Kejelitaan aktres ini jelas terpancar lebih-lebih lagi saat bercerita tentang keluarganya. Isteri kepada pemain bola sepak Zaquan Adha ini baharu saja melahirkan anak keempatnya pada Februari lalu.
Mengimbau kisah tentang kehadiran anak ketiganya dahulu yang merupakan puteri sulungnya, Laura Zuleykha Ayu sedikit terkilan kerana tidak mampu menyusukan puterinya secara eksklusif.
“Memang saya tidak dapat menyusukan Laura secara eksklusif lagi lantaran saya terlantar sakit tempoh hari akibat apendiks. Mula-mula saya sendiri tak tahu ada apendiks kerana selama ini saya tak pernah sakit perut yang luar biasa.
Tiba-tiba saya sakit perut sehingga nak bernafas pun tidak mampu. Ingatkan saya mengandung lagi kerana rasa loya dan nak muntah. Kemudian saya muntah sehingga keluar air hijau.
Ads
Suami ajak pergi klinik dan apabila sampai klinik doktor hanya bagi ubat angin sahaja. Tapi saya tetap rasa tak selesa. Lepas suami balik daripada training, dia ajak pergi ke hospital dan akhirnya saya terus ditahan. Rupa-rupanya apendiks saya sudah pecah tanpa disedari.
Lepas pembedahan apendiks biasanya dalam dua hari sudah elok. Tapi saya masih rasa sakit. Bila doktor buat pemeriksaan nyata saya demam. So bila demam ada something wrong. Apabila buat ujian darah dan x-ray semula terdapat infeksi di paru-paru.
Ads
Ketika itu saya bagaikan di ambang maut. Terasa betapa kerdilnya kita di sisi Allah SWT. Bila-bila masa Allah SWT boleh ambil apa yang ada pada kita dan kita tak mampu nak berbuat apa-apa. Melalui ujian sebegini baharu kita sedar apa yang kita ada semua pinjaman semata-mata. Rasa syukur sangat selepas kembali sihat,” terang Ayu tentang pengalamannya selama 11 hari ditahan di wad hospital.
Ketika ditemui Ayu teruja bercerita tentang dekorasi kediamannya. “Saya gemarkan gaya dekorasi moden glam atau klasik yang gelap dan cosy. Alhamdulillah saya mempunyai cita rasa yang sama dengan Zaquan. Biasanya jika ada masa terluang kami berdua akan keluar bersama-sama untuk membeli barang kelengkapan rumah.
Ads
Zaquan ini jenis orang yang suka duduk di rumah oleh itu saya perlu pastikan dekorasi rumah umpama kawasan rehat yang sedap untuk dihinggapi,” terang Ayu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terinspirasi dengan semangat dan kecekalan Dato’ Sri Rohani Abdul Karim! Genap berusia 71 tahun pada 3 Januari lalu, pemimpin kelahiran Sarawak ini tidak pernah berhenti memberi khidmat bakti kepada masyarakat meskipun tidak lagi menggalas tugas sebagai Menteri Kabinet. Namun kerana sikap keprihatinan yang menebal terhadap kebajikan komuniti, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini tetap menyumbang idea dan tenaga sehingga sekarang.
Buktinya, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) selama dua penggal, Pengerusi Padiberas Nasional Berhad dan Pengerusi Sri Aman Development Agency (SADA).
Tiada istilah ‘bersenang-lenang’ dalam diri pemimpin ini sebaliknya wanita berasal dari Simanggang berkenaan sentiasa memanfaatkan pengalaman yang ada demi kebajikan ramai.
Dalam kesibukan mengurus pentadbiran agensi terlibat, minat Dato’ Sri Rohani dalam menimba ilmu tidak pernah pudar. Pada Oktober 2025, berita beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Doktor Falsafah (PhD) di UNIMAS menjadi perhatian.
Menariknya, Dato’ Sri Rohani menerima Anugerah Dekan dengan PNGK 4.0 bagi dua semester berturut-turut dalam program Doctor of Business Administration (DBA PhD)!
