Tahun lalu, pasangan doktor yang juga suami isteri ini meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10 di tanah suci Mekah.
Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang yang turut terkenal di platform media sosial kerana sering berkongsi tip-tip kesihatan bersyukur dapat menunaikan impian isterinya Dr Rushaida Zabidi untuk meraikan anniversary mereka di Mekah sambil mengerjakan umrah.
Tahun ini, mereka sekali lagi diizinkan Allah SWT untuk bersama-sama mengerjakan ibadah haji. Menariknya, niat pasangan ini untuk ke tanah suci mengerjakan haji sebelum umur 40 tahun termakbul.
Berita gembira itu telah dikongsi oleh Dr Samhan di akaun Instagramnya. Beliau memuat naik perbualan ringkasnya bersama isteri.
“Bang, tahun depan kita pergi haji ya”
“Memang niat di hati nak buat haji sebelum umur 40.
“Masih ada 3 tahun lagi. Kalau tak pergi tahun ni, tahun depan. Kalau tak tahun depan, tahun depan sekali pun ok.
“Melihat wajah isteri tercinta, jelas dia tekad.
Ads
“Sayang doa sungguh-sungguh tahun ni nak pergi haji masa buat umrah haritu”
“InsyaAllah. Jika kita dipilih, Allah mudahkan.”
Pun begitu, jauh di sudut hati Dr Samhan bahawa banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum melaksanakan rukun Islam ke-5 itu.
“Kerja, anak-anak dan kewangan. Semuanya perlu disusun rapi.”
Dr Samhan turut berkongsi detik pertemuan dengan sahabat-sahabatnya beberapa bulan lalu. Ianya menjadi titik tolak kepada keputusan ke tanah suci.
Ads
“Masih lagi sangsi. Sehinggalah kami ziarah sahabat kami @rosezainal_official @hishammazelan @azidtahar @nuthrazak beberapa bulan lepas.
“Dr dah WAJIB pergi haji!”
“Kata-kata Tuan Azid buat kami tersentap.
“Dr kena lengkapkan rukun Islam ke-5. Dr selesai urusan dengan Allah, Allah mudahkan urusan Dr yang lain.
“Kami pergi haji dulu, bergolak bergadai. Tapi semuanya kami serah pada Allah.”
Mendengarkan itu, Dr Samhan dan isteri teruskan nekad.
Ads
“Memang betul-betul buat kami terus nekad. Allah lorongkan jumpa sahabat-sahabat yang baik. Terus kami bersemangat. Doa tak putus-putus. Sungguh-sungguh minta dengan Allah.
“Alhamdulillah, beberapa hari lepas kami dapat keputusan dipilih Allah jadi tetamuNya untuk tunaikan haji tahun ini. Subhanallah.
“Tak terkata. Rasa sayu. Rasa sebak. Rasa syukur. Terus sujud syukur. Tanpa sedar, air mata terus mengalir laju. Allah pilih kami. Allah jemput kami. Allah tunaikan hajat kami. Allahuakhbar.
“Sayang, ini hadiah hari jadi kita paling mahal dari Allah”
“Doakan perjalanan kami dipermudahkan dan diterima amalan serta dikurniakan Haji Mabrur. Maafkan segala silap salah kami. Kami doakan kalian juga dijemput Allah untuk tunaikan haji tahun depan. Amin.”
Semoga dimudahkan segala urusan Dr Samhan dan isteri serta dikurniakan haji yang mabrur.
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tragedi meruntun jiwa yang mengorbankan enam sekeluarga akibat lemas selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam Sungai Korok, Kedah baru-baru ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.
Lebih memilukan, hanya seorang anak yang terselamat iaitu Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang ketika kejadian berada di rumah neneknya di Jerlun.
Pada usia yang masih muda, Putri Qisya terpaksa berhadapan dengan ujian terbesar dalam hidupnya apabila kehilangan ibu ayah serta adik beradiknya sekaligus bergelar anak yatim piatu.
Ia bukan sahaja menyentuh jiwa semua bahkan turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Fadhlina Sidek.
Atas tanggungjawab sebagai Menteri yang juga seorang ibu, beliau terpanggil untuk membantu.
Baharu memulakan lawatan kerja ke Kedah, YB Fadhlina Sidek mengambil peluang menziarahi Putri Qisya di sana.
YB Fadhlina Sidek berkongsi detik pertemuannya bersama Putri Qisya dengan memuat naik satu hantaran di Instagram.
“Saya mulakan lawatan kerja ke Kedah pada Ahad dengan menziarahi anakanda Putri Qisya Nur Izzat di sekolah.
“Selepas seminggu kejadian kemalangan yang mengorbankan enam sekeluarga di negeri ini, saya ingin pastikan anakanda Putri Qisya berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, semuanya baik. Anakanda Putri Qisya telah mula bersekolah.”
YB Fadhlina Sidek yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memohon pihak bertanggungjawab turut memberikan perhatian sewajarnya kepada Putri Qisya dari segi sokongan moral dan pendidikan yang terbaik.
“Saya pinta supaya pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memberi penekanan kepada aspek sokongan psikososial anak ini.
“Kementerian Pendidikan menerusi JPN Kedah akan memastikan akses pendidikan terbaik dapat disediakan untuk beliau.”
Selain mendoakan agar Putri Qisya dikurniakan kesabaran dan ketabahan, YB Fadhlina Sidek turut menzahirkan ucapan terima kasih buat mereka yang telah memberi bantuan dan sokogan kepada Putri Qisya.
“Terima kasih kepada semua yang telah memberi bantuan dan sokongan kepada beliau.”
Semoga Putri Qisya kekal tabah menghadapi hari-hari mendatang seterusnya menjadi anak yang solehah serta berjaya dunia akhirat.
Terdahulu, jasad enam sekeluarga yang hilang pada 5 Julai 2025 selepas pulang bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman ditemui dalam kereta Proton Iswara di Sungai Korok pada 7 Julai 2025.
Mangsa disahkan sebagai Mohamad Azim Izat Ishak, 32; isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi 31. Manakala empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izza, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7 dan Tuah Haydar, 6 bulan.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor, Karang di Jerlun, Kedah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-fatihah (dibaca).
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melihat penampilan dirinya yang sentiasa ceria dan penuh senyuman, ia sekaligus memberikan aura positif untuk individu yang berada di sekelilingnya. Positif dan penuh bertenaga terutamanya ketika bercerita soal kerjaya dan perniagaan yang diusahakan menjadikan nama Ili Sulaiman sebaris dengan cef selebriti yang lain.
Faktor tubuh gempal tidak sesekali menjadi penghalang untuk Ili memajukan dirinya baik dalam bidang perniagaan mahupun bidang masakan yang amat dicintainya itu. Mula dikenali di kaca televisyen melalui rancangan memasak dikenali sebagai Diari Mangkuk Tingkat, populariti Khalisah Sulaiman semakin dikenali.
Namun sebelum muncul sebagai cef selebriti, Ili terlebih dahulu menceburkan diri dalam dunia perniagaan makanan iaitu servis penghantaran makanan ke rumah menggunakan mangkuk tingkat klasik, Ili meneruskan momentum dengan menghoskan rancangan sendiri antaranya termasuklah By The Sea menerusi saluran Asia Food Channel atau AFC, Home Cooked dan sebagainya. Menambahkan resume dalam kejayaan peribadinya, Ili memenangi program Food Hero terbitan Asian Food Channel dan Food Network .Lebih manis, walaupun masih baru dalam lapangan masakan, Ili berjaya menjuarai pertandingan itu.
Soal tubuh besar bukanlah perkara yang boleh menjatuhkan keyakinan diri anak jati dari Kuala Lumpur ini memandangkan dirinya mewarisi genetik keluarga yang sememangnya mempunyai saiz tubuh yang besar baik dari ibu serta bapanya. Namun begitu, pemegang Ijazah Perniagaan dari Queen Mary University of London, England, ini menganggap ia sebagai kelebihan untuk dirinya dan bangga dengan bentuk tubuh dimilikinya.
“Pada pandangan saya, curvy girls mempunyai keistimewaan mereka yang tersendiri. Apa yang penting, mereka perlu bijak memilih pakaian yang bersesuaian dengan bentuk tubuh supaya tidak nampak tidak selesa dan penampilan yang kurang menarik,” ujar Ili yang memandang positif dalam soal penampilan diri.
Tambah Ili lagi, ketika berada di zaman persekolahan, dia pernah digelar Big Friendly Giant (BFG) lantaran saiz tubuhnya yang berbeza dari rakan-rakan sebaya. Namun bagi Ili, didikan keluarga yang memberi dorongan untuk dirinya sentiasa berfikiran positif menjadikan ‘gelaran’ tersebut sesuatu yang terpencil dan tidak berkudis di hatinya.
“Ketika di zaman persekolahan, gelaran BFG diberikan kepada saya memandangkan saiz tubuh yang berbeza dengan rakan sebaya. Jika beratur di dalam barisan juga, saya akan berdiri di belakang sekali kerana lebih besar dari rakan sebaya. Tetapi gelaran tersebut tidak sedikitpun terkesan di hati kerana ibu bapa saya menerapkan nilai positif dalam diri sejak kecil lagi.
Ibu adalah contoh terbaik buat Ili yang dibesarkan di dalam keluarga multi rational. Jadi, kami lebih berfikiran terbuka dan berbincang antara satu sama lain,” sambung Ili yang gemarkan gaya yang ringkas dalam berfesyen.
Ili turut berkongsi beberapa tips fesyen yang sesuai untuk wanita yang mempunyai susuk tubuh sepertinya. Menurut Ili, antara tips fesyen yang diamalkannya termasuklah memilih aksesori yang minimalis dan tidak sarat kerana ia bakal menyebabkan seseorang nampak lebih besar dari saiz badan sebenar.
“Ili sarankan setiap individu ketahui bentuk tubuh masing-masing kerana tubuh manusia akan mengalami perubahan dan pengetahuan mengenai tahap kesihatan amat penting untuk memastikan tubuh yang gempal mahupun kurus berada pada kesihatan yang baik.”
MEMASAK BUKTI KEJAYAAN
Menurut anak tunggal ini lagi, stigma wanita bertubuh gempal sering dikaitkan dengan faktor pemakanan yang tidak seimbang perlu ditepis kerana ia merupakan persepsi yang bukan sahaja menjatuhkan reputasi wanita bertubuh gempal, malah ia boleh memberi gambaran negatif terhadap fizikal seseorang yang berbeza di antara satu sama lain.
“Pada pandangan saya, stigma tersebut perlu diubah kerana tidak guna mempunyai aura negatif yang hanya akan merosakkan diri sendiri. Bagi diri saya sendiri, dunia masakan bukan perkara yang asing kerana sejak kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan aktiviti di dapur seperti memotong sayur, memasak, membuat kek dan menyediakan masakan oleh ibu, Khalilah Mitchell, Walaupun saya anak tunggal, ibu dan ayah memiliki keluarga yang besar. Kami selalu mengadakan aktiviti rewang jika terdapat majlis kesyukuran atau sambutan hari jadi.
Tambahan pula, ibu dan nenek memang handal bab memasak. Jadi, sedikit sebanyak bakat itu turun kepada saya,” ujar Ili sambil memberitahu, dia menggemari masakan tulang rusuk lembu bersama mangga yang disediakan oleh ibu tersayang.
Mengimbas kembali bagaimana dirinya melibatkan diri dalam dunia masakan, menurut Ili, sebaik menamatkan pengajian peluang bekerja di sebuah restoran mewah di London iaitu Restoran Mosimann merupakan pembuka jalan untuk dirinya menceburkan diri dalam bidang yang digemarinya itu. sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.
“Sepanjang tiga tahun bekerja di restoran itu, saya berpeluang menjadi sebahagian daripada kru majlis makan malam untuk pasangan diraja Britain iaitu Putera William dan isterinya, Kate Middleton di Istana Buckingham. Pengalaman bekerja itu menambah keyakinan saya untuk menceburi bidang masakan setelah pulang ke tanah air,” ujar Ili yang bersyukur keputusannya itu mendapat sokongan penuh dari bapa tersayang, Sulaiman Abu Bakar.
Sejurus pulang ke Malaysia pada tahun 2014, Ili mengusahakan perniagaan menjual makanan siap dimasak menerusi Instagram, Dish by Ili pada Julai tahun yang sama. Lebih istimewa, makanan itu dijual di dalam mangkuk tingkat yang boleh dikongsi lebih dari seorang.
“Mangkuk tingkat adalah bekas aluminium bulat berisi makanan yang diletakkan secara bertingkat-tingkat. Ia lazimnya digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk membawa bekal makanan ke tempat kerja atau sekolah. Ili gembira kerana usaha ini sekaligus dapat memartabatkan penggunaan mangkuk tingkat yang diwarisi dari zaman ke zaman dan menggalakkan setiap individu membawa bekalan ke sekolah mahupun ke tempat kerja”
Tambah Ili lagi, melalui pengenalan hidangan di dalam mangkuk tingkat juga membuka ruang rezeki untuk dirinya bergelar cef selebriti apabila dilamar Astro Ria menerusi program Diari Mangkuk Tingkat Ili pada Februari 2015 yang lalu.
