
Setiap kali berjumpa dengan Che Puan Syamim Farid pasti cemburu melihat kelangsingan tubuhnya. Sejak awal penglibatan CP Syamim Farid dalam pencarian Dewi Remaja 2015 penampilannya langsung tak berubah.


Teruja nak tahu bagaimana isteri kepada Y.M Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Al-Haj ini mengawal pemakanannya. Baru-baru ini CP Syamim ada berkongsi tentang tabiat pemakanannya di Insta Story miliknya.
8 tip yang diamalkan oleh CP Syamim;
1. Makan banyak sayur.
2. Tak ambil gula.
3. Minum banyak air kosong.
4. Bersenam secara konsisten.
5. Makan malam sebelum pukul 7.00 malam
6. kawal pengambilan karbo
7. Kawal pengambilan makanan
8. Kena konsisten
“Oh! ya, lagi satu tip, ini apa yang saya buat daripada dulu sampai sekarang.
1. Jangan minum selepas makan. pastikan selepas 1 jam atau 2 jam LEPAS makan, baru minum.
2. Lepas makan jangan baring, duduk atau berjalan.
Saya buat ni dari sekolah sampai sekarang, dan saya tak pernah langsung buncit. My tummy sentiasa flat dari dulu,” kongsi CP Syamim Farid.

Berkesempatan bertemu dengan CP Syamim tempoh hari sempat bertanyakan persoalan tentang tabiatnya tak makan nasi. “Saya memang dah lama tak makan nasi dan gantikan dengan quinoa. Quinoa tu dah macam makanan harian saya. Sedap tau, semua orang patut cuba.

Kelebihan quinoa sebagai pengganti nasi sebab ia tak ada kanji dan rendah kalori. Kalau makan tak lah kenyang tapi basically feeling kita kan orang melayu macam makan nasi,” kongsi CP Syamim.

Seronok mendengar cerita CP Syamim tentang quinoa ini. Paling menarik bila pemenang tempat kedua Pencarian Dewi Remaja 2015 ini buat quinoa goreng kampung. “Quinoa goreng kampung tu sama jer cara masak nasi goreng kampung tapi tukar jer nasi kepada quinoa.

Tapi quinoa tu kena pandai masak, sebab kalau tak cukup air dia akan jadi keras terlebih air dia akan jadi lembik. Air tu kena betul-betul seimbang,” tutur CP Syamim yang tinggi lampai ini.


Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Puisi Paling Menusuk Jantung, Peguam Ini Menangis Tengok Ramainya Isteri Merana Dalam Diam

Tak perasan air mata mengalir saat menaip puisi Pesanan Buatmu Yang Bergelar Isteri.
Begitu tulisan Pengamal Undang-Undang Syariah, Rabiatul Adawiyah Ramli tatkala mengimbau semula setiap cerita demi cerita yang didengarnya.
“Saya ada jalankan slot untuk ruangan kongsi pengalaman. Dan alhamdulillah banyak sambutan yang rata-ratanya terdiri kaum isteri yang dalam masalah.
Jadi saya tulis puisi ni sejak bergiat dalam perkongsian ilmu tersebut. Sebak sangat sebab terlalu ramai yang kongsi pengalaman hidup masing-masing.”

Tambah Rabiatul lagi, puisi ini berjaya menyentuh hati wanita yang kebanyakannya terasa dalam diam. Ramai pembaca yang respon dan majoritinya kelu tanpa kata. Waktu menulis ni, tak sangka pula ada yang menangis!

