Meriahnya majlis ulang tahun perkahwinan mentua Nia Ramadhani! Pasangan romantis yang menjadi inspirasi anak-anak ini selamat bernikah pada Disember 1973 dan genap menikmati kebahagiaan rumah tangga yang ke separuh abad baru-baru ini.
Berkongsi momen istimewa sempena sambutan ulang tahun perkahwinan ke-50 di media sosial, pelakon cantik Indonesia yang pernah popular menerusi sinetron Bawang Putih Bawang Merah berkenaan melahirkan rasa syukur dan gembira atas kurniaan kasih sayang berpanjangan mentua tersayang.
Ujarnya, “50th anniversary of Mama dan Papa, Abu Rizal Bakrie. Semua berkumpul untuk merayakan keberhasilan dari 50 tahun yang pasti gak mudah, tapi berhasil dilalui sampai dengan hari ini.
Terima kasih papa mama sudah memberikan contoh bagaimana bisa terus berjuang dalam susah dan senang.”
Dalam majlis serba mewah dan indah itu, isteri Ardi Bakrie tersebut tampil anggun dalam persalinan lilac. Majlis sambutan ulang tahun perkahwinan itu bertemakan ala taman. Tak ubah macam majlis kahwin!
Ads
Istimewanya, anak-anak usahawan kaya tersebut turut menjemput penyanyi kumpulan Il Divo bertaraf antarabangsa untuk membuat persembahan.
“Alhamdulillah, bisa membantu mewujudkan yang mama papa pengen, iaitu bisa berkumpul bersama semua keluarga dan sahabat itu yang terpenting dan ditambah bisa menikmati Il Divo dalam perayaan 50 tahun perkawinan mereka.
Terima kasih ya Allah, sudah memberikan kami anak-anaknya kesempatan untuk terus bisa membuat dan melihat mereka bahagia.”
Tidak cukup itu, mentua Nia turut memilih untuk meraikan 1,000 anak yatim piatu yang berada di Jakarta, Bogor dan Kisaran. Patutlah rezeki melimpah ruah dan bahagia, mentua Nia Ramadhani ini mempunyai hati yang baik dan suka membantu.
Ads
Menelusuri latar belakang keluarga ternama ini, Aburizal Bakrie merupakan tokoh usahawan dan bekas menteri yang disegani di Indonesia. Lebih mesra disapa Ical, beliau berusia 74 tahun dan pernah menjadi orang terkaya di Indonesia pada tahun 2007.
Memetik laporan Forbes Asia, pengiktirafan itu diberikan kepada Aburizal Bakrie yang meraih kekayaan mencecah USD 5.4 bilion. Setahun kemudian, beliau mendapat gelaran orang terkaya Asia Tenggara pula daripada Globe Asia.
Difahamkan, nama Aburizal Bakrie menduduki carta 40 orang terkaya Indonesia selama enam tahun dan bapa kepada tiga orang cahaya mata berkenaan kembali mengungguli senarai orang terkaya Indonesia pada tahun 2009 dengan mencatatkan nilai kekayaan pada waktu itu meningkat daripada tahun sebelumnya mencecah USD 2.5 bilion.
Aburizal Bakrie mewarisi bakat perniagaan daripada bapanya iaitu Achmad Bakrie seorang pengusaha dari Lampung yang dikatakan mula berniaga roti, kopi, lada dan hasil bumi lain pada tahun 1942.
Aburizal Bakrie juga pernah menjawat tugas sebagai Menteri Koordinasi Bidang Perekonomian Republik Indonesia pada 2004 hingga 2005.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Tatty Murnitriati sejak tahun 1973. Hasil perkongsian hidup selama 50 tahun, pasangan ini dikurniakan tiga orang anak iaitu Anindya Novyan Bakrie, Anindhita Anestya Bakrie dan Anindra Ardiansyah Bakrie.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di tengah-tengah kemewahan dan glamor dunia hiburan, semakin ramai artis memilih untuk menggunakan kemasyhuran mereka untuk mencipta impak sosial yang sebenar.
Salah satu caranya ialah dengan menubuhkan yayasan atau badan amal.
Sebagai contoh, Selena Gomez yang meraikan hari lahirnya yang ke-33 pada 22 Julai lalu, menubuhkan sebuah badan amal yang dipanggil Giving Circle. Ia merupakan sebahagian daripada Rare Impact Fund.
“Apabila kami memulakan dana Rare Impact Fund, kami mahu membina komuniti yang benar-benar boleh membuat perubahan. Lima tahun kemudian, saya amat berbangga dengan impak yang telah kami hasilkan bersama.
“Saya juga teruja dengan Giving Circle dan inisiatif lain yang kami ada,” kata Selena Gomez dalam satu kenyataan eksklusif.
Tulis Selena Gomez di Instagramnya, dia mengasaskan Rare Impact Fund dengan misi yang mudah tetapi berkuasa untuk membantu golongan muda seluruh dunia agar mereka merasa dilihat, disokong dan dijaga.
“Kesihatan mental sentiasa menjadi sangat peribadi kepada saya,” tulis Gomez.
“Saya mahu membina sesuatu yang boleh mencipta perubahan yang berkekalan.”
Baru-baru ini, Rare Impact Fund mengadakan bengkel global pertamanya iaitu Grantee Capacity Building Workshop. Acara ini menghimpunkan organisasi nonprofit dari seluruh dunia.
Sejak penubuhannya, Rare Impact Fund telah menyokong 30 organisasi nonprofit di lima benua. Inisiatif ini menjangkau lebih 2.2 juta golongan muda setiap tahun.
Pelakon jelita ini turut mengasaskan badan amalnya sendiri, HeForShe yang memberi tumpuan kepada perjuangan untuk kesaksamaan jantina.
Ia menyokong perubahan di pelbagai negara, organisasi dan tempat kerja untuk membantu memperjuangkan kesaksamaan serta menyerlahkan kepentingannya.
Diinspirasikan dari pergerakan Time’s Up, dana ini bertujuan untuk memacu perubahan peribadi, sosial, undang-undang dan dasar agar masyarakat merasa selamat di tempat kerja, rumah dan kehidupan sosial mereka.
Pelakon dan aktivis tersohor Indonesia, Dian Sastrowardoyo mengasaskan Yayasan Dian Sastrowardoyo untuk menyokong kesaksamaan pendidikan dan pemerkasaan wanita muda Indonesia. Yayasan ini telah diasaskan sejak 14 tahun lalu.
Yayasan Dian Sastrowardoyo ini turut menyediakan Biasiswa Dian Sastro untuk menyumbang kepada pendidikan, pemerkasaan wanita, dan pemeliharaan budaya di Indonesia.
Biasiswa Dian Sastro 2025 yang turut dikenali sebagai Biasiswa Inovasi Wanita 2025, memberi peluang keemasan kepada wanita Indonesia yang ingin memajukan diri mereka dalam dunia digital, khususnya dalam bidang Full Stack Web Development dan UI/UX Design.
Inisiatif ini menunjukkan komitmen Dian Sastrowardoyo untuk mempromosikan pemerkasaan wanita melalui pendidikan dan teknologi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Populariti Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah sudah tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun kehadiran adik-beradiknya yang jelita… Rahimah, Rubytah dan Datin Rohaiza kali ini mencuri tumpuan. Ikuti kisah memori indah lebaran Rozita Che Wan & sisters!
RAHIMAH CHE WAN (Kakak Sulung)
Menurut kakak sulung kepada Rozita Che Wan ini, kehadiran 1 Syawal yang dinanti sudah pasti untuk berkumpul adik-beradik seramai tujuh orang. Bukan mudah untuk berkumpul sekali ditambah pula dengan kehadiran anak-anak yang dikasihi.
Sebagai kakak sulung, Rahimah Che Wan, gembira apabila melihat adik-adiknya yang membesar di depan mata datang berkumpul di kediaman ibunda tercinta. Walaupun semua sudah berkahwin tetapi tidak pernah culas untuk pulang di hari raya. “Setiap tahun apabila tiba hari raya kami semua adik-beradik bersama anak masing-masing akan pulang ke Alor Star untuk menyambut raya bersama mak.
Walaupun adik-adik ada yang berkahwin dengan orang jauh tetapi mereka tetap pulang beraya pada hari kedua di rumah mak. Cuma kemeriahan malam raya seperti sebelum semua berkahwin dahulu hanya berlaku apabila tiba giliran beraya di Kedah. Riuh-rendah di malam raya usah cakap, masing-masing hendak bercerita dan selalunya kami lambat tidur di malam raya.”
Sudah terbayang di ruang mata bagaimana suasana tercipta apabila adik-beradik ini berkumpul. Saat sesi fotografi ini berlangsung sudah menjawab gambaran suasana yang bakal tercipta.
“Selalunya Rozita yang akan jadi tukang cerita, saya lebih banyak mendengar daripada bercerita. Seronok mendengar cerita masing-masing. Biasanya bicara kami lebih kepada kisah kehidupan kami yang telah berkeluarga.
Kami berbicara tentang suami, anak-anak dan perasaan masing-masing. Ada masanya kita perlu bercerita untuk meluahkan isi hati yang tersimpan atau terbuku dalam hati. Sekurang-kurang kita tahu dengan siapa kita bercerita dan apabila sudah luahkan segala-galanya macam hilang segala stres yang ada.
Setiap kali usai berjumpa adik-adik memang semua akan gembira umpama segala masalah telah hilang,” terang Rahimah yang sudah menyediakan duit raya untuk anak-anak saudara tersayang.
TRADISI KELUARGA
Setiap keluarga mempunyai cara tersendiri untuk menyambut Syawal. Begitu juga dengan keluarga adik-beradik jelita ini. Menurut Rahimah, tradisi keluarga yang masih dipertahankan adalah balik kampung. “Masa kecil-kecil sampai sekarang setiap pagi raya semua akan bersiap cantik-cantik pakai baju baru, baju raya kemudian makan bersama-sama.
Kemudian pergi berkunjung ke rumah saudara-mara yang sudah lama tidak berjumpa. Raya kedua pun bersiap cantik-cantik dengan baju baru walaupun seharian duduk dekat rumah sahaja. Biasanya hari raya kedua kami akan terima kunjungan saudara-mara pula dan raya ketiga kami buat open house di rumah mak,” ujar wanita yang lemah-lembut ini.
Mengimbau kenangan berpuasa ketika masih kecil dahulu, tutur Rahimah mesra, “Bulan Ramadan keluarga kami sama seperti keluarga yang lain. Namun, nostalgia yang masih segar dalam ingatan adalah bila bulan puasa mak akan suruh kita hantar kuih ke setiap rumah jiran. Mak akan buat satu atau dua jenis kuih sahaja.
Tetapi yang seronoknya bila tiba masa berbuka ada banyak kuih-muih pemberian daripada jiran-jiran yang kita hantar kuih. Menurut kata orang-orang tua, budaya membalas pinggan. Apabila tiba masa untuk bersahur pula, Rozita adalah orang yang paling senang untuk bangun. Adik-adik yang lain punya liat nak bangun sahur termasuk saya adalah yang paling akhir bangun sahur,” ungkap Rahimah sambil tertawa.
Ketika diajukan tentang peranan seorang kakak yang tersandar dibahunya sementelah mempunyai adik-adik yang cantik dan terkenal, kata Rahimah lembut, “sebagai kakak sulung, alhamdulillah, bersyukur punyai adik-adik yang cantik dan terkenal malah sentiasa menyokong segala apa yang mereka ceburi and I am happy for them.
Sebagai kakak kepada Rozita Che Wan pula, saya sangat berbangga dan gembira dirinya. Bukan senang untuk dia membina nama sehingga dikenali ke hari ini. Lebih-lebih lagi kami berasal daripada keluarga yang susah. Bapa meninggal ketika kami masih kecil, mak dan nenek yang menjaga dan membesarkan kami adik-beradik.
Rozita seorang yang sangat bersemangat, rajin, mempunyai azam yang besar, disiplin diri yang tinggi dan sentiasa bekerja keras untuk mencapai keinginannya. Rozita yang paling banyak membantu keluarga kerana dia seorang yang sangat-sangat pemurah dan baik hati.
Malah daripada sebelum saya kahwin hingga saya sudah pun berkahwin, dia masih lagi belikan baju-baju raya untuk saya dan anak saya. Bercuti ke mana sahaja pun dia tidak pernah lupa belikan buah tangan untuk kami semua. Appreciate sangat dia punya ingatan terhadap keluarga besar kami,” ujar Rahimah.
