Penyanyi terkenal, Rihanna mengesahkan yang dia bakal membuat persembahan di Pertunjukan Separuh Masa (Super Bowl Halftime Show) 2023 yang bakal berlangsung pada 12 Februari di Stadium State Farm di Glendale, Arizona. Jika semua yang dirancang menjadi kenyataan, ini merupakan persembahan pertama Rihanna di atas pentas besar selepas melahirkan anak lelaki pada 13 Mei lepas bersama suami, A$AP Rocky.
Kredit foto: https://newscentral.africa/
Pengumuman ini dikira rasmi apabila baru-baru ini Rihanna memuat naik di akaun Instagramnya yang memaparkan gambar yang dipercayai tangannya memegang bola Amerika. Menerusi jurucakap NFL selaku penganjur Super Bowl dan Roc Nation yang menganjurkan persembahan separuh masa itu sudah pun memberikan kenyataan mengesahkan penglibatan Rihanna.
Ads
“Rihanna adalah bakat generasi kini, seorang wanita dari kehidupan yang sederhana dan kini berjaya menjangkaui jangkaan. Seorang gadis polos yang dilahirkan di pulau kecil Barbados kini menjadi salah seorang artis paling terkenal dan berbakat dunia,” kata Jay-Z, pengasas Roc Nation.
“Kami sangat teruja dan mengalu-alukan Rihanna ke pentas Apple Music Super Bowl Halftime Show,” kata Seth Dudowsky, Ketua Muzik NFL.
Ads
Walaupun Rihanna tidak mengeluarkan album sejak 2016, Rihanna masih kekal dan relevan dalam industri muzik. Dengan variasi lagu hits sepanjang dua dekad muziknya, Rihanna dikhabarkan bakal menggegarkan pentas besar muzik yang paling banyak ditonton tahun ini.
Super Bowl Halftime Show sebelum ini telah banyak membariskan artis-artis ternama membuat persembahan seperti Dr. Dre, Snoop Dogg, Eminem, Mary J. Blige, dan Kendrick Lamar pada 2022, The Weeknd pada 2021, Shakira dan JLo pada 2020, Maroon 5 2019, Justin Timberlake 2018, Lady Gaga 2017, Coldplay 2016, Katy Perry 2016, Katy Perry 2014, Beyoncé 2013, dan Madonna 2012.
Di sebalik kepesatan pembangunan kota Sentul, masih terdapat sekelompok penghuni yang hidupnya cukup terpencil. Kebanyakan para penghuninya tinggal di teratak usang yang dilihat kurang sempurna binaannya.
Namun demi kelangsungan hidup, bersama kudrat tulang empat kerat mereka tetap gigih menjalani kehidupan seperti mana insan-insan yang lain walau dalam serba kekurangan.
Warga emas kelahiran Kelantan, Khuzaipah Omar yang berusia 65 tahun dan isteri, Rohani Hussein berusia 62 tahun mendiami teratak kayu berbumbungkan zink ini sejak lebih 20 tahun yang lalu.
Kini ia kelihatan semakin usang dimamah waktu. Demi sesuap nasi mereka menyara kehidupan dengan berniaga kecil-kecilan. Biarpun untungnya tidak seberapa, sekurang-kurangnya dapatlah menampung kehidupan seharian mereka berdua.
“Biarpun hidup dalam serba kekurangan namun kami bahagia dengan cara sendiri. Seminggu sekali saya dan isteri akan membuat lemang.
Seawal pukul empat pagi kami sudah pun bangun bagi menyiapkan lemang dan akan menjualnya di sekitar Pasar Karat Kuala Lumpur. Sehari sekurang-kurangnya dalam 10 batang dapat jual. Alhamdulillah rezeki kami.
Kalau tidak berniaga kami cuma berehat di rumah. Adalah juga yang datang ke rumah untuk mengurut. Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk berubat sama ada dengan saya atau isteri.
Ada juga yang sanggup menjemput untuk ke tempat mereka. Kami tidak menetapkan bayaran tertentu, biasanya mereka bayar secara ikhlas,” kongsi Khuzaipah.
Pasangan ini dikurniakan tiga anak lelaki dan tidak tinggal bersama mereka kerana semuanya merantau mencari rezeki. Anak sulung dan kedua kini bekerja di Kelantan manakala anak bongsu bekerja di Pulau Pinang.
Terima Bantuan
Sejak tahun 1980-an, Khuzaipah merantau ke Kuala Lumpur dan pernah bekerja di Jabatan Agama Islam lebih 25 tahun. Usai berhenti kerja, Khuzaipah bekerja sendiri dengan menjual ubat dan mengurut. Begitulah rutin hariannya sehinggalah menerima bantuan daripada Baitulmal pada tahun 2014.
“Setiap bulan kami menerima bantuan kewangan sebanyak RM450. Selain digunakan untuk keperluan harian, ia juga dijadikan modal untuk berniaga.
