
“Saya rasa lebih waras bila workout.” Itu pengakuan jujur pengacara dan aktres jelita, Adriana Adnan, apabila ditanya mengapa beliau begitu komited terhadap dunia kecergasan. Di sebalik jadual penggambaran yang padat, wanita berusia 31 tahun ini membuktikan kesibukan bukan alasan untuk mengabaikan kesihatan fizikal dan mental.
Nama Adriana bukan lagi asing dalam komuniti kecergasan apabila berjaya menamatkan dua perlumbaan HYROX, bermula di Incheon, Korea Selatan bersama Nadia Annuar pada Mei lalu, sebelum kembali menyahut cabaran di Jakarta bersama sahabat baiknya, pelakon Shaza Bae.
Bagi Adriana, setiap perlumbaan bukan sekadar menguji kekuatan tubuh, malah membentuk disiplin, ketahanan mental dan keyakinan diri yang sukar diperoleh melalui rutin biasa.



Adriana Adnan Kongsi Pengalaman Sertai HYROX Buat Kali Kedua
Mengimbas penyertaannya di Jakarta, Adriana mengakui perasaannya jauh berbeza berbanding pengalaman pertama.
“Saya rasa nervous sebab saya dah tahu apa yang akan saya hadap dalam HYROX ni, but at the same time saya excited sebab kali ni pairing dengan kawan saya, Shaza Bae.”
Menurutnya, Shaza yang pertama kali menyertai HYROX belum pernah mengikuti latihan hybrid sebelum ini walaupun aktif dengan muay thai dan pilates. Justeru, Adriana berasa bertanggungjawab membantu rakannya memahami cabaran sebenar perlumbaan tersebut.
Walaupun sudah dua kali menyertai HYROX, Adriana bersyukur kerana tidak pernah mengalami kecederaan serius sepanjang pertandingan. Beliau mendedahkan rahsia itu sebenarnya bermula jauh sebelum hari perlumbaan.
“Takde injury, takde cramp atau side stitch. Semua ok sebab saya ikut cakap Nadia Annuar. Dia pesan supaya kawal pernafasan supaya tak kena side stitch.”
Selain teknik pernafasan, beliau turut menitikberatkan pengambilan karbohidrat beberapa hari sebelum perlumbaan bagi memastikan tubuh mempunyai tenaga mencukupi untuk menamatkan cabaran sejauh 8km bersama 8 functional workout stations yang terkenal mencabar.

Apa yang lebih mengagumkan, kedua-dua penyertaan HYROX dilakukan ketika Adriana sedang sibuk menjalani penggambaran megadrama Astro, Ikatan Terlarang.

Adriana Adnan Dedah Rahsia Seimbangkan Kerjaya, Latihan & Kehidupan Aktif
Beliau mengakui bukan mudah membahagikan masa antara kerjaya dan latihan.
“Tak banyak masa untuk training. Saya cuma sempat tiga hingga empat kali seminggu. Bila ada day off, call time lambat atau habis shooting awal, saya akan selitkan training untuk lari dan strength.”
Baginya, latihan tidak semestinya perlu dilakukan setiap hari. Yang lebih penting ialah konsisten memanfaatkan masa yang ada.
“Saya tak cukup training macam orang lain. Kalau saya tak kerja mungkin boleh training setiap hari tapi sebab shooting penat. So nak bahagikan masa tu agak sukar tapi I made it, alhamdulillah.”


Kisah Adriana membuktikan bahawa wanita moden tidak perlu memilih antara kerjaya atau kesihatan. Kedua-duanya mampu bergerak seiring dengan pengurusan masa yang bijak.
Lebih menarik, Adriana sebenarnya sudah aktif bersukan sejak zaman universiti lagi. Minat terhadap bola keranjang, larian dan pelbagai aktiviti fizikal akhirnya berkembang kepada pilates, yoga, muay thai serta latihan hybrid yang kini menjadi sebahagian daripada gaya hidupnya.
“Saya rasa saya lebih waras kalau saya buat aktiviti macam ni. Sebab kerja kita ni perlukan emosi, fizikal dan mental jadi bila saya workout, ini menyihatkan dan kekalkan berat badan saya.”
Bagi Adriana, kecergasan bukan sekadar untuk mendapatkan bentuk badan ideal, sebaliknya menjadi terapi yang membantu mengimbangi tekanan kerjaya dan kehidupan.
Tidak hairanlah beliau begitu menggalakkan lebih ramai wanita mencabar diri menyertai HYROX atau sekurang-kurangnya memulakan langkah pertama ke arah gaya hidup lebih aktif.
Nasihat Adriana kepada mereka yang baru ingin mencuba HYROX cukup praktikal.
“Start with running first. Lari 2km, 3km, then naikkan sampai 10km, buat strength training sebab HYROX adalah sports yang hybrid.”
Menurutnya, peserta perlu melatih daya tahan dan kekuatan secara seimbang kerana kedua-duanya sangat diperlukan sepanjang perlumbaan.
Beliau turut mengingatkan kepentingan pemakanan yang mencukupi.
“Yang paling penting, makanan dan nutrisi kena cukup sambil training sebab HYROX ni perlukan tenaga yang sangat banyak.”
Katanya, diet atlet HYROX berbeza daripada individu yang sekadar ingin menurunkan berat badan kerana tubuh memerlukan tenaga tinggi bagi menyempurnakan keseluruhan cabaran tanpa risiko kecederaan.
Dalam perjalanan kecergasannya, Adriana mengakui menerima inspirasi daripada pasangan Dr Say Shazril dan Dr Azura Abas yang berjaya mengimbangi kerjaya profesional dengan latihan serta perlumbaan HYROX.
Selain itu, Nadia Annuar turut memainkan peranan besar sebagai rakan sepasukan pertama yang banyak berkongsi ilmu sehingga beliau sendiri mampu membimbing Shaza Bae dalam perlumbaan di Jakarta.
Impian Adriana juga belum terhenti di situ.
Adriana Adnan Mahu Cabar Diri Sertai HYROX Kategori Single Di Malaysia
Beliau berharap suatu hari nanti dapat bertanding dalam kategori Single HYROX di Malaysia, sekali gus menguji kemampuan dirinya secara individu.
Sementara itu, jadualnya terus padat apabila kini sedang membuat persiapan menyertai AIA Half Marathon 21 kilometer bersama suaminya pada 19 Julai nanti.
“First time saya join dengan suami saya. Kami excited tapi nervous sebab tak tahu cukup ke masa untuk berlatih.”
Di sebalik kesibukan sebagai pelakon, pengacara dan atlet, Adriana Adnan membuktikan bahawa gaya hidup aktif bukan tentang menjadi yang terpantas atau paling kuat.
Sebaliknya, ia tentang keberanian menjaga diri, membina disiplin dan sentiasa memberi ruang kepada tubuh serta minda untuk menjadi lebih sihat setiap hari. Itulah inspirasi sebenar yang menjadikan perjalanan kecergasannya dekat di hati ramai wanita.
Artikel berkaitan: Shaza Bae & Adriana Adnan Tamatkan HYROX Jakarta 2026, Semangat Juang Mereka Jadi Inspirasi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