ROZITA CHE WAN
Ramai yang mengatakan sukar untuk menjadi pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta ini. Menurut ibu kepada Aaisyah Dhia Rana ini, sebenarnya tidak sukar untuk menjadi dirinya kerana sudah terbiasa sejak dahulu lagi suka berdandan dan gemar penampilan cantik lain daripada yang lain.
“Sebagai seorang wanita, isteri dan juga ibu sudah semestilah tanggungjawab merancang perbelanjaan terletak di tangan kita. Saya biasanya akan memperuntukkan sebahagian bajet untuk sambutan raya setiap tahun. Biasanya peruntukan bajet raya saya hanya untuk kuih raya dan duit raya sahaja. Macam baju memang tak boleh ikut bajet kerana biasanya akan beli bila mata dah berkenan. Saya akan menyediakan baju raya untuk diri sendiri, suami dan anak-anak.
Walaupun begitu saya jenis wanita yang suka membuat persiapan lebih awal. Segala persiapan raya saya akan buat sebelum menyambut bulan Ramadan lagi. Saya tidak suka membuat persiapan last minute dan merancang dengan rapi segala persiapan terutama baju raya untuk kami sekeluarga. Ketika bulan puasa saya hanya akan menempah kek dan kuih raya sahaja.
Bagi duit raya pula biasanya saya akan memperuntukkan wang sebanyak RM3000 untuk mengisi sampul duit raya. Maklumlah anak saudara saya ramai, itu pun seorang saya bagi RM100. Ikut hati memang nak tambah jumlah duit raya tapi tiap-tiap tahun bilangan anak-anak buah akan bertambah. So tak jadi lah, maintain setakat itu sahaja. Ada juga peruntukan duit raya untuk anak-anak sendiri dan juga mak tersayang.
Saya jarang memperuntukkan bajet untuk perbelanjaan rumah ketika menyambut Syawal. Boleh dikatakan saya jarang menyambut raya di rumah jadi kelengkapan rumah tidak berubah, macam itu sahaja,” tutur isteri kepada pelakon, Zain Saidin ini.
Mempunyai keluarga yang besar tentu mempunyai impak terutama apabila masing-masing sudah berkahwin dengan pilihan hati. Jika ketika bujang semua boleh berkumpul semua sekali namun, apabila sudah mendirikan rumah tangga tentu sukar untuk berkumpul di hari raya. “Keluarga kami tidak begitu. Walaupun masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai keluarga mentua kami tetap balik beraya ke kediaman ibu di Alor Star.
Dalam tujuh orang adik beradik, hanya saya, Kak Rahimah dan Ayu sahaja yang berkahwin dengan orang jauh. Adik-beradik yang lain semua berkahwin dengan orang Kedah. Jadi macam Jaja dan Ruby memang tiap-tiap tahun mereka akan pulang ke Alor Star sebab mak mentua mereka orang sana.
Biasanya apa yang adik-beradik saya praktik apabila tiba giliran beraya bersama keluarga suami, hari raya kedua kami akan balik ke Alor Star dan kami adik-beradik akan berkumpul bersama-sama. Memang setiap tahun begitu, jadi tiada istilah tak balik kampung. Mak pun tak kisah dan beliau dah faham apabila anak-anak yang sudah berkahwin dan mempunyai giliran beraya di rumah mak mentua terlebih dahulu.” Walaupun tahun ini, 2020 tidak kesampaian hajat untuk pulang beraya di Alor Setar.
Seronok melihat kelima-lima adik-beradik ini begitu akrab dan saling memerlukan. “Adik-beradik saya tujuh orang, kami lima orang perempuan dan dua lagi lelaki. Perbezaan umur yang tidak begitu ketara membuat hubungan kami begitu akrab. Antara hobi yang sering dikongsi adalah bersolek bersama-sama. Kalau orang tengok macam pertandingan solekan, kami adik-beradik.
Lepas itu kami adik-beradik suka jahit manik untuk baju raya. Dahulu sebelum masing-masing kahwin selepas buka puasa dan selepas terawih, tiga minggu pertama memang masa untuk jahit manik di atas baju masing-masing. Lepas tu pilih, baju siapa yang paling cantik. Seminggu yang terakhir itu kami akan sibuk buat kuih raya ramai-ramai. Saya rasa itu adalah aktiviti yang saya paling miss the most.
