Dr Jezamine Lim bukan hanya cantik tetapi juga bijak dan jiwa murninya yang suka membantu golongan kurang bernasib baik menjadi inspirasi ramai. Tidak menjadikan statusnya sebagai isteri dan ibu tiga orang anak sebagai penghalang untuk melakukan kerja amal, jelitawan ini cukup komited memburu kejayaan tiap tahun untuk menjadi insan lebih baik!
Disifatkan seorang wanita mesra, Dr Jezamine kerap turun padang membantu masyarakat yang memerlukan. Misalnya ketika pandemik Covid-19, bencana banjir mahupun pada musim perayaan, dia tidak ketinggalan menghulur sumbangan dalam bentuk makanan mahupun keperluan harian menerusi badan amal The Hope Branch.
Beberapa hari sebelum menjelang Syawal, Dr Jezamine menggunakan pengaruh media sosialnya untuk membantu jualan seorang peniaga wanita yang kehilangan anak tersayang. Baiknya wanita ini!
Ads
Kongsinya, “Meet Mak Cik Umi, she sells keropok and Raya cookies at CIMB Bank, TTDI. Been supporting Mak Umi for some time, this year I’m saddened to hear that her son who used to help her, has passed away early this year and she has another son on dialysis as well.
If you haven’t grabbed your Raya cookies, please head to CIMB TTDI and grab her cookies or keropok. Her Almond London cookies and kuih makmur is really good! And of course, banana chips. Please support Mak Umi.”
Walau sibuk dengan pelbagai urusan kerja dan keluarga, Dr Jezamine turut berjaya membuktikan wanita bekeluarga sepertinya mampu menggenggam PhD.
Jun tahun lalu, Dr Jezamine yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Cell Biopeutics Resources Sdn Bhd melakar satu lagi kejayaan membanggakan apabila dilantik sebagai Associate Research Fellow (Industry) di Centre For Tissue Engineering and Regenerative Medicine (CTERM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pelantikan tersebut berkuatkuasa dari 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2024.
Ads
Tahun lepas, dia turut dianugerahkan AWEN-ASEAN Women’s Entrepreneur Network di Jakarta, Indonesia!
Dr Jezamine bergelar isteri Harith Iskander pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Zander Xayne Iskander, Alessandrea Jayne Iskander dan Zydane Xayne Iskander.
Figura ini merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Stem Cell and Tissue Engineering dari UKM.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pembelian barang-barang keperluan secara atas talian memang memudahkan tugas terutama wanita yang bergelar seorang ibu. Tidak perlu membuang masa mengunjungi pusat membeli-belah dan kuasa membeli hanya di hujung jari sahaja.
Namun, sikap kita yang suka menyimpan kata laluan atau password di dalam komputer riba atau laptop telah mengundang padah kepada seorang ibu di Sydney, Australia. Ini terjadi selepas anaknya lelakinya telah membeli sebuah patung edisi terhad Coles Stikeez berharga AS$10,000 (RM40,830) secara atas talian tanpa pengetahuannya baru-baru ini.
Wanita yang berusia 47 tahun itu telah merayu kepada eBay untuk memulangkan semula wang tersebut kerana dia tidak mampu untuk membayar pembelian tersebut. Donna Jacob merupakan ibu kepada kanak-kanak yang berumur tujuh tahun itu adalah pengidap autisme. Kanak-kanak tersebut telah membeli satu daripada 100 unit patung Golden Billy Banana di laman eBay.
Menurut laporan, kanak-kanak lelaki itu menggunakan komputer ibunya yang secara automatik akan mengisi butiran kad kredit pada borang pembelian dan mengesahkan pembelian.
Ibunya hanya sedar mengenai transaksi jualan itu selepas menerima email pengesahan daripada eBay. Rupa-rupanya ibu kepada kanak-kanak tersebut pernah melarang anaknya yang merupakan pengumpul koleksi Coles Stikeez membeli patung Golden Billy Banana tersebut.
“Ia sudah semestinya bukan dalam bajet keluarga kami. Saya merayu kepada penjual atas talian itu tetapi tidak diendahkan. Begitu juga PayPal yang menyatakan wang tidak dapat dikembalikan,” kata Donna Jacob kepada stesen penyiaran Channel Seven baru-baru ini.
Bagaimanapun, eBay akhirnya berjanji untuk memulangkan AS$10,000 setelah dihubungi pihak media berhubung isu itu. Begitulah kuasa media yang boleh membantu mereka yang memerlukan.
