Karakternya yang sentiasa mencuit hati dengan lawak yang bersahaja, Shiera Al-Khaired kini semakin anggun dan manis sejak bertudung. Bertitik tolak daripada ikhtibar musibah COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini, Shiera yang merupakan isteri kepada Ijoy Azhari dan ibu anak lima ini membulatkan tekad untuk terus bertudung.
MAKIN SELESA & TENANG
“Sejak awal PKP lagi saya sudah berniat untuk bertudung kerana terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Banyaknya ujian yang Allah SWT berikan kepada kita. Sebelum ini saya pakai tudung pun kadang ‘on-off’, tak sempurna. Mungkin kerana pengaruh serta cabaran dalam industri hiburan ini sangat hebat.
Bila dan bagaimana hidayah itu sampai saya sendiri tiada jawapan pasti kerana segalanya berlaku secara natural. Alhamdulillah kini saya semakin selesa dan tenang dengan penampilan baru ini. Saya bulatkan hati untuk terus istiqomah. Sudah tiba masanya untuk saya berubah menjadi hambaNya yang lebih baik walaupun masih belum sempurna. Apa pun saya masih belajar dan akan terus belajar.
Keluarga, suami serta ibu mertua pun tidak terlalu terkejut dan tidak berkata apa-apa tentang perubahan saya ini. Mungkin sebelum ini mereka sudah biasa melihat saya mengenakan tudung untuk ke mana-mana majlis contohnya majlis agama atau ceramah. Apa pun mereka sangat gembira, supportive dan positif dengan perubahan saya ini.
PENAMPILAN & GAYA TUDUNG
Sekarang ini saya lebih selesa memilih pakaian yang longgar-longgar dan yang memudahkan saya untuk bergerak. Saya ini agak agresif sikit jadi kalau keluar bekerja tu lebih selesa menyuai padankan apa jua jenis baju dengan seluar.
Untuk gaya tudung saya tidak belajar daripada sesiapa pun. Saya belajar sendiri mengikut keselesaan. Bukanlah hendak nampak cantik sangat, asalkan kemas sahaja. Nak nampak cantik bertudung tu saya masih tak pandai lagi.
Selalunya saya akan pilih gaya tudung yang ringkas, cepat dan mudah disarung contohnya selendang yang boleh diselempangkan terus ke belakang. Kalau tudung bawal tu saya masih kurang yakin dan tak pandai lagi namun akan cuba untuk belajar memakainya dengan kemas.
Apa pun gaya yang penting saya tetap menjaga imej bertudung dengan sentiasa memastikan berpakaian longgar dan berlengan panjang. Hal ini saya masih dalam proses belajar secara perlahan-lahan.
Ads
CABARAN
Dari segi cabaran pula, hendak kata yang berat-berat tu belum pernah alami lagi namun perasaan kekok tu masih ada. Kadang-kadang takut juga bila keluar saya terlupa untuk pakai tudung betul-betul. Maklumlah saya ini kalau buat sesuatu perkara semuanya hendak cepat dan sedikit terburu-buru. Rasanya ini antara dugaan saya setakat ini.
Kalau ada yang hendak memuji atau mengecam gaya bertudung, saya tak pernah ambil kisah. Saya juga masih berkawan dengan sesiapa sahaja, masih rapat dengan kawan-kawan lama. Ramai yang memberi kata-kata semangat dan sokongan, dan ada juga yang mengadiahkan saya tudung. Alhamdulillah..” Ungkap Shiera yang kagum dengan Mizz Nina dan Noor Kumalasari yang dianggap sangat istiqomah dalam penghijrahan mereka.
HIKMAH PKP
Selain memberi ‘penghijrahan’ baru dalam hidup Shiera, tempoh PKP turut menjadikan hubungan kekeluargaannya kian erat.