“Ili rasa puas dapat menyumbang sesuatu untuk masyarakat melalui makanan. Jelas ia mendekatkan antara satu sama lain dan meletakkan soal saiz tubuh jauh dari persepsi negatif. Apa yang penting, kesihatan tetap diberi keutamaan,” ujar Ili seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berkesempatan bertemu pelakon Catriona Ross di majlis pelancaran koleksi tudung Sugarscarf baru-baru ini, dia sempat berkongsi cerita bakal menempuhi perjalanan jarak jauh bersama keluarga tersayang.
Memilih untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarganya di Scotland sejak 19 April lalu, Catriona Ross bersyukur Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dia sekeluarga berkesempatan menyambutnya bersama bapa tersayang, Bahrin Ross Abdullah Ross.
Catriona atau Norhayati Ross Baharin Ross, 43, berkata, percutian itu turut disertai oleh anak lelakinya iaitu Jammal Al Raess, 11, yang juga penghidap autisme. Menurut Catriona, dia sememangnya teruja dengan percutian dan Aidilfitri tahun ini kerana ia merupakan kali pertama Jammal mengharungi perjalanan panjang menggunakan pesawat dan berbangga dengan pencapaian anak kesayangannya itu.
“Perjalanan kali ini terutamanya pulang kampung di Scotland dan London sambil membawa anak autisme adalah satu perjalanan paling bermakna buat kami. Selama bertahun-tahun saya membayangkan bagaimana agaknya anak istimewa saya sekiranya berada di luar negara bersama kami.
Menurut Catriona, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Doha mengambil masa selama 8 jam. Sepanjang perjalanan, dia sudah menyediakan segala keperluan buat anak lelakinya, Jammal Raess. Namun begitu, Catriona menzahirkan rasa syukur anaknya mampu melalui perjalanan yang jauh tanpa sebarang masalah. Malah penerbangan sambungan dari Doha ke Scotland selama enam jam juga berjalan dengan lancar.
“Akhirnya, anak lelaki kami dapat menjejakkan kaki di London dan kami sempat merakamkan foto kenangan bersama di hadapan mercu tanda The Great Bell,” katanya.
Catriona berkongsi mengenai momen tersebut menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya. Selain meraikan Aidilfitri di Scotland, Catriona bersama keluarga turut mengambil kesempatan berkunjung ke beberapa tempat termasuk London.
Menceritakan mengenai Jammal, Catriona berkata, percutian itu bukan sekadar melancong tetapi membuktikan anak istimewanya itu berjaya melawan ketakutannya sebelum ini.
Kongsinya, Jammal dahulunya seorang penakut dan akan menangis sekiranya mendengar bunyi-bunyian yang kuat. Momen tersebut merupakan sesuatu yang amat disyukuri oleh mereka sekeluarga di mana anak istimewa ini dapat mengatasi ketakutannya.
“Kalau dulu dia akan menangis dan melarikan diri apabila mendengar bunyi pembersih vakum.Hari ini anda boleh lihat bagaimana dia gembira dalam gambar yang saya kongsikan ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Jammal disahkan menghidap autisme tanpa komunikasi iaitu ketidakupayaan bertutur dan hanya boleh bercakap beberapa patah perkataan.
Sebelum ini, Catriona pernah berkongsi hatinya remuk apabila mendapat tahu keadaan anaknya itu namun bersyukur Jammal kini boleh menguruskan diri sendiri meskipun tidak boleh berkomunikasi.
Catriona mendirikan rumah tangga dengan Shaharuddin Mokhtaruddin pada 26 Jun 2009 dan selain Jammal, pasangan itu turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Sephina Rania, 13 dan Edruce Riyadh, 8 tahun.
Bercerita mengenai sambutan Raya di Leith, Edunburgh, Catriona tetap menyediakan persalinan baju raya buat keluarga tersayang sebagai simbolik meraikan kedatangan Aidilfitri meskipun berada di luar negara.
“Saya sempat menyediakan hidangan istimewa seperti masak lodeh dan nasi impit jam 6 pagi waktu Scotland untuk dinikmati seisi keluarga. Pendek kata, raya kali ini sememangnya istimewa dapat meraikan bersama bapa dan keluarga yang lain,” ujar Catriona seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Marisha Friska Halauwet membuktikan wanita mampu berjaya sebagai doktor pakar bedah dan penyanyi terkenal, inspirasi wanita moden dalam dua dunia berbeza.