Aura Jo-Anna Sue Henley Rampas masih berbisa meskipun dia tidak lagi terlibat secara aktif dalam arena politik tanah air. Buat masa ini figura jelita berkenaan memilih untuk menjadi pemerhati politik di samping rancak mengacarakan program podcast Smart Talks Sabah yang mengetengahkan isu ekonomi dan sosial masyarakat.
Pendek kata, semangat Jo-Anna membela nasib rakyat khususnya di Sabah masih menebal hingga ke hari ini.
Perkembangan Jo-Anna Sue Henley Rampas
Mengikuti perkembangan wanita bijak ini, Jo-Anna Sue Henley Rampas dilapor melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Politik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Selain sibuk dengan tugas pengacaraan dan belajar, Jo-Anna juga merupakan seorang isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan.
Menerusi perkongsian di media sosial, dia yang berusia 37 tahun pernah mendedahkan realiti sukar menyambung pengajian dengan status yang digalasnya saat ini. Namun bersyukur mempunyai penyelia dan individu yang menyokong usahanya melanjutkan pelajaran.
“PhD life is no easy journey but having the right support system makes all the difference. I’m incredibly grateful for my amazing supervisors and especially my peers who inspire and motivate me every day.
Ads
Huge shoutout to these two wonderful ladies, Norhidayah and Elvy, who are on this journey with me as Graduate Research Assistants.”
Jo-Anna Sue Henley Rampas bertuah kerana bukan saja dikurniakan rupa paras cantik. Malah berpendidikan tinggi dan memiliki jiwa besar untuk membantu masyarakat.
Berasal dari Tuaran, kemunculan Jo-Anna sebagai ahli politik di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 menjadi tumpuan umum.
Ads
Kecantikan Jo-Anna Sue Henley Rampas
Wanita berwajah Pan Asia ini lantang membawa suara masyarakat Sabah. Patutlah ramai menggelarnya ‘Beauty with Brains’. Tak bersandarkan kepada muka cantik semata-mata, personaliti ini bukan sebarangan wanita.
Dia mewarisi keturunan Inggeris daripada bapa dan ibunya pula berasal dari suku kaum Kadazan. Jo-Anna menamatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of London dan Sarjana Undang-Undang Antarabangsa dan Tanggungjawab Sosial Korporat dari University of the West of England.
Ads
Anak sulung daripada tiga beradik ini berkahwin dengan Dr Devindran pada tahun 2016 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Danielle Olumis.
Ketika berusia 18 tahun, dia memenangi pertandingan Ratu Cantik Unduk Ngadau 2007 dan fasih berbahasa Melayu, Inggeris serta Bahasa Dusun.
Pada Mei lalu, Jo-Anna terlibat dalam Shangri-La Dialogue Young Leaders’ Programme. Dalam kesibukan dengan urusan harian, wanita ini bagaimana pun tetap mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.
Misalnya, dia menyertai larian Borneo International Marathon 2026 sejauh 21 kilometer dan tidak ketinggalan mengikuti Ruhiang Kiulu Trail Run Challenge.
Moga gaya hidup sihat dan semangat Jo-Anna menimba ilmu pengetahuan menjadi inspirasi buat golongan wanita untuk mengecapi impian mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Biarpun ada kekurangan tetapi gadis ini dikurniakan satu kelebihan yang cukup luar biasa. Matanya buta namun hatinya ‘celik’ Al-Quran. MasyaAllah!
Aisya Humairah Mohd Sharizal, anak kepada pasangan jurutera dan suri rumah ini baru berusia 13 tahun. Biarpun cacat penglihatan, dia seorang yang sangat cintakan Al-Quran.
Meskipun hidup dalam ‘dunia gelap’ ia bukan penghalang bagi Aisya Humairah untuk sentiasa mendalami kalamullah.
Malah, anak kedua daripada empat adik beradik yang berasal dari Kedah ini boleh membaca dengan baik menggunakan Al-Quran braille.
Memetik perkongsian Sinarplus, baru-baru ini Aisya Humairah menyertai Majlis Khatam Al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus. Sejak di bangku sekolah rendah lagi Aisya Humairah aktif menyertai pertandingan tilawah Al-Quran.
Katanya, dia telah banyak kali terpilih untuk menyertai pertandingan tilawah Al-Quran dan berjaya ke peringkat kebangsaan.
