Meniti usia 32 tahun, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya merupakan satu-satunya Puteri Diraja Thailand yang menjadi kesayangan rakyat Negara Gajah Putih. Selain pesona wajah yang memikat… Puteri Sirivannavari mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai pencapaian membanggakan.
IKLAN
Meskipun bergelar anak raja dan boleh hanya duduk ‘goyang kaki’ menikmati gaya hidup mewah di istana, namun beliau enggan berbuat demikian. Sebaliknya puteri bertubuh tinggi lampai ini lebih selesa mendekati rakyat dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain.
Puteri Sirivannavari ialah puteri sulung hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand. Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX. Khabarnya perkahwinan tersebut tidak direstui bonda Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Permaisuri Sirikit.
Bagaimana pun jodoh di antara Raja Maha Vajiralongkorn dan bekas anak seni berkenaan tidak berpanjangan yang akhirnya membawa kepada penceraian kerana Sujarinee dituduh curang. Ia sekaligus menyebabkan Sujarinee dilucutkan status diraja.
Raja Maha Vajiralongkorn bersama ibunda Puteri Sirivannavari.
Pun begitu, Puteri Sirivannavari masih bergelar puteri diraja dan ternyata beliau disayangi ayahandanya yang kini menaiki takhta pemerintahan Thailand. Anak perempuan Sujarinee ini tidak hanya menjadi buruan media tempatan di sana bahkan beliau turut disayangi rakyat jelata yang ‘dahagakan’ perkembangan semasa beliau.
Minat dalam bidang fesyen.
IKLAN
Percaya atau tidak, Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005! Bukan hanya sukan badminton… beliau juga mewakili Thailand dalam sukan berkuda dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 yang lalu.
Seakan tidak puas dengan kecemerlangan dalam arena sukan, Puteri Sirivannavari juga sebenarnya penerbit kreatif dan pereka fesyen jenamanya sendiri iaitu Sirivannavari. Beliau pernah dijemput menghadiri pertunjukan fesyen jenama mewah antaranya Chanel, Elie Saab dan Pierre Balmain. Atas kejayaan itu, puteri kesayangan Raja Maha Vajiralongkorn ini turut telah beberapa kali menjadi wajah penghias majalah elit seperti Vogue, Elle dan Thailand Tatler.
Sumber: Style Magazine
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebuah video memaparkan usahawan kosmetik terkemuka, Datuk Seri Vida menerima bungkusan menjadi bualan para netizen di laman Instagram hari ini.
Mana tidaknya, bingkisan yang dibungkus kemas bagaikan hantaran itu dibalut dengan sehelai kain songket tampak mewah dan eksklusif! Kelihatan usahawan tersebut seakan terkejut menerima bungkusan hadiah tersebut bila disogokkan dengan kata-kata berbau lamaran.
“Saya dilamar?Siapa yang lamar? Jangan main-main terkejut!. Bab lamar-lamar ni sensitif,”ujarnya sambil membuka bungkusan yamg diterimanya itu.
Melihat ruangan komen di video tersebut,rata-rata peminat menzahirkan rasa gembira andainya usahawan yang popular dengan lagu Ku Ikhlaskan itu menerima lamaran setelah melalui kegagalan dalam beberapa perkahwinan terdahulu.
Vida pernah menzahirkan hasrat untuk berkahwin lagi dan pernah memberi kenyataan pernah melakukan solat istiqarah dan berdoa untuk dipertemukan jodoh.
Malah usahawan terkenal itu pernah membuat kenyataan akan membuat ‘check up’ (pemeriksaan kesuburan) untuk memastikan dirinya boleh melahirkan zuriat sekiranya dipertemukan jodoh. Apa-apapun, segalanya masih menjadi tanda-tanya!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Gara-gara muntah di tandas sebuah kafe kerana morning sickness, Hanis Zalikha disindir salah seorang pelanggan dengan cara yang memalukan. Kalau tak puas hati sekalipun janganlah sindir sampai satu kafe dengar. Mujur, Hairul Azreen ada dengan Hanis waktu tu.
Kadang-kadang memang pelik tengok kelakuan orang yang tak prihatin dengan keadaan orang lain. Normal bagi ibu hamil yang mengalami alahan pada awal kehamilan atau first trimester. Situasi ini bukan boleh dijangka.. lebih teruk, ada yang terpaksa ‘hadap’ alahan ini sepanjang tempoh kehamilan.
Sedang mengandung anak kedua, insiden yang pernah dialami Hanis Zalikha ini boleh dijadikan pengajaran buat semua. Bukan saja kepada suami isteri bahkan orang sekeliling pun boleh lebih bertimbang rasa. Kongsi Hanis, peristiwa tersebut berlaku ketika dia tengah mengandungkan anak sulung, Yusuf Iskandar dulu.