Sumber: KOSMO
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyanyi tersohor ini sudah acapkali meraih pelbagai anugerah. Dayang Nurfaizah atau mesra disapa Dayang kini hadir dengan buah tangan terbaharu, sebuah album studio ke 10. Album terbaharu merupakan sekuel kepada album ‘Belagu’ yang dilancarkan pada tahun 2021.
Membawa maksud ‘menyanyi’ dari dialek Melayu Sarawak, album Belagu disempurnakan dengan lapan trak klasik Melayu. Kesemua lagu tersebut dipersembahkan dengan cara Dayang yang tersendiri dalam nafas segar hasil susunan muzik dan terbitan produser disegani ramai, Aubrey Suwito.
Menariknya, vokal dan muzik bagi album Belagu sebelum ini dirakamkan secara langsung yang mana Dayang diiringi oleh barisan pemuzik dibawah pimpinan Aubrey Suwito sendiri. Secara keseluruhannya Belagu mempersembahakan barisan lagu klasik dalam perspektif yang lebih segar.
Untuk rekod, ‘Belagu’ sebelum ini mencipta kejayaan yang membanggakan bila mana ia meraih beberapa anugerah di Anugerah Industri Muzik tahun lalu.
Demi memartabatkan lagu klasik agar ia kekal malar segar, Belagu II menggunakan khidmat pemuzik Budapest Scoring Orchestra (BSO), Hungary, manakala susunan muzik daripada pengarah muzik, Aubrey Suwito.
Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty berkata, dia tidak memikirkan soal keuntungan, sebaliknya berhasrat mengeluarkan album Belagu II demi kepuasannya sebagai penyanyi lebih dua dekad dalam industri muzik, selain niatnya mahu memperkenalkan lagu Melayu klasik kepada generasi muda.
Begitupun, wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, meskipun hanya memuatkan sembilan trek lagu, namun proses menyiapkan album Belagu II bukan sesuatu yang mudah dan penuh tekanan.
“Proses menyiapkan album Belagu II cukup rumit. Ia bermula proses pemilihan lagu kerana kami ingin memastikan lagu dipilih sedap didengar dan sesuai dibawa dalam persembahan saya.
“Saya bukan penyanyi lagu asli, jadi saya dan Aubrey perlu memastikan bagaimana mempersembahkan lagu bergenre ini dengan cara saya tanpa merosakkan keaslian lagu asal.
“Tambahan pula, lagu asli ada etika untuk didendangkan, bukan boleh main langgar. Sebab itu saya hanya memuatkan sembilan lagu, tetapi kepenatan rakaman vokal yang mengambil masa selama dua bulan ibarat menjayakan satu konsert,” katanya Dayang Nurfaizah yang amat mementikan kualiti album untuk para peminat tersayang.
Selain teruja berpeluang bekerjasama dengan BSO, album Belagu II turut memuatkan lagu baharu ciptaan Aubrey. Lirik lagu bertemakan pop klasik berjudul Rindu Menyapa itu ditulis oleh penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan.
Dayang berkata, dia sudah mengimpikan dapat mendendangkan lagu sentuhan Habsah, tetapi tiada peluang bekerjasama. Mungkin sudah tertulis rezeki Dayang untuk album Belagu II ini, akhirnya hasrat memiliki lagu bergenre pop klasik menjadi kenyataan.
“Saya selalu berangan-angan memiliki lagu pop klasik, tetapi saya hendak pastikan lagu ini dihasilkan dengan sepenuh jiwa. Saya tidak mahu dibuat ala kadar, tetapi tak sangka peluang datang secara tiba-tiba.
“Ketika mula mendengar lagu Rindu Menyapa di studio, saya tertarik kerana ia seakan kena dengan album ini. Penyanyi yang mempunyai kelunakan suara yang luar biasa ini turut mendapatkan khidmat Bob Yusof sebagai tenaga pengajar vokal bagi memantapkan persembahan vokal dalam album berkenaan.
Belagu II diterbitkan syarikat milik Dayang, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital membabitkan lebih 40 pemuzik di bawah naungan maestro muzik antarabangsa, Peter Illenyi.
Proses rakaman muzik berlangsung di salah satu studio ikonik Budapest, Rottenbiller Hall. Album Belagu II diedarkan oleh Universal Music Malaysia.
Untuk album versi digital ia sudah berada di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.