Aduh, kecewa rasa apabila pulang ke rumah melihat anak anda sedang bergembira bersama pengasuh. Si kecil langsung tidak menghiraukan anda yang sedang tersenyum lebar di muka pintu menanti untuk memeluknya.

Hendak berhenti kerja dan menumpukan 100% perhatian kepada mereka, susah pula kerana terlalu banyak komitmen yang perlu diselesaikan. Hendak dihantar ke rumah asuhan, bimbang pula dengan kes penderaan terhadap kanak-kanak yang sedang berleluasa.

IKLAN

Anda berada di dalam dilema. Rasa cemburu mula menguasai diri namun anda perlu bertindak agar si kecil tidak melupakan ibunya sendiri. Beberapa tip di bawah mungkin berguna untuk dimulakan dari sekarang.

(a) Aktiviti di tempat tidur

Mulakan dengan bacaan sebelum tidur. Anda boleh memilih untuk memperdengarkan kisah-kisah mengenai para nabi, kisah dongeng atau kisah tauladan. Sebagai ibu, anda perlu mula menghafal cerita-cerita kanak-kanak atau lebih sesuai kisah yang mereka gemari. Atau, anda boleh mencuba khayalan anda mencipta sebuah cerita tauladan yang mungkin mereka akan sukai.

Aktiviti fizikal juga boleh dilakukan. Ajak mereka berguling di lantai atau baring menghadap siling rumah, seolah-olah anda berdua sedang memerhatikan bulan dan bintang. Bawa mereka dalam khayalan sambil mengambil kesempatan untuk bermesra dengan mereka melalui pelukan dan ciuman.

Putarkan muzik yang sering anak-anak dengar atau yang mereka sukai. Ajak mereka memejamkan mata sambil anda berbual mengenai aktiviti hari ini. Biarkan mereka bercerita dan sekiranya perlu, tambahkan dengan pujian. Jangan sampai anda pula tertidur dahulu!

(b) Lupakan urusan pekerjaan

Anda sudah banyak meluangkan masa di pejabat. Apabila tiba di rumah, inilah masanya untuk anda luangkan bersama keluarga terutamanya si kecil. Telefon bimbit dan komputer riba seharusnya berada jauh dari tempat anda bersama anak-anak kerana inilah halangan yang akan membantutkan kemesraan anda bersamanya.

(c) Cipta aktiviti rutin

Luangkan sedikit masa pada waktu pagi bersamanya. Sebelum ke tempat kerja, mandikan si kecil dan ajak si kecil memilih baju yang ingin dipakainya. Siapkan sarapan pagi yang paling digemarinya.

Sukar untuk menjadikan aktiviti pagi sebagai rutin harian tetapi anda perlu berusaha demi kebahagiaan si kecil dan anda. Ketika mandi, cubalah bermain dengannya. Buihkan muka mereka contohnya dalam bentuk janggut atau rambut. Pagi hari yang gembira akan meninggalkan kesan positif dalam hari-hari si kecil.

IKLAN

(d) Belajar daripada pengasuh

Jangan ego untuk belajar daripada pengasuh. Ambil seberapa banyak maklumat dari mereka mengenai apa yang disukai dan yang tidak disukai. Fahami keletah si kecil dengan baik agar anda juga boleh mengikat tali kasih sayang bersamanya. Jadikan perkara ini sebagai motivasi untuk lakukan yang lebih baik daripada pengasuh.

(e) Tingkatkan bonding

Teruskan usaha untuk mendekatkan diri anda dengan si kecil. curahkan perhatian yang berkualiti kepada mereka misalnya dengan tutur kata yang lembut, belaian pada rambut mahupun tatapan mata yang membuat si kecil merasa dekat dan disayangi. Hal ini dapat anda lakukan semasa menonton televisyen atau menonton filem kesukaannya.

IKLAN

(f) Hadkan masa bersama pengasuh

Pada waktu cuti, luangkan masa sepenuhnya bersama anak. Tidak perlu membiarkan pengasuh mengambil alih tugas anda. Jika boleh, jangan melibatkan langsung pengasuh dalam hal di antara anda dan si kecil.

(g) Jelaskan aturan kepada pengasuh

Pengasuh bukan musuh anda tetapi mereka adalah support system yang mendukung peranan anda sebagai wanita berkerjaya dan sebagai ibu. Jika anda ingin menerapkan pola asuh yang tepat mengikut anda, beritahu pengasuh dari awal.

(h) Jalin komunikasi dengan anak

Walaupun sibuk bekerja, sedikit waktu yang diambil untuk menghubungi anak amat bermakna buat mereka. dalam sehari, cuba hubungi mereka dua atau tiga kali sehari. Tanya khabar mereka? Apa yang mereka makan,? Apa yang mereka lakukan di rumah atau dengan siapa mereka bermain? Dengan komunikasi begini, mereka tahu bahawa mereka sentiasa diperhatikan dan menjadi satu kepentingan untuk anda. KR

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI