Ilmu itu ibarat air, berkatnya terus melimpah selagi diamalkan dan disampaikan kepada orang lain. Masih terngiang-ngiang nasihat yang disampaikan para asatizah sempena Majlis Ilmu VIP XCESS KE SYURGA yang berlangsung semalam. Antaranya daripada penceramah yang kami panggil Ummi, Dr Robiah K Hamzah.
Berusia 73 tahun, kehadiran Ummi serasa menambah keserian majlis. Manis berbaju merah jambu, Ummi seperti biasa muncul dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Dalam kelembutan itu, rupa-rupanya mampu mengejutkan para hadirin sebaik Ummi berucap di pentas.
Menerusi topik ‘VIP XCESS KE SYURGA’, sesi talk bersama Moderator Datuk Hajah Rozzana Rahmat ini dihadiri oleh tiga panel hebat iaitu Dr Robiah K Hamzah, Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.
Ads
Antara perkongsian paling menarik yang melekat di fikiran penulis adalah sewaktu segmen Ummi menjawab soalan Moderator, tentang bagaimana menjadi VIP ke syurga.
Allahu cukup bagus penerangannya sehingga memberi keinsafan kepada setiap pendengar. Paling suka kata-kata Ummi semalam…
Ads
“Selagi kita mempunyai perasaan memiliki, kita tak mampu rindu Allah dan berserah pada Allah. Kerana semua isi langit dan bumi, Allah yang urus. Allah yang bagi….”
Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 dan Ramadan Al-Mubarak, pihak Majalah Nona bersama rakan sinergi PEKAWANIS, My #InfaqIhsan, Warisan Ummah Ikhlas dan Angel Group Creative Financial Solution sukacitanya menganjurkan Majlis Ilmu NONA VIP XCESS KE SYURGA.
Majlis yang bertemakan rona putih dan pink dengan sentuhan Timur Tengah ini diadakan bertujuan untuk menyebarkan motivasi kepada para Muslimah, selain memantapkan ibadah dan persiapan rohani menjelang ketibaan bulan Ramadan.
Turut disampaikan, Anugerah Ikon Muslimah NONA kepada enam personaliti dakwah yang disegani ramai iaitu Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Dr Robiah K Hamzah, Datuk Hajah Rozzana Rahmat, Dr Rukhaidah Abd Karim dan Fatin Nabila Ahmad Zainuddin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak kenal seraut wajah lembut yang menghiasi kaca televisyen ketika mengacarakan program HLive! suatu ketika dahulu. Wajah ayu ini juga mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan kala mengendalikan program GoShop pada awal penerbitannya.
Dianugerahkan bakat semula jadi dengan pakej seraut wajah manis, pasti menambat hati setiap mata yang memandang. Selepas lebih setahun melangsungkan perkahwinan dengan suami tersayang, YM Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Al-Haj, kehidupan berumah tangga banyak mengajar erti sebuah kehidupan buat Che Puan Syamim Farid.
Bertanyakan tentang fasa kehidupan rumah tangga, kedua-duanya bersifat terbuka berbicara tentangnya. “Sebagai seorang suami, saya mahu melihat dia gembira melakukan apa yang disukainya. Menerimanya sebagai seorang selebriti, saya tidak pernah menetapkan syarat tertentu tetapi saya yakin dia tahu batas-batas yang perlu dijaga sebagai seorang isteri.”
Jatuh cinta pandang pertama bukan situasi yang luar biasa bagi pasangan yang bercinta. Daripada mata turun ke hati telah menyingkap detik pertemuan dua merpati sejoli ini.
Ketika diajukan tentang pertemuan pertama mereka, Tengku Ezrique sambil tersenyum memandang isterinya berkata, “Memori detik pertemuan kami sangat unik untuk diimbas kembali.
Pertemuan pertama kami telah diperkenalkan oleh abang Syamim sendiri dan juga sepupu saya. Merekalah yang mengatur pertemuan itu. Masa mula-mula berjumpa Syamim dia tak layan pun saya, asyik dengan telefon bimbit saja.
Dan selepas itu, kami tak berkawan lama-lama. Enam bulan berkenalan, saya ambil keputusan untuk meminang Syamim. Genap tiga bulan tempoh pertunangan, akhirnya kami pun melangsungkan perkahwinan,” tutur Tengku Ezrique lembut.
Balas Che Puan Syamim, “Memang mula-mula dulu saya agak jual mahal. Ketika itu saya sendiri tidak tahu Ezrique merupakan kerabat diraja. Sebab dia sangat merendah diri dan langsung tidak pernah bercerita tentang keluarganya.
