
Dalam dunia fesyen antarabangsa yang sering menjadikan kesempurnaan visual sebagai standard utama, kemunculan Sawitri Khan membawa naratif yang lebih bermakna daripada sekadar wajah cantik di pentas peragaan.
Model kelahiran Bali ini bukan sekadar mencuri perhatian industri, malah menjadi simbol bagaimana ketabahan dan jati diri mampu membuka ruang di pentas dunia.
Sejak tahun 2022, nama Sawitri Khan mula muncul dalam radar industri fesyen global apabila beliau tampil sebagai model antarabangsa di beberapa acara fesyen berprestij, antaranya Lisbon Fashion Week dan Portugal Fashion Week. Kemunculan di pentas ini menandakan langkah penting dalam kerjayanya sebagai model dari Asia Tenggara yang berjaya menembusi pasaran Eropah.
Baru-baru ini, Sawitri turut berkongsi satu lagi detik bermakna dalam kerjayanya apabila beliau memuat naik gambar yang menunjukkan dirinya muncul sebagai penghias majalah Vogue. Majalah yang dianggap antara penerbitan paling berpengaruh dalam dunia fesyen itu menjadikannya salah seorang model yang dipaparkan, sekali gus menambah satu lagi pencapaian penting dalam portfolio kerjaya Sawitri.



Keunikan & Karisma Sawitri Khan
Dengan ketinggian 174 sentimeter dan ukuran tubuh yang seimbang, kehadiran Sawitri cukup menonjol di pentas peragaan. Namun daya tarikannya tidak hanya terletak pada fizikal semata-mata.
Wajahnya yang unik, dengan mata coklat yang lembut serta rambut hitam yang memikat, memberikan identiti visual yang tersendiri sehingga menjadikannya antara model yang sering mendapat perhatian pereka fesyen.
Namun di sebalik pencapaian antarabangsa tersebut, perjalanan hidup Sawitri sebenarnya bermula dari latar yang sederhana.
Latar Belakang Kehidupan
Dilahirkan pada 23 Jun 1996, pemilik nama lengkap Sawitri Khan itu berdarah campuran India-Indonesia sebelah bapa dan Bali sebelah ibu. Wanita berwajah eksotik ini dilaporkan sudah berkahwin dengan warga Poland dan memiliki dua orang cahaya mata. Keluarga mereka kini menetap di Lisbon.
Dilahirkan dan dibesarkan di Bali, Sawitri Khan tidak pernah melupakan akar kehidupannya walaupun kini bergerak dalam industri fesyen global. Wanita berusia 20-an ini sering berkongsi kehidupan sebenar di kampung halaman melalui media sosial, termasuk momen bersama ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada perjalanan kerjayanya.
Dalam satu perkongsian, Sawitri secara terbuka menyatakan bahawa ibunya merupakan individu yang paling kuat menyokong impiannya dalam dunia modeling.
“Mama aku adalah pendukung terbesar dalam karier modeling ku,” tulisnya di akaun Instagram miliknya, @iamsawitri.
Sokongan keluarga inilah yang menjadi antara faktor penting yang menguatkan langkahnya untuk terus melangkah jauh dalam industri fesyen yang sangat kompetitif.

Pendidikan & Kemahiran Profesional
Selain membina kerjaya sebagai model, Sawitri turut memberi perhatian kepada pendidikan. Beliau menamatkan pengajian Sarjana Muda di BINUS University dalam jurusan Pengurusan Perniagaan, sekaligus membuktikan bahawa dirinya tidak hanya bergantung kepada kerjaya di pentas peragaan semata-mata.
Melalui catatan di LinkedIn pada 4 Mac 2025, Sawitri memperkenalkan dirinya sebagai seorang profesional berdedikasi yang memiliki ijazah dalam Pengurusan Perniagaan serta pengalaman lapan tahun dalam industri modeling.
Beliau turut menyatakan bahawa sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau telah membangunkan kemahiran komunikasi, organisasi dan hubungan interpersonal yang kukuh.

Malah, Sawitri kini turut berminat untuk meneroka peluang dalam bidang Sumber Manusia, khususnya dalam aspek penglibatan pekerja, pengambilan bakat serta pembangunan budaya kerja yang positif.
Pustaka Budaya Dunia
Menariknya, Sawitri bukan hanya menumpukan perhatian kepada kerjaya peribadi. Pada April 2024, Sawitri Khan turut menubuhkan sebuah inisiatif bernama Pustaka Budaya Dunia.
Menurut beliau, organisasi tersebut mempunyai misi untuk membolehkan masyarakat Indonesia mengakses pengetahuan tentang warisan seni dan budaya dunia dengan lebih mudah.
Inisiatif ini memperlihatkan minatnya terhadap pendidikan budaya serta usaha memperluaskan akses ilmu kepada masyarakat.
Pencapaian di Paris Fashion Week
Antara pencapaian yang paling signifikan ialah kemunculan Sawitri Khan di Paris Fashion Week. Dalam acara tersebut, beliau berkolaborasi dengan model lain, Raihan Fahrizal. Penampilan di pentas fesyen paling berprestij di dunia ini membuktikan bahawa model kelahiran Bali ini bukan sahaja memiliki bakat, malah dedikasi yang tinggi terhadap profesionnya.
Kerjayanya turut disokong oleh beberapa agensi modeling terkenal, termasuk Rebel Models dan Manifesto Models.
Melalui agensi-agensi ini, beliau memperoleh peluang untuk tampil dalam pelbagai acara fesyen antarabangsa serta terus mengembangkan kemahirannya dalam industri.

Namun perjalanan Sawitri tidak terlepas daripada cabaran. Beliau sering berkongsi pengalaman pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan, satu pengalaman yang menurutnya bukan mudah untuk dilupakan.
Walau bagaimanapun, Sawitri memilih untuk tidak membiarkan pengalaman tersebut menghalang impiannya. Sebaliknya, Sawitri Khan menjadikan pengalaman itu sebagai sumber kekuatan untuk memotivasikan dirinya dan orang lain.
Melalui media sosial, beliau kerap berkongsi kisah dan pengalaman peribadi bagi memberi sokongan kepada individu lain yang pernah melalui situasi yang sama.
Di samping kerjaya modeling yang semakin berkembang, Sawitri juga memberi perhatian serius terhadap kesihatan dan kecantikan diri. Beliau mengamalkan pemakanan sihat serta rutin bersenam bagi mengekalkan bentuk tubuh yang ideal.
Pada masa yang sama, kesihatan mental turut menjadi aspek penting dalam kehidupannya. Sawitri sentiasa berusaha mengekalkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi, sesuatu yang semakin mendapat perhatian dalam industri fesyen moden.
Bagi Sawitri Khan, kecantikan sebenar tidak hanya datang daripada penampilan luaran. Sebaliknya, beliau percaya bahawa keyakinan diri dan sikap positif merupakan kunci utama untuk menampilkan pesona yang sebenar.
Dalam dunia fesyen yang sering memfokuskan kepada imej sempurna, kisah Sawitri Khan mengingatkan bahawa perjalanan menuju kejayaan sering bermula daripada cabaran yang tidak mudah.
Daripada seorang gadis Bali yang pernah berhadapan dengan pengalaman pahit di sekolah, Sawitri kini berdiri di pentas fesyen dunia sebagai model antarabangsa, sekali gus menjadi inspirasi kepada ramai untuk berani mengejar impian mereka.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/transformasi-bariatrik-datuk-nora-ariffin/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





