Tengah khusyuk makan tengah hari dengan kawan pejabat tiba-tiba ada seorang wanita yang sudah lanjut usia datang meminta derma atas pelbagai tujuan. Kadang-kadang bukan tak nak bagi tapi tangan belum cukup bersih untuk mencari wang dalam dompet. Kisah ‘peminta sedekah’ memang tidak pernah surut sejak dahulu.
Ada yang marah-marah dengan peminta sedekah kerana kadang-kadang mereka kelihatan cukup sifat dan sihat untuk bekerja mencari rezeki. Peminta sedekah dikatakan mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang. Tak tidak kurang juga sentiasa menghulurkan bantuan tidak kira apa cara sekalipun.
Masyarakat kita memang terkenal dengan sikap suka memberi. Sebut sahaja kisah yang menyayat hari pasti ringan mulut tanya ada tak nombor akuan untuk menghulur bantuan. Sikap suka menderma atau melakukan sedekah memang dituntut oleh agama. Tetapi, rupa-rupanya hanya badan tertentu sahaja yang mempunyai autoriti untuk mengutip derma.
Perkongsian oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mahdi Al-Hilmy bin Arshad menjelaskan ‘hukum’ menghulurkan derma terutama buat warga Selangor.
Ads
1. Pihak yang berautoriti memberikan kebenaran untuk memungut derma ialah Baitulmal dan Perbadanan Waqaf Selangor (PWS). Syarat yang diberikan oleh Baitulmal ialah 6 bulan dan boleh disambung hingga 5 kali selepas itu (bermakna 3 tahun). Manakala kebenaran oleh PWS pula ialah setahun.
2. Kebenaran memungut derma yang diberikan oleh Baitulmal hanyalah kepada 3 perkara iaitu pembinaan, naik taraf dan penyelenggaraan.
3. Kebenaran memungut derma oleh Baitulmal hanya kepada penama yang tertera nama-nama mereka di dalam surat dan kebiasaannya had maksimum 10 penama. Hanya mereka ini sahaja yang boleh memungut derma. Manakala kebenaran oleh PWS pula terhad kepada 5 orang penama sahaja. Walau bagaimanapun, boleh ditambah 5 orang lagi jika menghantar laporan bulanan tanpa gagal pada setiap 1-5hb setiap bulan.
Ads
4. Setiap derma hendaklah dikeluarkan resit kepada yang menderma tersebut. Bermakna kebenaran memungut derma ini ialah orang itu pergi berjumpa dengan orang lain. Tidak ada istilah tabung-tabung derma yang ditinggalkan di restoran, kedai makan, petrol stesen, klinik dan kedai-kedai tertentu.
5. Kebenaran memungut derma juga hanya diberikan kepada permohonan DALAM NEGERI SELANGOR SAHAJA. Bermakna jika ternampak tabung-tabung derma di dalam negeri Selangor tetapi tabung itu bertujuan luar Selangor, sila buat aduan segera ke talian Hotline Penguatkuasa JAIS iaitu 1-800-88-2424.
6. Untuk kes Rohingya, HANYA ADA SATU BADAN SAHAJA YANG DIBERIKAN KEBENARAN IAITU MAJLIS ULAMAK ROHINGYA (MUR).
Jika ada apa-apa kemusykilan boleh melawat laman web Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk melihat senarai pertubuhan/persatuan yang telah diberikan kebenaran untuk memungut derma di dalam negeri Selangor.
“Saya amat-amat berterima kasih kepada anda yang dapat memaklumkan kepada saya mana-mana restoran atau premis yang meletakkan tabung-tabung derma di dalam premis mereka. Mudah sahaja. Snap gambar tabung-tabung tersebut. Kemudian hantar/share kepada saya dalam posting ini dan jangan lupa sertakan juga nama dan alamat premis tersebut,” tutur Mahdi.
