa meningkatkan kemampuan dengan mencari kelainan dan kreatif dalam setiap penataan gaya. Saya juga ada identiti tersendiri apabila membuat styling. Apabila hasil kerja saya dikongsi di laman sosial, orang akan tahu itu adalah artwork saya.
Saya percaya, kalau seseorang itu rajin berusaha kejayaan pasti akan datang tak kira usia. Saya sendiri suka mengikuti kisah-kisah mereka yang berjaya dalam usia muda kerana secara tak langsung dapat memberi semangat dan dorongan terhadap diri sendiri untuk lebih berjaya kelak.
Idola saya semestinya Min Luna yang dianggap sebagai ‘sifu’. Selain diberi peluang untuk bekerja dengannya satu ketika dulu, Min Luna juga banyak memberi tunjuk ajar dan ilmu bermanfaat bagaimana menjadi fashion stylist berjaya. Saya juga amat meminati hasil kerjanya.”
IMPIAN
“Impian saya untuk menjadi ikon wanita Melayu berjaya dan membina empayar perniagaan hebat di mata dunia. Selain itu juga, saya mahu masyarakat mengingati hasil kerja dan idea-idea saya. Maka, saya perlu berusaha memberi kelainan dalam setiap hasil kerja.
Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang banyak memberi dorongan, kasih sayang, semangat dan doa sehingga berada di tahap ini. Saya juga mahu berterima kasih kepada kakak dan abang kerana membimbing dan memberi galakan buat saya.
Tak lupa rakan-rakan yang banyak membantu ketika susah mahupun senang,” akhiri Farah Dinana yang berketurunan Indonesia-Belanda. 2019 merupakan tahun ketiga Farah Dinana bergelar fashion stylist. Semoga terus sukses Farah Dinana!
Kredit Foto: Instagram Farah Dinana
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saban hari nama Engku Aleesya makin menjadi bualan. Bukan kerana statusnya sebagai anak kepada selebriti terkenal, Erra Fazira tetapi keupayaan gadis bijak yang juga puteri kesayangan Engku Emran ini dalam bidang akademik dan sahsiah diri.