Yang Berhormat Datuk Mas Ermieyati Samsudin merupakan salah seorang wanita di negara ini yang berpeluang menonjol keupayaan diri dan memartabatkan golongan wanita ke tahap yang lebih tinggi.
Karisma yang dimiliki Datuk Mas Ermieyati atau lebih selesa dengan panggilan Datuk Emy mendapat perhatian sejak menyertai Pergerakan Puteri UMNO Malaysia lebih sedekad yang lalu.
Beliau yang dilahirkan di Hospital Besar Melaka pada 13 November 1976 menzahirkan rasa syukur kerana perjalanan kariernya selama ini mendapat sokongan padu ahli keluarga, rakan seperjuangan dan masyarakat.
Mengimbau pembabitan awal Datuk Emy dalam arena politik, wanita berjiwa lasak berusia 40 tahun ini melontar bicara.
“Bapa saya, Samsudin Md Ali merupakan bekas Pengurus Projek di Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka sebelum berhenti kerja untuk menceburi bidang perniagaan.
Manakala ibu, Salbiah Ahmad pula adalah bekas kerani di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka.
Saya mendapat pendidikan awal di Methodist Girl School 2, Tengkera sehingga darjah lima. Ketika itu tahun 1987 dan saya sendiri membuat keputusan untuk bertukar sekolah di kampung atas alasan mudah mendapat tawaran sekolah asrama penuh sekiranya bersekolah di sana.
Pada awalnya, ibu dan bapa saya kurang bersetuju tetapi setelah dipujuk dengan alasan tersebut mereka akhirnya akur.
Ads
Saya telah dijaga oleh pakcik dan makcik iaitu Cikgu Ismail Hassan dan Khatijah Md Ali sepanjang bersekolah darjah enam di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar pada tahun 1988.
Alhamdulillah, percaturan saya menjadi dan berbekalkan keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) serta rekod cemerlang dalam bidang sukan dan kokurikulum, saya telah ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh Tun Fatimah Johor Bharu. Sebuah sekolah asrama yang menjadi pilihan ramai pelajar.”
Bertitik tolak daripada tawaran meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Tun Fatimah, Datuk Emy mula menyerlahkan potensi diri.
Ads
Konsisten mengekalkan prestasi cemerlang bidang akademik dan sukan, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan penting dalam persatuan seperti Presiden Persatuan Bahasa Melayu, Naib Presiden Blok Dang Anum dan Setiausaha Kelab Teater.
Selain itu, Datuk Emy juga terpilih menjadi wakil sekolah bagi sukan olahraga acara balapan di peringkat Majlis Sukan-Sukan Daerah Johor Bahru, Pertandingan Bola Keranjang Piala Perdana Menteri dan pelbagai acara di dalam dan luar negeri Johor di samping aktif menghadiri badan beruniform Kadet Laut Bersatu Malaysia (KLBM).
“Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, saya diiktiraf sebagai Peguambela dan Peguamcara pada tahun 2001.
Pengalaman yang diperoleh sepanjang empat tahun berkhidmat sebagai Pengamal Undang-undang di beberapa firma guaman, akhirnya saya bersama dua rakan kongsi iaitu Mohd Khairul Nizam Abd Kadir dan Desmond Ho Chee Cheong berjaya membuka firma guaman sendiri yang dikenali sebagai Tetuan Ermiey Nizam & Ho,” tuturnya yang kini telah mempunyai dua cawangan firma di Johor dan Selangor.
Ads
Kerjaya Datuk Emy sebagai ahli politik bermula selepas membuka firma guamannya sendiri. Sekitar tahun 2002 beliau sudah menyertai Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan menjadi Pengasas Gerakan Belia 4B di cawangan Paya Lebar.
Dari situ beliau mengikuti kursus dalam dan luar negara serta melaksanakan sejumlah program bersama golongan belia.
