Bangkit daripada ‘waktu rehat’ yang panjang susulan wabak Covid-19, perniagaan Datin Fouziah Gous nampaknya kini kembali rancak memenuhi permintaan pasaran. Menerusi
perkongsian terbaharu jelitawan ini di Instagram, jelas menunjukkan kesibukan isteri Datuk Md Zhafran Md Yusof menyiapkan tempahan di samping pekerja. Sampai sanggup turun padang!
Bangga tengok wanita Malaysia yang juga selebriti dan pelakon berbakat besar ini mampu merencana bisnes sarang burung miliknya dengan begitu berjaya. Iyalah, siapa sangka bermula dengan hanya menjadi perunding pembinaan rumah sarang burung bagi pasaran Melayu… beliau akhirnya bergelar pengasas minuman kesihatan sarang burung dan meraih pendapatan lumayan.
Kalau dihitung permintaan dan sambutan yang diterima, penulis percaya jualan FG Walet mampu cecah sampai tujuh angka!
Ads
Lengkap memakai sut khas, sarung tangan, pelitup muka dan hidung serta topi penutup kepala, Datin Fouziah tekun membersihkan seberkas sarang burung bersama-sama pekerja. Mengakui tugas ini agak melecehkan namun beliau tetap komited demi memastikan produk sarang burung miliknya bersih dan selamat dimakan.
Kongsinya, “Due to high demands, jom kita kerja keras bersihkan sarang burung FG Walet! Yes all our premium range 100 percent by hand! Itu yang leceh dan berharga. Sebab itu juga orang tak jual 100 percent pure sebab untung sikit tapi kerja teruk! Apa pun niat dan kesabaran itu kena ada. InsyaAllah ikhlas bekerja dengan niat yang baik. Untuk memberikan yang terbaik buat semua, adalah matlamat saya.”
Ads
Dalam memberi kepelbagaian dan seleksi pilihan minuman FG Walet, Datin Fouziah turut menghasilkan perisa khas kurma dan madu sempena Ramadan Raya. Seperti biasa, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan dan beliau turut tidak ketinggalan memberi sumbangan kepada para frontliners. Murah rezeki!
Masih aktif sebagai hos rancangan dan menerima tawaran berlakon jika bersesuaian, Datin Fouziah bagaimana pun dilihat tetap mempunyai masa untuk mengurus dan memantau
perjalanan bisnes ini. Pastinya perniagaan berkenaan memberi kepuasan luar biasa sebab itu beliau sanggup bersusah-payah. Apa-apa pun, kagum dengan cara Datin Fouziah membahagikan masa di antara keluarga, kerjaya dan perniagaan.
Ads
Menelusuri perjalanan FG Walet, selepas berjaya melancarkan mesin inovasi minuman kesihatan pertama di Malaysia ketika Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) pada
April tahun lalu, Datin Fouziah turut meluaskan empayar niaga melalui kerjasama dengan Circle K Vietnam iaitu rangkaian kedai serbaneka terkenal yang mempunyai ratusan outlet di seluruh dunia sekitar bulan November 2019. Malah, pada penghujung tahun lalu pula beliau menerima penganugerahan The Asia Halal Brand Awards.
“Rasa cukup kerdil bila bersama brand yang cukup besar seperti KFC, Safi, Babas, Gintell, Coke, Berjaya Times, Soul Garden, LG, Seamaster, Tuppaware dan banyak lagi nama-nama besar yang gah. Alhamdulillah, terselit juga FG Walet antara mereka.
Thank you Jakim, HDC dan semua judges yang terlibat atas pemilihan yang besar makna buat kami untuk terus menjadi terbaik dan sekali gus mengangkat FG Walet ke satu tahap yang lebih tinggi! Yes, terbukti dengan pemilihan ini FG Walet adalah HALAL sekaligus telah dinobatkan sebagai THE BEST NUTRITION BIRDSNEST oleh Asia Halal Brand Award.”
Selain mengusahakan FG Walet, Datin Fouziah Gous juga menjalankan operasi sebuah pusat kecergasan muay thai. Moga tahun ini, perniagaan dan karier seni Datin Fouziah terus bersinar sekaligus menyuntik inspirasi kepada ramai wanita untuk turut sama berjaya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kesusahan hidup yang dilalui Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sejak kecil membentuk jati dirinya menjadi seorang wanita berjiwa kental dan berdaya saing. Meskipun dibesarkan sebagai anak penoreh getah namun figura hebat ini bersyukur kerana kedua-dua ibu bapa mendidik mereka enam beradik dengan penuh kasih sayang dan sanggup berkorban apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik.
Tiada sekelumit pun rasa segan terbit di sanubari wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tatkala bercerita mengenai realiti hidup beliau yang pernah mendiami rumah beratapkan rumbia dan tiada bekalan elektrik mahupun air bersih. Bagi Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif itulah perangsang motivasi untuk mengubah taraf hidup keluarga.
Detak hatinya berkata alangkah indah andai kedua-dua ibu bapa tersayang masih hidup dan menyaksikan kejayaan beliau menjadi wanita inspirasi negara dan melakar sejarah sebagai wanita pertama bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Saya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mak ayah saya penoreh getah. Sewaktu kecil, saya menyiapkan kerja sekolah di bawah lampu minyak tanah. Saya bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk membantu mak ayah cuci bekas tadahan susu getah pada waktu Subuh sebelum pergi ke sekolah.
Saya bertekad untuk membawa keluarga saya keluar daripada kepompong kemiskinan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah sejak sekolah rendah hingga menengah, saya selalu mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
Hal ini bukan sebab saya terlalu mengejar gred. Sebaliknya saya mahu mendapatkan ganjaran daripada pihak sekolah berupa kelengkapan persekolahan seperti beg, baju, kasut dan lain-lain. Saya tak mahu membebankan mak ayah dan pastikan dapat nombor satu dalam kelas sebab mahu dapat sebanyak hadiah yang boleh supaya saya dapat agihkan kepada adik-adik saya,” tuturnya memulakan bicara.
Ditanya pengorbanan ibu bapa yang tidak mungkin terpadam dari ingatan, dalam nada sebak Dato’ Seri Dr Maimunah menyingkap rahsia. “Saya masih ingat kenangan menyiapkan kerja sekolah dengan hanya diterangi pelita minyak tanah. Arwah mak akan ambil kain sarung dan saya duduk dalam kain sarung tersebut.
Jadi arwah mak akan pegang kain itu supaya api pelita tak padam ditiup angin dan saya dapat siapkan kerja sekolah. Kalau dua jam, dua jam jugalah arwah mak berdiri. Sampai sekarang tiap kali tengok kain sarung, saya sedih sebab dengan kain sarung itulah saya boleh dapat biasiswa ke England,” imbasnya yang menjadikan ibu tersayang sebagai sumber kekuatan dan inspirasi.
KARIER
Berkat usaha dan doa ibu bapa, tokoh wanita berusia 63 tahun ini berjaya memperoleh biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan perancangan bandar di University Cardiff. Usai menamatkan pengajian, Dato’ Seri Dr Maimunah kembali ke tanah air pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai perancang bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Kemahiran beliau dalam dunia perancangan bandar diperakui pelbagai pihak sehingga diberi kepercayaan menjawat tugas-tugas utama antaranya Pengarah Jabatan Perancangan, Pengurus Besar pertama Georgetown World Heritage Incorporated, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dan menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun 2017.
Lebih mengagumkan, agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengintai kebolehan dan mengiktiraf kredibiliti Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif apabila beliau ‘disunting’ badan dunia berkenaan.
“Tahun 2018, saya diberi mandat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat selaku wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut yang merupakan ahli Kumpulan Pengurusan Kanan Setiausaha Agung berperanan sebagai role model dalam menegakkan nilai-nilai PBB seperti keterangkuman, intergriti, rendah hati dan kemanusiaan.
Saya dipilih untuk penggal kedua yang berakhir pada Januari 2024. Saya juga memegang jawatan pemangku Ketua Pengarah PBB di Nairobi, Kenya sebelum kembali ke Malaysia pada Februari 2024.
Pengalaman sebagai Ketua Pengarah PBB, Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan mengetuai PBT di Pulau Pinang dan Seberang Perai serta pengalaman hidup yang serba kekurangan membentuk pemikiran dan jati diri dalam diri saya supaya menjadi seorang yang cekal, kental dan positif dalam hidup,” tegasnya yang menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat selama enam tahun.
DATUK BANDAR KUALA LUMPUR
Hasrat Dato’ Seri Dr Maimunah untuk bersara selepas tamat perkhidmatan di Nairobi tidak berjalan seperti yang dirancang. Demi berbakti kepada tanah air dan kesejahteraan masyarakat khususnya di ibu negara, beliau akhirnya bersetuju menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024.
“Pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan hanya satu penghormatan. Malah tanggungjawab dan amanah yang amat besar untuk menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebenarnya menjadi Datuk Bandar bukanlah kerjaya impian saya sejak dulu. Namun saya sentiasa mempunyai keinginan untuk berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negara khususnya di bandar-bandar utama.
Ekspektasi yang tinggi daripada warga kota Kuala Lumpur dengan populasi berjumlah 1.9 juta orang dari pelbagai latar belakang demografik merupakan cabaran untuk saya. Sebagai penjawat awam, kita harus berkhidmat secara profesional tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik.”
Bagi menjayakan usaha itu, Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif melaksanakan pentadbiran CATEE iaitu Competent, Accountable, Transparent, Effective dan Efficient Governance. Ujarnya, beliau percaya dengan tenaga kerja DBKL seramai 4,000 orang beliau yakin dapat melakukan yang terbaik.
“Dari perspektif perbandaran, saya memastikan DBKL secara konsisten membina bandar yang berdaya tahan, berdaya saing, berdaya huni dan disayangi. Saya turut melancarkan Program Flagship DBKL yang terdiri daripada lima teras dan 15 projek. Lima teras tersebut ialah Pembangunan terancang, keterangkuman masyarakat, bandaraya hijau dan mampan, komunikasi dan tadbir urus.
Saya pernah menjadi YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang kemudian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Seterusnya berpeluang menjadi ‘Datuk Bandar’ di peringkat global sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar di ibu kota Malaysia. Perjalanan ini meyakinkan saya bahawa ‘Once Mayor always a Mayor.”
Pastinya kejayaan yang ditempa Dato’ Seri Dr Maimunah hari ini memerlukan banyak pengorbanan. Tanpa semangat dan sistem sokongan yang baik di sisi, tidak mungkin beliau mampu berada di tahap sekarang.
“Pengorbanan terbesar saya untuk sampai ke tahap sekarang sebenarnya melibatkan masa dan komitmen terhadap keluarga serta kesihatan diri. Sepanjang perjalanan ini banyak masa telah dikorbankan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Kadangkala, masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga terpaksa diketepikan demi memastikan kesejahteraan warga awam tidak terjejas.
Keluarga adalah tonggak utama kejayaan yang saya kecapi pada hari ini. Suami dan anak-anak memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Paling penting, restu daripada suami saya. Beliau sentiasa ada dengan saya. Beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap saya untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga saya. Tanpa sokongan jitu mereka, saya tidak mungkin berada sehingga tahap ini,” luahnya penuh syukur.
Selaku penerima Nona Superwoman Award 2024, Dato’ Seri Dr Maimunah memanfaatkan peluang ini untuk menyebarkan aura positif dan kata-kata semangat buat seluruh wanita Malaysia agar tabah mendepani apa jua cabaran.
“Sebagai wanita, kita hendaklah berusaha sehabis baik, mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Tiada yang mustahil dalam hidup ini. Yakin dan bangga dengan keupayaan diri sendiri. InsyaAllah, kita pasti boleh melakukannya.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam sejarah Islam, nama Rufaida Al-Aslamiyah berdiri sebagai simbol kekuatan, ilmu dan kasih sayang yang jarang ditonjolkan. Beliau bukan sekadar wanita biasa, tetapi seorang tokoh yang membentuk asas awal dunia perubatan dalam tamadun Islam, jauh sebelum sistem kesihatan moden wujud seperti hari ini.
Rufaida Al-Aslamiyah berasal daripada kabilah Bani Aslam di Madinah dan hidup pada zaman Rasulullah SAW. Sejak kecil, beliau dibesarkan dalam persekitaran yang dekat dengan dunia perubatan. Ayahnya merupakan seorang tabib yang dihormati dan daripada situlah Rufaida mempelajari ilmu merawat, memahami penyakit serta teknik penjagaan pesakit.
Dalam konteks masyarakat Arab ketika itu, peluang wanita untuk mendalami ilmu secara serius sangat terhad. Namun, Rufaida muncul sebagai antara wanita terawal yang memiliki kemahiran perubatan yang tersusun dan terlatih. Keupayaan ini menjadikan beliau figura penting dalam perkembangan awal bidang kesihatan dalam Islam.