“Antara pencapaian terbaik saya, memperoleh tempat kedua semasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kategori masalah penglihatan tahun 2021,” ujarnya.
LAHIR SEBAGAI BAYI NORMAL
Aisha Humairah dilahirkan sebagai bayi normal pada 17 Disember 2010. Namun, Aisya Humairah disahkan menghidap kanser mata ketika usianya setahun dua bulan.
Dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi bagi mengelak tumor merebak ke otak. Pada usia tiga tahun, mata kirinya pula terpaksa dibuang.
Setahun kemudian, Aisha Humairah hilang mata sebelah kanan sekaligus menjadikannya orang kurang upaya kategori cacat penglihatan sepenuhnya.
CANCER SURVIVOR
Biarpun perjalanan hidupnya tak seindah kanak-kanak lain seusia, Aisya Humairah yang merupakan cancer survivor tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kerohanian.
Seawal usianya lima tahun, Aisya Humairah dihantar oleh ibu bapanya untuk belajar Al-Quran dengan beberapa orang guru mengaji.
Dia mula mengenal huruf melalui buku Iqra braille sebelum mengaji secara berperingkat menggunakan Al-Quran braille yang dibeli ibunya secara second hand.
“Peringkat awal mengaji, saya berdepan kesukaran untuk menghafal,” imbaunya.
Aisya Humairah menjadikan guru taranumnya, Ustazah Norsyafirah Jusoh sebagai sumber inspirasai. Ustazah Norsyafirah ialah Johan Qariah dalam Pertandingan Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat negeri Perlis.
Aisya Humairah punya kenangan manis ketika menyertai Pertandingan Tilawah al Quran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia pada 2020. Dia merupakan peserta termuda mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
IMPIAN BERGELAR ATLET PARALIMPIK
Seperti insan lain, Aisya Humairah juga berimpian untuk menjadi seorang yang dapat memberi inspirasi. Dia bercita-cita ingin bergelar atlet renang paralimpik suatu hari nanti.
“Ketika hujung minggu saya akan pergi kelas berenang kerana saya mempunyai impian mahu menjadi atlet renang paralimpik, jadi saya perlu berlatih bermula dari sekarang.”
Pesan Aisya Humairah, jangan berputus asa ketika belajar mengaji walaupun orang lain sudah berada di peringkat yang lebih baik. Belajar mengaji memerlukan kerajian. Teruslah berusaha dan jangan putus asa.
Sumber & Foto: Sinarplus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, siapa yang tidak kenal dengan usahawan muda berusia 31 tahun, Nur Liyana Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Yaana Lee ini. Tidak berseorangan menggemudi empayar perniagaan, Yaana Lee turut dibantu oleh suaminya, Muhammad Hafiz Abdul Hamid yang merupakan tulang belakang utama di sebalik jenama Leeyanarahman.
Bukan mudah menjadi seorang public figure apatah lagi dikenali dalam dunia perniagaan. Ada saja dugaan yang menerpa. Pantang silap sedikit pasti menjadi ‘buah mulut’ khususnya di kalangan warga maya (netizen). Antaranya isu fashion show dan rentas negeri. Pun begitu, bagi Yaan Lee dia punya alasan tersendiri pada setiap perkara yang dilakukan. Apa yang penting dia dan suami menyelesaikan setiap isu yang berbangkit secara profesional.
“Bercakap tentang dugaan memang tidak pernah habis. Saya sendiri tidak nafikan setiap tahun kami pasti akan berdepan dengan dugaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim perayaan. Seperti mana isu yang tular baru-baru ini tentang fashion show Leeyanarahman sehingga dikecam teruk oleh warganet. Majlis tersebut dikatakan gagal mengikut SOP seperti mana ditetapkan.
“Sejujurnya perkara ini berlaku di luar jangkaan. Sebagai manusia biasa adakalanya kita akan terlepas pandang dan di luar kawalan kami. Namun saya sendiri tidak ambil mudah dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Bohonglah kalau tidak rasa tertekan. Saya ambil masa dalam beberapa hari untuk bertenang dan berfikir. Kemudian saya da suami sepakat untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana itulah yang terbaik demi menjernihkan keadaan. Alhamdulillah isu tersebut beransur reda.