Minatnya terhadap kerja sukarelawan juga tidak pernah berhenti. Dan pada tahun 2009, beliau nekad mengasaskan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK OKU) Seri Permata Lubok China, Melaka dalam usaha melestarikan agenda golongan orang kelainan upaya.
Kemuncak kerjaya politik Datuk Emy hadir pada 29 Julai 2015 apabila beliau menerima perlantikan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kepada YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menyoroti pencapaian anak jati Melaka ini, Datuk Emy telah diberi mandat menerajui sayap kepimpinan Puteri UMNO pada Oktober 2013 sebelum menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah P134 pada 6 Mei 2015.
Tidak terkecuali, Datuk Emy juga merupakan seorang blogger di emysamsudin.blogspot.com sejak Mei 2008. Mengamati entri-entri yang ada dalam diari alam mayanya itu tersirat pelbagai kisah kehidupan dan catatan kebajikan yang sedang dan telah diusahakan.
Malah, ia juga menjadi medium buat Datuk Emy untuk menyalurkan maklumat berkaitan Pergerakan Puteri UMNO di samping berkongsi aktiviti harian dalam laman instagram miliknya, emysamsudin. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa yang tak kenal dengan pelakon cantik yang sering menwarnai filem dari Bollywood, Sonali Bandre. Lakonan mantapnya dalam salah satu filemnya, Hum Saath Saath Hain sampai kini menjadi sebutan. Namun kekuatan yang ada dalam dirinya melawan kanser wajar diambil iktibar.
Sonali Bandre telah didiagnos mengidap kanser pada bulan Julai 2018 dan telah mendapatkan rawatan di New York setelah dipujuk suami tercinta, Goldie Behl. “Sebaik tiba di Kota New York, keesokan harinya kami terus berjumpa dengan doktor di sana.
Setelah membaca report tentang keadaan kesihatan saya, doktor mengesahkan saya adalah pesakit kanser tahap 4 dan hanya mempunyai 30 peratus sahaja peluang untuk hidup,” terang wanita yang tidak berkongsi tentang jenis penyakit kanser yang dihidapinya.
Siapa yang tidak sedih atau terkejut mendapat berita seperti pelakon berusia 44 tahun ini. Sonali Bandre juga pada mulanya seakan-akan tidak mampu menerima ketentuan ini lebih-lebih lagi apabila ramai yang berkata “Mengapa anda mengidap penyakit ini sedangkan anda seorang yang sangat positif,”.
Hati Sonali Bandre hancur mendengar ucapan doktor tentang tahap kesihatannya sehingga telah menyalahkan dirinya sendiri didiagnos penyakit yang menjadi pembunuh utama manusia ini. Sikap menyalahkan diri sendiri berlarutan sehingga terpaksa berjumpa dengan Pakar Psikiatri di New York. Namun Sonali Bandre bersyukur kerana kata-kata Pakar Psikiatri tersebut telah membuka matanya untuk berjuang dan tidak mengaku kalah.
Nasihat Pakar Psikiatri tersebut, “Sonali, kanser berpunca dari faktor keturunan atau virus. Jika pemikiran yang menjadi punca atau penyembuh kanser, saya adalah orang yang paling kaya di dunia kerana kerjaya saya berkisar tentang pemikiran,” kongsi Sonali Bandre yang mengumpamakan seperti batu besar yang berada di atas bahunya hilang tiba-tiba setelah mendengar nasihat pakar tersebut.
Sonali Bandre tak malu menunjukkan parut rawatan kansernya.
Setelah hampir enam bulan mendapatkan rawatan di New York, ibu kepada seorang anak lelaki ini telah pulang ke tanah airnya dengan semangat baru. Sonali Bandre sering mengemaskini akaun Instagramnya dan bercerita tentang perjalanannya melawan kanser. Semangat tidak mahu mengaku kalah dan yakin ajalnya masih panjang serta berusaha melawan kanser yang dihidapinya demi keluarga tercinta menyuntik inspirasi kepada wanita yang senasib dengan dirinya agar tidak cepat berputus asa.
