Masih ingat lagi wajah comel pelakon yang pernah memegang watak Orked dalam filem Muksin? Sharifah Aryana binti Syed Zainal Rashid Al-Yahya atau Yana Alyahya, 26, yang membina mahligai cinta bersama suami tercinta, Jad Hanif Jimmy berkongsi berita gembira tentang kehamilannya.
Menerusi perkongsiannya di laman Instagram, Yana menyatakan bahawa mereka teruja menantikan kelahiran putera sulung mereka. Kongsi Yana, ia merupakan sebuah pengalaman yang amat berharga.
View this post on Instagram
Selepas menanti selama lima bulan untuk memastikan semuanya dalam keadaan yang baik, saya dan Jad Hanif amat teruja untuk umumkan bahawa kami bakal menimang cahaya mata lelaki
Di kesempatan itu juga, Yana turut meluahkan rasa terima kasih kepada mereka yang bersama-sama merahsiakan berita kehamilannya sebelum diumumkan di media sosialnya.
Gementar untuk menjadi seorang ibu, Yana tidak risau kerana memiliki sokongan yang kuat. Mengenai keadaan bayinya, Yana memberitahu bayi dalam kandungannya juga berada dalam keadaan yang sihat.
Meninjau di ruangan komen, ramai yang mengucapkan tahniah kepada Yana dan mendoakan yang terbaik untuknya. Antara barisan selebriti yang turut teruja dengan berita tersebut adalah Daphne Iking, Sherry Alhadad, Yasmin Hani dan Cik Manggis.
Sekadar info, Yana mendirikan rumah tangga bersama pasangan pada 2021. Yana Alyahya merupakan adik bongsu kepada keluarga Sharifah Aleya, Sharifah Amani dan Sharifah Aleysha.
Sumber gambar: Instagram Yana Alyahya