Berperwatakan lembut dan sejuk mata memandang itu antara kelebihan yang dimiliki pelakon yang semakin menjadi perhatian ketika ini, Amyra Rosli. Bukan sekadar cantik bahkan lakonannya pun kian mantap dan cukup terkesan di jiwa.
Apa yang menyenangkan tentang pemilik nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli yang berusia 28 tahun ini ialah dia tetap ramah dan humble walaupun namanya kini berada di puncak populariti. Mungkin sebab itulah rezekinya kian mencurah-curah bukan hanya dalam karier bahkan komersil.
“Alhamdulillah selagi orang percaya dengan bakat dan kemampuan saya akan terus memberikan yang terbaik. Apabila berada di puncak populariti, saya anggap ia sebagai satu bonus sekaligus terus mengekalkan reputasi yang baik dalam industri.
Secara tak langsung juga ia mengingatkan saya agar sedar dari mana saya bermula. Sebenarnya bila ramai yang memuji saya jadi semakin nervous kerana pujian juga adalah dugaan dari Allah SWT. Dia nak lihat sama ada kita ni mudah riak atau sebaliknya. Jadi saya perlu sentiasa beringat.”
ANAQI SUMBER KEKUATAN
Ads
Tiga tahun Amyra melayari bahtera rumahtangga bersama aktor kacak, Amar Baharin. Kehadiran Aqeef Anaqi yang kini berusia dua tahun melengkapi kehidupan pasangan bahagia ini.
“Kalau tak terlibat dengan komitmen kerja, masa saya lebih banyak dengan Anaqi. Jaranglah kalau nak me time. Bagi saya momen bersama anaklah paling sayang untuk dilepaskan. Penat macam mana pun saya takkan pernah merungut. Anaqi sumber kekuatan saya untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.
Ads
Suami pula sentiasa memberi kata-kata semangat dan tak pernah halang saya berlakon. Selalunya sebelum terima sebarang tawaran berlakon saya akan minta izin suami dulu termasuk menjelaskan keseluruhan jalan cerita kepadanya.
Pesan suami apa saja yang saya buat, buat sehabis baik. Dan kami tak pernah fikir siapa lebih, siapa kurang. Saya percaya rezeki itu ada bersama suami. Bagi saya apa yang suami dapat, saya juga dapat.
Suami amat mementingkan keluarga termasuk saya yang juga seorang family person dan sentiasa bersama keluarga. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang memahami dan ibu yang dapat menguruskan kerjaya saya dengan baik. Saya tak akan berada di tahap sekarang tanpa restu keluarga.”
Selain mengagumi wanita sukses Amyra turut menjadikan ibunya, Noor Zaridah Ahmad sebagai inspirasi. Impian Amyra, selain memantapkan lagi kerjaya seninya dia juga berhasrat untuk memiliki empayar family business suatu hari nanti.
Untuk kekal cantik luar dan dalam Amyra mengamalkan pengambilan svitamin C setiap hari. Selain itu, Amyra juga obses dengan kecantikan rambut. Antara drama popular lakonan Amyra ialah Isteri Tuan Ihsan dan Suamiku Encik Sotong.
Kredit Foto: Instagram Aamyra Rosli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apabila sebut saja nama pelakon terkenal Bollywood ini, sudah pasti terbayangkan lakonan mantapnya dalam filem Mann bergandingan dengan pelakon, Amir Khan. Filem ini juga terkenal apabila Manisha Koirala tampil berani berlakon dengan gaya solekan yang minimalis membawa watak Priya Verma.
Manisha Koirala mula terkenal selepas bergandingan dengan pelakon hebat Bollywood Dato’ Shah Rukh Khan dalam filem Dil Se pada tahun 1998. Seterusnya namanya meniti di bibir peminat filem Bollywood seperti Akele Hum Akele Tum.
Namun siapa sangka, sekitar tahun 2012 wanita cantik ini telah diduga apabila disahkan mengidap kanser ovari. Kisah hidup wanita yang berusia 50 tahun ini tidak terhenti begitu saja apabila terus positif menjalani rawatan kansernya.
Pelakon wanita yang berasal dari Nepal ini telah mendapatkan rawatan untuk membunuh sel kanser dalam tubuhnya di Memorial Sloan Kettering Cancer Centre di Amerika Syarikat.
Pada bulan Mei 2013, Manisha telah mengumumkan bahawa doktor telah mengesahkan dirinya bebas kanser dan bergelar cancer survivor. Manisha juga telah mencatatkan perjalanan hidupnya sepanjang mendapatkan rawatan kanser dalam sebuah buku yang bertajuk, Healed: How Cancer Gave Me A New Life.
Salah satu perkongsian Manisha dalam bukunya ini, “…the cancer had spread like a bowl of Rice Krispies all over the organs,”. Namun kini Manisha lebih positif menjalani kehidupan dengan menghindarkan diri dengan stres dan mengamalkan pola pemakanan yang sihat. “Jika saya rasa terlalu penat, saya akan tidur sekejap atau ambil makanan yang sihat. Paling tidak pun saya akan memanjakan diri di spa.
Pada tahun lalu Manisha telah kembali ke dunia seni menerusi filem Sanju. Wanita cantik ini juga kelihatan sering berkongsi pengalaman hidupnya sebagai penceramah atau cancer survivor.
Baru-baru ini pelakon cantik ini telah muncul dalam filem terbitan netflix yang bertajuk Maska. Tampil dengan lakonan mantap dan tetap cantik macam dulu-dulu.
Sumber: thehindu.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah untuk menjejak kisah terbaru usahawan wanita bertaraf legenda ini. Barangkali di atas faktor umur dan tidak lagi memimpin PT Mustika Ratu, beliau lebih senang menikmati sisa kehidupan jauh daripada perhatian media. Ibu Mooryati juga selesa beristirahat dan menyerahkan urusan dunia kepada para pewaris.
Mesra dan menyenangkan. Seperti masih terbayang momen penulis menemu bual Ibu Mooryati dan anakanda, Putri Kuswinu Wardani saat mereka berkunjung ke Malaysia.
Biarpun sudah sedekad lamanya, kenangan itu kini bertukar rindu terhadap jenama gergasi Indonesia yang cukup sebati di hati. Bayangkan walau berstatus jutawan kosmetik serta memiliki segudang harta yang melimpah-ruah, keluarga ini tetap merendah diri.
Kerana rindu menemukan penulis dengan cucu-cucu Ibu Mooryati iaitu adik-beradik Dr Kusuma Puteri dan Kusuma Anggraini, anak kepada Djoko Ramiadji (anak sulung Ibu Mooryati).
Menerusi akaun Ninik yang memegang posisi Pengarah Hotel Sheraton Mustika, Yogyakarta, perkongsian mereka bersama nenda kesayangan yang dipanggil Eyang Ti, mengubat kerinduan. Paling seronok tengok sambutan hari jadinya yang ke-94!
Masih kelihatan sihat dan bertenaga pada usia mencecah seabad, rahsia pengasas Mustika Ratu itu tak lain dan tak bukan hanyalah amalan minum jamu.
“Dari masih muda saya rajin minum jamu, saat ini pun saya masih rajin. Saya biasanya minum beras kencur yang saya buat sendiri di rumah.” Ibu Mooryati
Dengan kulit wajah yang masih licin, Ibu Mooryati membuktikan bahawa jamu adalah rahsia awet muda yang sangat mustajab.
Tengok kehidupan keluarga dan cucu-cucu beliau pun harmoni belaka. Semua cantik-cantik dan tampan, paling penting hidup senang serta berkerjaya bagus. Antaranya dua beradik ini yang bergelar doktor dan pengurus hartanah.
CUCU RAJA JAWA
Barangkali tidak ramai menyedari bahawa pengasas Mustika Ratu, Dr. B.R.A Mooryati Soedibyo ini merupakan seorang cucu Raja Jawa yang juga digelar pahlawan nasional Indonesia, Sri Susuhunan Pakubuwana X.
Dilahirkan pada 5 Januari 1928 di Solo, Ibu Mooryati membesar di istana, atau keraton, di Surakarta yang sarat kebudayaan Jawa. Di sini jugalah beliau mengenal tumbuhan berkhasiat, meramu jamu dan kosmetik tradisional dari bahan semula jadi.
Nenda Ibu Mooryati merupakan pemerintah dari susuhunan kesembilan Kesunanan Surakarta (1893-1939) sekaligus menjadikan keluarga itu susuhunan paling lama memerintah dalam sejarah Surakarta.
Gelaran B.R.A pada pangkal nama Ibu Mooryati adalah singkatan kepada Bendara Raden Ayu yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan putera puteri Sultan, cucu cicit hinggalah generasi di bawahnya.
BERNIAGA
Cantik dan pintar. Begitulah gambaran masyarakat terhadap sosok Ibu Mooryati sejak dahulu lagi.
Beliau merupakan alumni Universitas Saraswati, Universitas Terbuka dan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Bahkan gelaran Doktor diperoleh dari Universitas Indonesia dalam jurusan Ekonomi.
Bukan itu sahaja, Ibu Mooryati merupakan penerima gelaran doktor tertua di Indonesia dan tercatat dalam The Indonesia World Records Museum (MURI)!
Seorang yang pandai menari, wanita ini menikah saat usianya menginjak 37 tahun. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Soedibyo Purbo Hadiningrat pada tahun 1965, kemudian mengikuti suaminya bertugas di Sumatera Utara.
Sebagai suri rumah, Ibu Mooryati fokus terhadap tugasnya sebagai ibu anak lima. Sambil menjaga Djoko Ramiadji, Putri Kuswinu Wardani, Dewi Nur Handayani, Haryo Tejo Baskoro dan Yulia Astuti di rumah, beliau mengamalkan jamu setiap hari.
Siapa sangka, hobi minum jamu Ibu Mooryati menjadi ikutan wanita lain. Beliau menggunakan resipi asli Keraton Surakarta untuk meracik jamu dan kosmetik dari bahan alami.
Jamu racikan ini mula digemari dan mendapat banyak tempahan. Di situlah bermulanya idea untuk berniaga.
Tanpa mempedulikan komen-komen negatif, beliau merintis perniagaan jamu dari ruangan garaj di rumah. Waktu itu (tahun 1973) Ibu Mooryati hanya sekadar mempunyai modal Rp 25,000 (sekitar RM7) untuk membangunkan Mustika Ratu.
“Trahing kusumo rembesing madu, trahing sinatrio mustikaning ratu.” Peribahasa Jawa
Mengambil nama Mustika Ratu dari peribahasa Jawa, empayar Ibu Mooryati pun berkembang ketika umurnya 45 tahun. Dari bantuan dua orang pembantu menjadi 25 orang dan kemudian meningkat 50 orang. Kesemua pekerja ini mendiami rumahnya.
Ingat lagi nama-nama jamu Mustika Ratu yang pernah kita amalkan dulu? Antaranya Perawatan Remaja Putri, Perawatan Wanita, Kesepuhan dan Sepetan Sari yang sering dijual di toko-toko jamu dan salun kecantikan.
Tahun 1981, Ibu Mooryati membangunkan gedung sendiri hasil pinjaman bank berjumlah Rp100 juta untuk memajukan Mustika Ratu. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Maju terus dan memartabatkan produk tempatan Indonesia secara holistik.
‘Semangatmu, dedikasimu, karyamu dan kerja kerasmu akan selalu menjadi inspirasi yang berharga untuk wanita Indonesia’ Mustika Ratu
LEGENDA
Ibu Mooryati banyak menjalankan program di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengangkat sosok wanita yang kuat. Salah satunya pertandingan Puteri Indonesia yang berinspirasikan daripada acara Miss Universe yang dihadirinya pada tahun 1990.
Percaya bahawa wanita mampu memimpin dan menguruskan organisasi, beliau menerapkan prinsip Pemberdayaan Perempuan untuk mencapai kesamarataan gender.
