Bermula santai dan kelakar, telatah Izara Aishah serta Tya Arifin sebagai adik-beradik dalam drama pendek ‘Bagaikan Raya’ memang membuat penonton tak kering gusi. Lebih-lebih lagi berlakon sebagai Orang Utara! Pun begitu, jalan cerita semakin lama semakin menyedihkan. Emosi mula dibuai air mata.
Gandingan dua menantu Dato’ Sri Siti Nurhaliza dalam drama pendek sempena kempen Aidilfitri Mutyara ini sememangnya tidak dijangka.
Jika selama ini sering melihat Izara Aishah dan Tya Arifin bersama sebagai satu keluarga, kali ini dua pelakon jelita itu ditemukan dalam satu produksi.
Tya dan Izara
Lakonan hebat Tya dan Izara layak dipuji
Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin merupakan pengasas Jamu Mutyara bersama suami, Asyraf Khalid serta pernah diiktiraf sebagai penyandang Nona Most Promising Entrepreneur Award di majlis Nona Superwoman Award 2020.
Ads
Berusia 27 tahun, Tya yang berasal dari Palembang, Indonesia juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata iaitu Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa. Beliau sebelum ini pernah menempa nama sebagai pelakon dan penyanyi di Indonesia, malah sinetron Preman Pensiun antara yang paling melonjakkan nama Tya di sana.
Sementara itu, Izara atau nama penuhnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin pula merupakan seorang artis terkenal berusia 29 tahun. Isteri kepada Adib Khalid dan ibu kepada seorang puteri ini memulakan kerjaya awalnya selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010.
Ads
“Kami dah biasa makan dan menghadiri acara bersama-sama. Bagi saya, Izara seorang pelakon yang hebat dan sangat senang bekerja dengannya.” Tya Arifin
Paling kelakar bila tengok Tya bawa watak Orang Utara, walaupun kedengaran agak kurang fasih tapi mampu dilindungi dari segi lakonannya yang mantap.
Ads
Memetik temu bual Majalah Nona bersama Tya tentang ibu-ibu mertua, rupanya banyak yang dapat dipelajari daripada karakter Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan YM Tengku Datin Sri Zawyah, umpamanya cara menjadi seorang ibu serta isteri yang baik.
“Saya ada tiga orang ibu (termasuk ibu sendiri) yang menjadi role model saya. Daripada mereka, saya belajar tentang erti kesabaran, kelembutan dan keikhlasan tanpa rasa iri hati.
Sifat Mama (YM Tengku Datin Sri Zawyah) contohnya, beliau selalu ada untuk anak-anak dan tak pernah bercakap ‘tidak’ demi kejayaan kami semua, tahu apa kesukaan setiap anak dan always over-deliver untuk gembirakan orang tersayang.
Manakala Mak Iti pula, saya belajar erti sabar, never give up dan sentiasa membalas perkara buruk dengan kebaikan. Itulah pelajaran berharga yang saya dapat daripada ibu-ibu saya.”
Drama pendek ‘Bagaikan Raya’ ini diinspirasikan daripada kisah duka pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan kehilangan orang tersayang. Ia boleh ditonton menerusi saluran YouTube.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berstatus ibu tunggal tak bermakna kehidupan seorang wanita itu akan gagal selamanya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui kerana setiap ujian yang diturunkan sebagai tanda sayang terhadap hamba-hamba Nya. Pasti ada hikmah yang tersirat.
Kagum dengan wanita berani dan berinspirasi ini, Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah. Biarpun berstatus ibu tunggal namun wanita berusia 49 tahun yang mesra disapa sebagai Tengku Adena ini bukanlah seorang yang mudah merintih dengan setiap ujian yang menimpa. Selain tenang dan matang, Tengku Adena juga seorang yang sangat positif.
Sejak bergelar ibu tunggal kira-kira empat tahun lalu, Tengku Adena cekal meneruskan kehidupan bersama anak perempuannya yang berusia 20-an. Selayaknya, Tengku Adena digelar superwoman kerana berjaya mengatur kehidupannya dengan baik walau tanpa seorang lelaki bergelar suami.
Tengku Adena kini komited melebarkan empayar niaganya, Royal Adena dan Royal Rendang ke tahap tertinggi. Selain itu, Tengku Adena turut memiliki kilang menjahit tempahan baju korporat serta mengeluarkan produk Royal Cardigan secara ekslusif.