Tambahnya lagi adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 106, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 Pindaan 2015 iaitu mana-mana orang yang melanggar seksyen ini dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Allah adalah sebaik-baik perancang. Biarpun Nurul Adlinna Mohd Bakri mempunyai kelulusan Kejuruteraan Mekanikal tetapi takdir Tuhan telah membawa anak kelahiran Rawang, Selangor ini jauh menempa kejayaan dalam bidang keusahawanan.
Tidak menyangka dunia perniagaan membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya, wanita berfikiran optimis ini bagaimana pun enggan mensia-siakan ilmu kejuruteraan yang diperoleh begitu sahaja. Sebaliknya memanfaatkan pengetahuan tersebut untuk kegunaan firma perniagaan yang diusahakan hari ini.
Ternyata gabungan minat berniaga sejak kecil dan kecintaan wanita berusia 37 tahun ini terhadap dunia kecantikan serta inovasi menjadi kelebihan untuk beliau berdiri teguh dan berdaya saing dalam industri. Hasilnya, Nurul Adlinna atau mesra disapa Kak Lin kini pencetus revolusi bidang kecantikan menerusi jenama Bartech Beautee.
“Kalau ikutkan bidang kejuruteraan dengan kecantikan ini memang jauh sangat. Tapi sebab naluri seorang wanita yang suka benda cantik, saya tertarik untuk ambil jurusan beautician masa masih belajar dulu.
Tambahan pula, saya ialah orang yang sukakan inovasi dan akan innovate sesuatu benda itu jadi benda baharu. Misalnya kalau orang buat produk, saya juga hasilkan tapi dengan cara dan kreativiti sendiri,” ujarnya memulakan bicara.
Jelas Pengasas Bartech Beautee ini, beliau mendapat pendedahan awal mengenai bidang perniagaan daripada bapa tersayang yang juga usahawan automatif dan mempunyai latar belakang kejuruteraan.
“Sebelum ada bisnes sendiri, saya mula bantu ayah di syarikatnya yang menguruskan trading and supply barang-barang kereta kepada pembekal kenderaan di Perodua, Naza, Honda, Proton dan banyak lagi. Kami juga ada kilang sendiri untuk buat auto parts kereta.
Semasa masih belajar di universiti, saya pernah kerja separuh masa di kedai serbaneka untuk kumpul duit. Habis saja belajar, saya kerja sebagai beautician. Kemudian jadi ejen insuran dan pelaburan. Dari situ saya belajar cara berkomunikasi dengan klien dan budaya orang berniaga.
Tak lama lepas itu, ayah minta saya kerja balik dengannya. Sambil kerja di syarikat ayah dan semangat berkobar-kobar nak berniaga, saya dalam masa sama jadi reseller barangan pakaian, fesyen dan kosmetik termasuklah food and beverages (F&B). Asalnya sekadar suka-suka saja sebab nak dapat extra income,” dedah Kak Lin yang memiliki pengalaman berniaga selama 15 tahun.
BARTECH BEAUTEE
Mengulas mengenai Bartech Beautee, jenama ini secara rasminya berada di pasaran pada tahun 2023. “Pada tahun 2019, suami saya menjalankan bisnes kecergasan yang dinamakan Bartech Fitness. Waktu itu, saya urus bahagian jualan dan operasi. Nak dijadikan cerita, satu hari suami beli energy bar berperisa dan saya makan.
Disebabkan saya suka inovasi, saya buat R&D cara hasilkan energy bar versi sendiri. Tak terfikir nak jual pun. Selepas dua ke tiga kali R&D barulah jadi seperti yang saya inginkan dan tak sangka laris terjual beribu-ribu unit setiap hari.
Nama Bartech itu sebenarnya berasal daripada ‘Bar’ yang merujuk ‘Energy Bar’ ciptaan kami. Manakala ‘Tech’ pula singkatan daripada perkataan ‘Technology’ sebab saya dan suami masing-masing dari bidang engineering. Memandangkan masa itu tak ada idea lagi nak letak nama apa untuk bisnes kecantikan saya, maka lahirlah jenama Bartech Beautee.”
