Siapa yang masih ingat lagi dengan jenama Hajaba, Leesa Formula, Serenity Spa, Umrah Hajj dan Women of Jannah? Jenama-jenama tersebut pernah mencetuskan fenomenanya yang tersendiri. Mona Din, satu nama besar dalam industri fesyen Muslimah sekaligus menjadi pelopor di Malaysia.

Namun seiring perubahan trend semasa dalam aliran fesyen Muslimah, Mona Din kini memperlahankan segala aktiviti perniagaannya. Dalam erti kata lain, bersara awal untuk memberi perhatian terhadap ibadah serta keluarga.

IKLAN

Mona Din tak pernah menganggap keputusannya itu adalah detik kejatuhan kerana ia turut dipersetujui oleh suami, Zulkefli Mohd Ali. Ia juga bagi memberi ruang buat mereka untuk membimbing anak-anak mengambil alih perniagaan yang bakal ditinggalkan kelak.

FOKUS IBADAH DAN KELUARGA

“Target saya apabila usia mencecah 50 tahun saya mahu bersara dan ingin menebus semula apa yang tak sempat saya lakukan dulu dek kerana terlalu sibuk uruskan bisnes antaranya bercuti bersama keluarga dan memberi perhatian terhadap anak-anak.

Saya juga gemar meluangkan masa dengan menulis di Facebook. Ia umpama diari peribadi saya untuk berkongsi nasihat, tip dan kaunseling buat para pengikut khususnya hal-hal berkaitan keluarga dan anak. Saya gembira kerana dapat menyumbangkan sesuatu dengan cara tersendiri.

Jauh di sudut hati untuk  merasa riak kerana apa yang dikongsi itu memberi mesej baik dan positif. Saya bersyukur kerana diberikan nikmat rezeki yang tak terhingga selama ini sehingga apa yang dilakukan semuanya menjadi.

Percaturan saya dan suami untuk keluar dari zon selesa dengan meninggalkan jawatan tinggi di syarikat terdahulu demi mencabar diri dalam bidang perniagaan ternyata berbaloi. Saya yakin Allah SWT sudah menetapkan rezeki buat saya. Sehingga ke satu tahap, saya juga tak boleh menjadi tamak.

Kini tiba masanya untuk saya melepaskan apa yang perlu dilepaskan kerana mahu memberi peluang kepada orang lain khususnya anak-anak muda yang kian rancak bersaing dalam perniagaan. Justeru, saya mengambil keputusan untuk menutup butik Hajaba dan Umrah Hajj.”

IKLAN

Mona turut berkongsi rasa bangganya terhadap perkembangan dunia perniagaan yang kini banyak dimonopoli oleh generasi muda. Bagi Mona inilah masanya untuk mereka mencuba dan tidak melepaskan segala peluang yang ada kerana masa muda hanya datang sekali.

“Disebabkan kami adalah kelompok terawal mengasaskan jenama Muslimah, nikmat kejayaan itu telah pun dikecapi. Begitu juga dengan susah senang dalam mengharungi cabaran dalam berniaga sebelum munculnya sosial media. Maka, kami tak perlu lagi bersaing dengan jenama-jenama yang ada sekarang.”

IKLAN

MENJADI DIRI YANG BARU

“Saya banyak habiskan masa di rumah bersama suami dan anak-anak. Segala tugas rumahtangga saya uruskan sendiri. Jadual saya kini penuh dengan aktiviti keluarga. Sesibuk mana pun kami cuba untuk meluangkan masa bersama anak-anak khususnya pada waktu malam dan hujung minggu. Perniagaan kini sekadar aktiviti sampingan dan tidak akan pernah terhenti.

Dulu saya sering memandang ringan terhadap solat lima waktu. Alhamdulillah kini saya menjadi seorang yang lebih baik berbanding sebelumnya. Saya menjadi Mona Din yang baru. Mudah lembut hati dan emosi juga lebih tenang.

Kalau dulu mudah nak marah dan mahu semuanya sempurna. Ia bertitik tolak daripada solat tahajjud yang saya amalkan. Masa untuk muhasabah dan memperbaiki diri. Saya disiplinkan diri dan turut berkongsi di Facebook bagaimana rutin saya bangun awal pagi setiap hari untuk bertahajjud.

Bukan niat untuk riak tetapi memberi inspirasi buat rakan-rakan pengikut saya untuk turut bersemangat untuk bertahajjud. Sama ada berada di Malaysia mahupun luar negara, saya tetap konsisten melakukan rutin amalan tahajjud ini. Alhamdulillah Allah SWT mudahkan segala urusan saya, apa yang dipinta Dia akan makbulkan.”