Dalam tempoh PKP ini ramai pekerja dan juga majikan yang terkesan kerana tidak boleh datang bekerja sekali gus operasi syarikat dihentikan sementara. Beruntung buat mereka yang boleh bekerja dari rumah (WFH) tapi tidak semua boleh melakukan kerja dari rumah. Akibatnya ramai yang menderita dipotong gaji atau diberhentikan kerja.
Sudah masanya kita berjimat cermat dan membeli barang keperluan asas sahaja. Duit yang ada simpan untuk keperluan akan datang. Tapi nak simpan kat mana pula? Bagi yang mencari-cari cara untuk menyimpan duit dengan efektif mungkin boleh aplikasi cara yang dikongsi oleh Nor Iman Nazuki @ Abang Jerung ini.
8 Jenis Tabung Ibu Bapa Perlu Ada;
1. Tabung Kecemasan
✅ Tabung kecemasan dalam 3 hingga 8 bulan dari gaji/komitmen bulanan. Simpan di tempat yang mudah dicairkan apabila memerlukan seperti ASB.
Ads
2. Tabung Bunian
✅ Konsep tabung bunian adalah force saving. Simpanan secara konsisten setiap bulan. Masuk boleh, keluar tidak boleh kecuali untuk kembangkan aset atau dah capai objektifnya seperti pelajaran anak-anak, modal beli hartanah, dan lain-lain.
3. Tabung Holding Power
✅ Ramai yang pandang ringan tabung ni terutamanya tidak nampak kesan jangka panjang kelebihan tabung ini. Tabung ini digunakan apabila berlaku ancaman kewangan terutamanya ke atas ketua keluarga. Tabung yang juga berfungsi untuk debt cancellation/income replacement/hibah apabila berlaku ancaman kewangan seperti kematian, cacat kekal dan sakit kritikal.
4. Tabung Perubatan
✅ Tabung Perubatan seeloknya diambil ketika anak-anak masih kecil kerana bayaran lebih murah dan risiko ditolak lebih rendah. Untuk mak ayah pun semuda mungkin. Namun utamakan tabung holding power dahulu sebelum tabung perubatan.
Ads
Kenapa? Worst case scenario seperti bila berlaku ancaman kewangan, masih ada hospital kerajaan. Namun, hutang anda siapa yang nak bayarkan? Takkan nak harapkan waris menanggung hutang yang anda tinggalkan?
5. Tabung Simpanan/Pelaburan
✅ Sifu saya pernah pesan, simpanan dan tabiat anda sekarang akan menentukan kedudukan kewangan anda 5 tahun akan datang. Dari tabung pelaburan inilah anda boleh gunakan untuk pelaburan seperti ASB, Tabung Haji, saham amanah, koperasi, saham dan pelbagai lagi.
Ads
6. Tabung Percutian
✅ Life pun kena enjoy juga kan? Bina tabung percutian untuk keluarga, special moments dan santaikan fikiran dan release tension. Ikut bajet yang ada. Cuti-cuti Malaysia pun apa salahnya kan?
7. Tabung Umrah dan Haji
✅ Tabung ni kena ada, bagi menunaikan haji berkemampuan dan umrah sekiranya belum atau nama belum dipanggil.
8. Tabung Sedekah
✅ Hidupkan untuk memberi. Insha Allah dimurahkan rezeki. Cara paling mudah sedekah masjid ketika solat jumaat ataupun tanyakan cikgu anak anda jika anda ada anak murid yang perlu dibantu. Besar pahalanya bantu anak-anak untuk belajar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahniah! diucapkan kepada Ras Adiba Radzi atas perlantikan sebagai Senator pada hari ini. Penyampai berita ini kelihatan berseri-seri di majlis angkat sumpah yang berlangsung di Dewan Negara.
Menggalas status sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 18 tahun yang lalu dan Presiden Orang Kelainan Upaya (OKU) Sentral, Ras Adiba akan memegang jawatan sebagai Senator bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini bagi mewakili golongan OKU.
Ras Adiba yang berasal dari Petaling Jaya pula merupakan individu ketiga dilantik sebagai senator mewakili golongan OKU. Mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan dan penyiaran selama lebih 34 tahun, Ras Adiba menyifatkan pelantikan itu satu penghormatan kepada industri media negara.