“Saya merasa sangat seronok kerana sekarang semuanya ada di rumah. Kalau tidak sebelum ini masing-masing sibuk. Hikmah Ramadan tahun ini sungguh indah kerana selain dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, kami turut berpeluang untuk solat berjemaah dan berterawih bersama-sama.
Suami menjadi imam, anak-anak dapat solat sekali semua. Banyaklah yang kita boleh belajar. Saya juga lihat sekarang ini terdapat banyak program-program Live berbicara tentang topik-topik agama. Bagi saya itu perkara yang sangat baik dan bermanfaat.
Ads
Orang kata dalam tempoh PKP kita ada banyak masa. Itu tidak dinafikan. Namun kadang-kadang saya rasa seolah-olah masa itu lagi tidak cukup sebenarnya kerana macam-macam perkara yang boleh kita buat di rumah. Saya sendiri walaupun kerja dari rumah tetapi tetap juga kena keluar kalau ada tugasan. Kadang-kadang terpaksa berbuka puasa di luar.
Alhamdulillah ibu mertua saya masih sudi untuk membantu menjaga anak-anak termasuk menyediakan hidangan berbuka untuk anak-anak dan suami kalau saya ada kerja di luar. Saya sangat menghargai jasa ibu mertua yang tidak pernah berkira dari segi masa dan tenaga. Terima kasih Mama.”
ANGGAP IBU MERTUA SEPERTI IBU SENDIRI
Seperti kita tahu hubungan Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.
“Ibu mertua saya seorang yang mengutamakan keluarga. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.
Ads
Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”
Selain itu, Shiera bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 60an.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan untuk kekalkan tenaga dan menjadi lebih cergas.
Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut memberi kesan kepada buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygenwater. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired kini masih aktif sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen dan majlis. Shiera yang kini berusia 46 tahun merupakan adik kepada Sharifah Nor Azleenda serta kakak kepada Sharifah Sakinah.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terhibur dengan celoteh ceria Feeya Iskandar tiap kali suaranya ke udara. Bergelar DJ Radio dan personaliti televisyen, figura yang mesra disapa Cik Piah ini memang sempoi orangnya dan sarat dengan sense of humor. Pendek kata, sesiapa saja yang pernah bekerja dengannya pasti rasa senang.
Dalam temu bual bersama Nona selepas bersalin anak ketiga, Cik Piah akui ‘struggle’ menguruskan tiga anak kecil yang kesemua lelaki tanpa bantuan pembantu rumah. Memang kental jiwa ibu ini!
Jelas Cik Piah atau nama penuhnya Nor Shafiza Iskandar Azizan, selain mengacara dan jadi DJ dia juga merupakan pengasas produk kesihatan Manja Boost. Kagum dengan semangat wanita ini untuk berjaya. Walau sibuk urus keluarga dan kerjaya, tetap cari masa dan peluang ceburi dunia bisnes.
Menjawab pertanyaan bagaimana dia bijak menguruskan masa, ini jawapan jujur Cik Piah. “Sejujurnya dari awal kahwin sampai sekarang anak dah 3, saya memang tak ada pembantu rumah. Hanya bergilir-gilir dengan suami jaga anak.
Jadi dekat sini saya memang kena betul-betul susun jadual saya. Alhamdulillah, suami pun memang tak ada masalah uruskan anak-anak.”
Untung Cik Piah dikurniakan suami yang memahami dan menyokong penuh minat isteri tercinta.
Yang pasti, ini bukanlah kali pertama usahawan jelita tersebut berniaga. Sebelum ini pun Cik Piah pernah menjual pelbagai jenis produk berkaitan kesihatan dan kecantikan wanita. Memang ‘otak bisnes’!
“Produk ini namanya ‘Manja Boost’. Memang khas untuk wanita dan keistimewaan jamu ini ialah ia jamu fruities pertama di Malaysia. Jarang-jarangkan dengar? Memang inilah istimewanya jamu kami.”
Antara kelebihan Manja Boost ialah membantu mengurangkan berat badan, mencantikkan kulit, melancarkan kitaran haid, menambah tenaga dan memelihara aset wanita. Malah jamu ini juga dihasilkan dengan 14 bahan premium termasuk habatussauda, manjakani, kunyit, kulit kayu manis, kurma merah, blueberry dan banyak lagi.
“Bercerita tentang bisnes ni memang saya minat ada bisnes sendiri sejak tiga tahun lepas. Saya mula jual macam-macam. Foundation, tudung, kemudian terhasillah Manja Boost. Seronok berniaga ni. Sebab sambutan menggalakkan, jadi kali ni kita lebih serius hasilkan supplement untuk wanita pula.”
Patutlah kulit wajah Cik Piah cantik berseri-seri dan mulus. Menyingkap rejim kecantikan isteri Nurashid Abdul Wahab,“Tak ada amalan tradisi pun. Cuma air kosong kena banyak minum. Lepas tu jangan suka tukar-tukar skin care. Bila dah sesuai, maintain je pakai.”
Hasil perkahwinan dengan suami tercinta selama 7 tahun, Cik Piah dikurniakan tiga orang anak iaitu Adam Malique, Nuh Aryyan dan Muhammad Zidane.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak kesayangan kepada selebriti Erra Fazira baharu sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke10. Sudah pasti kehadiran Erra sebagai ibu kepada Engku Aleesya begitu sibuk di majlis tersebut dan turut hadir Laudya Cynthia Bella memeriahkan majlis. Aleesya yang semakin cantik ini kelihatan gembira di majlis hari jadinya lebih-lebih lagi kehadiran ‘dua orang ibu’ sekali gus.
Kemesraan di antara wanita yang mesra di sapa Bella ini dengan anak kepada suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin sudah diketahui umum. Ramai wanita yang berbangga apabila Bella menerima kehadiran Aleesya dengan hati yang terbuka. Lebih mengagumkan apabila Bella mampu berkawan baik dengan bekas isteri suaminya itu.
Umum pasti tertanya-tanya sejauh mana keserasian hubungan Bella dengan mantan isteri Engku Emran, Erra Fazira. Bella berkata, ternyata dia amat mengagumi ibu kepada Engku Aleesya dan menghormati Erra sebagai ibu kepada Engku Aleesya.
“Saya kagum melihat hubungan baik Abang dan kak Erra yang amat baik. Jadi, sangat mudah untuk saya rapat dengan mama Aleesya. Saya tidak ingin menjadi figura ibu tiri untuk Aleesya kerana dia sudah pun mempunyai seorang ibu yang terbaik untuk dirinya.
Jadi, saya lebih selesa meletakkan diri sebagai sahabat buat anak manja ini. Kami sering keep in touch mengenai apa sahaja. Malah, kami sering berzumba bersama! Saya bersyukur kehadiran saya sebagai sahabat Aleesya dan saudara buat Kak Erra.
Menjadi isteri dan ibu ‘segera’ kepada cahaya mata tunggal Engku Emran hasil perkahwinan terdahulu, Engku Aleesya, Bella ternyata bijak membawa dirinya bukan sahaja sebagai isteri, malah ‘bersahabat baik’ dengan Engku Aleesya.
Memasak antara tugas utama wanita sebaik sahaja mendirikan rumah tangga. Sebagai wanita, Bella juga tidak terkecuali menyediakan hidangan untuk suami tersayang setiap kali berada di Kuala Lumpur. Ujar Bella, dia banyak mempelajari menu kegemaran suami tersayang melalui ibu mentua dan youtube.
“Sejak berumah tangga, saya belajar memasak untuk abang. Abang tidak cerewet dan dia merupakan suami yang tidak banyak kerenah. Itu yang menggembirakan saya. “Saya belajar memasak untuk abang dan selalu membuat kopi kegemarannya dan menyiapkan hidangan seperti buah untuknya,” ungkap Bella yang gemar menu seperti nasi lemak dan minuman kopi.
