Cendawan merupakan sejenis hidupan semula jadi yang popular dalam sajian tempatan. Di antara jenis-jenis yang biasa terdapat di pasaran adalah seperti cendawan Tiram Kelabu, Jarum Emas, Shitake, Butang, Ling Zhi dan Telinga Kera/Jeli Hitam. Ada yang dijual secara segar, dikeringkan malah dijadikan serbuk dan kapsul. Segalanya kerana pelbagai khasiat di dalamnya termasuklah diamalkan untuk menyembuhkan penyakit.
Pengambilan cendawan yang enak dan mengenyangkan merupakan satu bonus kepada anda yang ingin menguruskan badan. Ia berkalori rendah tetapi dapat membekalkan tenaga menyamai daging lembu. Manfaat lain pada cendawan adalah vitamin B, asid pantothenic, riboflavin, niasin, selenium, beta glucan dan antioksidan. Bergantung pada jenis yang diambil, semak senarai di bawah untuk khasiat dan kuasa penyembuhannya.
CENDAWAN BUTANG
Berbentuk butang putih di bahagian atasnya, tumbuhan dengan nama saintifik Agaricus brasiliensis ini sering menjadi kegemaran ramai. Terdapat dakwaan yang mengaitkan cendawan ini dengan fungsi mengawal tekanan darah. Ia juga baik untuk meredakan gastrik. Sangat sedap ditumis atau dijadikan sup.
CENDAWAN SHITAKE
Shitake atau Lentinus edodes banyak ditanam di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk. Ia mengandungi lentinan yang bersifat antikanser, membantu meningkatkan sistem imunisasi, menentang bakteria, virus serta toksin yang terkumpul dalam badan manusia.
Ads
CENDAWAN TIRAM KELABU
Ini merupakan jenis cendawan yang paling mudah ditanam dan didapati di pasar. Selain kelabu (Pleorotus sajor-caju), terdapat juga jenis yang berwarna kuning (Pleorotus citrinopileatus), merah jambu (Pleorotus flabellatus) dan putih (Pleorotus florida). Tiram Kelabu kaya dengan kandungan protein, serat, vitamin E, selenium, zat besi, kalsium dan magnesium. Ia baik diamalkan untuk mengawal pengaliran darah, menurunkan tekanan darah serta mengawal paras gula dan lipid dalam darah.
CENDAWAN KUKUR
Ads
Cendawan kukur atau Schizophyllum commune baik untuk meningkatkan sistem imun, bersifat antikanser, antiradang, antibakteria dan antiparasit. Ia juga dapat membantu mengawal dan melindungi organ hati manusia.
CENDAWAN JARUM EMAS
Berbentuk jarum dengan batang panjang berwarna keemasan, cendawan Jarum Emas atau Flammulina velutipes banyak dihasilkan di negara China, Jepun, Korea dan Eropah. Ia didapati meningkatkan sistem imun badan, menghalang jangkitan kulat serta virus pada pemakannya. Ia juga bertindak sebagai antiradang, meningkatkan aktiviti perlindungan sel serta menghalang kerosakan DNA dalam sel darah.
Ads
CENDAWAN LING ZHI
Ling Zhi banyak ditanam di Malaysia dan sering dijadikan produk makanan kesihatan. Ia pernah diuji secara klinikal dan diamalkan secara tradisional untuk merangsang imun badan, bersifat antialergi, antiradang, antiviral dan antibakteria. Masyarakat juga percaya bahawa ia membantu melegakan asma serta beberapa masalah pernafasan yang lain. Ling Zhi juga mampu menyembuhkan luka, tinggi antioksidan dan menurunkan tekanan darah.
Pemakanan cendawan merupakan pilihan bebas gluten yang baik, bebas lemak, bebas kolesterol, rendah kalori dan rendah natrium. Nutrien di dalamnya kerap ditemui dalam makanan bersumberkan daging. Ia seharusnya dijadikan makanan tambahan yang lazat dan berkhasiat untuk anda yang mengambil berat perihal makanan sihat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap wanita pasti mendambakan susuk tubuh yang cantik dan menawan persis selebriti, tapi tidak semua mampu bertahan jika tak displinkan diri. Pelbagai menu diet yang menjadi rujukan pengamal diet berpandukan menu barat yang seringkali tak kena dengan ‘tekak’ orang melayu.
Perkongsian Atikah Suhaime pelakon yang berasal dari Singapura ini mungkin adalah salah satu rujukan makanan diet untuk hijabi yang mengamalkan diet selera asia, seperti sambal petai dalam lesung, gu bersama salmon goreng.