Kau wanita yang dipilih Allah untuk menjadi seorang isteri,
Kau juga dipilih Allah untuk mempunyai suami,
Melalui akad ijab qabul yang bersaksi,
Maka termeterai sudah kau sebagai isteri kepada sang suami.
Kini,
Hidupmu bukan lagi bersendiri,
Harapanmu ingin menjadi Isteri yang diredhai,
Jika diizinkan ingin bergelar ibu mithali.
Kini,
Setiap saat kudratmu hanya untuk suami,
Tidak kira siang dan malam berkhidmat tanpa henti,
Tak lekang juga anak sentiasa di sisi,
Yang menagih bauanmu setiap hari.
Kini,
Masamu hanya untuk suami,
Masamu juga hanya untuk anak yang disayangi,
Di rumah isteri, di tempat kerja sebagai kuli,
Kerana matlamat utama untuk meringankan beban suami.
Kini,
Hari berganti hari,
Tahun silih berganti,
Anak juga telah pandai berdikari,
Kau tetap taat setia pada suami.
Inilah harapan dan matlamat setiap wanita yang bergelar isteri.
Tapi,
Di dalam setiap saat itu,
Tercatat suatu mimpi ngeri tiada siapa yang tahu.
Suami di masa itu sudah tidak seperti dahulu,
Sebab sudah ada yang baru.
Dimaki dipukul diherdik tiap kali ingin mengambil tahu,
Agar si suami berubah tingkah laku,
Namun apa sajalah yang si isteri mampu,
Hanya Robbul Izzati tempat mengadu.
Pesananku buatmu duhai Isteri!
Teruskan menjadi isteri yang diredhai,
Walau kau tidak dihargai,
Kelak Anak-Anak akan menjadi saksi,
Kau pasti disanjung tinggi.
Pesananku lagi buatmu Isteri!
Kuatlah untuk terus menjadi isteri,
Tabahlah menghadapi tiap dugaan yang diberi,
Hidup ni pun bukannya lama lagi,
Biar Allah yang urus sendiri.
Pesananku buatmu Isteri!
Selagi bernyawa,
Selagi si suami tidak dicabut nyawa,
Selagi itulah syurga di bawah tapak kakinya.
𝑷𝒆𝒔𝒂𝒏𝒂𝒏 𝑻𝒆𝒓𝒂𝒌𝒉𝒊𝒓 𝑩𝒖𝒂𝒕𝒎𝒖 𝑰𝒔𝒕𝒆𝒓𝒊
Andai hidupmu tidak lagi seceria dahulu,
Pilihlah apa yang terbaik buatmu,
Andai istikharahmu juga menunjukkan begitu,
Maka inilah jawapan dari segala usaha dan doamu kerana Allah sentiasa ada denganmu.
Rabiatul Adawiyah Ramli
==========================
Beliau sebelum ini, pernah menulis sebuah lagi puisi yang ditujukan buat kaum suami. Yang ini dengarnya banyak lelaki yang kurang bersetuju!
Sabar seorang isteri ada hadnya. Main-main dengan nafkah zahir batin isteri dan anak. Jangan ditanya kenapa hidupmu makin jatuh dan terus tersungkur. Allah itu Maha Adil dan Maha Mendengar setiap rintihan anak dan isteri walau tanpa suara.
Pesanan Buat Yang Bergelar Suami
Kau sayang Anak Isteri,
Doa untukmu tanpa henti.
Ganjaran Syurga dunia Akhirat untukmu nanti.
Kau zalim pada Anak Isteri,
Dosa dicatit tanpa henti.
Balasan dan bahang An-Nar dunia Akhirat yang dijanji.
Pesanan buat yang bergelar SUAMI.
Tanpamu tiadalah istilah beristeri,
Tanpa isteri tiadalah dirimu digelar suami,
Akad yang diikrar terus terusan dimungkiri,
Mana letaknya janji yang mengikat diri.
Kau mungkiri kelak binasa diri.
Ini bukan doa dari sang Anak dan Isteri,
Tetapi akad dan janji dari Robbul Izzati.
Bertemu kita di sana nanti.
Rabiatul Adawiyah Ramli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak Sempat Jaga Arwah Ibu Ayah, ASYALLIEE Nak Bina Rumah Orang Tua & Anak Yatim!

