
Cara paling efektif untuk tampil bertenaga dalam bergaya adalah dengan memilih rekaan busana yang memiliki rekaan potongan dan perincian menarik serta corak cetakan yang lantang. Ini adalah dua kunci untuk tampil stailish dan menarik dengan segera tanpa perlu suai padan yang keterlaluan ataupun pemakaian aksesori yang berlebihan.
Seperti jenama ini yang mempersembahkan koleksi holiday terbaru, dari mula ke akhir koleksi 12 rekaan ini ia memberikan satu keceriaan dalam nada serius yang berpanjangan. Dimulakan dengan corak cetakan abstrak yang berlatar warna ‘salmon pink’ dilihat cukup menarik dalam rekaan gaun pendek kembang berkolar dan kemudian ia berubah menerusi pilihan skirt kembang dipadankan bersama jumper rona hijau gelap.
Kemudian ia berubah ke arah corak cetakan yang lebih bold dengan warna terang dan dipadankan bersama jaket bomber, ia menerbitkan gaya edgy yang chic. Lalu ia berubah kepada mood lebih serius dengan rona hitam dan putih seterusnya dikejutkan dengan cetakan flora yang besar dengan latar hitam. Rangkuman yang boleh penulis simpulkan tentang koleksi ini adalah feminin, chic, moden, edgy dan laidback. Ia cukup sesuai digayakan untuk menghadiri majlis-majlis petang dan juga sebagai stail ke pejabat.
Nak Berfesyen Tapi Risau Nampak Perut Buncit? Ini 8 Tip Fesyen Yang Wajib Dipraktikkan!

Wanita dan fesyen memang sukar untuk dipisahkan. Menjadi lumrah bagi seorang wanita untuk kelihatan cantik dan menawan. Namun, bentuk badan seringkali menjadi halangan untuk wanita terus bergaya. Labih-lebih lagi wanita yang memiliki perut buncit. Mereka berasa kurang yakin untuk tampil bergaya disebabkan masalah ini. Jom Nona kongsikan tip berguna buat mereka yang memiliki perut buncit untuk berfesyen!
1. Pilih skirt jenis A-line kerana ia membantu untuk menyembunyikan masalah perut buncit. Ini kerana potongan skirt yang luas di bahagian bawah amat sesuai untuk menyembunyikan bahagian pinggang anda.
2. Seluar ala Aladin atau seluar nelayan Thai dapat menyembunyikan perut anda yang berlipat kerana mata akan tertumpu pada rekaan seluar yang unik itu.
3. Pakai tali pinggang yang besar dan luas di pinggang anda. Ikat tali pinggang 1 inci lebih tinggi daripada paras pinggang anda untuk menutup bahagian perut buncit.
4. Pakai skirt jenis pleated atau skirt kipas menegak ke bawah untuk memberi visual pinggang anda kelihatan lebih langsing. Sebaiknya cari skirt yang bercorak untuk menutup kekurangan ada.
5. Elakkan memasukkan baju ke dalam pinggang untuk memberikan kesan ilusi badan yang lebih langsing.
6. Elakkan memakai jean jenis low-waist sebaliknya pilih jean atau seluar jenis high waist atau berpinggang tinggi. Ia boleh membuatkan anda tampak lebih langsing dan lampai. Jangan lupa padankan bersama baju bercorak gelap.
7. Pilih material pakaian yang tidak jarang kerana ia akan membuatkan perut anda nampak buncit. Sebaiknya pilih baju yang mempunyai material dari sutera atau yang berwarna terang.
8. Elakkan memakai baju yang mempunyai corak horizontal atau melintang kerana ia akan menyebabkan perut anda kelihatan lebih buncit. Bagi menyembunyikan masalah perut buncit tersebut, sebaiknya pilih pakaian yang ada rekaan wrap top atau baju yang mempunyai tali atau ikatan di bahagian bawahnya.
Koleksi “Raya In Vogue” Patuh Syariah Jadi Sandaran Jenama SITI KHADIJAH

Bahang kedatangan Ramadan dan Syawal semakin terasa apabila jenama-jenama fesyen lokal mula memperagakan koleksi Ramadan dan Syawal untuk para muslimin dan muslimat bergaya di hari mulia.
Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. (Siti Khadijah) turut melancarkan koleksi raya yang diberi nama Raya in Vogue pada 15 Mac. Bermula dengan penjualan telekung, kini jenama Siti Khadijah (SK) turut dipelbagaikan dengan pelbagai jenis rangkaian produk termasuk pakaian untuk wanita dan lelaki.
Malah selepas 14 tahun mengukuhkan nama di pasaran, kehadiran koleksi baju raya untuk lelaki dan wanita menyemarakkan lagi persaingan di antara pengeluar pakaian patuh syariah di negara kita.
Koleksi Raya In Vogue ini menampilkan lima baju kurung, satu baju Melayu selain jubah wanita itu turut diperagakan dalam pertunjukan fesyen diadakan di ruang legar pusat beli belah, KL East Mall.