“Alhamdullilah saya telah menerima Sijil Anugerah Dekan untuk 2 semester bagi program Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) UNIMAS. Sebenarnya saya tidak mahu mewarwarkan mengenai perkara ini tetapi begitu ramai yang mengucapkan tahniah setelah perkara ini dikeluarkan oleh Sarawak Tribune.
Di sini saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih di atas segala ucapan dan dorongan kenalan dan sahabat handai kepada saya. Seperti yang saya katakan ketika ditanya, sebab saya melanjutkan pelajaran adalah untuk mencabar diri sendiri seterusnya membuktikan bahawa age is just a number; sesiapa sahaja boleh belajar walaupun sudah menjadi warga emas.
Kita perlu buktikan pada diri sendiri yang kita boleh lakukannya dan ini merupakan satu cara untuk upgrade our knowledge seiring dengan perkembangan semasa. Terima kasih kepada keluarga terutama anak-anak atas segala sokongan sepanjang saya kembali menjadi pelajar.
Masih panjang lagi perjalanan pembelajaran ini dan saya mohon doa kalian agar dapat menghabiskan pengajian dengan jayanya.”
Dato’ Sri Rohani merupakan salah seorang Ahli Parlimen wanita paling lama berkhidmat di Malaysia iaitu selama 32 tahun dari 1990 hingga 2022. Beliau juga wanita Sarawak pertama yang dilantik sebagai menteri di peringkat Persekutuan untuk menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Lebih istimewa, Dato’ Sri Rohani merupakan sahabat baik kepada Dato’ Sri Nancy Shukri yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Bahkan kedua-dua figura wanita hebat ini turut berasal dari Sarawak!
Setiap kali majlis keraian, Dato’ Sri Rohani dan Dato’ Sri Nancy Shukri akan meluangkan masa bersama. Malah menerusi perkongsian di media sosial, mereka dilihat meraikan Hari Raya bersama di samping dua lagi rakan karib yang juga pemimpin wanita iaitu Datuk Rubiah Wang dan Dato’ Hanifah Hajar Taib.
Atas khidmat dan jasa terhadap masyarakat khususnya di Sarawak, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dianugerahkan Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan iaitu Pingat Emas bersempena 60 Tahun Sarawak Merdeka Tahun 2023.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam dunia yang sentiasa dahagakan simbol kemewahan dan kejayaan, nama Georgina Rodríguez berdiri sebagai refleksi sempurna kepada kehidupan eksklusif di sisi salah seorang atlet terkaya dunia, Cristiano Ronaldo. Lebih daripada sekadar pasangan, Georgina ialah wajah kepada gaya hidup ultra-luxury yang bukan sahaja dipamerkan, tetapi dirayakan dengan penuh elegan.
Baru-baru ini, perkongsian di Instagram miliknya menjadi bualan global apabila beliau membuka jendela kecil ke dalam dunia peribadi mereka. Pada usia 32 tahun, dunia Georgina Rodriguez dihiasi dengan kilauan berlian, jam tangan haute horlogerie, serta deretan kenderaan mewah yang hanya mampu dimiliki oleh golongan elit terkaya dunia.
Setiap bingkai gambar bukan sekadar pameran harta, tetapi sebuah naratif tentang kuasa, cinta dan kejayaan yang dibina bersama.
Di saat Cristiano Ronaldo menjalani rawatan kecederaan hamstring di Sepanyol, kehidupan mereka tidak pernah kehilangan sentuhan glamor. Malah, tempoh pemulihan itu menjadi ruang intim yang memperlihatkan sisi lebih peribadi pasangan ini, berpegangan tangan dalam sebuah jentera luar biasa, Bugatti Centodieci bernilai lebih RM53 juta.
Sebuah simbol keagungan teknologi automotif, kereta tersebut seolah olah melambangkan perjalanan hidup mereka yang laju, eksklusif dan hampir mustahil ditandingi. Dalam setiap detik, Georgina Rodríguez terus mencerminkan gaya hidup kelas atasan yang menjadi inspirasi ramai.
Namun, perhatian tidak terhenti di situ. Georgina, dengan aura sofistikated yang menjadi identitinya, tampil menyarung jam tangan Patek Philippe Ladies 7118/1450R yang dianggarkan mencecah RM1.7 juta. Sementara Ronaldo pula memilih model Patek Philippe 5719/10G, bernilai hampir RM2.7 juta.