Keistimewaan Rufaida tidak terhenti pada ilmu yang dimiliki, tetapi bagaimana beliau mengaplikasikannya. Ketika peperangan berlaku, beliau tidak berada di belakang tabir. Sebaliknya, Rufaida turun ke medan, merawat tentera yang cedera dan memberikan sokongan kepada mereka yang berjuang.
Dalam peperangan seperti Uhud dan Khandaq, beliau mengetuai sekumpulan wanita yang berfungsi sebagai pasukan perubatan. Mereka merawat luka, membersihkan kecederaan dan membantu menstabilkan keadaan pesakit dalam situasi yang serba genting. Peranan ini menjadikan Rufaida Al-Aslamiyah antara pelopor kepada konsep kejururawatan lapangan.
Apa yang dilakukan beliau sebenarnya menyerupai sistem perubatan kecemasan moden, di mana rawatan diberikan segera di lokasi kejadian sebelum pesakit dipindahkan ke tempat yang lebih selamat. Ini satu pendekatan yang sangat maju untuk zamannya.
Salah satu sumbangan penting Rufaida ialah penubuhan khemah rawatan berhampiran Masjid Nabawi. Khemah ini berfungsi sebagai pusat perubatan sementara, yang boleh dianggap sebagai hospital lapangan terawal dalam sejarah Islam.
Di sinilah pesakit dirawat secara lebih tersusun dan berterusan. Rasulullah SAW sendiri memberikan kepercayaan kepada Rufaida untuk mengurus pesakit tertentu, termasuk sahabat yang cedera parah seperti Saad bin Muaz. Kepercayaan ini mencerminkan tahap kepakaran dan integriti beliau yang tinggi.
Selain merawat, Rufaida juga memainkan peranan sebagai pendidik. Beliau melatih wanita lain untuk membantu dalam kerja-kerja perubatan dan penjagaan pesakit. Ini menjadikan beliau bukan sahaja seorang pengamal, tetapi juga pembina sistem kesihatan awal.
Usaha ini secara tidak langsung membuka ruang kepada penglibatan wanita dalam bidang kesihatan, sesuatu yang sangat progresif pada ketika itu. Pendekatan ini membuktikan bahawa pembangunan masyarakat tidak hanya bergantung kepada individu, tetapi kepada sistem yang dibina secara berterusan.
Pendekatan Rufaida terhadap rawatan menunjukkan pemahaman yang mendalam tentang manusia. Beliau tidak hanya memberi tumpuan kepada kecederaan fizikal, tetapi juga mengambil kira keadaan emosi pesakit.
Dalam suasana peperangan yang penuh tekanan, kehadiran seseorang yang memberi ketenangan dan harapan menjadi sebahagian daripada proses penyembuhan. Pendekatan ini selari dengan konsep rawatan holistik yang hanya mendapat pengiktirafan meluas dalam dunia moden.
Dari sudut keperibadian, Rufaida dikenali sebagai seorang yang penyayang dan dermawan. Beliau tidak membezakan pesakit berdasarkan status atau latar belakang. Golongan miskin dan mereka yang tidak mampu tetap menerima rawatan yang sama.
Dalam banyak keadaan, beliau menggunakan sumber sendiri untuk memastikan pesakit mendapat bantuan yang diperlukan. Nilai kemanusiaan ini menjadikan Rufaida Al-Aslamiyah bukan sahaja tokoh perubatan, tetapi juga ikon kasih sayang dalam sejarah Islam.
Biografi Rufaida Al-Aslamiyah bukan sekadar catatan sejarah, tetapi gambaran jelas tentang bagaimana seorang wanita mampu memimpin, membina dan memberi impak besar kepada masyarakat. Tanpa kemudahan moden dan tanpa sistem sokongan yang luas, beliau berjaya meletakkan asas kepada bidang kejururawatan dan perubatan komuniti.
Kisah ini akhirnya mengajak kita melihat semula potensi yang sering dipandang ringan. Rufaida tidak menunggu peluang, tetapi mencipta ruang untuk berkhidmat. Dalam dunia yang serba lengkap hari ini, warisan beliau sepatutnya menjadi dorongan untuk melangkah lebih jauh, bukan sekadar mengagumi, tetapi meneladani
Sebagai rakyat jelata kita pasti akan tertanya-tanya apakah menu santapan harian Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Pada kita, pasti akan membayangkan baginda berdua sering bersantap di hotel mewah dan menikmati hidangan ‘bandar’ mahupun western sahaja setiap hari.