Kami sedar masih ramai yang lebih susah daripada kami dan memerlukan bantuan. Maka, saya berusaha untuk memanfaatkan wang bantuan dengan mengembangkan perniagaan lemang yang menjadi sumber rezeki utama kami sekeluarga.
Saya juga merancang untuk memohon pinjaman daripada pihak Baitulmal untuk membeli motosikal roda tiga bagi kegunaan berniaga. Saya harap permohonan itu akan dipertimbangkan,” ujar Khuzaipah penuh harapan. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati pasangan ini seterusnya dikurniakan rezeki kesihatan yang baik. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bagi peminat setia dan mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan Datin Seri Zizie Izette pasti mengetahui kesibukan selebriti cantik ini di Sabah sepanjang beberapa minggu lepas. Mahu terlibat secara langsung dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah ke-16 yang diadakan baru-baru ini, Datin Seri Zizie dilihat sanggup ‘berkampung’ di negeri kelahiran suami tercinta dalam tempoh yang agak lama. Semuanya dilakukan demi memberi sokongan padu terhadap Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Yang pasti, Datin Seri Zizie tidak datang keseorangan di Negeri Di Bawah Bayu tetapi turut membawa kesemua lima anak tersayang untuk bersama-sama ada di sisi bapa mereka. Beliau yang tiba di Sandakan, Sabah pada 10 September lalu berkongsi aktiviti bertemu masyarakat di sana.
https://www.instagram.com/p/CFmisY3Fxmi/
Paling mencuit hati, anak-anak Datuk Seri Bung Moktar dan Datin Seri Zizie pun sampai dah memahami tagline kempen bapa mereka iaitu ‘Radu Tatap Radu’ atau semangat perjuangan dalam loghat Sabah yang membawa maksud lawan dan terus lawan. Comel sangat!
Dalam PRN Sabah yang berakhir 26 September lalu, Datuk Seri Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan memperoleh 3,035 undi sekaligus memenangi DUN Lamag mengalahkan lima calon lain. Justeru, kakak Shaheizy Sam ini menzahirkan rasa bersyukur atas kemenangan berkenaan di Instagram miliknya.
“Syukur alhamdulillah! Semoga pemimpin-pemimpin yang diberikan mandat & kepercayaan oleh rakyat, tunaikanlah janji2 anda seperti yang ada di dalam “AKU JANJI”. Rakyat Sabah bergantung kepada anda untuk membela nasib mereka. Janganlah hancurkan harapan mereka yang tinggi untuk mengubah nasib mereka.
Beringatlah, rakyat adalah kuasa terbesar! Mereka boleh ubah pemimpin pada pilihan raya akan datang jika anda gagal! Masa untuk bekerja keras dan kembalikan kepercayaan yang lebih kepada rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya! Hidup Rakyat!!!”
Lima anak kesayangan pasangan romantis ini ialah Naila Nurjenna, Aaric Zayn Izette, anak kembar iaitu Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette serta puteri bongsu, Aalisa Belle Izette.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hari ini, penulis selaku salah seorang team Editorial Majalah NONA menerima suntikan vaksin dos pertama AstraZeneca (AZ) bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada jam 9.30 pagi. Syukur Alhamdulillah!
Harapan untuk divaksin terlaksana pagi ini, apabila penulis menerima dos pertama AstraZeneca (AZ) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC). Penulis merupakan antara pendaftar pusingan pertama pendaftaran untuk vaksinasi AstraZeneca yang dibuka pada 2 Mei,
Ia menyaksikan keseluruhan 268,000 slot habis ditempah dalam tempoh tiga jam dua puluh minit pendaftaran tempahan dibuka.
Tahniah diucapkan kepada petugas di Pusat Penerimaan Vaksin IDCC kerana segalanya berjalan lancar daripada proses menunggu, divaksin sehinggalah keluar daripada IDCC, mengambil masa kira-kira sejam sahaja!
Tidak dinafikan, sebelum sampai ke pisat penerimaan vaksin, perasaan gugup tetap muncul dalam diri penulis memandangkan pelbagai andaian mengenai kesan sampingan vaksin yang dimomokkan. Tetapi berbekalkan rasa reda dan tawakal vaksin sebagai salah satu cara mencegah penyakit, penulis menerima dengan hati terbuka dan melaksanakannya.
Memetik kata-kata Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) Prof Datuk Dr Abdul Rahim Mohamad bahawa pengambilan vaksin membuktikan bahawa ia lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan sekaligus tidak bercanggah dengan Islam.
Malah beliau berkata pengambilan vaksin menurut pandangan Islam adalah harus memandangkan ia mampu mencegah kemudaratan daripada berlaku ke atas manusia.