Tambah Nurul Adlinna Mohd Bakri lagi, idea menghasilkan produk kecantikan berkenaan tercetus selepas anak perempuannya berusia 13 tahun berdepan insiden di sekolah.
“Selepas PKP tahun 2022, saya dan anak perempuan sulung ada sesi meet and greet dengan guru dan ibu bapa di sekolah. Dulu kami duduk di Kajang dan kemudian pindah ke Rawang. Jadi, anak saya kena tempuh persekitaran baru dan tak ada kawan lagi.
Sampai saja di sekolah, kawan-kawan baru ini pelik tengok beza kulit anak dengan saya. Mereka cakap, “Kenapa kau hitam? Mak kau tak hitam pun.” Tak sangka, anak saya ambil serius kata-kata itu dan berubah kelakuan daripada seorang yang ceria dan suka berkawan terus jadi pendiam dan suka menyendiri.
Sejak peristiwa itu dia mula hantar link produk-produk supplemen kecantikan yang dijual di TikTok dekat saya sebab nak cantik. Sampaikan mahu berniaga online sebab nak duit beli produk tersebut. Bila tengok keadaan anak yang terdesak macam itu, saya pergi jumpa seorang chemist yang saya kenal waktu jual produk mak saya dulu untuk buat produk kecantikan khas buat anak.
Kami hasilkan dengan beberapa bahan untuk dapatkan formulasi terbaik. Lepas saya pakai dan dijamin selamat, baru saya beri dekat anak. Hampir sebulan dia pakai barulah nampak kesan dan kawan-kawan mula perasan perubahan kulit anak saya makin cerah,” jelasnya panjang lebar.
Bermula dengan hanya untuk kegunaan anak, Kak Lin akhirnya mengambil keputusan memasarkan produk tersebut ekoran permintaan tinggi daripada pelajar dan guru di sekolah.
CABARAN
Dek sambutan hangat yang diterima, Kak Lin selaku Chief Business Officer (CBO) ligat merancang strategi pemasaran dengan mengaktifkan akaun di TikTok kerana berpandangan pasti ada generasi sebaya anak-anaknya yang berdepan masalah sama.
Percaturan ibu kepada empat cahaya mata ini nyata membuahkan hasil apabila produk Bartech Beautee mendapat tempat di hati pengguna dalam tempoh singkat.
“Bila dah viral, ketika itulah kami berdepan macam-macam cabaran. Salah satunya kecaman netizen yang terlalu negatif hinggakan ada yang kata produk kami ini tak selamat. Bagi saya, inilah asam garam dunia perniagaan. Satu proses yang terpaksa kami lalui sebelum produk kami berkembang.
Jujurnya, saya melihat komen sedemikian dari sudut positif untuk kami lebih improved. Kecaman daripada mereka kami ambil dan hormat. Secara tak langsung buka ruang dan peluang untuk kami perbaiki sebelum jadi lebih baik. Itulah salah satu cabaran besar bila saya masuk dalam industri ini. Walau baru setahun tapi rasa macam dah 10 tahun,” ucapnya sambil tertawa.
Ditanya sama ada produk Bartech Beautee menjadi mangsa eksploitasi dan tiruan pihak tidak bertanggungjawab, ini jawapan jujur Kak Lin. “Sudah tentu, lagi-lagi saat kami belum buat trademark. Jadi senang sangat untuk mereka tiru. Saya sedar bila produk ditiru, ia sedikit sebanyak membantu menaikkan lagi jenama kami. Ibarat macam free publicity.
Maksudnya, brand trust itu dah ada bila orang mula meniru. Kalau jenama kita sendu, mana mungkin orang nak tiru. Alhamdulillah, sekarang kami dah registered Bartech Beautee dan ada trademark. Kalau ada yang meniru lagi selepas ini, kami boleh atasi secara profesional.”