Kedua-duanya bukan sekadar aksesori, tetapi lambang warisan, ketelitian dan status yang diwarisi dari dunia horologi tertinggi. Pilihan ini sekali lagi mengukuhkan imej Georgina Rodríguez sebagai ikon gaya hidup mewah global.
Paling mencuri perhatian tentunya cincin pertunangan Georgina, sebutir permata luar biasa yang dianggarkan bernilai sekitar RM23 juta. Kilauannya bukan sekadar memantulkan cahaya, tetapi juga melambangkan komitmen dan cinta antara dua figura yang hidup dalam dunia penuh tekanan dan perhatian global.
Dalam konteks ini, cincin tersebut menjadi simbol kepada kestabilan emosi di sebalik kehidupan yang serba luar biasa, sesuatu yang jarang dapat dilihat di sebalik kemewahan yang dipamerkan oleh Georgina Rodríguez.
Pun begitu, di sebalik kemewahan dan kesenangan hidup yang dinikmati Georgina Rodriguez, tunang kesayangan pemain bola sepak Cristiano Ronaldo ini sebenarnya seorang wanita penyayang dan pemurah.
Apatah lagi mereka sudah pun mempunyai dua orang anak dan figura berusia 31 tahun ini turut menjaga tiga lagi cahaya mata Ronaldo menerusi hubungan cintanya yang lalu.
Melihat penampilan ibu muda ini pasti ramai menyangka Georgina seorang wanita yang hanya mementingkan kelas dan barangan mewah.
Hakikatnya, jiwa figura berketurunan Sepanyol-Argentina ini cukup dekat dan tersentuh apabila berdepan dengan golongan kanak-kanak khususnya yang kurang bernasib baik mahupun diduga dengan masalah kesihatan.
Di sebalik segala kemewahan ini, terdapat realiti yang tidak kurang dramatiknya. Ronaldo, yang kini beraksi bersama Al Nassr, sedang berdepan cabaran fizikal apabila kecederaan yang dialaminya disahkan lebih serius daripada jangkaan.
Jurulatihnya, Jorge Jesus, mengakui bahawa bintang Portugal itu perlu menjalani rawatan lanjut di Madrid, satu perkembangan yang menimbulkan kebimbangan menjelang kejohanan besar seperti Piala Dunia.
Namun bagi pasangan ini, cabaran bukan alasan untuk menukar gaya hidup atau semangat. Dengan pendapatan Ronaldo yang dianggarkan sekitar RM2.5 juta sehari, kehidupan mereka terus bergerak dalam orbit kemewahan yang luar biasa.
Bahkan jet peribadi bernilai lebih RM320 juta yang pernah menjadi misteri keberadaannya, menambah lagi elemen eksklusif dalam naratif kehidupan mereka. Semua ini menjadikan kisah Georgina Rodríguez semakin relevan dalam dunia gaya hidup moden.
Menariknya, di sebalik segala kilauan ini, Georgina kekal sebagai figura yang memahami peranannya, bukan sekadar sebagai pasangan kepada ikon bola sepak dunia, tetapi sebagai wanita yang membina identiti sendiri dalam dunia fesyen, gaya hidup dan pengaruh digital.
Setiap penampilannya terkurasi rapi, setiap perkongsiannya strategik, menjadikan dirinya bukan hanya simbol kemewahan, tetapi juga aspirasi kepada jutaan pengikut di seluruh dunia.
Dalam dunia yang sering mempersoalkan makna sebenar kekayaan, Georgina Rodríguez dan Cristiano Ronaldo mempersembahkan definisi yang lebih luas, bahawa kemewahan bukan hanya tentang apa yang dimiliki, tetapi bagaimana ia diraikan. Dalam setiap detik yang dikongsi, mereka mengingatkan bahawa di puncak kejayaan, cinta dan gaya hidup berjalan seiring, mencipta sebuah kisah yang sukar ditandingi.