Malah, menu diet atikah suhaime yang mengikut ‘tekak’ orang melayu ini seringkali menarik perhatian pengamal diet di laman sosial.
Menu Diet ‘Tekak’ Orang Melayu
Atikah Suhaime yang mempunyai cara tersendiri dalam rutin diet dalam video dikongsikannya sering dinanti-nantikan.
Menu diet yang kena dengan ‘tekak’ orang melayu ramai pengikutnya bersetuju menu ini memang menyelerakan, akan tetapi ada yang bimbang makan makin bertambah.
Menariknya menu ini berulamkan petai yang menjadi kegemaran ramai. Namun begitu ada ulam pembuka selera ini mempunyai bau agak kuat. Tetapi jangan kita lupa tentang khasiat dan manfaat dari makan petai.
Serat yang yang tinggi di dalam petai dapat membantu proses penghadaman dan mencegah sembelit. PSumber serat yang baik terutamanya jika dimakan sebagai ulam-ulaman.
Seratnya juga menambahkan rasa kenyang, mengurangkan kolesterol LDL (buruk), dan memperlahankan pelepasan gula daripada makanan ke dalam darah.
Apa yang lebih penting, serat larut dapat mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung, Diabetes fasa 2, dan obesiti, ternyata petai membantu wanita yang sedang berdiet dan kekal cantik.
Gaya moden selera orang lama
Ramai yang mengambarkan gadis cantik manis ini seorang yang mempunya gaya hidup yang serba-serbi moden. Ternyata sangkaan anda meleset, apabila Atikah Suhaime tidak segan silu menghidangkan sambal belancan petai terus dari lesung batu.
Resepi Sambal Petai Goreng Salmon
BAHAN-BAHAN:
Cili Hijau
Bawang
Bawang putih
Belacan
Tomato
Cara Membuat:
Campurkan semua bahan sambal, gorengkan seketika dengan menggunakan minyak zaitun. Kemudian asingkan ke tepi sebelum ditumbuk.
Gaulkan kunyit dan sedikit garam di seleuruh ikan salmon, kemudian goreng tanpa menggunakan minyak. Perahkan sedikit limau untuk beri sedikit rasa masam.
Tumbuk kesemua bahan-bahan sambal dan jangan lupa menu utama petai serta daun limau perut.
Untuk anda yang tidak gemar tekstur yang kasar boleh tumbuk bahan-bahan sehingga lumat. Boleh hidangkan terus atau lebihan sambal di dalam lesung boleh digaul dengan nasi supaya tidak membazir. Selamat mencuba!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA!
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Telur rebus, telur mata dan telur dadar merupakan antara sajian yang digemari golongan dewasa mahupun kanak-kanak. Selain rasanya yang enak, ia juga salah satu sumber protein yang baik untuk keperluan tubuh.
Pun begitu, anda perlu bijak memilih telur yang selamat untuk dimakan kerana telur yang sudah rosak dan busuk boleh menjadi punca kepada sesuatu penyakit.
Disebabkan ia mudah didapati dan dijual dengan harga yang murah, telur bukan sekadar dihidangkan sebagai menu harian seisi keluarga. Malah ia cukup sinonim diberikan kepada tetamu terutamanya ketika majlis perkahwinan.
Meskipun murah dan ringkas, anda sebagai pengguna perlu memastikan kualiti telur tersebut demi menjamin kesihatan diri. Semak panduan memilih telur yang kami kongsikan ini.
Kenali Sifat Fizikal Telur
(a) Kulit
Kulit atau cengkerang disifatkan sebagai pelindung telur. Ketika mahu membelinya, pastikan tiada bahagian kulit yang kelihatan retak atau tertanggal. Kulit yang masih dalam keadaan sempurna dikatakan mempunyai telur yang masih segar untuk dimakan.
Begitu juga warna kulit telur. Pilih yang berwarna lebih pekat dan cerah serta mempunyai sejumlah butiran kecil di permukaan kulit kerana ia menunjukkan telur berkenaan baru diproses dan sesuai untuk dinikmati. Kulit telur yang mengilap dan licin berkemungkinan sudah disimpan lama.
(b) Ukuran
Ramai di antara kita yang lebih cenderung memilih telur yang bersaiz besar kerana percaya ia memiliki isi yang banyak. Walhal dalam soal memilih telur, sebaiknya beli yang berukuran sedang dan kecil. Ini kerana telur berkenaan datang dari ayam muda yang kebiasaannya mempunyai kulit telur lebih tebal. Kebaikan kulit telur tebal ini adalah ia sukar dijangkiti oleh bakteria.