PERNAH MUFLIS
“Kisah yang dikongsikan ini adalah sebagai pengajaran buat diri sendiri dan wanita-wanita di luar sana yang mempunyai nasib yang sama. Sebelum ini, ketika berlaku pergolakan rumahtangga saya sentiasa sibukkan diri kerana tak mahu fikirkan masalah. Saya mula mencari sesuatu sebagai persediaan kerana sudah dapat rasa perkahwinan kami tak dapat diselamatkan lagi. Saya juga banyak membaca tentang kisah-kisah ibu tunggal.
Sehinggalah sampai satu tahap akhirnya saya surrender kerana dah tak sanggup lagi nak tanggung semua masalahnya. Saya juga pernah jatuh muflis kerana dia. Semua wang saya dalam akaun bank dibekukan. Waktu itu saya sangat terkejut dan rasa down.
Nama saya disalahguna sebagai penjamin dan sayalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Itulah titik tolak kepada keputusan nekad saya untuk berpisah. Alhamdulillah saya dapat banyak sokongan daripada keluarga, adik beradik dan teman-teman rapat. Kami berpisah secara baik.
MUHASABAH DIRI
“Selepas apa yang berlaku saya banyak muhasabah diri. Saya betulkan semula hubungan dengan Allah SWT. Saya kerap mengadu dan menangis di sejadah, yakin Dia Maha Mendengar. Saya yakin Dia bagi dugaan ini kerana ada sebab. Selain banyakkan solat sunat, saya banyakkan sedekah setiap hari. Ia umpama back up untuk mendapatkan ketenangan hidup.
Alhamdulillah kini saya pun dah boleh move on. Sekarang saya nak kekalkan momentum bisnes dan kehidupan. Saya berusaha dan tawakal kepada Allah SWT. Sejak menjadi ibu tunggal saya lebih faham masalah-masalah golongan ini. Saya banyak mendengar tazkirah, belajar tentang kerohanian.
Bagi saya kena belajar redha baru hati tenang. Sangka baik, Allah SWT akan bagi yang baik-baik,” kongsi Ketua Pengarah Skuad Kasih dan Presiden Srikandi ini. Tengku Adena merupakan penerima Anugerah Ikon Usahawanita Selangor dari Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia.
HARAPAN
“Anak juga ada menunjukkan minat terhadap bisnes. Dialah yang menjaga bisnes Royal Rendang bahagian pemasaran, sosial media, menjaga outlet dan sebagainya. Alhamdulillah saya dikurniakan staf yang bagus walaupun semuanya perempuan.
Saya harap Royal Adena semakin berkembang. Sekarang belum masanya untuk bersenang lenang kerana saya mahu berusaha gigih untuk membawa jenama ini ke tahap lebih tinggi.
Tip sukses saya, jangan berhenti bersedekah. Saya didik diri sendiri, setiap hari sebelum tiba ke pejabat saya akan singgah surau atau masjid berhampiran untuk bersedekah. Bermula dengan nilai yang kecil, kemudian naikkan sedikit demi sedikit. Yang penting ikhlas.
Antara hikmah yang saya belajar atas apa yang berlaku ialah yakin dengan aturan Allah SWT, redha dan tenang,” akhiri Tengku Adena yang kini aktif sebagai motivator.
Kredit Foto: Instagram Tengku Adena & Puteri Nadzirah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terinspirasi dengar kisah hidup wanita cekal bernama Ras Adiba Radzi ini. Secara luaran, ramai melihat kehidupan yang dilaluinya cukup mudah. Namun, di sebalik kesenangan hari ini… banyak ranjau berliku telah ditempuhi penyampai berita ini tanpa pengetahuan masyarakat. Enggan ‘terperangkap’ dengan rasa malu atas kekurangan diri, Ras bangkit dengan semangat baru!
Detik hitam yang menimpa diri Ras sekitar 17 tahun lalu benar-benar menyentap semangat dan keyakinan dirinya. Mengakui kelu dan kaku menerima ketentuan takdir saat itu, langit cerah yang menerangi hidup Ras selama ini bertukar mendung sekelip mata. Baru ‘semalam’ dia berjalan lincah seperti insan normal lain tapi ‘hari ini’ dia terpaksa menggalas status Orang Kurang Upaya (OKU). Sekian lama bertarung dengan emosi dan diri sendiri, Ras akhirnya temui erti hidup yang lebih luas.
“Kita diberikan peluang untuk hidup dalam apa jua keadaan yang dilalui. Kena percaya semuanya telah tertulis. Kalau jatuh, susah… bangkit balik. Kita kena bertanggungjawab. Orang yang kita sayang kadang-kadang akan tinggalkan kita. Tak mengapa. Tapi Tuhan tak pernah tinggalkan kita. Ramai lagi orang yang susah. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jangan benarkan masalah menjadikan hidup kita tak keruan. Biar kita menangis sebentar dan kemudian kita dapat berjalan terus.