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menyambut Syawal bersama adik-beradik apabila suatu pagi raya itu, kakak saya gosok baju anak dia terkoyak habis lengannya. Ayu pula hantar baju pergi dry clean dan apabila pagi raya nak pakai tengok-tengok seluar suaminya, Zaquan dah jadi pendek sampai ke lutut. Pagi itu riuh rendah rumah mak, kalau difikirkan kembali kelakar pun ada,” bicara Che Ta sambil tertawa.
Menurut pelakon drama Kiah Pekasam ini, tradisi ketika menyambut Aidilfitri yang masih diamalkan sejak kecil sehingga kini adalah bersalam-salaman dengan seluruh ahli keluarga sambil menghulurkan duit raya.
“Makanan yang wajib ada ketika beraya bersama keluarga sudah semestinya ketupat daun palas sebab ketupat ini kalau bukan hari raya susah nak dapat. Ada juga orang jual ketupat palas ini tetapi, tak sedap. Mak memang akan buat ketupat palas makan dengan gulai daging. Macam keluarga kami orang Alor Star suka makan ketupat palas dengan susu pekat. Itu memang makanan wajib setiap kali Syawal,” ujar Che Ta.
Sebagai selebriti terkenal pula adakah penting untuk menjaga imej ketika menghadiri rumah terbuka? “Kalau menghadiri majlis rumah terbuka saya mesti pakai baju yang paling glamor sebab kan raya. Kalau raya saya memang jenis yang all out. Saya akan pakai baju yang paling meletup macam nak pergi majlis anugerah. So kalau pergi open house bergantung la. Kalau open house tu buat kat rumah mungkin pakai biasa-biasa aja. Tapi kalau open house tu kat hotel kita pakai lah meletup sikit,” kata ibu kepada Ammar Effendy dan Aniq Ezzra ini.
RUBYTAH CHE WAN
Memang wanita ini tidak seperti kakaknya, Rozita Che Wan dan adik perempuannya, Ayu Raudhah yang terjun dalam dunia seni. Namun, apabila Rubytah Che Wan ini mengahwini pelawak popular Lan Pet Pet sedikit sebanyak limpahan lampu glamor menjurus kepadanya. Kebahagiaan pasangan ini jelas terpancar apabila melihat Lan Pet Pet sering mengusik isterinya yang turut hadir ketika penggambaran sedang berlangsung.
“Memang orang akan melihat ke mana sahaja kami berdua kerana saya turut menjadi Manager kepada suami. Saya menguruskan perjalanan seni Lan Pet Pet, sebab itu orang akan melihat ke mana sahaja Lan pergi saya akan turut serta. Bulan Ramadan dan Syawal juga jadual Lan agak ketat kerana banyak program dan acara yang melibatkannya sebagai pengacara majlis dan membuat penampilan istimewa.
Bagi saya kehadiran bulan puasa bagai suatu yang dinanti. Peluang meraih keberkatan amalan yang dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagai ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam. Namun, saya tiada persiapan yang ketara menempuh Ramadan kerana sudah membiasakan diri dengan amalan berpuasa di bulan Syaaban dan Rejab. Apabila, sudah terbiasa berpuasa jadi tiada lagi istilah penat atau perut meragam. Cuma ketika bulan Ramadan ditambah pula dengan amalan solat sunat terawih,” tutur anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik ini.
Melihat penampilan Muslimah sejati yang tersarung di tubuhnya, tertanya-tanya bagaimana wanita yang mesra di sapa Ruby ini melakukan penghijrahan. “Saya melakukan transformasi diri dengan melabuhkan sedikit tudung selepas pulang daripada mengerjakan haji 2017 lalu. Perubahan ini berlaku apabila saya terfikir sudah beberapa kali mengerjakan umrah namun apabila tiba masa mahu meninggalkan tanah suci timbul rasa tidak seronok.
Apabila saya berada di tanah suci dan kembali ke Malaysia umpama berada dalam dua dunia yang berbeza. Sepatutnya ke mana sahaja kita berada amalan dan pakaian kita adalah sama. Oleh itu sejurus pulang daripada mengerjakan haji tahun lalu saya nekad untuk mengubah penampilan. Penghijrahan ini bukan untuk menunjuk alim dan sebagainya tetapi mahu menyarung pakaian yang boleh di bawa solat tidak kira masa dan tidak kira tempat,” terang ibu kepada empat orang anak ini.
Tambah wanita yang mudah mesra ini, setiap kali menemani suami menghadiri majlis tertentu ramai wanita yang bertanya tentang pakaian yang tersarung di tubuhnya. “Memang baju dan tudung yang saya pakai sekarang tidak ada dijual di mana-mana. Rekaannya saya buat sendiri dan jahit sendiri. Dahulu saya memang tidak suka menjahit dan hanya tahu mereka pakaian sahaja. Akibat takut tukang jahit tidak faham keinginan saya justeru saya jahit sendiri. Benar kata orang jika kita buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh pasti akan berjaya,” bicara Ruby yang belum terfikir untuk memasarkan baju rekaannya itu.
Menurut Ruby persediaan baju raya tahun ini berbeza sedikit daripada tahun-tahun yang sebelumnya. Baju raya tetap ada tetapi lebih sederhana dan yang penting adalah keselesaan ketika memakainya.
KEMERIAHAN SYAWAL
Ruby beruntung kerana berkahwin dengan orang satu negeri. Oleh itu, setiap tahun pasangan ini akan menyambut kehadiran Syawal di negeri Jelapang Padi. “Memang benar setiap tahun saya akan balik Kedah. Kedua-dua mak dan mak mentua ada di sana. Cuma setiap tahun saya akan beraya di rumah Lan terlebih dahulu dan selepas solat sunat Aidilfitri baharu saya akan pulang ke rumah mak di Alor Star.
Juadah hari raya biasanya mak mentua yang akan sediakan segala-galanya. Walaupun mak mentua sudah berusia tetapi dia masih kuat lagi. Mak mentua jenis yang suka masak dan tak bagi orang lain masuk dapurnya. Antara hidangan istimewa air tangan mak mentua sudah pasti ketupat dan gulai daging. Manakala laksa pula menjadi hidangan kegemaran anak bongsu dan satu-satunya lelaki iaitu Lan Pet Pet,” gurau Ruby kepada suaminya yang dikenali sejak di bangku sekolah lagi.
DATIN ROHAIZA CHE WAN
Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya, walaupun sudah mempunyai enam orang anak.
“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.
Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.
Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah.”
Menyingkap tentang persiapan hari raya Datin Jaja yang mempunyai anak-anak masih kecil, ucapnya, “Walaupun anak-anak masih kecil bagi saya semua tidak menjadi masalah. Biasanya saya sudah menyediakan segala-gala kelengkapan raya sebelum menjelang bulan Ramadan lagi. Persiapan last minute akan membuat kita sering tersasar daripada keperluan wajib hari raya.
Sebelum puasa saya sudah menyediakan 3 pasang baju untuk setiap anak-anak. Lagi pun bulan Ramadan saya sangat sibuk untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Biasanya tiap-tiap tahun sejak berkahwin suami akan mengadakan majlis berbuka puasa di rumah. Suami akan menjemput rakan sekerja, rakan-rakan, anak-anak tahfiz dan tetamu yang lain untuk berbuka puasa di rumah daripada hari Isnin hingga Jumaat selama sebulan. Selepas berbuka kami akan menunaikan solat maghrib, isyak dan terawih bersama-sama.
Saya akan masak sendiri setiap juadah berbuka dan rasa seronok apabila melihat orang setiap hari orang dapat berbuka puasa dengan air tangan sendiri. Hanya Sabtu dan Ahad sahaja masa untuk saya berbuka puasa dengan keluarga dan adik-beradik yang lain,” bicara isteri kepada Datuk Haji Muhammad Faizal Haji Zainul ini penuh ceria.
Kenangan malam raya adalah antara kenangan yang diperkatakan oleh kelima-lima adik-beradik jelita ini. “Semasa kami semua belum berkahwin dahulu kenangan malam raya adalah suatu yang sukar dilupakan. Masing-masing sudah ditetapkan tugas, saya dan Che Ta biasanya akan ditugaskan untuk menghias rumah. Pagi raya pula kami akan menyusun kuih raya di atas meja.
Paling istimewa apabila setiap kali tiba pagi raya kami adik-beradik akan bergaya sakan ibarat sebuah fashion show. Masing-masing tidak mahu kalah dalam bergaya dengan taburan labuci dan manik yang dijahit sendiri di atas baju raya. Momen begini sangat indah untuk dikenang. Usai mengerjakan solat sunat Aidilfitri kami semua akan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan bersama adik-beradik dan mak,” ujar Datin Jaja yang pernah menjadi pramugari dan model sambilan suatu ketika dahulu.
Datin Jaja juga beruntung kerana berkahwin dengan orang satu negeri. Oleh itu tiada istilah berbalah untuk balik kampung beraya. Namun wanita yang pandai bergaya ini sudah serik untuk balik kampung dekat-dekat nak raya. “Saya memang sudah serik untuk balik kampung dekat-dekat nak raya kerana pernah terkena melekat di atas jalan raya lebih daripada 10 jam. Tambah pula anak-anak masih kecil, memang huru-hara jadinya. Setiap tahun kami akan pulang awal ke kampung dan mengambil peluang berbuka bersama-sama mak dan mak mentua,” jelas Datin Jaja.
RAUDHAH CHE WAN
Raudhah Che Wan atau lebih popular disapa Ayu Raudhah dibayangi kelibat kakak tersayangnya namun, sedikit demi sedikit bakat semula jadi yang mengalir dalam dirinya telah diterima oleh pencinta seni tempatan. Berbekalkan rupa paras yang cantik dan bakat membuat Ayu masih mendapat tawaran berlakon sehingga kini.
“Kalau Raya tumpuan saya lebih untuk dekorasi moden glam atau klasik yang gelap dan cosy. Alhamdulillah saya mempunyai cita rasa yang sama dengan Zaquan. Biasanya jika ada masa terluang kami berdua akan keluar bersama-sama untuk membeli barang kelengkapan rumah. Zaquan ini jenis orang yang suka duduk di rumah oleh itu saya perlu pastikan dekorasi rumah umpama kawasan rehat yang sedap untuk dihinggapi,” terang Ayu.
“Memang tiap-tiap tahun saya tidak pernah miss beraya bersama keluarga di Kedah. Apabila berkumpul semua, memang suasana rumah mak akan jadi riuh rendah. Cuba bayangkan kami tujuh beradik dicampurkan pula dengan mak dan tok di rumah. Ditambah pula dengan pasangan masing-masing dan juga anak-anak. Memang macam-macam cerita yang akan keluar. Kami juga suka mengenakan warna tema setiap pagi Syawal,” bicara Ayu penuh ceria.
Ayu bukan sahaja dilahirkan dengan rupa paras yang cantik malah cekap memasak di dapur. Lebih istimewa apabila selebriti ini cekap memasak untuk bilangan yang ramai. “Biasanya kami akan bergotong-royong masak. Makanan wajib ketika menyambut Syawal di Kedah sudah semestinya Gulai daging dan nasi daging,” ujar Ayu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ketika ramai mengejar cita-cita di ibu kota, Marham Mohd Yusof pula memilih pulang ke negeri kelahirannya. 12 tahun bergelar anak perantau di Kuala Lumpur, pemuda ini memutuskan untuk berada di sisi ibu tercinta di Kuala Nerus, Terengganu.
Meninggalkan kerjaya ketika pandemik COVID-19, Marham percaya rezeki Tuhan ada di mana-mana.
“Saya fikir bila saya dah berusia nanti, saya akan pulang ke kampung untuk meluangkan masa bersama ibu dan menghabiskan sisa usia untuk melakukan semula perkara-perkara nostalgia semasa kecil.
“Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Benda itu (balik kampung) tak sampai saya pencen pun. Saya ingat mungkin ketika umur sekitar 40 atau 45 saya akan pulang.
“Ketika (awal) pandemik, saya bukan kehilangan kerja. Saya ada kerja, cuma hati ini terdetik, kenapa tidak, ini masa yang tepat untuk saya pulang dan melakukan apa yang saya suka,” kongsi Marham kepada Awani baru-baru ini.