“Ada satu pagi tu, kitaorang on the way pergi office dan setiap kali pergi office kami akan singgah satu kafe ni untuk sarapan sebelum masuk kerja. Dah nak selesai (makan) Hanis mula loya balik.
Ya Allah, cuba tahan taknak muntah sebab sayang makanan & taknak lemah satu badan lepas muntah, tahan punya tahan lari jugak ke tandas kafe tu.
Sambil air mata mengalir, dalam 5 minit selesai episod duka lara dalam tandas, terus cuci mulut, betulkan tudung dan keluar buat macam biasa.”
Disebabkan selera makan dah hilang, pemilik label hijab Cakenis ini hanya menunggu suami selesai makan. Namun, emosinya jadi tidak keruan bila terpandang seorang staf warga asing di kafe tersebut yang kelihatan seakan kurang senang dengan Hanis.
Puas ditanya kepada Hairul, akhirnya pelakon Paskal ini membuka mulut menceritakan adegan muntah Hanis tadi kedengaran satu kafe.
“Ada pak cik tua ni buat muka annoyed sangat-sangat selama kedengaran Hanis muntah tu. Pastu time dia bayar kat cashier dia bising-bising sampai satu kafe dengar. Dia cakap ‘apeni saya makan kat sini bayar, bukan nak dengar orang muntah-muntah!’
So my husband walked up to him and said, ‘Ye abang, kenapa? Minta maaf ya yang muntah tu isteri saya dan dia mengandung.’
Bila dikenang balik kejadian tu, baru faham sendiri maksud, Suami adalah pelindung. Walau dalam ketiadaan kita dia melindungi kita.”
Beruntung Hanis dikurniakan suami yang prihatin dan cukup menjaga perasaan isteri. Pasti hati isteri yang tengah menahan rasa malu pun tenang bila ada yang mempertahankan maruah mereka. Iyalah, bukan sengaja.
Walaupun sekarang Hanis sedang menjalani kehamilan second trimester dan perut yang makin besar tapi dia akui masih alami rasa loya yang teruk. Kasihan Hanis! Diharapkan agar ibu muda ini diberikan kesihatan yang baik, minda dan emosi yang stabil agar dapat melahirkan bayi comel yang sihat dan kuat mental fizikal sama seperti ibunya.
Semoga dengan perkongsian ini juga menjadikan masyarakat kita lebih peka dan prihatin dengan situasi orang lain terutamanya apabila melibatkan perihal ibu mengandung.
Kredit: Instagram Hanis Zalikha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kematian George Floyd, 46 tahun, telah mencetuskan insiden rusuhan dan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat, dengan mesej supaya keganasan pihak polis dihentikan.
Mendiang meninggal dunia selepas seorang pegawai polis melutut di atas lehernya lebih daripada 8 minit dalam keadaan mangsa tertiarap.
“Saya tak boleh bernafas” itu kata-kata terakhir Floyd.
PENYEBAB KEMARAHAN
George Floyd hanya seorang lelaki berkulit hitam biasa, tapi dengan jiwanya yang besar. Nama ini mula viral sejak beberapa hari lepas apabila lelaki tidak membahayakan itu menjadi mangsa keganasan pihak polis di Minneapolis.
Floyd dilahirkan di North Carolina, membesar di Texas dan berpindah ke Minneapolis selepas dibebaskan dari penjara. Dia digelar ‘gergasi yang tidak berbahaya’ (A Gentle Giant) dan sepanjang masa dilihat cuba untuk memperbaiki hidupnya.
Bekerja sebagai pemandu trak dan pengawal keselamatan di sebuah restoran Amerika Latin iaitu Conga Latin Bistro, sifat penyayang Floyd selalu dikenang oleh orang ramai.
“Dia sanggup buat apa saja untuk menolong orang lain,” ujar adiknya, Bridgett Floyd.
Nama ‘Big Floyd’ adalah gelaran lelaki ini di kalangan ahli keluarga serta rakan-rakannya. Mendiang merupakan bapa kepada seorang anak perempuan berusia 6 tahun yang kini tinggal dengan ibunya, Roxie Washington, di Texas.
“Dia juga adalah bapa yang baik” Roxie Washington
Tunang Floyd, Courteney Ross, turut berkongsi perasaannya yang patah hati dengan kematian kekasihnya. “Dia sangat menyayangi bandar ini. Dia datang dan tinggal di sini kerana suasananya, penduduknya dan peluang pekerjaan yang ada.”
Seperti filem Hollywood, George Floyd merupakan seorang atlet sukan bola keranjang dan American Football yang bagus. Selepas berhenti sekolah, dia menghasilkan muzik dan menubuhkan sebuah kumpulan hiphop bernama Screwed Up Click.