Setakat ini terdapat dua rangkaian produk Bartech Beautee di pasaran iaitu Whitening Gel 20 mililiter (ml) untuk kegunaan wajah dan Whitening Cream 20 gram serta 100 gram bagi kegunaan pencerahan wajah dan badan.
JUALAN
Sungguhpun menerima permintaan memberangsangkan daripada pelanggan pada awal perniagaan namun demi mengurangkan risiko kerugian, usahawan berjiwa cekal ini nekad mengambil tempahan secara pra pesanan atau pre order.
“Kami bermula dengan jualan di TikTok dan tak sangka dalam tempoh tiga bulan saja dah cecah RM1 juta! Memang terperanjat sebab kami letak sasaran RM1 juta dalam masa setahun. Itu pun kami ragu-ragu sama ada dapat capai sasaran tersebut atau tidak. Tapi Allah adalah sebaik-baik Pemberi Rezeki.
Dari satu juta pertama itu kami susun strategi dan pasang impian. Bukan saya saja tapi satu team bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk capai target tersebut. Sekarang kami boleh achieved sampai tujuh ke lapan angka. Alhamdulillah.
Tak sangka Bartech Beautee melonjak dengan sangat drastik. Lebih utama, saya dapat bantu team kejar impian mereka. Apabila ada perancangan yang rapi dan delegate task kepada team dengan baik, saya percaya kami boleh capai jualan sampai 10 angka.”
Tidak sekadar mempromosikan Bartech Beautee di platform TikTok dan mempunyai puluhan ribu entiti niaga menerusi sistem Affiliate Marketing, Kak Lin turut memperluas jualan dengan menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.
“Tak dinafikan, timbul rasa bimbang kalau saya selaku pemilik tak mampu lagi pertahankan bisnes ini satu hari nanti. Iyalah, produk kami naik dengan begitu cepat. Tak mustahil boleh jatuh dalam sekelip mata.
It’s not easy to sustain. Apatah lagi produk viral. InshaAllah, kami merancang misi yang besar untuk tahun 2025-2026 kelak,” ulas peneraju Bartech Beautee berkenaan yang disokong oleh 12 orang kakitangan.
PENGORBANAN
Di sebalik kesenangan dan kejayaan yang dinikmati hari ini, ada kisah duka yang tersimpan kemas di sanubari Kak Lin. Tidak bermaksud mahu membangga diri jauh sekali meraih simpati, isteri kepada Shaharuddin Abdul Karim ini tegas menekankan bahawa perkongsian yang dibuat adalah demi memberi iktibar dan menyuntik inspirasi.
Bergenang air mata figura hebat ini tatkala diaju persoalan mengenai detik terendah dalam hidup yang pernah dialami. Sambil menahan sebak, Kak Lin membuka rahsia.
“Betul, tak mudah untuk sampai ke tahap sekarang. Impian saya sebenarnya mahu jadi suri rumah yang uruskan keluarga dan berniaga kecil-kecilan saja. Saya pernah cakap dengan suami, kalau saya aktif bisnes ada benda yang terpaksa saya korbankan iaitu masa.
Jadi usahawan memang penat. Tambahan pula saya menghidap asma sejak usia lima tahun. Boleh dikatakan inhaler itulah best friend yang saya bawa ke mana saja. Masa buat live pun, asyik dengan pam inhaler sebab cepat rasa penat.
Saya mudah diserang asma bila tak cukup rehat. Kalau tidur, saya rasa macam ruginya. Banyak benda boleh buat. Tapi fikirkan tanggungjawab sebagai majikan untuk jaga staf, saya kuatkan semangat. Apa yang saya dapat sekarang ini pun berkat doa suami, anak-anak dan orang sekeliling.”
Puas menahan tangis, air mata Nurul Adlinna akhirnya jatuh berjuraian apabila mengenang kegagalan rumah tangga dek kerana kesibukan membina empayar niaga.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Dalam perkahwinan dulu saya rasa sangat sengsara dengar kata-kata cemuhan orang terdekat yang memperkecil kemampuan saya untuk jadi usahawan berjaya. Kata mereka, saya hanya boleh jadi pekerja terbaik tapi bukan usahawan berjaya sebab saya tak pandai berniaga.