Tidak dinafikan sosial media kini berperanan besar dan berpengaruh dalam kehidupan masyarakat hari ini baik dari sudut positif mahupun negatif. Ada yang sanggup berkongsi apa sahaja kisah peribadinya di laman sosial namun ada juga sebaliknya.
Pertama sekali apabila kita hendak melakukan sesuatu perlulah tahu adab dan batasnya. Kedua ialah peranan. Saya sendiri melihat sosial media sebagai platform tanpa sempadan untuk kita mencari ilmu. Bagi para wanita yang tidak berpeluang untuk ke depan, boleh menjadikan laman sosial sebagai ruang mentransformasikan diri ke arah yang lebih baik.
Contoh, untuk mencari rezeki buat keluarga melalui bisnes online namun pada masa yang sama juga menjaga batas-batas. Saya percaya kalau niat kita baik dan pandai menjaga diri, Allah SWT akan menjaga kita.
Pohonlah pertolongan Allah SWT agar Dia menjaga kita daripada perkara-perkara negatif, dilindungi daripada individu-individu yang tidak jelas tujuannya berada di sosial media. Ikhtilat (menjaga batas pergaulan) itu perlu sentiasa dijaga. Baik wanita mahupun lelaki perlu sama-sama menjaga batas hubungan biarpun di alam maya.
Jika ada masalah rumah tangga, jangan pergi kepada individu yang berlainan jantina untuk meluahkan atau berkongsi masalah. Sebaiknya dapatkan bantuan daripada mereka yang profesional. Itu lebih baik kerana kadang-kadang seseorang itu akan mudah terjebak dengan isu-isu serius seperti perceraian.
Ada juga yang cuba lari daripada masalah. Akibatnya seseorang itu mungkin akan mencari kebahagiaan di luar. Jangan mudah terperangkap kerana ia mungkin bakal memburukkan lagi keadaan.
Berhati-hatilah dalam apa jua yang dikongsi di sosial media. Sebaiknya berkongsilah dengan individu yang selamat untuk kita bercerita. Mungkin kadang-kadang perkongsian itu melibatkan aib perkahwinan, aurat keluarga dan sebagainya.
Apabila kita faham konteks perjalanan hidup menuju akhirat maka kita tidak akan mensia-siakan platform itu untuk berbuat kebaikan. Sebaliknya, jika kita sendiri yang ‘membuka jalan’ untuk masyarakat mengecam kita, perlu adanya sempadan agar kebahagiaan dan ketenangan kita tidak mudah diceroboh.
Apa yang berlaku sekarang ini kebanyakannya diri sendiri yang memulakan seolah-olah sengaja mengundang masyarakat untuk mengecam. Jadi, jangan sengaja cipta masalah kerana anda yang akan menanggung akibatnya.
Sebagai seorang Muslim semestinya kita mengharapkan untuk ke syurga Allah SWT. Sentiasalah mengingatkan diri sendiri bahawa apa yang dilakukan itu dapat membantu dunia dan akhirat. Kalau ia membantu untuk menjadikan diri kita lebih baik maka teruskanlah.
Mungkin perkongsian atau cabaran yang kita lalui menjadi inspirasi dan kekuatan buat mereka yang mengikuti kita di sosial media. Sekurang-kurangnya dapatlah mereka mempelajari sesuatu daripada perkongsian kita itu. Secara tidak langsung juga platform sosial media boleh menjadi ladang pahala buat kita.
INFO
Hajah Noraniza Anwar atau dikenali sebagai Aniz Haji Anwar merupakan graduan Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling Psikologi, Universiti Putra Malaysia. Sejak tahun 2003 beliau berpengalaman luas dalam bidang kaunseling termasuk kekeluargaan, perkahwinan, pengurusan stres, kesihatan mental, kemurungan, analisis personaliti dan kerjaya.