Bella amat menyokong minat suami tersayang dalam bidang sukan seperti berbasikal dan pasangan ini menjadikan aktiviti berjogging sebagai rutin harian mereka walaupun tatkala bercuti. “Abang memang seorang sportsman yang ekstrem. Bayangkan, abang boleh berbasikal dari selepas subuh hingga jam 11 pagi dan menjelajah puluhan kilometer. Kedengaran agak ekstrem tetapi minatnya itu baik untuk kesihatan,” katanya.
“Aktiviti masa lapang kami banyak dihabiskan dengan aktiviti olahraga dan kuliner di rumah. Ada ketikanya, abang akan masuk ke dapur menemani Bella memasak,” tutur Bella.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hujung November lalu, isteri kepada Dato’ Farid Kamil ini mengejutkan ramai pihak apabila dia berjaya memenangi tempat ketiga dalam Toyota Gazoo Racing, TGR Festival yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Sama sekali tidak menyangka dirinya mampu berdiri di atas podium sebagai pemenang perlumbaan di samping Shawn Lee yang menduduki tempat kedua dan pelakon, Syukri Yahya di tempat pertama, Datin Diana Danielle yang mengakui gemar memandu menyifatkan kejayaan tersebut umpama mimpi yang akhirnya menjadi realiti.
Seperti yang sedia maklum, Datin Diana sememangnya seorang figura yang aktif dan menggemari sukan lasak. Malah ketika zaman remaja, beliau juga merupakan bekas Wirawati bagi Program Latihan Khidmat Negara yang pernah disertainya suatu masa dulu. Meskipun kini sudah bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata namun minat Datin Diana dalam sukan lasak tidak pernah pudar.
Memandu jentera Toyota Vios No 15 Veronica pada perlumbaan tersebut, Datin Diana memecut laju meninggalkan lima selebriti lain termasuk Fattah Amin, Janna Nick, Venice Min dan Geraldine. Memang power!
“Never actually thought I’d be able to get on a podium. I love driving, so to get the opportunity to race under Toyota is my ‘secret’ dream come true.”
Berkongsi pengalaman pertamanya ketika berada dalam kereta lumba di trek Sepang sekitar Jun lepas, Datin Diana menjelaskan ia adalah sesuatu yang sukar. Tambahan pula apabila terpaksa memandu kereta manual. “Pertama kali masuk ke sekolah lumba kereta, enjin kereta saya mati lebih 20 kali untuk masuk ke gear satu. Nak imbangkan pedal klac, brek dan minyak ambil masa yang agak lama. Semuanya serba tak kena. Saya rasa seperti tak mampu hendak memandu laju kereta Vios tersebut. Masa berlatih di Mofas USJ pun saya masih susah hendak tukar ke gear 2 dan gear 3. Mujur ada tenaga pengajar yang sudi beri tunjuk ajar dan tak putus asa membantu. Now we’re at the Sepang track going on gear 4 and 5, down shifting to gear 3 and 2 -going up and down on the gears. It’s getting easier but there’s a lot more for me to learn before I am ready for the Gazoo Race in August.”
Perlumbaan yang berlangsung di Serdang itu merupakan perlumbaan Vios Challenge kali kedua selepas aktres jelita berkenaan menyertai acara ini di Batu Kawan, Pulau Pinang pada Ogos tahun lepas. Bukan calang-calang ya boleh turut serta perlumbaan seperti ini kerana Datin Diana pun dikehendaki menjalani latihan bersama para tenaga pengajar bertauliah dari Toyota selama hampir tiga bulan.
Menerusi posting di Instagram @dianadanielleb, khabarnya beliau sekali lagi akan memasuki trek lumba di Medini, Johor Bharu pada 19 dan 20 Januari depan. Mungkinkah Datin Diana Danielle bakal melakar kejayaan sekali lagi? Nantikan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.