Segalanya bermula pada tahun 1995 saya balik dari buat liputan di Stadium Shah Alam. Kereta depan brek dan kereta belakang langgar saya. Saya tercampak keluar dari motokar. Masa tu injury saya di leher saja. Masih boleh berjalan tapi kesakitan. Saya terpaksa makan ubat pain killer yang banyak. 2001, saya dipukul depan rumah mak saya sebab orang nak curi motokar. Masa dipukul, titanium di leher patah. Jadi injury lama turun ke bahagian dada. Masih makan pain killer dan waktu itu masih boleh berjalan.
2002 saya ambil barang dari almari yang tinggi. Saya jatuh dekat T10 iaitu bahagian pinggang. Ia patah dan putuskan urat saraf. Saya tak boleh merasa dan bergerak. Membuatkan saya separuh lumpuh. Setakat ini tiada lagi rawatan yang boleh menyembuhkan keadaan saya tapi manalah tahu ada yang diperbaiki oleh-Nya. Kita kena selalu bersangka baik kepada Tuhan sebab di sebalik kejadian ini pasti ada hikmah.”
Saat diajukan persoalan tentang penerimaan dirinya apabila diuji sedemikian rupa, ini pengakuan jujur Ras. “Masa tu saya tak boleh berfikir. Diri saya macam frozen. Saya menangis, tak boleh fikir, tak keruan, jadi gila. Satu setengah tahun saya cakap dengan diri sendiri, cakap dengan siling, dinding.. tak ada orang cakap dengan saya. Tak ada orang datang jumpa saya. Kawan yang saya anggap kawan, semua hilang.”
Sesi sharing bersama Ras Adiba Radzi bersama Ideaktiv di MISFIT2018, PWTC. #majalahnona#nonasuperwoman#inspirasinona
Ditanya pernahkah terbit rasa kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku, personaliti ini pantas menyusun bicara. “Saya tak kesal atau kecewa. Tapi saya bersyukur. Satu setengah tahun saya susah. 6 tahun saya tak bekerja, stesen saya bekerja dulu tak bagi saya bekerja. 6 tahun saya makan nasi dengan garam dan air paip. Saya susah sangat.
Sepanjang tempoh itu juga saya pernah berdoa agar Allah membawa saya pulang sebab saya tak tahu hidup sebagai OKU. Saya dah terbiasa panjat sana sini dan aktif. Tapi hari ini, saya bersyukur sebab kalau saya bukan OKU, saya tak akan dapat apa yang saya miliki sekarang. Bagi saya, kekurangan saya adalah keupayaan saya. Alhamdulillah.
Beza sekarang dan dulu adalah saya cuma tak boleh berjalan. Tapi saya tetap buat benda lain sama macam orang lain juga. Saya membersihkan rumah, mop lantai, gosok dan basuh baju, bawa kereta. Tak ada masalah. Tak ada excuse pun. Saya selalu beritahu diri agar menjaga diri sendiri. Tak akan ada orang menjaga kita selain Tuhan,” terang Ras yang menginjak usia 51 tahun.
Biarpun pergerakan sedikit terbatas, namun semua itu bukan halangan untuk tidak melakukan aktiviti kegemaran. “Saya berenang guna tangan dari pukul 4 hingga 6 pagi selama dua jam atau pukul 8 hingga 10 malam. Sebelum menembak, saya marathon jarak jauh tolak kerusi roda sejauh 490 km dalam seminggu. Kita tak tahu keupayaan dan kekuatan sehinggalah dalam keadaan seperti ini dan tak ada pilihan, kita kena bangkit. Wanita sememangnya ada kekuatan luar biasa yang tak disangka.
Saya kena berkerja keras dan latih diri sendiri bahawa saya tak boleh harapkan orang lain. Kalau nak sesuatu, kita kena buat dan dapatkan. Perkataan mustahil itu tak akan wujud.. melainkan bagi orang yang malas. Sekarang saya lebih bersyukur dan belajar. Saya pinjam semangat kawan-kawan OKU yang lain. Sebenarnya sekarang ini saya lebih happy dari dulu. Kita reda tapi ikhtiar.
Saya mahu wanita mempercayai keupayaan diri dan percayalah perkataan mustahil tak ada. Anda boleh lakukan apa saja asalkan kuat semangat dan kerja keras. Hanya kita saja.. kaum wanita yang boleh menggoncangkan dunia,” jelasnya mengakhiri bicara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sheila Dewi Mohd Kamal atau Sheila ternyata seorang wanita yang cekal. Di saat perniagaannya sedang berkembang maju, Sheila diuji dengan hilang punca pendapatan apabila pengeluaran produk yang terdahulu terpaksa dihentikan serta merta. Ujian seterusnya ialah Sheila pernah mengalami keguguran sehingga berlakunya tumpah darah kerana terlalu aktif dalam urusan perniagaan.