Saya ambil pengajaran dan sedar bahawa dalam berniaga kita perlu bersikap profesional. Di samping itu, kita juga perlu ada sikap realistik iaitu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat. Sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan memandang kepada keadaan semasa.
BISNES
Mula menerajui dunia perniagaan pada usia 23 tahun bukan satu perkara yang mudah. Apatah lagi ketika itu masing-masing mempunyai komitmen sebagai pelajar di salah sebuah universiti tempatan. Pun begitu, kerana minat dalam dunia perniagaan kedua-duanya dapat menyeimbangkan komitmen sebagai pelajar dan usahawan dengan baik. Impian bergelar graduan ijazah sarjana muda dalam bidang kewangan serta usahawan sukses berjalan seiring.
“Kami memulakan perniagaan sekitar tahun 2012 secara online. Ketika itu kami sedang menuntut di universiti yang sama dan belum bergelar suami isteri. Permulaannya agak mencabar juga kerana perlu seimbangkan antara belajar dan berniaga. Namun kami anggap cabaran itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya.
Segalanya bermula apabila saya mereka busana hari raya yang saya reka dan jahit sendiri, kemudian memuat naik gambar busana tersebut di laman sosial. Tidak sangka pula ramai yang bertanya dari mana saya membelinya. Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Modal yang kami keluarkan berjumlah RM1500 dan kami berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja. Dari keuntungan tersebut kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit bermula dari 14 kepada 28. Kemudian menjadi 36 helai sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar. Selepas itu kami menghentikan rekaan tersebut dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain,” kongsi ibu kepada Tyara Luthfia yang kini berusia dua tahun.
Menurutnya, dia dan suami menggunakan duit pinjaman PTPTN sebagai modal permulaan. Berkat kesungguhan mereka akhirnya jenama Leeyanarahman semakin terkenal.
Pada tahun 2014 pasangan ini mendirikan rumahtangga sekaligus memudahkan lagi urusan mereka dalam perniagaan. Langkah menjadi lebih jauh terutama atas urusan kerja. Dua bulan berkahwin mereka membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sental. Bermula hanya berada di tingkat satu, setahun kemudiannya mereka berjaya memiliki bangunan sendiri setinggi lima tingkat atas nama Leeyanarahman.
KESAN PANDEMIK COVID-19
Langit tidak selalunya cerah. Begitulah juga dunia perniagaan, tidak selamanya indah belaka. Ada onak dan duri yang harus ditempuh. Pandemik COVID-19 telah menjadi cabaran utama ketika ini khususnya terhadap ekonomi dunia. Segalanya berubah secara total sehinggalah tercetusnya norma baharu.
Jenama Leeyanarahman turut merasai impaknya sehingga Yaana Lee terpaksa menutup butik fizikalnya dan hanya memberi tumpuan terhadap perniagaan online. Pun begitu, di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dahulu ia benar-benar memberi tamparan hebat terhadap jenama Leeyanarahman. Impaknya sangat besar sehinggalah kami terpaksa menutup butik fizikal. Kini kami hanya memfokuskan kepada perniagaan online sahaja. Insha-Allah, andai pandemik ini berakhir kelak kami mungkin akan membuka semula butik tersebut.
Kesan lain ialah impian kami untuk membuka butik di Jakarta pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan gara-gara COVID-19. Permintaan sangat tinggi di Indonesia, itulah salah satu punca kami berhasrat untuk membuka butik di sana. Namun belum ada rezeki lagi buat masa ini. Semoga pandemik ini segera berakhir dan dapatlah kami meneruskan impian yang masih belum tercapai ini.
Apa pun kami tetap bersyukur kerana sejak memperkukuhkan perniagaan online, kami dapat membantu ramai orang terutama yang hilang pekerjaan. Antaranya dengan menawarkan untuk menjadi reseller dan personal shopper Leeyanarahman. Kami turut membuka peluang kepada mereka untuk menyertai program Usahawanita Leeyanarahman. Untuk program ini mereka hanya perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM50 dan dapat menjana pendapatan sampingan serta diberikan komisyen.