Tiada sekelumit pun rasa benci atau dendam. Saya ambil kata-kata itu sebagai satu perkara positif dan buktikan mereka silap. Kesenangan yang kita tunjuk kepada orang hari ini bukan sebab hendak riak tapi itu sebenarnya satu kepuasan. Mujur saya ada team yang sentiasa menyokong dan suami yang setia menjadi tulang belakang. Bagi saya, success is the best revenge!”
INSPIRASI
Dalam keterujaan memajukan syarikat dan membantu pekerja serta anak didik di bawah jagaannya mendapat kehidupan lebih baik, Nurul Adlinna sentiasa meletakkan Allah SWT di kedudukan teratas untuk menggapai matlamat tersebut.
“Saya sudah ada semua yang saya mahukan dalam hidup. Sekarang adalah masa untuk saya bagi manfaat kepada orang lain pula. Kerja yang kita buat ini ialah ibadah. Berdosa kalau saya abaikan pekerja. Untuk itu, saya akan pastikan mereka dapat hidup lebih baik daripada saya.
Kepada wanita sama ada ibu berkerjaya atau pun tidak dan mereka yang bergelar ibu tunggal, bangkitlah sebab saya juga pernah jadi single mom. Hendak berjaya dalam hidup, kita kena fokus dan jelas dengan apa yang kita nak buat.
Kita juga kena ada energy. Jangan bersedih terlalu lama takut-takut nanti kemurungan. Tak perlu salahkan orang lain. Kita mampu kawal emosi dan diri kita sendiri. Kalau stress, nak menangis dalam bilik air, pergi karaoke atau menari, buatlah!
Bila dah lega, kembali dengan misi. Mana yang boleh datangkan manfaat kepada kita, teruskan buat yang terbaik. Akhir sekali, tawakal dan berdoa. Apa saja yang kita buat kena bersungguh-sungguh ibarat seperti esok kita mati,” pesannya bersungguh-sungguh.
Semoga segala kebaikan dan jerit-perih Nurul Adlinna Mohd Bakri mengusahakan perniagaan dengan niat untuk membantu lebih ramai orang keluar daripada kepompong kesusahan mendapat keberkatan serta perkenan dari-Nya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum tengok semangat bekas Ratu Cantik Columbia, Daniella Alvarez mengharungi ujian hidup. Mana tidaknya, daripada seorang wanita yang dilahirkan cukup sempurna dan mempunyai rupa paras menawan kini dia terpaksa menerima hakikat ‘kekurangan’ yang dialaminya hari ini. Tanggal 14 Jun 2020 pasti menjadi detik paling tidak dapat dilupakan Daniella apabila sebahagian kaki kirinya terpaksa dipotong akibat ischemia iaitu keadaan aliran darah yang tersekat untuk sampai ke bahagian organ badan.
Biarpun menjalani hidup dengan sebelah kaki sejak kira-kira tujuh bulan lalu tapi ia sedikit pun tidak menjejaskan rutin harian Daniella. Malah, Daniella yang sebelum ini disifatkan seorang wanita ceria, suka menari dan melakukan aktiviti lasak tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk terus hidup bahagia seperti kebiasaan.
Paling menakjubkan, hanya selepas tiga minggu menyesuaikan diri dengan ketiadaan kaki kiri… Daniella membuat kejutan kepada lebih 3 juta pengikutnya di Instagram dengan memuat naik video tarian di samping adik lelaki tersayang, Ricki Alvarez. Memang kuat semangat wanita ini!
“Difficulties don’t matter! We must be resilient in life!” Daniella dilaporkan kembali menari selepas kaki kirinya terpaksa dipotong disebabkan komplikasi pembedahan di bahagian perut. Pada Mei 2020, Daniella dikehendaki menjalani pembedahan membuang ketulan yang terdapat di bahagian perut. Menurut laporan media antarabangsa Hola!, operasi pembedahan itu bagaimanapun berlaku komplikasi apabila doktor mendiagnos dirinya mengalami ischemia.
Rentetan itu, separuh bahagian kaki kiri hingga ke lutut terpaksa dibuang. Perkara itu didedahkan Daniella sendiri yang terbuka berkongsi keadaan kesihatan dirinya ketika itu. Sepanjang berada di hospital, dia menerima sokongan padu daripada ahli keluarga. Pastinya inilah ‘kekuatan’ sebenar Daniella dalam menempuh cabaran tersebut.
Difahamkan selain membuang sebahagian kaki kiri, pemenang mahkota Ratu Cantik Columbia 2011 dan mewakili negaranya untuk Miss Universe 2012 menjelaskan kaki kanannya ketika itu turut terjejas. “Kaki kanan saya tidak berfungsi buat masa ini. Saya tak tahu bila ia akan kembali pulih agar saya dapat bergerak aktif semula.
Sebagai permulaan, kaki saya perlu dirangsang sensitiviti dan saya perlu belajar berjalan semula. Proses ini dianggarkan mengambil masa enam bulan dan keseluruhannya saya perlukan masa setahun untuk kembali pulih.”
Selain bergelar seorang peragawati, jelitawan berketinggian 174 sentimeter dan berusia 32 tahun ini juga merupakan personaliti televisyen. Selama tujuh bulan hidup dengan sebelah kaki, Daniella dilihat kembali aktif dengan pelbagai aktiviti. Misalnya, selain sudah berjaya jalan sedikit demi sedikit, menari, berenang dan menunggang basikal. Inspirasi!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Orangnya bukan sekadar cantik tetapi juga bijak dan berpendidikan tinggi. Kejayaan Yang Mulia Tengku Ameera Asya iaitu puteri kesayangan Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman dan Yang Amat Berbahagia Cik Puan Muda Pahang ini menamatkan pengajian di sebuah universiti swasta baru-baru ini meraih perhatian khalayak.
Keperibadian YM Tengku Ameera Asya yang mesra membuatkan anak kerabat diraja Pahang ini disenangi ramai.
Tidak lokek senyuman dan rajin melayan peminat, perkembangan baharu puteri ini turut dikongsikan peminat Tengku Ameera di platform media sosial.
Rata-rata mereka bukan hanya terpikat dengan aura puteri diraja tersebut, malah mengagumi sikap rendah diri Tengku Ameera Asya.
Hujung Jun lepas, Tengku Ameera menghadiri majlis konvokesyen Taylor’s 2024 di Lakeside Campus, Petaling Jaya. Berkongsi momen indah itu di media sosial miliknya, Tengku Ameera Asya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perhubungan Awam dan Pemasaran.
Lebih istimewa, beliau meraih ijazah kelas pertama!
“I am beyond elated to share that I’ve graduated with First Class Honours in Bachelors of Mass Communication (Honours) Public Relations and Marketing from Taylor’s University!
I’m grateful beyond words to have this achievement and it wouldn’t have been possible without the unwavering support of my family, lecturers, and loved ones.”
Turut hadir meraikan majlis konvokesyen Tengku Ameera ialah ayahanda dan bonda tersayang.
Terdahulu, Tengku Ameera turut mendapat pendidikan di The British International School of Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Tengku Ameera juga merupakan eksekutif media sosial SORAH Entreprise iaitu sebuah jenama yang diusahakan Sophia Nina dan Asyarah Baharim yang turut berperanan membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan.
YAM Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj dan Yang Amat Berbahagia Cik Puan Muda Pahang mendirikan rumah tangga pada Julai 2002.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu YM Tengku Ameera Asya, YM Tengku Eddie Akasya, YM Tengku Ahmad Firhan Shah dan YM Tengku Armaan Alam Shah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!