Orang kata lagi banyak kita bersedekah, lagi besar dan banyak ganjaran yang bakal kita dapat. Itulah yang diamalkan bekas pemain bola sepak Jerman ini sampai mampu meraih
pendapatan lumayan mencecah RM1.89 juta seminggu! Meskipun terkenal dan hidup mewah tetapi pemain bola sepak beragama Islam, Mesut Ozil tidak lokek berkongsi rezeki dan menggunakan sebahagian daripada gaji yang diterima untuk tujuan kebajikan.
Yang pasti, kerja amal yang dilakukan Ozil bukan sedikit. Menurut ejen yang menguruskan kerjaya Ozil iaitu Dr Erkut Sogut, sekitar tahun 2019 sahaja pemain yang menerima bayaran gaji paling tinggi bagi kelab Arsenal itu pernah membiayai 1,000 pembedahan kanak-kanak di seluruh dunia.
Tidak cukup dengan itu, dia juga berbesar hati memberi bantuan berbentuk bekalan makanan kepada 100,000 pelarian di 16 kem pelarian di Turkiye dan Syria.
Merasakan lebih ramai kanak-kanak memerlukan pertolongan, Ozil juga pernah membelanjakan sejumlah besar wang iaitu £240,000 atau RM1.3 juta khusus untuk si kecil yang sakit di Brazil.
Malah, pemain bola sepak berusia 34 tahun ini juga tersentuh melihat keadaan seorang kanak-kanak daif yang memakai baju ala jersi Arsenal dengan tulisan nama Ozil yang hanya menggunakan pen.
Gambar yang tular di Twitter tersebut suatu ketika dulu menarik perhatian Ozil dan dia sanggup menghantar satu set jersi lengkap dengan kasut but bola sepak kepada kanak-kanak lelaki bernama Lawrence itu di Nairobi, Kenya.
Lebih mengharukan, kawan-kawan Lawrence turut menerima tempias dan hadiah jersi yang sama. Tindakan Ozil nyata mencuri tumpuan peminat dunia bola sepak antarabangsa. Hinggakan ada yang melabelkan Ozil sebagai hero kanak-kanak!
Ujar Ozil, “Medals and trophies remind us of past victories. These children, however, remind me that there was even more to our World Cup triumph than awards, most importantly healthy and happy children. There is nothing better in life than helping others!”
Dalam situasi dunia yang tidak menentu ketika ini, Ozil menggunakan duit miliknya sebaik mungkin untuk melakukan kebajikan. Terbaik!
Melihat keprihatinan dan jiwa murni Ozil tersebut, tidak mustahil lagenda bola sepak ini disenangi ramai dan mendapat perhatian Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. Hubungan erat yang terjalin di antara Ozil dan Erdogan bukan lagi perkara asing dalam kalangan rakyat Turkiye.
Ini kerana kedua-duanya disifatkan sebagai individu berpengaruh yang lantang menyuarakan nasib golongan kurang bernasib baik terutamanya melibatkan umat Islam.
Keakraban mereka juga jelas kelihatan apabila Presiden Turkiye tersebut sudi menjadi ‘pengapit’ di majlis perkahwinan Ozil dengan bekas ratu cantik Turkiye, Anime Gulse pada Jun 2019.