Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.
Pengasas Kiddocare, Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud
Muhaini mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat
Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
Ads
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
Ads
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.
Muhaini Mahmud
Ads
Nadira Yusoff
Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.
Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Waka Waka’, ‘Whenever, Wherever’ dan ‘Hips Don’t Lie’ iaitu Shakira mencuri perhatian ramai kerana masih kelihatan menawan, cergas dan langsing di usia 45 tahun. Ia pastinya dicemburui oleh ramai wanita.
Ibu 2 anak serta pemilik nama penuh Shakira Isabel Mebarak Ripoll ini mendedahkan dia sering mendengar lagu ‘Green Day’ dalam genre rock bagi membangkitkan semangat ketika melakukan aktiviti kecergasan.
Jurulatih peribadi Shakira yang juga rakan baiknya, Anna Kaiser memberitahu, Shakira melakukan aktiviti kecergasan 6 kali seminggu. Semua latihannya juga adalah berbeza-beza.
Shakira menitikberatkan soal kecergasan bukan hanya untuk stamina bahkan demi menjaga suara agar kekal merdu. Ini kerana Shakira pernah mengalami kecederaan di peti suaranya sehingga terpaksa menangguhkan Jelajah Dunia El Dorado pada tahun 2017.
Selain itu, Shakira juga tidak makan makanan yang mengandungi gula dan susu.
Jom lihat dan ikuti beberapa menu makanan harian Shakira:-
Sarapan
Makan telur atau aprikot bersama campuran minyak zaitun, tomato, garam laut, beri dan protein sayuran.
Makan Tengahari
Akan disajikan dengan menu ikan, sayuran segar atau salad (campuran sayur).
Makan/Minum Petang
Biasanya diisi dengan pelbagai jenis sup. Terdapat bebarapa jenis sup pilihan Shakira iaitu sup daun bawang dan terung, lobak dan halia. Adakalanya sup timun dengan lemon dan garam.
Makan Malam
Ikan dan sayuran. Shakira akan sekalikan untuk makan tengahari dan makan malam. Hanya tinggal untuk dipanaskan semula saja.
Namun begitu, seminggu sekali Shakira akan cheat day dengan makanan yang digemarinya (tidak tertalu sihat). Baginya cheating juga penting agar tidak bosan.
Untuk info, Shakira adalah penyanyi dan penari pop Kolombia yang sangat sukses. Shakira telah memenangkan beberapa Grammy, Latin Grammy dan American Music Awards. Shakira dilahirkan dan dibesarkan di Barranquilla, Kolombia. Bapanya berketurunan Lebanon manakala ibu berketurunan Kolombia.
Kredit Foto: Instagram Shakira
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bakat seni yang mengalir dalam diri pelakon terkenal, Aprena Manrose diwarisi dari ibu bapanya yang suatu ketika dulu pernah berada di puncak populariti.
Siapa yang tidak kenal dengan bapanya, Iwan Syahman yang pernah bergelar penyanyi dangdut terkenal.
Aprena bersama bapanya, Iwan.
Manakala arwah ibunya, Rosnah Mohd Noor merupakan pelakon filem jelita era 80an kelahiran Pasir Puteh, Kelantan. Antara filem lakonan arwah Rosnah yang terkenal ialah Kisah Seorang Biduan dan Di Ambang Kasih.
Hasil perkahwinan pertamanya bersama Iwan, arwah Rosnah dikurniakan 3 cahayamata iaitu Wan Ramada Putra, Wan Shamira Puteri Octavia dan Wan Shahera Puteri Apreena.
Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berusia 27 tahun berjaya membuktikan bakat yang dimiliki bukan sia-sia apatah lagi dapat memenuhi impian arwah ibunya yang mahu melihat Aprena berjaya dalam pengajian serta lakonan.
Aprena yang mewarisi kejelitaan ibunya itu merupakan graduan Diploma Penyiaran & Filem dari Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU).
KERINDUAN
“Walaupun hampir 7 tahun arwah Mama ‘pergi’ akibat kanser payudara dan komplikasi penyakit, setiap kenangan bersamanya masih segar dalam ingatan. Banyak sebenarnya kenangan berdua kerana kami memang rapat.
Pergi ke mana-mana pun mesti berdua termasuklah tidur pun berdua. Bagi saya, arwah Mama seorang wanita yang sangat baik dan penuh sifat keibuan. Walaupun lembut namun tegas dalam didikan.
Arwah Mama seorang wanita yang sangat kuat dalam menghadapi ujian sampailah ke nafasnya yang terakhir. Saya menginspirasikan kekuatan yang ada dalam diri arwah Mama. Apa pun yang kita buat jangan mudah putus asa. Jiwa kena kental.
Cara saya, kalau buat sesuatu mesti sampai habis. Yang penting yakin dengan diri sendiri, mesti cuba yang terbaik,” kongsi Aprena yang pernah menjadi penghias muka hadapan Nona Jun 2019 bergandingan dengan Dato’ Jovian Mandagie.
NONA JUN 2019.
SOKONGAN SUAMI
Gelaran isteri kepada Mohd Afiq Hazman bukan penghalang buat Aprena untuk menggapai impian bergelar pelakon terkenal. Aprena juga tidak pernah menyembunyikan status perkahwinan mereka kerana baginya restu dan sokongan suami sangat penting dalam apa jua perkara yang dilakukan.