NASIHAT BUAT USAHAWAN
Prinsip saya, semua orang boleh berniaga pakaian tetapi pentingnya ada minat. Kalau ada kemahiran menjahit itu satu bonus. Selain itu, kalau berniaga pakaian perlu ada identiti sendiri contohnya menghasilkan rekaan yang unik dan tersendiri. Saya sendiri ada kemahiran menjahit maka saya akan buat semuanya sendiri bermula dari melukis, menghasilkan embroidery dan sebagainya. Idea baru, ada identiti sendiri. Orang boleh ceduk rekaan kami tetapi mereka tidak boleh tahu idea-idea baru yang bakal menyusul.
Semua koleksi Leeyanarahman adalah ready-made dan custom made. Walaupun ketika ini keadaan ekonomi sangat mencabar namun alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat bagus lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
Bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, perkara paling utama ialah minat atau fokus. Ini kerana ianya akan memudahkan perjalanan perniagaan kita di kemudian hari. Jangan sekadar mengikut trend atau terpengaruh dengan yang indah-indah sahaja kerana bimbang perniagaan anda itu tidak kekal lama. Bila ada minat, walau sebesar mana pun cabaran yang datang kita pasti kuat menghadapinya kerana kita ada matlamat yang jelas.
Sebab itulah minat saya terhadap fesyen tidak pernah pudar walau apa pun cabaran datang termasuk kecaman-kecaman dari luar. Sejujurnya, apabila kita berada di atas tidak semua senang melihat kita berjaya. Namun, itulah sebenarnya yang menjadikan saya dan suami lebih kuat dan bersemangat,” akhiri Yaana Lee yang sentiasa turun padang bersama team Leeyanarahman dalam setiap urusan perniagaan. Jelas membuktikan bahawa dia seorang ketua yang sentiasa ambil tahu akan kebajikan staf.
Selain fesyen, Yaana Lee turut mengusahakan 2 lagi jenama miliknya yang masih baharu iaitu Ynalee Beaute dan Tepung Pengaseh.
Kredit Foto: Instagram @yaana.lee
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tersentuh dengar alunan bacaan ayat suci Al-Quran, Sofizah Mousin. Tidak hairanlah dia mampu merangkul gelaran Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022. Tidak sekadar bergelar juara Qariah tetapi wanita hebat ini juga merupakan seorang pendidik.
Tahun ini genap 11 tahun Sofizah berkhidmat sebagai guru. Dalam kesibukan dengan tuntutan tugas mendidik anak bangsa dan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dia juga tidak ketinggalan mengejar impian menimba ilmu Al-Quran.
Mengimbas kembali detik gemilang dinobatkan sebagai juara, difahamkan Sofizah telah tiga kali menyertai pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan sebelum memenanginya.
Berkat kelunakan taranum, tajwid dan fasahah yang tepat serta ketenangan Sofizah Mousin mengalunkan bacaan berjaya menambat hati juri pertandingan.
Dia menerima wang tunai RM15,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.
18 Mac lepas, Sofizah menyambut ulang tahun perkahwinan kesembilan bersama suami tercinta iaitu Ahmad Asrol Saidi.
Sempena hari istimewa itu, suami kesayangan titip ucapan bermakna buat ratu hati kesayangan, “Syukur Alhamdulillah, hari ini genap 9 tahun kita bersama dalam suka dan duka, dalam ketawa dan air mata. Setiap detik, setiap langkah, kasih sayangmu menjadi kekuatan dan inspirasiku.
Terima kasih kerana sentiasa ada, menjadi pelengkap dalam hidup ini, dan menjadi ibu yang hebat untuk anak-anak kita. Semoga Allah terus merahmati perkahwinan kita, mengukuhkan kasih sayang ini hingga ke syurga.
Selamat Ulang Tahun Perkahwinan ke-9, sayang! Semoga kita terus melangkah bersama dalam cinta dan iman, hingga ke Jannah.”
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Orked Mur Mikayla dan Iris Marissa.
Difahamkan, Sofizah Mousin pernah bertugas sebagai guru mata pelajaran Geografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor. Kini, dia merupakan pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam, Selangor.
Semoga usaha murni wanita ini mengajak khalayak mencintai dan mendalami ilmu Al-Quran dipermudah serta sentiasa menyuntik inspirasi.
Katia Itzel mencipta sejarah sebagai wanita Mexico pertama mengadili perlawanan Piala Dunia FIFA 2026. Kenali perjalanan inspirasi, pencapaian dan perjuangannya menembusi dunia bola sepak antarabangsa.