Tak hairanlah syarikat beliau terpilih sebagai advocate dalam G20 EMPOWER serta menjadi antara 60 perusahaan di Indonesia dan antara 4,637 perusahaan di dunia yang tergabung dalam Women’s Empowerment Principle.
Kini meskipun Ibu Mooryati tidak lagi bekerja keras seperti dulu namun legasi Mustika Ratu terus menjadi kebanggaan rakyat jiran dan menjana ekonomi rakyatnya. Semoga segala jasa dan usaha keras wanita ini mendapat penghargaan sewajarnya!
Foto: Instagram @ninik102
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sepanjang 3 bulan berjuang mengekang penularan wabak COVID-19, seluruh rakyat Malaysia menjadi saksi pengorbanan para petugas barisan hadapan. Kita umpama sebuah keluarga besar yang cekal dan sabar mengharungi saat sukar ini bersama-sama.
Sehinggalah 10 Jun 2020 telah menjadi detik ‘keramat’ yang dinanti-nanti oleh semua apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula. Kes baharu kian menurun, lebih banyak kelonggaran diberikan oleh kerajaan.
Salah seorang petugas barisan hadapan, Dr Nurul Huda Mohd Zainol atau Dr Huda pernah berkongsi pengalaman meruntun jiwa ketika menjaga pesakit COVID-19 di awal penularan wabak ini (baca artikel sebelumnya, KLIK SINI).
Dua hari lalu, Dr Huda kembali berkongsi coretan ringkas di akaun Facebook miliknya, Huda Ninol II. Walaupun tempoh 3 bulan itu sangat menduga namun jauh di sudut hatinya berasa sebak ketika terkenangkan memori suka duka sepanjang berada di wad pesakit COVID-19.
SEBAK
“When this over, you surely will be missing all those good memories in fighting COVID-19 with nation. Sejarah terlakar. Sekarang ada satu cerita lagi untuk anak cucu selain cerita darurat di Mesir.
Berjuang selama 3 bulan, Perdana Menteri mengumumkan kini masuk fasa pemulihan. Sedikit sebanyak rasa sebak di hati. Jumlah pesakit juga makin berkurang.
Aktiviti harian rakyat berjalan semula. Tipulah kalau kata kami tidak takut kalau ada kenaikan kes. Tetapi kami tetap akan sedia membantu. Kerana itulah janji kami dari sekolah perubatan lagi.
Terima kasih warga Malaysia dan seisinya. Sesungguhnya tempoh PKP adalah sangat mencabar. Begitu ramai dihentikan kerja, hilang punca pendapatan dan banyak lagi. Tetapi ketahuilah keadaan Malaysia hari ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama semua.
BANGGA BERGELAR DOKTOR Hari pertama bila tahu kena join team COVID-19, minta Mak potongkan rambut sependeknya. Sungguh, itulah pertama kali aku berambut pendek sebab hendak mudah pakai PPE. Pakar dan juga ahli perubatan lain turut memotong rambut. Demi perjuangan baru ini!
Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan bergelar seorang doktor. Doakan semua kakitangan kesihatan yang ada di sini mendapat kebaikan dalam kerjaya. Moga Allah SWT merahmati semua jasa doktor yang memerah keringat siang dan malam menjaga pesakit.
Kepuasan itu yang menyebabkan ada daya dalam kehidupan ini. PadaNya ku bersujud menjadikan hati ini ikhlas seikhlasnya bekerja.”
Terima kasih dan tahniah buat para petugas barisan hadapan atas komitmen yang diberikan demi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala jasa dan pengorbanan mereka.
Apa pun kita terus budayakan kehidupan baharu dalam kehidupan seharian seperti menjaga kebersihan dan penjarakan sosial dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Semoga wabak ini beransur hilang seterusnya kita dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala. Tanggungjawab mengawal penularan wabak COVID-19 kini terletak di bahu kita semua.
Kredit: Facebook Huda Ninol II
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Datin Intan Najuwa terus mengembangkan empayar Dico Brew dengan membuka cawangan baharu walaupun sedang sarat hamil anak kedua. Semangatnya sebagai usahawan menjadi inspirasi wanita.