Mengetengah pendekatan UNIK dalam klinik kaunselingnya beliau menurunkan ilmu transformasi melalui program ‘Life Coaching’ berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang disiplin kaunseling; psikologi dan perubatan Islam. Beliau turut menggubal Modul Jejak Cinta Jannah khusus buat pasangan suami isteri.
Beliau memiliki klinik kaunselingnya di Shah Alam, Selangor sejak lebih 8 tahun. Beliau juga membawa pendekatan terapeutik Emotional Freedom Technique sejak tahun 2009 sehingga melonjakkan namanya sebagai salah seorang Pengamal EFTdisegani. Beliau juga sering menjadi rujukan di kalangan kaunselor mahupun orang ramai yang berminat mempelajari teknik ini.
Beliau menghasilkan eBook RAHSIA Aura: Personaliti dan Fungsi Tubuh, Handbook EFT pertama dan eksklusif dalam Bahasa Malaysia. Selain itu, memperkenalkan kaedah kaunseling terkini iaitu secara online menerusi Email, Whatsapp atau chat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sejak umum bersara dari dunia seni pada Ogos tahun lalu, pasti ramai yang merindui kemunculan Laudya Cynthia Bella di kaca televisyen. Tidak kesal dengan keputusan tersebut, Bella dilihat kian rancak bina empayar dan menjadi usahawan berjaya.
Apatah lagi, jenama L by Laudya Cynthia Bella makin berkembang maju.
Diam tak diam jenama tersebut sudah pun lima tahun bertapak di pasaran Indonesia. Bermula dengan produk muslimah seperti hijab, L by Laudya Cynthia Bella turut mengeluarkan beg, kasut dan produk kecantikan sendiri.
“Alhamdulillah di tahun kami yang ke-5, terinspirasi untuk melahirkan design dengan mengangkat tema 5 Masjid di berbagai-bagai negara yang masyaAllah penuh dengan history dan detail yang cantik.
Seperti Masjid Nabawi Madinah, Masjid Raya Sumatera Barat, Masjid Sultan Ahmed Turkey, Masjid Syekh Zayed Abu Dhabi dan Masjid Al-Aqsa Palestin.
Terima kasih untuk Lgirls yang selalu setia bersama kami. Mohon doa dan supportnya selalu ya.”
Bella yang cukup terkenal di Malaysia sememangnya dikenali sebagai selebriti cantik yang memiliki raut wajah lembut dan berpenampilan sopan. Pada 24 Februari lepas, wanita kelahiran Bandung ini menginjak usia 35 tahun.
Masih bersendiri tanpa kelibat mana-mana jejaka di sisi hingga ke hari ini, Bella bagaimana pun kelihatan tenang di samping keluarga tersayang dan kenalan rapat di Indonesia.
Dia yang sebelum ini berkahwin dengan Engku Emran pada 8 September 2017, berpisah pada Julai 2020.
Walau meraih pendapatan lumayan dalam industri seni namun Bella kini lebih selesa mengusahakan beberapa cabang bisnes miliknya termasuk dalam bidang kulinari, fesyen, muslimah dan kosmetik.
Apa sahaja produk yang dipromosikan Bella pasti laris di pasaran. Malah, pada Julai tahun lalu dia menjalin kolaborasi melancarkan aplikasi islamik Qalby App yang turut disertai selebriti Malaysia, Mizz Nina.
Filem terakhir yang dibintangi Bella ialah Buya Hamka dan sepanjang pembabitan dalam karier seni, Bella berjaya merangkul pelbagai anugerah hasil menjayakan 21 buah filem, 18 sinetron dan 13 drama.
Kerjaya Bella pernah berada di puncak pada tahun 2017 apabila dinobat sebagai Indonesia’s Highest Paid Actresses.
Laporan portal Indonesia turut mendedahkan jelitawan ini menerima bayaran 900 juta Rupiah atau lebih RM268 ribu ketika membintangan filem Box Office ‘Surga Yang Tak Dirindukan 2’!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!