Atlet paralimpik negara itu berkata antara perkara yang akan diusulkan adalah mengenai pendidikan, pekerjaan dan infrastruktur golongan OKU di negara ini.
“Saya tidak sabar-sabar untuk turun padang dan berjuang bagi membantu pelaksanaan Akta OKU dan membantu isu-isu inklusiviti dan hak kepada OKU,” katanya.
Sebagai warga media, beliau juga mahu melihat lebih ramai OKU terlibat dalam bidang penyiaran dan kewartawanan.
Dalam perkembangan lain, Ras Adiba turut bergiat aktif berbagi rezeki kepada mereka yang memerlukan di bawah persatuan Badan Bukan Kerajaan, OKU Sentral yang diasaskan olehnya. Walaupun berkerusi roda tetapi niat membantu orang lain wajar dijadikan inspirasi. Semoga Ras Adiba terus kuat semangat dan terus berbakti kepada bangsa, agama dan negara.
Ras Adiba sebelum ini pernah ditohmah tentang status OKU walau bagaimanapun telah memaafkan segala fitnah terhadap dirinya. “Saya seorang OKU yang lumpuh separuh badan atau seorang Paraplegic. Dengan fizioterapi, saya mampu membawa kereta dan berenang menggunakan tangan (kaki saya akan jatuh ke dalam air ketika berenang). Pergerakan saya terbatas dan saya berharap kepada kerusi roda untuk bergerak.
Pada 2002 tika saya menjadi OKU, ramai yang mengatakan saya tidak sakit dan yang saya berpura-pura. Mereka berkata begitu kerana mungkin tidak faham keadaan saya dan apa yang sebenarnya melanda diri saya,” kata wanita hebat ini.
Sumber: BERNAMA
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.
Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.
Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.
“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami. Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya 1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.
Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.
“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.
Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.
Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.
Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.
“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.
Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.
KEMERIAHAN LEBARAN
Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.
“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka. Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.
Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.
“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.
Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.
“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.
Manakala bagi Nik Maria pula sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.
“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memelihara haiwan jinak dan manja sudah menjadi budaya dalam masyarakat Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Antara sahabat Baginda yang begitu cintakan haiwan jinak itu ialah Abu Hurairah yang sentiasa membawa bersamanya kucing. Maka sebab itulah sahabat Nabi ini digelar Abu Hurairah yang bermaksud bapa kucing.
Sifat penyayang merupakan antara ciri-ciri peribadi Muslim sejati. Islam menekankan sikap ini bukan sahaja sesama manusia tetapi terhadap makhluk Allah SWT yang lain.
Inilah juga ciri-ciri yang ada pada wanita berusia 46 tahun ini yang dikenali sebagai Janah Ruhayu Jalal yang merupakan seorang Pembantu Peribadi. Kisah keprihatinannya ini boleh dijadikan inspirasi.
“Arwah Mak dan Abah adalah pencinta kucing. Jadi di rumah kami ada membela kucing dan kami sekeluarga sangat sayangkan haiwan.
Saya juga pernah menangis sampai bengkak mata apabila kucing mati sampaikan orang ingat ahli keluarga yang meninggal dunia.
Betapa pilunya hati kalau ada antara kucing yang kami bela itu mati sebab dah anggap haiwan itu sebahagian daripada keluarga kami.
Setelah kedua ibu bapa meninggal, saya memilih untuk hidup berdikari sehinggalah saya berkeluarga. Dan ketika itu juga saya tidak lagi membela kucing.
KEMBALI MEMBELA KUCING
Sampailah suatu hari, ketika anak-anak saya masih kecil mereka terjumpa seekor anak kucing berusia lebih kurang seminggu dan matanya masih belum terbuka. Anak kucing itu berjalan sendirian dalam hujan renyai. Suaranya seakan merintih minta untuk dibela.
Lantas anak-anak saya merasa sangat kasihan dan meminta kebenaran saya untuk menjaganya. Saya terpaksa membenarkan, mungkin kerana naluri keibuan yang tinggi. Saya membayangkan jika anak-anak saya sendiri yang berhadapan dengan situasi seperti anak kucing itu alangkah sedihnya.
Sejak itu terdetik di hati saya untuk kembali membela kucing setelah sekian lama tidak bebrbuat demikian. Sekarang di rumah saya membela kucing kampung dan kucing Siam mix breed pemberian rakan. Saya sendiri tak pernah membeli kucing.
