Dalam mencari sebuah keredaan dari yang Maha Esa, hubungan erat antara suami isteri menjadi salah satu panji kekuatan. Saling menyokong antara satu sama lain serta sentiasa mencari yang terbaik di dalam diri pasangan menjadi azimat yang disemat di dalam hati pasangan dua sejoli ini.

Dikurniakan tiga cahaya mata yang comel mereka memiliki strategi bagus dalam membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya lantas membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

IKLAN

Cantik dan moden kala berada di kediaman Erny dan Rafiq. Menurut Erny, dia dan suaminya cukup suka dengan gaya ringkas scandinavian dan rekaan perabot yang minimal agar rumah nampak luas apatah lagi ia menyediakan ruang yang cukup untuk anak-anak kecil berlari-lari.

Kreatif dalam menghias rumah ini mungkin hadir dari dalam diri kedua-dua mereka yang juga bekerja dalam industri yang menjana kreativiti, untuk pengetahuan anda pasangan suami isteri ini merupakan pengasas bersama jenama Pieces By Raeesa. Selain daripada itu Rafiq juga memiliki sebuah syarikat yang diberi nama Hitech Innovations yang terlibat dalam bidang produksi televisyen dan pengiklanan.

Saling Percaya, Kunci Bahagia Dan Berjaya Erny Yusmiarty & Rafiq Rahim

Saling Percaya, Kunci Bahagia Dan Berjaya Erny Yusmiarty & Rafiq Rahim

Mengenali Erny, dirinya sangat ramah dan mudah mesra. Dia memiliki satu prinsip apabila menerima tetamu di rumahnya. Ini merupakan satu amalan gaya hidup positif yang cuba diterapkan.

“Saya suka menyambut tetamu di rumah kami, kalau sesiapa sahaja yang bertandang pasti akan dijamu dengan makanan sampai mereka kenyang. Saya susah hati sebenarnya kalau orang datang ke rumah dan pulang dengan perut kosong.

Bagi saya kedatangan tetamu di rumah adalah satu petanda membawa rezeki kepada diri. Lagipun bukankah agama kita menganjurkan untuk berbuat baik kepada tetamu,” selorohnya sambil menghidangkan pelbagai jenis makanan.

Erny anggun menggayakan busana dari jenamanya sendiri Pieces by Raeesa yang memfokuskan kepada helaian-helaian daripada fabrik batik. Sebelum memulakan perniagaan fesyen, wanita berusia 35 tahun ini mula menjual helaian-helaian kain batik ela secara sambilan sahaja memandangkan ketika itu dia masih lagi bekerja dalam sektor korporat. Namun dari permulaan kecil inilah yang membawa bisnes ini laju ke hadapan.

Saling Percaya, Kunci Bahagia Dan Berjaya Erny Yusmiarty & Rafiq Rahim

Saling Percaya, Kunci Bahagia Dan Berjaya Erny Yusmiarty & Rafiq Rahim

Menurutnya, “Dari menjual secara kecil-kecilan ketika zaman bujang lagi sehinggalah saya berkahwin pada tahun 2009 dan akhirnya dengan sokongan kuat dari suami pada tahun 2012 saya bertekad untuk mengembangkan lagi bisnes ini secara lebih serius. Nama Raeesa didedikasikan sempena nama anak kedua yang merupakan anak perempuan tunggal kami.

Dari permulaan kecil ini saya mula melakar sendiri corak-corak batik dan menjualnya secara kecil-kecilan dan sehingga kini ia berkembang dan jenama ini sudah memiliki ruang pameran sendiri yang terletak di Vista Alam, Shah Alam.

Corak-corak batik yang dihasilkan adalah sangat eksklusif kerana tiada helaian yang serupa jadi ini merupakan satu kelebihan kepada para pelanggan untuk merasakan pengalaman membeli belah fesyen eksklusif tanpa perlu risau akan ada baju yang sama disarung orang lain.”

IKLAN

Apakah stail, estetik dan juga DNA jenama Pieces by Raeesa? “Sejujurnya apabila saya mula-mula serius dalam bidang ini matlamat utama adalah untuk menjadikan fabrik batik lebih mudah diterima, moden dan sesuai digayakan oleh semua wanita dari pelbagai lapisan umur.

Bahkan saya mahu batik diterima golongan muda dan menjadikannya sebagai pakaian harian yang menarik serta tidak tersekat untuk majlis-majlis rasmi sahaja. Bagi saya kalau bercakap soal nilai estetik jenama ini, ia terletak kepada proses penghasilan setiap busana.

Menghasilkan sehelai kain batik memerlukan kreativiti yang tinggi serta ketelitian agar setiap cantingan nampak cantik dan mahal, tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa helain batik merupakan sebuah seni dan proses untuk membuatnya cukup rumit. Jadi setiap rekaan dari Pieces by Raeesa adalah sebuah karya seni.

Saling Percaya, Kunci Bahagia Dan Berjaya Erny Yusmiarty & Rafiq Rahim
DIS 21 2017 NONA FIEZREEN LIFESTYLE PERSONALITI ERNY & RAFIQ

DNA keseluruhan jenama ini pula boleh dilihat dari segi potongan siluet yang moden dan tidak keterlaluan serta diserikan bersama kombinasi warna-warna menarik.”

Bekerja bersama-sama dengan suami, bukan semua orang mampu melakukannya. Bahkan ada yang lebih suka mengasingkan hal kerja dari hubungan suami isteri. Namun tidak bagi pasangan ini, mereka merasakan bekerja bersama dalam membangunkan sebuah jenama lebih memberi nilai positif berbanding negatif.

Menurut Rafiq sambil diperhatikan isterinya, “Asam garam kehidupan sebagai suami isteri, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula kami. Erny merupakan seorang yang tegas dan dia tahu apa yang dia mahukan di dalam hala tuju perniagaan kerana dalam apa jua keputusan yang kami ambil ia adalah satu perniagaan yang diwujudkan untuk keluarga kami. Boleh saya katakan yang perniagaan ini banyak diuruskan oleh isteri saya ini namun dia akan selalu bertanyakan pendapat sebelum membuat keputusan.”

IKLAN

Jadi adakah anda bersetuju bahawa perniagaan yang melibatkan suami isteri lebih mendamaikan dan menguntungkan? “Betul! Bagi kami ia satu bonus kerana kami memang kenal antara satu sama lain. Yang penting untuk bekerja sebagai suami isteri adalah kita faham apakah objektif perniagaan tersebut dan seiring dengan itu kepercayaan, kasih sayang serta pengorbanan menjadi rencah yang serasi dengan apa yang dilakukan.

Sebagai contoh, kadangkala kami perlu ke luar negara untuk membeli produk-produk berkaitan perniagaan. Status sebagai suami isteri ini sebenarnya memudahkan lagi kerja memandangkan kami boleh berkongsi bilik sekaligus ia mengurangkan kos.

Kalau bertikam lidah sekalipun kami tidak akan memanjangkan perkara tersebut dan suka menyelesaikan masalah secepat mungkin. Ini adalah perkara penting dalam apa sahaja perniagaan yang diceburi, masalah tidak harus dipendam dan disimpan kerana ia akan menjadi nanah yang akan menjejaskan perniagaan yang dibina. Paling penting satu kunci menjaga hubungan adalah jangan pernah menceritakan hal dalam kelambu kepada orang luar. Apa sahaja masalah yang terjadi biarlah antara diri masing-masing,” tegas mereka berdua tentang persoalan yang diajukan.

Setiap manusia pasti memiliki satu gol untuk dicapai dalam kehidupan tidak kiralah bagi yang bekerja sendiri atau mendaki tangga dunia korporat. Bagi Erny pula, matlamatnya untuk lima tahun akan datang menjadi lambang besar harapan agar jenamanya berkembang ke serata dunia.

“Semestinya saya mahu memperluaskan perniagaan ini sehingga ke peringkat antarabangsa. Kalau boleh saya mahu perniagaan fesyen batik ini boleh berdiri setanding dengan jenama-jenama antarabangsa yang lain. Bagi saya elemen batik ini harus dibawa keluar dengan lebih gah agar ia boleh diterokai dan dihargai oleh orang asing, rugi kalau khazanah seni negara ini tidak diketengahkan. Kalau boleh kami ingin menjadi jenama batik yang moden dan kontemporari nombor satu di Malaysia, InsyaAllah” jawab ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Sebelum bermula meneroka dunia, pastinya langkah demi langkah perlu diambil supaya persediaan yang lengkap serta ilmu untuk lebih berjaya tersemat di dada. Hari ini jenama Pieces by Raeesa dijual ke berapa negara?

“Sekarang kami sudah memiliki rakan perniagaan dari negara Qatar dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Untuk pasaran di sana saya menghasilkan koleksi yang diberi nama Aludra by Raeesa. Rekaan koleksi ini disesuaikan mengikut gaya dan juga budaya pemakaian negara tersebut. Antara rekaan yang saya terapkan seperti siluet abaya dan juga jalabeya. Selain Qatar kami juga memiliki rakan perniagaan di negara Brunei darussalam dan juga Singapura.”

Selain jenama Pieces by Raeesa dan Aludra by Raeesa, mereka turut menawarkan rekaan siap pakai yang diberi nama Raeesa RTW yang mana rekaan ini menampilkan busana harian pada harga mampu miliki, untuk rekaan koleksi ini mereka hanya menggunakan fabrik linen untuk keselesaan. Tidak dilupakan juga persalinan untuk kanak-kanak yang bernaung dibawah label RNCO Design.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI