Beruntungnya Ning Baizura dikurniakan sosok seorang ibu berjiwa penyayang dan sanggup melakukan apa saja demi anak tersayang. Penyanyi bersuara soprano ini menceburi industri seni muzik sejak berusia 17 tahun dan dari detik itu ibu kesayangan sentiasa setia berada di sisi Ning.
Bersempena ulang tahun Satilah Abdullah yang ke-81 baru-baru ini, anak seni berusia 49 tahun berkenaan menzahirkan rasa terharu dan syukur atas pengorbanan ratu hatinya itu sepanjang kariernya sebagai penyanyi.
Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah yang kini menyertai program hiburan Gegar Vaganza Musim 11 mendedahkan peribadi ibu yang dikagumi dan insan hebat berkenaan hadir memberi sokongan kepadanya ketika konsert Gegar Vaganza pada 1 Disember lepas.
Meskipun sudah berusia 81 tahun namun ibu ini tetap bersemangat dan tidak henti-henti memberikan sokongan padu kepada pelantun lagu popular ‘Pasti’ tersebut.
Ads
“Ibu mengambil keputusan bersara lebih awal pada 1993 semata-mata mahu sentiasa berada di samping saya sewaktu saya mula-mula bergelar penyanyi.
Itu adalah pengorbanan terbesar ibu sebab dia memang berjiwa seorang pendidik tapi sanggup meninggalkan apa dicintainya demi saya.”
Semua itu dilakukan Satilah demi memastikan urusan karier seni Ning Baizura berjalan lancar.
Ning kini bahagia melayari alam rumah tangga bersama suami tercinta, Omar Sharif Christopher Layton Dalton. Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 31 Januari 2008.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Ryan Sky Dalton yang kini berusia 11 tahun.
Semoga Ning Baizura terus menghargai jasa dan pengorbanan Satilah Abdullah yang telah banyak membantu meningkatkan kerjaya seni dan popularitinya. Selain kekal bahagia di samping suami tercinta dan anak tersayang.
Pertama kali berjumpa dengan wanita jelita persis kakak kesayangannya Rozita Che Wan ini telah membuat mata tidak berhenti memandang. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui mempunyai enam orang anak yang masih kecil. Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya.
“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak.
Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting,” ujar Datin Jaja.
Rupanya wanita tinggi lampai ini menjadikan ibunya sebagai idola dalam menjaga kecantikan luaran dan dalaman. “Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang.
Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun.
Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga,” tutur isteri kepada Datuk Haji Muhammad Faizal Haji Zainul ini.
Wanita yang berusia 39 tahun ini khabarnya tak minum manis. “Sebenarnya saya sangat menjaga pemakanan. Saya kurang minum air manis, apa lagi pencuci mulut atau desserts yang memang jadi kegemaran saya. Sebenarnya bila kita dah meningkat usia ni, makanan dan minuman manis wajib dikawal. Bukan sebab kecantikan sangat, tapi kesihatan,” tuturnya lembut.
“Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah.
Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak keenam saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir.
Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 11 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 6 tahun, Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 4 tahun, dan Muhammad Al Fateh, 2 tahun ini.
Orang kata kalau kulit cantik lembap boleh kekal awet muda
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ingat lagi produk Sariayu? Kalau bertandang ke toko-toko jamu sekitar zaman 90-an dulu, jenama jamu, kosmetik dan penjagaan diri yang diasaskan Dr Martha Tilaar ini memang cukup terkenal. Kini melangkah ke usia 85 tahun, perusahaan Ratu Kosmetik Indonesia yang terkenal itu sudah diwariskan kepada anak-anak dan salah seorang yang menerajuinya adalah Wulan Tilaar.
Berusia 46 tahun, Wulan Tilaar merupakan anak perempuan kepada Dr Martha Tilaar dan Dr Henry Alex Rudolf Tilaar. Ketika muda, pakar O&G pernah menyatakan ibunya mandul selepas lebih 11 tahun berkahwin namun wanita hebat itu berhasil melahirkan anak pertama pada usia 42 tahun.
Jutawan dan pemilik empayar Martha Tilaar Group tersebut akhirnya memiliki empat cahaya mata iaitu Bryan Emil Tilaar, Pinkan Tilaar, Wulan Tilaar dan Kilala Tilaar.
Tahun 1970, bermula dengan sebuah salon kecil di Jakarta, Martha’s Salon mula meniti bibir pelanggan yang suka memanjakan diri di sana. Usahawan itu mula membuka salon kedua dengan nama Sariayu Martha Tilaar, sebelum membangunkan perusahaan kosmetik dan jamu sendiri serta terus berkembang menguasai pasaran Indonesia.
LEGASI
Ditugaskan untuk mengambil alih perusahaan keluarga bukanlah semudah yang disangka. Apatah lagi empayar perniagaan gergasi dan dianggap legenda, pewarisnya perlu memikul cabaran untuk mengekalkan reputasi yang ada.
Inilah yang diakui oleh puteri kepada pengasas Martha Tilaar Group – Wulan Tilaar – yang kini bergelar Pengarah.
Sejak kecil Wulan telah dibekalkan dengan pengalaman dan pengetahuan tentang ilmu kecantikan Nusantara. Berkat minat yang mendalam, beliau mendalami bidang ini dengan serius dan menyeluruh hingga layak digelar Holistic Beautifier.
Menerusi CNBC Indonesia, Wulan digambarkan sebagai sosok usahawan yang lemah lembut dan bersahaja, namun kepimpinannya cukup disegani.
“Sejak zaman persekolahan lagi saya sudah sering ke sini. Mungkin kerana sekolah berdekatan jadi ibu saya banyak memberikan pendedahan termasuk tentang beauty school dan spa.
Tapi jika bercakap tentang perjalanan karier, secara profesionalnya bermula pada 1 Januari 2005. Usia saya baru 28 tahun ketika itu.
Memandangkan latar belakang pendidikan saya dari jurusan rekaan dan pengiklanan, jadi saya ditugaskan di Art Division. Pengalaman ketika itu tidak banyak mungkin disebabkan tugas saya hanya sebagai penyelia sahaja.
Jadi saya pun minta ditukarkan ke unit bisnes Martha Tilaar di bahagian services Puspita Martha International Beauty School dan Martha Tilaar Spa.
Baru beberapa bulan kerja di unit ini, saya mula merasakan cabarannya kerana tugas operasi itu rupanya amat berbeza dari sekadar observasi semata.
Saya rasa tidak memiliki kelayakan sepatutnya kerana latar pendidikan saya berbeza dari yang saya jalani. Jadi pada tahun 2007, saya mula mendalami program Cidesco (Comité International d’Esthétique et de Cosmétologie) di sekolah Puspita MaDrrtha.
Di sinilah saya diajarkan bagaimana menjadi seorang spa therapist dan beauty therapist yang sebenar. Saya mula belajar cara mengurut, membuat manicure dan pedicure, facial dan sebagainya.
Memandangkan program Cidesco adalah ujian antarabangsa, jadi setiap pelajar mesti benar-benar menguasai kemahiran tersebut untuk mendapatkan sijil kelayakan. Jurinya pula dari luar negara.
Ternyata inilah yang menjadi titik tolak pertama saya secara teknikal dalam bidang beauty school, spa dan salon.” Wulan Tilaar
Menjawab pertanyaan tentang cabaran Wulan mengambil alih bisnes keluarga, wanita jelita ini pantas berterus-terang dengan keadaan yang dilaluinya.
“Ramai beranggapan bahawa saya hanya menjalankan sahaja perusahaan keluarga yang sudah dibentuk. Saya kira mulanya juga begitu, tapi tidak.
Kerana dalam bisnes ini menurunkan jiwa dari generasi pertama ke generasi kedua itu lebih sulit sebenarnya.”
Persaingan kosmetik sangat luar biasa apabila banyak kosmetik luar khususnya dari Korea mendominasi pasaran produk kecantikan tempatan.
Bagi Wulan, dia menganggap bahawa persaingan itu amat sihat dan bagus untuk pertumbuhan jenama tempatan. Cara bersaing yang diterapkan adalah berinovasi dan menyuntik pembaharuan.
Sebagai wanita berkerjaya, Wulan tidak dapat lari daripada stres di tempat kerja. Ditanya tentang caranya mengendalikan tekanan, wanita ini mengakui sering membelai diri dengan perawatan facial dan creambath setiap dua kali sebulan serta membuat urutan sekurangnya sekali sebulan. Me time!
Kredit: Instagram @wulantilaar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datuk Marina Chin, bekas Ratu Pecut Malaysia yang pernah menggegarkan trek Asia Tenggara pada era 1970-an, terus menjadi simbol ketahanan, disiplin dan kepimpinan wanita luar biasa apabila menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Dalam dunia yang sering memuja kemenangan di podium, kisah Datuk Marina Chin ataunamapenuhnya Chin Leng Sim kekal sebagai lambang semangat yang tidak pernah padam. Beliau memecah rekod, meraih dua kali gelaran Olahragawati Negara pada tahun 1976 dan 1977, serta mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa melalui acara pecut dan lari berpagar.
Pada zaman di mana wanita masih berjuang untuk diiktiraf dalam arena sukan, Marina membuktikan bahawa bakat tidak mengenal gender. Kehebatannya bukan sekadar pada kepantasan di trek, tetapi pada keupayaan membina semangat juang dalam diri orang lain.
Selepas menggantung kasut pecut, Datuk Marina Chin memilih laluan baharu sebagai pendidik dan pembina generasi. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS) serta Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, di mana beliau memperkukuh sistem pembangunan atlet muda negara.
Kini, sebagai Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN), beliau membuktikan bahawa perjuangan seorang atlet tidak berakhir di podium, sebaliknya diteruskan dalam bentuk kepimpinan dan inspirasi kepada ribuan pelapis muda.
Baru-baru ini, Datuk Marina Chin menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada UniSZA, sebagai pengiktirafan terhadap jasa beliau dalam bidang kejurulatihan, pendidikan dan pentadbiran sukan negara. Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan anugerah tersebut pada Istiadat Idul Ilmi Konvokesyen ke-17 UniSZA.
Beliau menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan itu sambil berkongsi makna mendalam di sebaliknya: “Anugerah ini bukan sekadar penghargaan peribadi, sebaliknya simbol kepada perjuangan semua atlet, jurulatih dan komuniti sukan yang komited membangunkan sukan negara. Sukan dan pendidikan tidak boleh dipisahkan kerana anda belajar sambil berjalan,” ujarnya penuh makna.
Sepanjang kariernya, Datuk Marina Chin telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Ahli Mangku Negara (AMN) dan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Beliau juga pernah dianugerahkan Anugerah Kepimpinan dalam Sukan Sekolah, Anugerah Wanita dan Sukan oleh Majlis Olimpik Malaysia, serta The BrandLaureate Grand Master Brand Icon Leadership Award 2017.
Dalam setiap langkahnya, Marina percaya kejayaan dalam sukan bukan titik noktah, tetapi kesinambungan untuk terus menyumbang. “Setiap atlet masih boleh memberi semula melalui bidang kejurulatihan, pengurusan dan pendidikan,” katanya dengan tegas dan penuh inspirasi.
Pada usia 68 tahun, Datuk Marina Chin masih berbicara dengan semangat seorang pelari, namun kini langkahnya bukan di trek balapan tetapi di pentas kepimpinan. Beliau menyeru agar Malaysia terus melahirkan lebih ramai jaguh dunia serta memastikan jurulatih tempatan mencapai tahap antarabangsa. “Kita harus berani bermimpi besar kerana hanya dengan mimpi yang besar, kita boleh mencipta langkah yang jauh,” pesan beliau.
Kisah Datuk Marina Chin menjadi inspirasi kepada semua wanita bahawa kekuatan sebenar tidak datang daripada otot atau pingat, tetapi daripada jiwa yang tidak mudah menyerah. Wanita seperti beliau membuktikan bahawa kita bukan hanya dilahirkan untuk berlari laju, tetapi untuk mencipta arah dan membakar semangat generasi akan datang.
Impian MimiFly sejak usia 20-an akhirnya jadi kenyataan apabila wajahnya terpampang di billboard ikonik Times Square, New York. Lebih daripada sekadar pencapaian peribadi, momen ini menempatkan MimiFly sebaris dengan penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menembusi perhatian pencinta muzik global.