Rumah saya sering menjadi tempat kucing-kucing luar datang untuk menumpang makan dan minum serta minta dikasihi. Ada juga yang beranak pinak namun saya anggap mereka seperti ahli keluarga.
Atas dorongan diri sendiri serta anak-anaklah saya teruskan niat membantu haiwan-haiwan jalanan ini. Bukan sahaja kucing bahkan juga anjing. Lebih-lebih lagi sejak Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) ni kebanyakan kedai makan tutup. Haiwan-haiwan jalanan ini tiada sumber makanan dan perlindungan.
Berhampiran rumah saya memang banyak kucing-kucing jalanan. Dan selalu nampak haiwan ini mencari makan di kedai-kedai. Begitu juga anjing.
Selalunya rutin saya adalah membawa sedikit makanan kucing di dalam beg. Apabila terserempak dengan kucing-kucing di mana-mana terutama yang jalanan saya akan bagi. Namun sepanjang PKP berlangsung ni memang setiap harilah saya akan mencari dan memberi haiwan-haiwan ini makan.
Rakan-rakan serta kenalan baru turut memberi sokongan moral kepada saya termasuklah sumbangan kewangan dan macam-macam lagi.
PUAS MEMBANTU & KONGSI REZEKI
Selain dapat berkongsi rezeki dan mendapat pahala, saya juga berpuas hati bila lihat haiwan-haiwan ini makan dan minum sekurang-kurangnya sekali sehari. Saya juga tak menyangka kerana ramai yang menyokong serta menyumbang tanpa diminta dari segi kewangan, makanan, bekas minuman dan sebagainya. Saya bersyukur dan gembira!
Saya merasakan selain usaha ini ada manfaat bersama saya juga mendapat kenalan-kenalan baru yang turut sama menyumbang dengan cara sendiri. Ternyata saya tak bersendirian kerana ramai yang memberi sokongan.
Sekurang-kurangnya saya juga dapat membantu dan mewakili mereka yang tak dapat keluar untuk memberi haiwan-haiwan ini makan.
Setiap hari pada pukul 5 petang saya akan keluar ke beberapa kawasan berhampiran dengan rumah yang jaraknya kurang daripada 3 kilometer untuk memberi haiwan-haiwan ini makan dan minum.
Biasanya makan kibbles dan air sahaja. Tetapi kalau ada rezeki sumbangan lebih, saya akan memberikan makanan basah dalam tin.
PERANCANGAN & NASIHAT
Salah seorang anak saya mengikuti kursus pemprosesan makanan di Kolej Vokasional. Saya berhasrt untuk membuka cat cafe suatu hari nanti dan mungkin boleh menggunakan kepakaran dia untuk merumuskan resipi makanan sihat untuk haiwan-haiwan ini.
Cat cafe itu nanti akan dikelilingi dengan petting zoo untuk kucing-kucing serta haiwan-haiwan terbiar. Kami juga akan merawat dan memberi haiwan-haiwan ini secara percuma kepada sesiapa yang berhajat untuk membela dengan penuh kasih sayang dan menganggap seperti ahli keluarga mereka.
Nasihat saya, jika ada kucing-kucing yang datang meminta makanan contohnya di kedai-kedai makan janganlah ditendang atau dimaki hamun. Sedekahlah sedikit kepada kucing apa yang kita ada. Percayalah kita tak akan rugi apa-apa. Sebaliknya pahala dan keberkatan yang kita akan dapat.
Haiwan-haiwan inilah yang sentiasa berzikir dan berdoa untuk kita. Kalau tak mahu memberi makan pun janganlah sampai menzaliminya kerana ia juga makhluk Allah SWT.
Sesiapa yang mahu membela kucing, tak perlu beli yang mahal dan keluarkan banyak wang. Saya sarankan ambil saja di jalanan kerana banyak yang cantik dan bersih.
Dengan pemberian vaksin berkala, pemakanan yang sihat serta vitamin yang sesuai dan kasih sayang yang secukupnya kucing-kucing ini boleh menjadi manja seperti haiwan idaman kita,” akhiri Janah yang merupakan ibu kepada tiga orang anak berusia antara 20, 18 dan 17 tahun.
Kredit Foto: Facebook Janah Ruhayu Jalal
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.