Murninya hati wanita bernama Siti Syasya Rosaelmi Baba atau lebih dikenali sebagai Asyalliee. Kalau arwah ibu dan ayahnya masih ada pasti mereka bangga mempunyai anak yang bukan hanya berjaya dalam kerjaya.
Malah seorang wanita, isteri, ibu dan majikan yang berperibadian tinggi. Walau masih muda tapi kematangan ibu kepada tiga anak ini cukup terserlah.
Genap berusia 25 tahun pada 26 Julai lepas, Asyalliee makin rancak mengurus perusahaan Loveliee Beauty dan Asyalliee Group. Sehingga kini Asyalliee Group sudah pun mempunyai lebih lima koleksi tudung dan pelbagai rangkaian produk penjagaan serta kosmetik Loveliee Beauty.
Ditanya perancangan bisnes, jawapan yang diberikan meluru laju di bibirnya. “Tahun ini saya akan lebih fokus naikkan branding clothing line iaitu Asyalliee Group yang jual tudung dan pakaian ready to wear.
Setelah empat tahun dalam bidang kecantikan, ternyata minat saya lebih kepada fesyen. Sebab itu saya nak fokus kepada branding Asyalliee Group. Saya nak cuba asah kemahiran dan potensi dalam bidang lain pula.
Dalam masa sama mahu ada banyak lebih banyak butik. Tidak kira butik di shop lot mahupun pusat beli-belah.”



Bertahun-tahun berniaga rupa-rupanya Asya ada misi besar untuk dilaksanakan. Katanya, dia mahu menjadikan perniagaan ini sebagai ‘penghubung’ kepada tujuan asal berniaga iaitu membina rumah orang-orang tua.
“Dalam masa 10 tahun akan datang, perniagaan saya dah jadi auto run supaya saya boleh fokus 100 peratus kepada impian selama ini iaitu nak ada rumah anak yatim dan orang tua.
InshaAllah, itu salah satunya tujuan sebab sebagai seorang anak yatim, saya kurang dapat kasih sayang daripada kedua ibu bapa, tak sempat jaga arwah ibu dan ayah, nak balas jasa mereka walau saya tahu mereka tak dapat dibayar langsung.
Dengan apa yang ada sekarang, saya nak buka rumah orang-orang tua untuk buat tempat yang sangat selesa buat mereka. Di samping beri kasih sayang yang sangat banyak daripada saya sendiri dan mereka yang ada di situ nanti. Jika diizinkan, saya juga nak buat madrasah atau perkara yang lebih ke arah keagamaan.”
HIDUP MISKIN
Meniti usia 25 tahun, kehidupan Asyalliee hari ini menjadi inspirasi ramai kerana dia mampu memiliki semua yang diidamkan individu seusianya. Ada suami penyayang, anak-anak comel, bisnes maju, rumah besar, kereta mewah dan populariti.
Namun bagi empunya diri, perjalanan hidupnya tidak seindah yang disangka. Dedah Asyalliee, sejak kecil dia sering dilemparkan dengan kata-kata sindiran dan hinaan daripada orang sekeliling kerana taraf keluarganya yang miskin.
“Dari kecil sejak arwah ayah meninggal, saya lalui kehidupan susah dengan arwah mak sebab arwah mak kerja sebagai tukang masak di kedai. Kami hanya mampu tinggal di suatu tempat sempat yang saya sifatkan bukan sebuah rumah pun. Waktu tu ramai hina arwah mak.
Mak orang Thailand, dengan kerja sebagai tukang masak ramai yang hina dan tak suka dia. Tapi arwah mak sangat kuat dan kalis kecaman. Disebabkan kehidupan kami yang sangat susah waktu itu, arwah mak meninggal dalam keadaan koma.
Doktor sahkan arwah ada barah otak. Bila arwah meninggal, kami terfikir arwah meninggal sama ada kerana keadaan terlalu miskin sampai dia tak tahu ada barah otak sebab hanya makan ubat dan tak buat pemeriksaan kesihatan. Atau arwah mak tahu tapi tak beritahu anak-anak.”


Sejak pemergian arwah, Asyalliee yang merupakan anak keempat daripada lima beradik tinggal bersama kakaknya. Namun masalah lain pula timbul apabila dia didera mental dan fizikal.
Mujur, kakak sulung sempat selamatkan Asyalliee. Dek kerana mahu berdikari, dia sanggup ambil tawaran menjadi model dan review produk di media sosial ketika masih di bangku sekolah lagi. Rezeki tersebut diraih selepas video Asyalliee menjadi tular di media sosial.
REZEKI MELIMPAH
“Ada hikmah dan rezeki lepas video saya viral di media sosial. Orang panggil buat review dan ambil job jadi model. Dalam masa sama saya masih sekolah. Dari situ saya dah start berdikari sendiri sampai sekarang. Habis je belajar saya terus berhijrah ke Kuala Lumpur untuk cari kerja.
Asya inspirasikan diri sendiri sebab orang lain, lain cerita. Kita tak tahu mereka susah bagaimana. Tapi apa yang saya tahu diri saya, macam mana saya bangkit, dari seorang anak orang miskin yang dilemparkan dengan caci maki, tapi saya boleh bangkit dan kalis hinaan.
Dulu saya pernah kena dera. Fizikal dan mental selama setahun tapi kakak sulung selamatkan. Dari situ, apa ujian yang saya lalui sekarang tidak sehebat ujian dulu. Saya masih mampu handle lagi dan mental boleh tangani perkara ini.
Bila orang tanya siapa sumber inspirasi, memang saya jawab diri sendiri sebab bila orang kecam dan maki, saya masih kuat.”



Mendirikan rumah tangga pada usia muda iaitu 20 tahun, Asyalliee berkata dia mengambil keputusan itu untuk mengelak ‘buah mulut’ orang dan mudah baginya ke mana saja bersama suami.
Jelas Asyalliee, mereka hanya bernikah dan tidak berkesempatan membuat majlis resepsi kerana kekangan kewangan.
Sewaktu hamil anak sulung, pasangan ini diuji hebat apabila reputasi mereka tercalar akibat perselisihan faham yang berlaku dengan seorang usahawan. Dengan perut yang kian membesar dan sumber kewangan tidak menentu, mereka akhirnya memutuskan untuk berniaga sendiri.
“Saya terdetik buat perniagaan masa hamil anak pertama. Suami sanggup gadaikan motorsikal yang dia sayang waktu kami bercinta dulu untuk dijadikan modal bisnes. Lepas anak lahir, rezeki kami masuk melimpah ruah. Sebab itu jugalah kami namakan anak sebagai Haider Mikael yang membawa maksud ‘Pemberani pembawa rezeki’.
Kepada kawan-kawan dan sahabat yang sedang diuji, ingat setiap ujian yang diberi Allah terselit hikmah tersendiri dan kena ingat jangan pernah mengeluh. Kalau mengeluh, maka hilanglah nikmat tu. Allah bagi ujian sebab nak angkat darjat kita dan beri kehidupan lebih baik. Jalanilah kehidupan ikut sunnah Rasulullah SAW.”
Asyalliee berkahwin dengan Eboy Arbaain pada 25 Februari 2017. Hasil perkongsian hidup, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Haider Mikael, Helena Adrianna dan Hayyan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bercerai Mati, Apa Yang Isteri Boleh Tuntut Selain Harta Pusaka?

Kebiasaannya apabila berlaku perceraian yang mana kedua-dua pasangan masih hidup, ada beberapa tuntutan yang boleh dituntut oleh seseorang bekas isteri. Cuma kita jarang ambil tahu, tentang seorang balu (isteri kematian suami) juga mempunyai beberapa hak yang sangat perlu diselesaikan.
Nona mendapatkan penjelasan peguam syarie Fahmi Ramli dari Tetuan Khairul Fahmi & Associates tentang hal ini.
Biasanya orang hanya tahu nak selesaikan Faraid iaitu pembahagian harta pusaka. Sedangkan, pusaka ini adalah peringkat terakhir pengurusan harta si mati. Jadi, saya ringkaskan tentang jenis tuntutan yang wajar dituntut oleh seorang balu keatas ahli waris simati yang lain.

Hutang dalam perkahwinan
Sekiranya, si suami masa dia hidup, pernah meminjam dan menggadaikan barang kemas milik isteri, namun tidak sempat untuk tebus kemudian dia meninggal, isteri tersebut boleh menuntut sebahagian daripada tinggalan pusaka simati untuk menebus gadaian tersebut.
Mungkin, perkara ini boleh diselesaikan secara baik iaitu meminta kepada ahli waris yang lain untuk bersetuju memberikan sebahagian wang tersebut untuk ditebus. Ini termasuk juga sekiranya simati ada tunggakan nafkah dan hutang maskahwin yang belum dilangsaikan.
Harta Sepencarian
Umum mengetahui, bahagian faraid bagi seseorang isteri ini akan menjadi kecil sekiranya mempunyai anak. Bahkan, akan menjadi lebih kecil sekiranya simati mempunyai banyak isteri. Jadi, harta sepencarian adalah salah satu tuntutan yang boleh dituntut sebagai hak seorang bekas isteri yang ada menyumbang dalam kehidupan rumahtangga mereka.
Biasanya, isu ini akan menjadi rumit jika berhadapan dengan ramai ahli waris kerana setiap ahli waris simati akan menjadi Defendan dalam tuntutan ini. Melainkan, semua ahli waris bersetuju dengan tuntutan tersebut.
Hak Jagaan Anak
Biasanya hak jagaan mungkin kurang berlaku antara bekas isteri dengan ahli waris yang lain. Cuma, ada sesetengah keadaan yang mana ada pertikaian mengenai hak jagaan anak. Khususnya yang sering berlaku adalah antara balu simati dengan bekas mertua.
Biasanya, ibu akan tetap dapat hak jagaan dan pihak lawan akan dapat hak melawat serta mungkin bermalam. Cuma, jika perkara ini tidak menjadi isu, mungkin tidak akan sampai ke Mahkamah melainkan mana-mana pihak perlukan satu perintah jagaan dikeluarkan.
Nafkah Anak
Memang ada ibu yang dia rasakan dia mampu untuk tanggung perbelanjaan anak-anak. Lebih-lebih lagi zaman ini, banyak ibu yang mempunyai kerjaya bagus serta pendapatan yang stabil. Cumanya, ada yang mungkin tak mampu untuk tanggung perbelanjaan tersebut.
Jadi, seorang balu boleh menuntut Nafkah Anak kepada waris sebelah suami untuk menanggung nafkah tersebut. Formulanya, mengikut senarai perwalian. Jika datuk kepada cucu masih hidup, maka datuk perlu menanggung. Jika tiada, bapa saudara perlu menanggung dan seterusnya. Jadi, jangan cakap bapa saudara tak ada kaitan yer.
Pengesahan Hibah
Sesetengah pihak ada membuat perjanjian hibah yang kita namakan Surat Ikatan Hibah keatas sesuatu harta. Yang mana, suami semasa hidup pernah memberi hibah hartanya kepada isteri secara sah disisi undang-undang. Cuma, perjanjian tersebut belum disahkan oleh mana-mana Mahkamah.
Jadi, seorang balu boleh membuat permohonan pengesahan Hibah terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah sekiranya wujud Hibah tersebut. Sekiranya Hibah tersebut disahkan, pastinya harta yang dituntut itu tidak boleh dinamakan sebagai harta pusaka untuk di faraid.
Sekarang faham ke faham? Bukannya jika berlaku sahaja kematian, terus ahli waris lain nak faraid. Sabar, ada beberapa perkara perlu diselesaikan dulu sebelum sampai ke faraid. Hadis Nabi juga mewajibkan hutang diselesaikan Hutang dan Wasiat terlebih dahulu sebelum faraid.
Yang penting jangan terlalu lama untuk buat pengurusan harta si mati ini. Bimbang, akan berlaku kematian berlapis dan lebih menyukarkan proses pembahagian pusaka kelak. Tak perlu pertikai hak seorang bekas isteri, kalau memang haknya ada dalam Hukum.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