Kepada sesiapa yang mengenali pelakon berdarah kacukan Melayu-Scottish ini, sudah pasti tahu bahawa anak keduanya, Jammal Raess Ross-Iddin Shaharuddin merupakan kanak-kanak autisme. Namun, sifat keibuan yang menebal dalam dirinya sehingga tidak menampakkan lelah melayan anak syurganya ini.
Sebagaimana kita insan biasa agak tidak selesa ‘berkurung’ dalam rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagaimana pula kanak-kanak istimewa ini lebih-lebih lagi jenis yang sukakan aktiviti luar seperti Raess ini.
Namun, wanita yang diberi nama Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross atau lebih mesra disapa Catriona ini benar-benar bersyukur anaknya tidak menunjukkan sebarang tantrum ketika terpaksa ‘berkurung’ selama 76 hari dalam rumah.
Catriona berkongsi rasa gembiranya menerusi media sosialnya apabila anak keduanya gembira bermain di laman kediaman ibunya. “Happy sangat la dia boleh play in Nenek’s huge garden. He is an outdoorsy boy who loves running and going for long walks so the past 76 days has been a challenge for him although he doesn’t show any tantrums. Syukur la rumah Nenek is just 15 minute away from ours,” coret Catriona.
Menyingkap kisah ketika anak wanita kelahiran Kelantan ini mula didiagnos autisme, “Apa yang boleh saya gambarkan ketika mula-mula anak didiagnosis autisme adalah sebak, sedih dan terasa bagai langit akan runtuh. Saya harapkan itu bukan cerita yang sebenar.
Saya dan suami berjumpa beberapa orang Pakar untuk mengesahkan dan ternyata setelah pertemuan yang ketiga, kami terpaksa mengiakan. Saya cuba bangun daripada kerusi tapi macam tidak terdaya. Dunia saya jadi gelap dan hanya mampu menangis.
Lama juga saya down selepas menerima berita tersebut. Setiap hari menangis tapi saya cuba untuk buat research dan baca tentang apa yang perlu dibuat dan apakah next step. Tiba-tiba saya teringat Fynn Jammal lalu saya hubungi dia untuk bercerita dan minta pandangan. Dia banyak menghulurkan bantuan ketika saya sangat memerlukan ketika itu,” terang ibu kepada tiga orang anak ini.
Menurut Catriona anaknya tergolong dalam kategori mild, non verbal dan Raess belum mampu berkomunikasi dengan baik. Namun anaknya yang persis kanak-kanak lelaki Inggeris ini tidak mencederakan diri sendiri cuma ada waktunya sedikit hiperaktif.
Setiap dugaan hanya datang kepada mereka yang mampu memikulnya. Dugaan tidak pernah salah alamat. Jika dahulu sebelum memiliki anak autisme Catriona hanya mengetahui perkataan autisme tanpa ilmu yang mendalam.
“Sebelum tahu anak autisme, saya hanya tahu perkataan itu dan apa kah autisme tapi setelah disahkan baharu saya baca secara terperinci dan mendalam. Saya habiskan masa dua bulan pertama membaca berbagai-bagai forum antarabangsa, laporan, jurnal dan artikel. Terdapat juga buku-buku yang berkaitan saya beli dan baca. Semuanya demi melengkapkan diri untuk membesarkan Raess tersayang.
Saya sekarang makin faham tentang autisme secara keseluruhan dan boleh mengandaikan kebarangkalian yang akan berlaku. Segala-galanya saya peroleh daripada membaca dan menyertai support groups. Melihat kepada anak-anak autisme yang lain walaupun keadaan mild, saya boleh kenal pasti.
Sebagai selebriti yang dikenali dan mempunyai anak autisme, timbul rasa tanggungjawab untuk sama-sama tingkatkan kefahaman tentang anak autisme ini. Sebab itu daripada awal saya jujur dan beritahu kepada famili serta kongsi di Instagram dan Facebook. Ini penting agar masyarakat sama-sama faham fasal autisme,” ujar graduan Komunikasi Massa, Universiti Putra Malaysia ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
The Devil Wears Prada mengupas realiti salah guna kuasa di tempat kerja, memperlihatkan peralihan dunia fesyen ke era digital dan konflik kepimpinan moden.