Kemudian abang saya bercerita tentang status Ezrique yang sebenarnya, terus saya jadi takut dan mula menjauhkan diri. Saya sedar hanya orang biasa dan takut untuk berkawan dengannya.
Tetapi apa yang saya bayangkan nyata berbeza dengan realiti. Kesungguhan Ezrique dan karakternya yang sangat merendah diri benar-benar menambat hati kecil saya untuk terus mengenalinya.
Namun ketika itu dia masih mengelak jika ditanya tentang keluarga. Selepas bertunang, barulah dia agak terbuka bercerita tentang hal-hal yang lebih peribadi,” ujar Che Puan Syamim yang merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini.
Keluarga Diraja
Masyarakat sering dijaja cerita dengan institusi diraja yang dikawal ketat dan ke mana sahaja kaki melangkah sudah pasti ada yang mengekori. Serba-serbinya mengikut adat dan istiadat. Tiada sesuatu pun boleh dilakukan sesuka hati dan kebebasan terkawal.
“Secara jujurnya kedua-dua ibu dan bapa mertua saya sangat merendah diri dan menerima kehadiran saya dalam keluarga dengan tangan yang terbuka.
Kemesraan yang ditonjolkan dalam keluarga suami membuat saya mudah membiasakan diri dengan keluarga diraja. Adat dan protokol istana hanya berlangsung apabila menghadiri majlis yang melibatkan golongan istana.
Sebelum berkahwin ibu mertua sudah memberitahu serba sedikit apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh buat. Selepas berkahwin segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Malah sepanjang perkahwinan pun ibu mertua banyak memberi tunjuk ajar agar saya lebih memahami adat di dalam istana.”
Tambahnya, protokol istana yang agak sukar adalah cara menyembah dalam bahasa istana atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami adalah memberi salam. “Sebenarnya tidaklah sesusah mana tetapi takut melakukan kesilapan. Mungkin tidak timbul kesalahan tetapi nampak macam tidak biasa sahaja.
Kalau tiada majlis di istana, kami menjalani kehidupan macam orang biasa yang lain. Suami pula seorang yang merendah diri. Sikap yang ditonjolkannya membuat saya berasa selesa. Mungkin pada permulaan saya rasa agak janggal tetapi lama-kelamaan rasa janggal itu hilang dan saya boleh menerima dengan baik sebarang perubahan dalam kehidupan ini,” terang wanita yang baru berusia 25 tahun ini.
Kesudian Tengku Ezrique yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini menjayakan sesi fotografi bersama merupakan suatu penghormatan. Walau jarang beraksi di depan lensa kamera tetapi kelihatan selesa dan tidak janggal lebih-lebih lagi apabila bergandingan dengan isteri tersayang yang sudah biasa dengan bidikan kamera.
Darah diraja mengalir di tubuh Tengku Ezrique setelah termeterai perkahwinan di antara kedua ibu bapanya, YDM. Tengku Dato’ Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid Shah Alhaj Tengku Seri Paduka Shahbandar dan Toh Puan Datin Siti Rahilah Mohd Hashim.
Moyang Tengku Ezrique merupakan Sultan Selangor kelima, Sultan Ala’eddin Suleiman Shah Ibni Al-Marhum Raja Musa Al-Haj. Manakala Y.A.M. Tengku Abdul Hamid Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah merupakan datuk kepada Tengku Ezrique. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berniaga ikut peredaran zaman, bukan untuk buat duit semata-mata. Carilah pengalaman dan faham susah senang dalam mencari rezeki. Berpijaklah di bumi yang nyata.
Itu kata-kata hikmah yang dilontarkan oleh usahawan ternama Dato’ Hajah Sharifah Shareen Almashoor. Beliau bukan sahaja bergelar ikon usahawan sukses di Malaysia bahkan aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Pun begitu, beliau yang mesra disapa sebagai Dato’ Shareen Almashoor tidak mengharapkan publisiti atas segala perkara yang dilakukan. Bagi beliau biarlah kejayaan itu sendiri yang ‘menghebahkan’ siapa dirinya. Itu lebih bermakna dalam usahanya membantu mereka khususnya wanita yang ingin berjaya dalam perniagaan.
Pandemik COVID-19 bukan sahaja telah mengganggu gugat kehidupan kita di Malaysia bahkan seluruh dunia. Ramai yang terkesan dengan situasi ini antaranya diberhentikan kerja, perniagaan terpaksa ditutup dan sebagainya.
Bukan sahaja di kalangan mereka yang makan gaji malah yang menjalankan perniagaan pun sama sahaja keadaannya. Cuma bagaimana kita hendak meletakkan diri kita di mana. Sama ada di tempat orang yang sangat sedih, menyalahkan keadaan, atau kita menjadikan keadaan ini sebagai satu peluang terbaik dalam kehidupan.
