
Bila suami sibuk mencari nafkah dan tidak berpeluang memantau aktiviti anak-anak, kaum ibulah yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka di rumah. Menyedari kekangan masa suami yang sibuk dengan urusan perniagaan, sebagai isteri dan juga ibu … Datin Seri Shahida perlu memastikan kelima-lima anak dididik dengan sebaik-baiknya.
Meskipun secara luaran, isteri Datuk Seri Aliff Syukri ini penuh dengan sifat keibuan dan kelembutan… hakikatnya apabila menyentuh soal pembelajaran anak-anak, Ketua Pegawai Operasi D’herbs Holdings Malaysia Sdn Bhd ini boleh bertukar sikap menjadi seorang ibu yang sangat tegas. Iyalah, kalau tak tegas anak-anak tak serius pula hendak belajar.
Dalam satu video yang dimuatnaik Datin Seri Shahida di laman Instagram, kelihatan bekas kumpulan nasyid Solehah ini sedang mengajar tiga anaknya iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El-Zahra dan Ibrahim Adham menghafaz surah Al-Quran.
Kongsinya, “Kadang-kadang bila sibuk kerja balik malam selalu tak sempat nak check hafazan budak-budak bertiga ni. Kita sibuk dorang pun sibuk juga. Banyak nau urusan dia. Saya bab-bab begini memang agak garang sikit dengan anak-anak. Sebab dorang ni kalua tak pantau 24 jam main. Tak tidur pun tak apa. Kalau suruh mengaji liat sampai dah jadi tarzan baru muncul kat depan kita.”
Sambil tekun mendengar bacaan anak-anak, kedengaran Datin Seri Shahida membetulkan bacaan mereka. Siap bertegas mahu mendenda anak-anak jika tidak hafal atau silap baca!
https://www.instagram.com/p/BvMOGDEHO4g/
Menjawab pertanyaan salah seorang peminat di Instagram, Datin Seri Shahida mengakui turut mendapatkan khidmat ustaz untuk memantapkan lagi bacaan Al-Quran anak-anak. “Memang dah ada ustaz datang ajar mengaji di rumah hari-hari. Cuma sebagai mak ayah ni tak boleh harap ustaz semata-mata,” jawabnya ringkas.
Murninya hati seorang ibu yang sanggup melupakan lelah setelah seharian bekerja semata-mata untuk memastikan anak-anak tidak terlepas mengejar bekalan akhirat. Memang itulah yang sepatutnya menjadi amalan semua ibu. Moga-moga setiap perkongsian Datin Seri Shahida memberi manfaat kepada seluruh kaum wanita agar dapat membentuk keluarga bahagia dan diredai Allah SWT.
Kredit: Instagram Datin Seri Shahida
Hebatnya Puteri Memori Malaysia TENGKU FAIZWA, Cipta Handphone Pertama Di Dunia Ada Projektor!