Pun begitu, ibu kepada 3 anak lelaki ini tidak pernah mengalah mahupun serik untuk terus berniaga. Sebaliknya, Sheila kembali bangkit demi minatnya yang mendalam terhadap bidang perniagaan. Graduan Ijazah Sarjana Muda (Pemasaran Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah ini bijak dan pantas mencari peluang perniagaan baru. Sheila kini bergelar Leader dan Master Stokis di Midi Rich Enterprise yang menjual produk-produk kesihatan serta ruang menjadi leader untuk team. Menurut Sheila, produk-produk kesihatan yang dijual mempunyai permintaan yang tinggi dan mudah untuk close sales.
“Semasa saya kecil, arwah Mak pernah berniaga satay Kami sekeluarga membantu Mak berniaga depan rumah. Abah pula bekas askar dan sampai sekarang masih berniaga air batu. Kakak sulung saya bekerja sebagai akauntan manakala kakak yang ke-2 ada bisnes servis mengurut selepas bersalin. Adik lelaki pula seorang askar komando.
Sebelum terlibat dalam bisnes, saya pernah bekerja sebagai seorang guru di sekolah kerajaan dan sekolah swasta. Kedua-duanya di Negeri Sembilan. Saya mengajar subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan PJK untuk Tingkatan 1, 2 dan 3. Selepas berkawin saya mengandung dan terus berhenti kerja kerana hendak menjaga anak. Bagi saya ianya amanah Allah SWT yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
MULA BERBISNES
Suami adalah pendorong dan tulang belakang buat saya. Idea berbisnes ni dari suami sendiri. Disebabkan tak nak saya rasa bosan duduk di rumah seleaps berhenti kerja, suami cadangkan saya buat bisnes. Saya terus setuju dan mula belajar buat online business. Suami akan ambil alih tugas menjaga anak-anak semasa saya keluar berjumpa team, coaching, meeting, ke HQ dan buat kelas online.
Adakalanya suami dan anak-anak akan ikut tetapi selalunya mereka akan tunggu dalam kereta saja atau suami akan bawa anak-anak jalan-jalan di sekitar kawasan saya coaching team. Selain itu, suami turut membantu saya mengepos produk kepada customer, bantu saya buat bisnes, bungkuskan produk dan berikan kata-kata semangat untuk saya terus berjaya. Keluarga juga banyak support saya dalam bisnes.
Saya memilih bidang perniagaan kerana niat membantu orang ramai untuk kembali sihat di samping tambah pendapatan 3-4 angka sehari. Oleh kerana saya suka mengajar, bila buat bisnes ini saya berpeluang memberi tunjuk ajar kepada team. Bila mereka dapat buat sales dan jana pendapatan ekstra saya akan lebih bersemangat hendak membantu mereka.
Sebagai leader dan master stokis saya bertanggungjawab memberi tunjuk ajar apa yang team perlu buat. Sebelum PKP dulu kami sering bertemu dan buat personal coaching. Selain itu, saya juga mengajar mereka free cost marketing seperti Google, website, Facebook, YouTube, TikTok serta cara close sales dan buat iklan berbayar.
Walaupun PKP, lockdown dan PKPD saya tetap buat personal coaching secara virtual termasuk kelas online setiap minggu dengan team menggunakan Google Meet, Zoom dan panggilan video di WhatsApp. Malah, saya turut memberi reward kepada team contohnya barang kemas dan produk kecantikan agar mereka lebih bersemangat seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka.
DIUJI
Saya pernah keguguran anak yang ke-3 ketika menghadiri seminar selama 4 hari 3 malam di Shah Alam pada Februari 2019. Disebabkan terlalu aktif berbisnes, pergi kelas sana sini, angkat beg, bawa buku dan laptop. Saya mengalami tumpah darah dan dimasukkan ke bahagian kecemasan. Keesokan harinya saya keguguran.
Tetapi ia tidak mematahkan semangat saya, habis pantang saya kembali aktif berbisnes. Allah SWT gantikan dengan ‘hadiah’ lebih baik. Berkat berniaga saya diberikan rezeki mengerjakan umrah bersama suami pada April 2019. Tak lama selepas pulang dari umrah, Allah SWT makbulkan doa saya agar dikurniakan zuriat. Saya disahkan kembali hamil pada Oktober 2019.