Aprena dan suami, pasangan bahagia.
“Saya bersyukur kerana suami sentiasa memberi sokongan kepada saya dan paling penting sangat sporting. Selalunya sebelum pergi ke set saya akan selesaikan dulu kerja-kerja rumah. Memandangkan kami masih belum mempunyai anak, saya fokuskan kepada tanggungjawab sebagai isteri.
Bercakap tentang cabaran sepanjang bergelar pelakon pula memang banyak. Bukan mudah sebenarnya nak kekal dalam industri kerana sentiasa ada pendatang baru. Apa pun berbalik kepada rezeki masing-masing, tak kiralah pendatang baru atau lama.
Seorang pelakon tak boleh berhenti belajar. Saya memang rajin bertanya termasuk ‘ringan mulut’ untuk bertanya kepada pelakon-pelakon senior termasuk pengarah demi mendapatkan ilmu. Saya percaya jika reputasi seorang artis itu baik maka rezekinya tetap ada dalam industri.
Cara reward diri pula dengan memberikan hasil yang terbaik dan berkongsi rezeki dengan suami dan ibu bapa. Insya-Allah, hidup kita akan lebih berjaya,” ujar Aprena yang bercita-cita untuk bergelar pelakon teater termasuk mencuba bidang nyanyian dan pengacaraan.
Bersama kakak dan sepupu-sepupunya yang juga pelakon popular. Dari Kiri: Uqasha Sensore, Octavia Manrose, Aprena Manrose, Nelydia Senrose dan Raysha Senrose.
Kredit Foto: Instagram Aprena Manrose
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Biarpun ada kekurangan tetapi gadis ini dikurniakan satu kelebihan yang cukup luar biasa. Matanya buta namun hatinya ‘celik’ Al-Quran. MasyaAllah!
Aisya Humairah Mohd Sharizal, anak kepada pasangan jurutera dan suri rumah ini baru berusia 13 tahun. Biarpun cacat penglihatan, dia seorang yang sangat cintakan Al-Quran.
Meskipun hidup dalam ‘dunia gelap’ ia bukan penghalang bagi Aisya Humairah untuk sentiasa mendalami kalamullah.
Malah, anak kedua daripada empat adik beradik yang berasal dari Kedah ini boleh membaca dengan baik menggunakan Al-Quran braille.
Memetik perkongsian Sinarplus, baru-baru ini Aisya Humairah menyertai Majlis Khatam Al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus. Sejak di bangku sekolah rendah lagi Aisya Humairah aktif menyertai pertandingan tilawah Al-Quran.
Katanya, dia telah banyak kali terpilih untuk menyertai pertandingan tilawah Al-Quran dan berjaya ke peringkat kebangsaan.
“Antara pencapaian terbaik saya, memperoleh tempat kedua semasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kategori masalah penglihatan tahun 2021,” ujarnya.
LAHIR SEBAGAI BAYI NORMAL
Aisha Humairah dilahirkan sebagai bayi normal pada 17 Disember 2010. Namun, Aisya Humairah disahkan menghidap kanser mata ketika usianya setahun dua bulan.
Dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi bagi mengelak tumor merebak ke otak. Pada usia tiga tahun, mata kirinya pula terpaksa dibuang.
Setahun kemudian, Aisha Humairah hilang mata sebelah kanan sekaligus menjadikannya orang kurang upaya kategori cacat penglihatan sepenuhnya.
CANCER SURVIVOR
Biarpun perjalanan hidupnya tak seindah kanak-kanak lain seusia, Aisya Humairah yang merupakan cancer survivor tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kerohanian.
Seawal usianya lima tahun, Aisya Humairah dihantar oleh ibu bapanya untuk belajar Al-Quran dengan beberapa orang guru mengaji.
Dia mula mengenal huruf melalui buku Iqra braille sebelum mengaji secara berperingkat menggunakan Al-Quran braille yang dibeli ibunya secara second hand.
“Peringkat awal mengaji, saya berdepan kesukaran untuk menghafal,” imbaunya.
Aisya Humairah menjadikan guru taranumnya, Ustazah Norsyafirah Jusoh sebagai sumber inspirasai. Ustazah Norsyafirah ialah Johan Qariah dalam Pertandingan Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat negeri Perlis.
Aisya Humairah punya kenangan manis ketika menyertai Pertandingan Tilawah al Quran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia pada 2020. Dia merupakan peserta termuda mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
IMPIAN BERGELAR ATLET PARALIMPIK
Seperti insan lain, Aisya Humairah juga berimpian untuk menjadi seorang yang dapat memberi inspirasi. Dia bercita-cita ingin bergelar atlet renang paralimpik suatu hari nanti.
“Ketika hujung minggu saya akan pergi kelas berenang kerana saya mempunyai impian mahu menjadi atlet renang paralimpik, jadi saya perlu berlatih bermula dari sekarang.”
Pesan Aisya Humairah, jangan berputus asa ketika belajar mengaji walaupun orang lain sudah berada di peringkat yang lebih baik. Belajar mengaji memerlukan kerajian. Teruslah berusaha dan jangan putus asa.
Sumber & Foto: Sinarplus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa sangka dari sebuah rumah teres usang menjadi kediaman sentuhan moden elegan, jari-jemari emas Ashikin Amran terbukti berhasil mix & match hiasan tanpa bocorkan kocek.