“Koleksi Raya In Vogue yang diperagakan hanya dijual secara fizikal secara terhad di butik di seluruh negara. Bagaimanapun, mereka yang ingin mendapatkan koleksi raya ini selain ke butik terpilih.
“Selain itu mereka juga boleh membeli menerusi ‘personal shopper’ berdaftar yang kami panggil Srikandi di seluruh Malaysia. Hingga kini, kami mempunyai lebih 600 Srikandi berdaftar. Pembelian koleksi ini juga boleh dibuat menerusi laman sesawang www.sitikhadijah.com.
“Jualan sudah dibuka mulai 15 Mac 2023. Jadi rancang pembelian anda dengan bijak, seperti yang dikatakan beli awal tak kalut. Kami tidak menggalakkan orang membeli minit akhir sebelum raya,” kata Pengasas Siti Khadijah, Hajah Padzilah Enda Sulaiman.
Kata Padzilah lagi, koleksi tahun ini diserlahkan dengan gaya mewah tetapi mengekalkan konsep kesederhanaan dan menitikberatkan soal keselesaan.
Sejajar dengan tagline di Siti Khadijah iaitu, ‘Selesa Luaran, Tenang Dalaman’, koleksi dijual dengan harga di antara RM208 ke RM328.
“Tahun sebelumnya kami ada tampilkan rekaan bercirikan nusantara, klasik dan sebagainya. Tahun ini kami tampilkan elemen yang lebih ‘classy’ namun mengekalkan ciri patuh syariah.
“Lima koleksi baju kurung kami namakan sebagai Nazrin Kurung Pesak, Azra Kurung Pesak, Alara Kurung Moden, Aylin Kurung Moden dan Zehra Kurung Pahang. Dan setiap koleksi dihadirkan dengan lima pilihan warna.
“Bagi koleksi lelaki pula kami namakan Daud Baju Melayu, juga dengan lima pilihan warna. Selain itu, ada juga pilihan jubah, tudung sarung, bawal satin dan biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Padzilah berkata pihaknya juga enggan statik dan mahu terus mengembangkan jenama ini ke persada antarabangsa.
Hingga kini, jenama itu mempunyai 47 butik di seluruh Malaysia.
“Kami ada juga dua butik di Indonesia. Seterusnya, paling terdekat kami bakal melebarkan sayap ke Singapura,” katanya.
Terdahulu, pada acara pertunjukan itu, Edika Yusof serta Arash Mohd turut mencuri tumpuan memperagakan koleksi lelaki Siti Khadijah. Turut menghiburkan tetamu dan penonton di premis beli belah itu ialah Lah Ahmad dan kumpulan Ruffedge.
Malah Vanidah Imran, Kuza selain pempengaruh terkenal di platform digital serta media sosial turut diundang memeriahkan acara ini.
Selain telekung, syarikat itu turut mengeluarkan pelbagai pakaian kelengkapan haji seperti tudung, stokin tangan, jubah dan aksesori menunaikan haji. Jenama ini juga menghasilkan produk gaya hidup seperti pakaian lelaki dan pakaian wanita, tudung, aksesori, dan banyak lagi.
Patutlah Ramai Yang Serbu Masuk Butik STARVILION, Rupanya Sebab ‘Tarikan’ Ni!

Jika anda ke Seksyen 7 Shah Alam, jangan lupa singgah ke butik Starvilion. Menyebut namanya sahaja pun sudah terasa gah, inikan pula berpeluang untuk memiliki koleksi fesyen inspirasi gaya selebriti terkenal tanah air yang terpilih. Butik Starvilion menjadi pilihan tepat bagi anda merealisasikan impian untuk bergaya persis selebriti pujaan. Biarpun menjadi hub fesyen jenama selebriti terkenal, butik Starvilion menawarkan harga mampu milik.
Ruang butiknya memaparkan sentuhan dramatik yang banyak bermain dengan pencahayaan sekali gus menyerlahkan aksen mewah. Setiap koleksi tersusun kemas mewakili jenama selebriti. Beberapa pembantu butiknya yang mesra pelanggan akan memberikan layanan terbaik dan profesional.
“Walaupun butik ini baru saja ditubuhkan pada 21 April lalu namun sambutan sangat baik. Kolaborasi melibatkan 14 artis serta selebriti terkenal tanah air antaranya Nora Danish yang mewakili imej profesional, classy dan mewah. Sementara Wany Hasrita mewakili stail generasi muda. Untuk kanak-kanak perempuan pula kita ada Mya Sara.
Artis-artis lain ialah Hisham Hamid, Elfira Loy, Puteri Zarith, Amira Othman, Wak Doyok, Nelydia Senrose, Zahirah Macwilson, Remy Ishak, Fazura dan Fattah Amin. Bukan sekadar busana malah koleksi tudung terkini turut ditampilkan.
Bagi memastikan material yang dipilih berkualiti, kami akan duduk berbincang bersama setiap artis dan selebriti untuk mendapatkan keputusan terbaik. Mereka akan memilih material terbaik dan selesa,” kongsi Ketua Pegawai Operasi Starvilion, Zeileen Yusnita Abd Jalil yang juga merupakan pemilik bersama suaminya iaitu Mohamad Farid Omardin. Pasangan ini juga merupakan pengasas butik Altelia Amani.
Zeileen berharap agar jenama Starvilion terus dikenali ramai bukan sekadar di Malaysia malah di luar negara kelak. Besar harapan Zeileen agar Starvilion menjadi hub fesyen ready-to-wear terulung di Malaysia seterusnya mengekalkan harga mampu milik buat para pelanggan.