Marham tidak sekadar pulang ke kampung tanpa sebarang perancangan. Menjaga ibu, Asiah Ngah adalah keutamaan buatnya. Mencari rezeki selagi berkudrat dipikul penuh tanggungjawab.
Pada tahun 2020 Marham memulakan studio kayu dengan konsep tradisional. Ia memaparkan budaya dan kehidupan kampung. Ketika itu, Marham sendiri tidak tahu apakah percaturan itu akan membuahkan hasil atau sebaliknya.
Anak bongsu daripada enam beradik ini hanya ‘bersenjatakan’ doa seorang ibu.
“Emak tak cakap panjang, dia tengok saya buat. Dia percaya dengan apa yang saya buat dan suka apabila saya berada di sampingnya.
“Untuk orang yang ada emak, doa ibu sangat penting. Saya sendiri, saya tulis doa apa yang saya nak. Saya bagi kepada emak, saya suruh emak baca setiap hari dan doakan saya.
“Sebab ibu adalah malaikat di dunia, kiriman daripada Tuhan. Saya minta emak doakan agar saya mendapat kejayaan di kampung. Tetapi bagi saya dan emak juga, konsep rezeki itu ada di mana-mana,” kongsinya.
BAWA BUDAYA KE MATA DUNIA Setahun merancang kandungan dan melakukan penggambaran, video pertamanya disiarkan di media sosial ‘Marbitter’ pada 1 Januari 2021.
Langit tidak selalu cerah, Marham akui hampir berputus asa. Duit simpanan mencecah RM20,000 dilaburkan untuk bergelar ‘YouTuber’.
Hari demi hari, video yang dikongsi masih kurang mendapat reaksi daripada pengguna media sosial. Namun, semuanya berubah empat bulan kemudian apabila video ‘Marbitter’ mula tular.
Lebih istimewa, Marham turut menampilkan ibunya dalam kebanyakan video yang dihasilkan. Dengan elemen kasih sayang kepada ibu, haiwan, hubungan dengan kawan-kawan serta rasa syukur, misinya adalah mahu kehidupan kampung diperkenalkan ke mata dunia.
“Macam ‘followers’ saya dari Indonesia dan tak pernah datang Malaysia, dia ingat Malaysia ini negara yang terlalu moden.
“Mereka cakap, ‘Oo ada lagi kampung rupanya di Malaysia’. Begitu juga orang Singapura yang rindukan suasana lama, sebab Singapura sangat dekat dengan orang kita. Jadi bila dia tengok video saya, dia rindukan suasana dulu yang mereka rasa sewaktu kecil.
“Inilah peluang yang saya cipta, untuk mengetengahkan budaya orang Malaysia. Saya bukan hanya mengetengahkan budaya orang Melayu, bahkan saya mengetengahkan budaya orang Malaysia – Cina, India, Kadazan-Dusun dan sebagainya,” tambah Marham.
BARANGAN LAMA DIGUNA SEMULA Lesung batu, tempayan antik, tembaga, serta dapur kayu antara elemen tradisional yang ditonjolkan. Menurut Marham, semua barangan tersebut adalah milik keluarganya yang sudah lama tidak digunakan.
Dibesarkan sebagai anak petani, perkara itu menjadi kelebihan buatnya untuk memanfaatkan kebun-kebun yang dimiliki keluarga dan saudara-mara.
“Macam saya sendiri ada kebun cili, dan saudara pula ada kebun kacang dan timun.
“Bagi orang, semuanya ‘Marbitter’ ada tanaman… terung, kacang, tembikai, dan sebagainya. Tetapi sebenarnya, kadang-kadang saya tak perlu tanam pun semua itu, saya hanya pergi dan ambil.
“Semua itu berdekatan dengan rumah saya sebab ia milik saudara-mara saya,” katanya sambil mengakui bahawa saudara-maranya menyokong kerjaya dia ketika ini.
Dalam pada itu, Marham memaklumkan studio kayunya dijangka siap sepenuhnya sekitar sebulan lagi dan akan turut memberi peluang kepada para peminat untuk merasaikan pengalaman inap desa.
Bagi jangka masa panjang pula, dia merancang untuk memenuhkan kawasan sekitar rumahnya dengan pelbagai tanaman. Semoga Marham terus sukses dan tercapai segala impian.
Sumber: Awani
Kredit Foto: IG Marbitter
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.