Menurut dokumen Mahkamah, George dituduh pada tahun 2007 atas jenayah rompakan bersenjata dalam satu pencerobohan rumah. Mendiang pernah dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.
Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut banyak menginsafkan George Floyd. Dalam satu video, mendiang pernah dirakam menentang keganasan senjata api dengan mesejnya, “Generasi muda kita jelas sekali hilang kawalan diri.”
TERBUNUH
Tanggal 25 Mei lepas, lelaki itu telah ‘direbahkan’ di atas jalan raya oleh seorang pegawai polis, Derek Chauvin, kerana disyaki menggunakan wang kertas $20 palsu di sebuah kedai.
Dalam rakaman tangkapan itu, kedengaran suaranya… “Saya tak boleh bernafas!” beberapa kali dengan sayup dan perlahan. Mendiang kemudiannya diangkat ke atas pengusung dan dibawa pergi menaiki ambulans.
Dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Melalui gabungan video yang dirakamkan oleh orang awam dan kamera keselamatan, kronologi kematian George Floyd diteliti secara terperinci.
Menurut kenyataan polis, penahanan itu disebabkan tindak balas pegawai mereka terhadap satu laporan penggunaan wang palsu di sebuah kedai. Ini mendorong beberapa orang pegawai polis mendekati kenderaan yang disyaki dan mendapati suspek sedang berada di dalam kereta.
Walaupun pada awalnya dilihat masih mengikuti standard kepolisian Jabatan Polis Minneapolis, ia kemudiannya berubah menjadi insiden maut apabila pegawai polis menekan lututnya di atas leher George Floyd selama 8 minit 46 saat.
Ini menyebabkan mendiang sukar bernafas walaupun dia dan orang sekeliling meminta pertolongan supaya ‘tekanan lutut’ itu dilepaskan.
Sehari selepas kematian George Floyd, semua keempat-empat pegawai polis yang terlibat telah dipecat oleh Jabatan Polis Minneapolis.
3 hari kemudian, peguam Mike Freeman mengumumkan tuduhan membunuh ke atas Derek Chauvin, pegawai polis yang menyebabkan kematian George Floyd. Tiga lagi pegawai, Thomas Lane, J. Alexander Kueng dan Tao Thao, masih dalam siasatan.
Mengejutkan kerana menurut seorang bekas pemilik bar El Nuevo Rodeo, mangsa dan suspek pembunuh (George Floyd dan Derek Chauvin) pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat dan masa yang sama!
Mungkinkah pembunuhan ini berunsurkan dendam?
PUNCA KEMATIAN
Satu bedah siasat yang diatur keluarga mendiang George Floyd mendapati mangsa dilemaskan oleh seorang anggota polis Amerika Syarikat (AS), berbeza dengan punca didakwa pihak berkuasa sebelum ini, iaitu masalah berkaitan jantung.
Peguam keluarga itu, Ben Crump pada Isnin berkata, bedah siasat bebas oleh pemeriksa perubatan pada Ahad mendapati, kematian Floyd berpunca akibat lemas, yang disebabkan oleh tekanan pada bahagian tertentu.
Pengarah Autopsi dan Sains Forensik di Universiti Michigan, Aleccia Wilson, berkata beliau memeriksa mayat mendiang Floyd.“Bukti yang diperoleh adalah kematian itu konsisten dengan lemas buatan, dan kes ini dianggap sebagai pembunuhan,” katanya pada sidang media.
ISYTIHAR PERINTAH BERKURUNG
Peristiwa yang dianggap menindas bangsa kulit hitam di Amerika Syarikat itu telah menimbulkan kemarahan luar biasa.
Perintah berkurung telah dilaksanakan di New York berikutan perusuh menyerbu masuk gedung di pusat Manhattan dengan mensasarkan beberapa kedai jenama terkemuka di bandar raya itu.
Gedung fesyen Michael Kors di Fifth Avenue antara butik berjenama yang terjejas, selain Nike, Lego dan beberapa kedai elektronik.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang rumahnya di New York berada dekat dengan pusat beli belah itu, membuat ciapan di Twitter, semalam untuk menuntut pemimpin tempatan ‘bertindak pantas’ dan memanggil anggota tentera.
Beberapa bandar utama di AS telah mengerahkan anggota tentera dalam menghadapi tunjuk perasaan terhadap kekejaman polis berikutan pembunuhan Floyd ketika dalam tahanan polis di Minneapolis minggu lalu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selebriti jelita serta ibu kepada dua orang cahaya mata, Fatin Afeefa pula dilantik menjadi wajah eksklusif produk ini menyatakan keterujaan atas kerjasama ini, malah menyifatkan L.Soulle cukup sesuai dengan kulit wanita di Malaysia.