(c) Bentuk
Pilih telur yang berbentuk lonjong kerana telur seperti ini mempunyai kuning telur lebih banyak berbanding telur berbentuk agak bulat.
(d) Aroma
Bau telur juga mampu membezakan sama ada ia masih elok atau sebagainya. Cium aroma telur ketika sedang membeli. Telur yang bagus tidak mengeluarkan aroma kurang menyenangkan.
Antara cara lain yang boleh menyakinkan anda bahawa telur tersebut masih elok adalah dengan menggoncangkannya. Isi dalam telur yang tidak berbunyi jika digoncang menunjukkan ia sesuai untuk dimakan.
Bagaimana Mengetahui Kesegaran Telur?
Rendam dalam air
Sediakan gelas atau bekas lut cahaya yang berisi air secukupnya. Masukkan telur ke dalamnya dan amati posisi telur setelah sampai ke dasar. Telur yang terbaring sempurna di dasar gelas menunjukkan usia telur masih baru.
Jika telur dalam posisi berdiri atau melayang ia sudah agak lama di simpan. Manakala telur yang berdiri tegak atau mengapung adalah telur yang sudah lama iaitu antara dua ke tiga minggu.
Memecahkan telur
Usia telur juga boleh dilihat apabila ia dipecahkan di atas piring. Telur yang masih baru akan kelihatan kental. Sementara yang sudah berusia satu minggu mempunyai bahagian putihnya yang lebih melebar.
Berbeza pula telur yang berusia 2 hingga 3 minggu. Bahagian putih telur lebih meluas.
Tip Penyimpanan
Pisahkan telur yang baru dibeli dengan telur yang sudah disimpan sebelumnya. Adalah baik jika telur yang lama dihabiskan terlebih dahulu supaya anda dapat menikmati telur yang segar setiap hari.
Semakin lama telur disimpan, semakin kurang khasiat dan kualitinya. Untuk menyimpan telur pula pastikan ia disimpan pada suhu antara 10 hingga 13 darjah Celsius. Dengan cara ini telur boleh bertahan sehingga tiga ke lima minggu. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Lontong, antara menu popular yang sering dihidangkan semasa menyambut musim perayaan. Tetapi kini, hidangan lontong boleh dinikmati sebagai salah satu menu untuk sarapan pagi sehinggalah ke makan malam.
Bagi pakar estetik dan pemilik The Life Clinic yang terletak di Damansara Heights, Datin Dr Serina Abdul Latif, menu lontong yang menjadi pilihannya diubah suai mengikut citarasanya yang mementingkan kesihatan.
“Kebiasaannya, ibu mentua saya akan menyediakan pelbagai juadah istimewa untuk dinikmati bersama keluarga. Antara juadah yang sering disediakan termasuklah nasi dagang, rendang, nasi minyak dan sebagainya.
Memandangkan keluarga suami berasal dari Terengganu, sudah tentu menu seperti nasi dagang menjadi menu wajib jika berkumpul sekeluarga. Saya juga banyak belajar memasak dari kawan-kawan yang berkongsi menu masakan Melayu yang ringkas. Antara menu yang menjadi pilihan saya termasuklah Nasi Tomato, Rendang Ayam, Ayam Masak Merah dan Lontong Sayuran,” ujar wanita yang anggun ini.
Istimewa untuk pembaca NONA, Datin Dr Serina berkongsi resipi Lontong Sayuran versi sihat yang menjadi kegemarannya. Selamat mencuba!
LONTONG SAYURAN
BAHAN-BAHAN:
2 keping tauhu| dihiris dan digoreng
20 batang kacang panjang| dihiris setebal 1inci
450gm kobis
2 batang lobak merah
1 kiub pati ayam
200ml santan
2 cawan air
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR:
2 sudu besar udang kering| direndam seketika
6 batang cili merah
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang serai
4 biji buah keras
1 sudu serbuk kunyit
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak. Kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar sehingga naik baunya. Apabila bahan-bahan tumisan telah sekata dan naik bau, masukkan pula santan. Kacau sehingga sebati. Masukkan sayur-sayuran yang telah dihiris dan digoreng terlebih dahulu. Kacau sehingga sebati. Tambahkan garam dan gula secukup rasa sebelum dihidangkan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kisah tular remaja berusia 13 tahun dari Sabah, Zara Qairina Mahathir yang maut akibat dibuli oleh beberapa pelajar senior di sekolahnya telah membuka mata...