Satu lagi pengalaman pahit ialah dulu saya pernah down teruk ketika salah satu produk (jenama lain) yang saya jual tiba-tiba terpaksa dihentikan jualannya termasuk iklan berbayar yang sedang berjalan ketika itu. Akibatnya saya hilang punca pendapatan selama beberapa bulan. Saya terpaksa mencari produk lain untuk bisnes dan bermula semula dari bawah. Pun begitu, saya segera bangkit kerana tak mahu rasa down lama-lama. Jiwa saya adalah berniaga dan mengajar.
Manakala momen manis pula antaranya ialah ketika buat bisnes AG CERA saya menerima mockup Cheque 5 angka di atas pentas ketika majlis Gala Night. Ketika itu saya baru lepas habis pantang. Baby baru 2 bulan. Ketika mula-mula usahakan bisnes AG CERA saya berjaya peroleh 5 angka. Kerap juga dapat reward berupa barang kemas, jam tangan mewah, tudung dan telekung.
MANFAATKAN MEDIA SOSIAL
Sejak berbisnes saya memang memanfaatkan media sosial sepenuhnya, semua di hujung jari. Walaupun pandemik, bisnes saya ini kalis PKP. Permintaan memang tinggi. Produk kesihatan AG CERA memang customer selalu repeat order. Setiap hari ada saja yang mencari.
Walaupun AG CERA ini produk Malaysia dan baru 25 bulan di pasaran tetapi sudah ada 30 negara jadi pengedar. Sepanjang pandemik bisnes kami tetap berjalan dan dapat menjana 3-4 angka setiap hari. Bonus pula bukan saja dibayar secara harian bahkan mingguan dan bulanan. 3 kali dapat bonus. Dalam keadaan sekarang permintaan memang tinggi kerana orang lebih pentingkan kesihatan.
Prinsip saya, dahulukan Allah SWT dalam segala hal. Buat yang Dia suruh, beri banyak manfaat kepada orang lain. Paling penting tahu tujuan berbisnes. Adakah semata-mata untuk kayakan diri sendiri atau membantu selesaikan masalah orang lain? Lebih banyak kita memberi, lebih banyak yang akan kita dapat.
Saya ingin membantu wanita bujang, berkahwin, ibu tunggal termasuk mereka yang hilang punca pendapatan menjana pendapatan 3-4 angka sehari. Anda akan dapat bonus secara harian, mingguan dan bulanan. Saya juga bagi reward seperti barang kemas, produk kecantikan dan banyak lagi. Bab marketing jangan risau, saya boleh beri tunjuk ajar satu per satu. Tak perlu susah payah pegang stok dan keluar jumpa orang. Guna handphone pun dah boleh buat bisnes dari rumah. Walau duduk di rumah duit sentiasa masuk.
Wanita adalah superwoman. Semua benda wanita boleh buat. Jadi buat wanita dan isteri-isteri di luar sana teruskan usaha, tambah ilmu perniagaan dan jangan cepat mengalah. Jangan jadikan anak sebagai alasan tak boleh buat bisnes atau tiada masa. Anak-anak pembawa rezeki.
Bagi saya setiap wanita perlu ada pendapatan sendiri. Jangan harapkan duit suami atau keluarga. Selain pendapatan sendiri, wanita juga perlu ada simpanan. Bila ada duit sendiri percayalah orang akan salute dengan kita, tak pandang rendah dan kita boleh beli apa saja yang diinginkan tanpa harapkan duit orang lain.
Sekarang semua urusan di hujung jari. Sambil uruskan anak-anak dan buat kerja rumah, sambil tekan-tekan saja telefon. Alhamdulillah anak-anak faham ibunya ini buat bisnes dan jual produk. Kalau keluar pergi COD atau pos produk, anak-anak akan tanya “Mami nak pergi pos AG CERA ke?” Sejak bayi lagi anak-anak dah tengok saya buat bisnes. Jadi mereka dah tahu dan faham bila kita dah terangkan awal-awal pada mereka.
Impian saya nak bawa ahli keluarga mengerjakan haji dan umrah. Selain itu, saya nak kembangkan lagi team bukan saja di Malaysia bahkan serata dunia. Saya nak semua team bergelar jutawan yang dermawan tak kira peringkat umur dan latar belakang,” akhiri Sheila yang aktif memberi sumbangan terhadap rumah anak-anak yatim dan asnaf di Banting, Selangor.
Kredit Foto: Koleksi Peribadi Sheila Kamal
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amna Al Qubaisi mencipta sejarah sebagai pelumba wanita UAE yang memecah dominasi lelaki dalam motorsport, simbol inspirasi, kecantikan dan pemerkasaan wanita moden.