Dato’ Shareen Almashoor menasihatkan kepada wanita-wanita di luar sana terutama yang diberhentikan kerja akibat COVID-19 agar tidak terus meratapi kesukaran hidup yang dihadapi. Sebaliknya fikirkan peluang-peluang yang ada di hadapan.
“Saya sendiri merasakan pandemik COVID-19 adalah waktu yang paling best dalam perniagaan saya kerana orang lain tidak tahu hendak buat apa. Jadi, apabila kita dapat melihat peluang daripada situasi tersebut itulah titik tolak permulaan kepada kejayaan yang terlalu hebat untuk kita.
Anda ada pilihan. Kalau hendak berniaga tidak semestinya perlu mengeluarkan produk. Apa yang anda boleh buat untuk berniaga antaranya menyediakan servis kepada perniagaan-perniagaan yang sedang berkembang maju.
Contohnya perniagaan topeng muka (mask) dan sarung tangan. Kita boleh tawarkan servis untuk perniagaan ini contohnya menyediakan kotak, paper bag, penghantaran dan sebagainya. Jangan hanya terikat dengan satu perkara sahaja. Kita mesti fikir out of the box.
KALAU TIDAK MINAT BERNIAGA, BAGAIMANA PULA?
Kepada anda yang tidak minat berniaga pula jangan bimbang. Anda boleh cari industri-industri yang sedang berkembang pesat dengan menawarkan kelebihan atau pengalaman yang anda ada. Kemahiran yang anda boleh sumbangkan untuk industri tersebut.
Hakikatnya tidak ada satu keadaan pun yang boleh membuatkan kita patah semangat kecuali kita sendiri yang memilih untuk menghadapi keadaan itu. Bagi memastikan kita selalu ke hadapan, katakan ‘Yakin boleh’ kepada diri sendiri dan lihat masalah sebagai peluang terbaik.”
Kredit Foto: Instagram @datoshareenalmashoor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sememangnya memiliki pakej lengkap seorang Permaisuri. Bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik, peribadi yang lembut dan merendah diri bahkan baginda juga seorang permaisuri berpendidikan tinggi.
Tanggal 22 Mac 2021 merupakan ulang tahun keputeraan Tuanku Zara menyambut yang ke-48. Baginda ialah anak bongsu daripada empat adik-beradik yang diputerakan di Ipoh, Perak. Tahun lalu, sempena ulang tahun keputeraan ke-47 baginda telah berkenan membuka akaun Instagram rasmi milik baginda iaitu Tuanku Zara Salim.
Tuanku Zara bertemu jodoh dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah pada 17 Mei 2007 ketika baginda berusia 34 tahun.
Perkahwinan baginda berdua dikurniakan seorang putera dan seorang puteri. Putera baginda Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah Ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diputerakan pada 14 Mac 2008. Manakala puteri baginda yang diberi nama Yang Teramat Mulia Raja Dato’ Seri Nazira Safya pula diputerakan pada 2 Ogos 2011.
Menelusuri latar belakang pendidikan Raja Permaisuri Perak ini, memetik laporan portal Orang Perak, Tuanku Zara mendapat pendidikan di SMK Convent Ipoh dan pernah mewakili sekolah dalam sukan skuasy dan tenis serta mewakili negeri Perak dalam sukan renang. Selain aktif dalam bidang sukan, baginda juga cemerlang dalam akademik.
Ketika berusia 22 tahun, Tuanku Zara menerima Ijazah Kejuruteraan Kimia kelas pertama di University of Nottingham, United Kingdom pada Julai 1995. Selepas menamatkan pengajian, baginda berkhidmat di syarikat petroleum negara Petronas selama enam tahun.
Pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang kejuruteraan menjadikan baginda salah seorang wanita Malaysia yang diberi kepercayaan menyandang jawatan penting dalam projek berskala besar.
Mendekati latar belakang Tuanku Zara, ayahanda baginda iaitu Datuk Seri William Stanley Walker Davidson atau Salim Davidson ialah seorang peguam terkenal di Malaysia. Manakala ibunda baginda pula ialah Datuk Seri Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin yang merupakan kerabat diraja Kedah di sebelah bonda baginda.
Tuanku Zara merupakan cicit kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anakanda cucunda saudara kepada Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Sesungguhnya Tuanku Zara memiliki keperibadian dalaman dan luaran yang menawan. Malah, kemunculan baginda dalam istiadat mahupun majlis-majlis rasmi sering mencuri perhatian kerana penampilan Raja Permaisuri Perak ini yang anggun dan elegan.
Kredit foto: Instagram Perak Diraja, Royal Terengganu Songket, Malay Royalties
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.