Tukang masak Istana Abdulaziz, Hasnah Koming yang kini berusia lewat 60an pernah mendedahkan kepada Bernama, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebenarnya peminat masakan Melayu dan gemar bersantap masakan yang disediakan di istana.
Hasnah juga mengakui Seri Paduka berdua tidak cerewet dalam memilih juadah santapan harian. Antara lauk yang biasa dihidangkan ialah Opor Pahang. Opor, sama ada menggunakan bahan utama ayam, daging atau burung adalah juadah kegemaran Sultan Abdullah selain ikan patin masak tempoyak, kari ikan dan ikan masak taucu.
“Tunku Azizah pula gemar bersantap masak kicap, asam pedas atau stew daging. Untuk sayur, kegemaran baginda berdua adalah petola tumis air, sayur campur goreng, sawi masak sos tiram dan kobis masak lemak.
“Ramai yang sukar percaya bila saya katakan juadah kegemaran Tuanku adalah lauk-pauk ringkas. Mereka beranggapan menu di Istana Abdulaziz istimewa setiap hari,” katanya.
Hasnah secara berseloroh mengakui beliau tidak pandai memasak juadah yang rumit kerana kemahiran yang ada padanya diperoleh secara ‘tidak rasmi’ selepas diterima masuk bekerja pada 1980 di Istana Abu Bakar, Pekan sebagai pembantu dapur.
Dari situ, Hasnah mula mempelajari selok-belok memasak daripada tukang masak sebelumnya, dan kini ‘tradisi’ itu diturunkan pula kepada pembantu dapur yang lebih muda.
SERASI DENGAN SELERA SERI PADUKA
Kerana sudah terlalu lama memasak, Hasnah yang digelar ‘Mak’ dalam kalangan kakitangan istana yang bersara pada 2015 dititahkan untuk kembali bekerja kerana air tangannya sudah serasi dengan selera Seri Paduka.
“Jika memasak untuk Sultan Abdullah, kepedasannya di tahap sederhana berbanding Tunku Azizah yang memang kuat (makan) pedas. Jadi, kita kena tahu bagaimana untuk menyeimbangkan rasa pedas supaya Tuanku berdua boleh bersantap hidangan yang sama,” katanya.
Hasnah yang mengakui kehebatan Tunku Azizah di dapur berkata baginda juga tidak pernah murka jika masakan hari itu ‘tidak menjadi’, sebaliknya akan menegur dengan lembut supaya kesilapan tersebut tidak berulang.
Tunku Azizah juga, menurut Hasnah, banyak menurunkan ilmu mengenai masakan Johor kepadanya selain tangkas di dapur termasuk semasa menyediakan hidangan dalam kuantiti yang besar untuk majlis di Istana.
Katanya, Sultan Abdullah amat menggemari ‘juadah rumah’ sehingga Seri Paduka lazimnya akan bersantap sebelum berangkat ke sesuatu majlis atau jika kesuntukan waktu, akan menjamah hidangan selepas pulang ke istana.
“Baginda juga tidak suka membazir. Jika pada sebelah malam saya memasak kari, kuahnya akan dipanaskan pada keesokan hari untuk Tuanku bersantap dengan roti canai atau capati,” katanya.
Menurut Hasnah, dapur istana mula beroperasi bagi santapan tengah hari kerana sarapan baginda sama ada nasi lemak, roti canai atau capati dibeli manakala kuih seperti karipap, jemput-jemput pisang dan kuih talam dijadikan pilihan minum petang.
BAWA BEKAL KE LUAR NEGARA
Berkongsi cerita, Hasnah berkata Sultan Abdullah lazimnya akan membawa ‘bekal’ jika ke luar negara terdiri daripada sambal bilis kacang dan rendang dendeng manakala Tunku Azizah gemar membawa acar buah.
Hasnah berkata sambal belacan resepi Tunku Azizah sering dijadikan buah tangan kepada rakan terdekat dan pembesar sama ada di dalam atau luar negara.
“Mereka yang sudah tahu mengenai sambal belacan ini pasti akan mencarinya jika datang ke Istana Abdulaziz. Biasanya kami pastikan stoknya setiasa ada di peti ais, di simpan dalam balang-balang kecil.
“Di sini, kami gelarkan sambal belacan itu sebagai sambal belacan dunia kerana telah berjalan ke pelbagai tempat. Malah ada masanya rakan-rakan Tunku Azizah akan bertanya jika stok mereka habis,” katanya.
Sumber: Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!