Penulis ingin kongsikan sedikit pengalaman sebelum melalui proses vaksinasi pagi ini. Melalui aplikasi MySejahtera dan vaksincovid.gov.my, penulis berjaya mendapatkan slot untuk temujanji bagi menerima suntikan vaksin AZ.Syukur Alhamdulillah, ketika penulis ‘menekan’ slot temujanji, tidak berlaku sebarang masalah untuk mendapatkan slot. Lebih menyeronokkan, suami juga mendapat slot janjitemu pada masa dan tarikh yang sama!
Beberapa hari sebelum tarikh temujanji, penulis menerima beberapa kiriman SMS selain panggilan telefon sebagai peringatan tarikh untuk menerima suntikan vaksin.
Setelah menghitung hari melihat beberapa kaum keluarga dan sahabat handai yang selamat melalui proses vaksinasi masing-masing, akhirnya temujanji penulis terlaksana pada tarikh hari ini, 3 Jun 2021 jam 9.30 pagi. Sebaik tiba di IDCC dan sebelum naik ke tingkat tujuh untuk proses vaksinasi, semua perlu melakukan imbasan kod QR di pintu masuk yang disediakan.
Anggota RELA pula memeriksa aplikasi MySejahtera setiap individu sama ada individu berkenaan berisiko atau sebaliknya.Setibanya di tingkat tujuh, penulis dan para penerima vaksin yang lain mematuhi arahan yang diberikan oleh para petugas dan memastikan penjarakan fizikal diberi keutamaan sambil diberi taklimat bagi mengisi borang persetujuan suntikan vaksin Covid-19 di Stesen 1 sebelum dibenarkan masuk ke dewan utama.
Usah risau kerana para sukarelawan bertugas pula sedia membantu dan sentiasa ada bagi memastikan proses berjalan lancar selain memastikan orang ramai tidak kehilangan arah. Tidak sampai beberapa minit selepas mengisi borang di stesen 1, penulis dipanggil untuk pendaftaran, sekali lagi melalui imbasan kod QR MySejahtera, bagi memaklumkan kehadiran di Stesen 2.
Proses selanjutnya pula membawa penulis ke Stesen 3 di mana penulis bertemu doktor untuk pengesahan tahap kesihatan selain menandatangani borang persetujuan sebelum ke Stesen 4 bagi suntikan vaksin. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan, anda boleh bertanya dengan doktor bertugas di stesen ini bagi merungkaikan permasalahan yang membelenggu diri anda sebelum suntikan vaksin diberikan!
Tibalah ke stesen 4, proses vaksinasi berjalan lancar dengan penulis hanya menunggu tidak sampai lima minit untuk divaksin. Di Stesen 4 ini, terdapat lebih 10 bilik kecil menempatkan dua vaksinator untuk menyuntik vaksin AZ kepada dua individu pada satu-satu masa. Dalam bilik berkenaan, penulis juga melakukan imbasan kod QR MySejahtera untuk pengesahan menerima vaksin. Sebelum proses vaksinasi dijalankan, petugas menunjukkan jumlah dos yang bakal diberikan serta menerangkan proses bagaimana suntikan vaksin dijalankan. Bagi wanita berhijab, usah bimbang, semasa proses vasinasi dijalankan, vaksinator akan meminta kebenaran anda untuk melakukan suntikan vaksin kerana anda perlu menyelak sedikit pakaian di bahagian lengan. Penting untuk memakai pakaian yang sesuai untuk memudahkan proses suntikan vaksin seperti kemeja t lengan pendek serta memakai cardigan di luar!
Usai menerima suntikan, penulis perlu ke stesen 5 untuk menunggu bagi mendapatkan kad pengesahan dan temujanji vaksin yang kedua dalam tempoh 12 minggu yang akan datang. Meskipun proses sudah selesai, semua penerima vaksin digalakkan menunggu di ruang pemerhatian (Observation Area) selama setengah jam untuk memastikan tiada alahan atau kesan sampingan yang berlaku selepas menerima vaksin. Ruang pemerhatian disediakan untuk penerima suntikan berehat sebentar selain memastikan tiada alahan selepas divaksin sambil diawasi oleh petugas kesihatan yang sentiasa meronda serta bertanyakan kepada penerima vaksin keadaan mereka.
Selain itu, taklimat melalui tayangan video berkaitan kesan dan langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat sebarang simptom selepas suntikan turut disediakan untuk memudahkan orang ramai memahami kesan sampingan sekiranya ada.
Tidak dinafikan, usai disuntik, lengan kiri penulis terasa agak sengal-sengal namun selainnya, tiada apa kesan sampingan berlaku.Insyaallah semoga usaha untuk menerima vaksin ini menjadi asbab untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.
Penulis juga amat berharap, lebih ramai akan menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19. Akhir kata, jaga kesihatan, patuhi SOP yang telah ditetapkan dan terima kasih petugas barisan hadapan yang tidak putus-putus berkhidmat demi memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia!.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyakit buah pinggang kronik semakin meningkat dalam kalangan wanita muda di Malaysia. Ketahui simptom awal, faktor risiko dan kepentingan ujian awal sebelum terlambat.