Bijak, berwawasan dan inovatif! Itulah gambaran paling tepat buat wanita bernama YM Tengku Faizwa Tengku Razif, 38 tahun yang juga merupakan kerabat negeri Selangor. Darah kerabat yang pekat mengalir dalam dirinya bukanlah alasan untuk YM Tengku Faizwa Tengku Razif atau lebih mesra disapa Tengku Faizwa untuk berpijak diatas kaki sendiri dalam mengecapi kejayaan yang diperoleh hari ini.
Terkenal dengan jolokan ‘Puteri Memori Malaysia’ suatu ketika dahulu, syarikat Ideaspark Sdn Bhd yang memberi fokus kepada latihan memori dan kreativiti yang ditubuhkan masih berjalan hingga kini. Terbaharu, Tengku Faiz melebarkan sayap dalam dunia perniagaan dengan menceburi bisnes teknologi iaitu telefon pintar atau smartphone.
“Dua tahun lepas, saya ada bekerjasama dengan pengeluar di China dimana mereka membuat kajian untuk menghasilkan projektor untuk smartphone. Selepas itu saya menyertai mereka dan menubuhkan syarikat join venture bersama mereka di Hong Kong. Kini, teknologi projektor smartphone tersebut merupakan usaha sama saya dengan mereka.
“Menariknya mengenai telefon pintar ini ialah dari segi namanya sendiri. Saya menamakan ia sebagai Scanda. Pada mulanya saya ingin memberi nama “Scandal” namun apabila mengadakan perbincangan bersama ahli kumpulan, nama tersebut kedengaran agak melampau. Kami juga telah mengadakan soft launch untuk smartphone ini dan dalam masa terdekat ini, telefon pintar ini boleh didapati di pasaran, InsyaAllah,” bicara Tengku Faizwa.
Menariknya, telefon pintar ini adalah telefon pintar pertama di dalam dunia yang mempunyai teknologi projektor. Harga telefon pintar yang penuh inovasi ini juga tidak terlalu mahal dan boleh dianggap mampu milik. Tambah wanita yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti Sains Malaysia ini, idea untuk mencetuskan telefon pintar ini datang secara tidak sengaja.
CABARAN & PENGALAMAN
Sebelum meraih kejayaan pada hari ini, Tengku Faizwa juga tidak terlepas dari mengharungi onak duri dalam melayari perjalanan hidup sebagai seorang yang bergelar insan. Pengalaman jatuh bangun Tengku Faizwa selama ini lebih mematangkan beliau dan boleh dijadikan inspirasi buat wanita diluar sana.
“ Sebelum saya terlibat dengan projek smartphone ini, saya mengusahakan syarikat saya yang bernama Ideaspark Sdn. Bhd. Bisnes pertama saya yang saya usahakan sejak 15 tahun dulu boleh dikatakan agak mencabar kerana ketika itu usia saya yang masih muda. Masa itu agak sukar untuk mendapat kepercayaan untuk melakukan bisnes. Stigma masyarakat ketika itu menganggap usia muda tidak mungkin boleh menceburi bidang perniagaan. Namun kini bila umur meningkat matang, saya berasa lebih mudah untuk membuat bisnes kedua saya berbanding dahulu.
“Pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila ialah ketika pertama kali saya ingin membuat training mengenai Teknik memori. Sebenarnya Teknik mengingat menggunakan memori sudah bermula sejak zaman Yunani, Socrates melalui kaedah menukar gambar dan imaginasi. Kemudian saya mendapat ilham untuk mencipta kaedah sendiri menggunakan asas yang sama iaitu memori yang diasah melalui Teknik gambar, warna dan imaginasi. Selepas itu saya cuba untuk popularkan dan memasarkan kaedah ini.
“Ketika itu umur saya baharu saja 23 tahun. Saya menulis surat dan menghantarnya kepada semua ahli korporat di Malaysia menceritakan mengenai teknik memori yang saya cipta. Bagi menulis surat tidak mendatangkan kerugian pada saya. Boleh dikatakan beratus surat yang telah dihantar oleh saya termasuk dihantar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Masa itu, Tun Dr. Mahathir masih bergelar perdana menteri. Tiba-tiba selepas tempoh 3 bulan surat itu dihantar, saya mendapat maklum balas daripada Tun Dr. Mahathir,” Ungkap Tengku Faizwa.
Tambah Tengku Faizwa lagi, Tun Dr. Mahathir teruja dengan idea ciptaanya sekaligus mendapat sokongan padu daripada beliau. Ia membuka ruang untuk Tengku Faizwa mengajar teknik memori ciptaannya kepada orang ramai termasuk pelajar di sekolah. Bukan itu sahaja, malah Tun Dr. Mahathir juga mempelajari dan mengamalkan Teknik memori yang dihasilkan Tengku Faizwa.
“Tun Dr. Mahathir memang impress dengan Teknik memori saya dan saya mendapat kontrak menjadi tenaga pengajar atau cikgu selama 5 tahun di seluruh Malaysia. Saya rasakan, apa yang membuatkan beliau yakin dengan teknik memori saya ialah saya mengajar cara untuk mengingati dengan cara yang lebih efektif. Selepas Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, saya diminta untuk mengajar Teknik memori saya kepada beliau. Lebih setahun juga saya mengajar beliau bersama isteri beliau iaitu Tun Dr. Siti Hasmah,” kata Tengku Faizwa.
Mencari SAHAM AKHIRAT, Noorkhiriah Tak Lokek Tukar Kereta Mewahnya Menjadi VAN JENAZAH

Pelakon kecil molek Noorkhiriah Ahmad Shapie bukan asing kepada peminat drama dan filem tempatan. Namun, namanya kembali mekar setelah membawa watak sebagai Aishah dalam drama rantaian, Nur dan Nur 2.


Tidak seperti wataknya dalam drama, Noorkhiriah bahagia bersama suaminya, Azfaizul Ahtan dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Hudhaifah dan Muhammad Yusoff. Pada tahun lalu, Noorkhiriah telah mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkatnya.


Namun, apa yang mencuri perhatian apabila Noorkhiriah telah bermurah hati untuk menukar kereta mewahnya, MPV Hyundai Grand Starex menjadi van jenazah seperti yang telah dikongsinya di laman media sosial.

“Alhamdulilah lepaskan kerana Allah. Saya sayang, maka saya jadikan kereta ini sebagai van jenazah,” coret Noorkhiriah di laman Instagramnya.


Menurut Noorkhiriah perkhidmatan van jenazah itu akan diberi secara percuma kepada yang memerlukan. “Bagi yang memerlukan dialu-alukan. InshaAllah dah siap sepenuhnya nanti saya akan beritahu. Terima kasih juga pada yang menyumbang,” kata Noorkhiriah tentang niat murninya itu.


Noorkhiriah mengharapkan orang ramai mendoakan agar dirinya terus istiqamah dalam melakukan perkara baik. “Saya tak kaya tapi sebelum meninggal dunia saya nak tinggalkan sesuatu buat semua. Semoga kita istiqomah dalam perjuangan diri sendiri, amin,” coretnya lagi.


Mulia sungguh hati Noorkhiriah sanggup memberi apa yang dia sayang untuk kegunaan perkara yang baik. Semoga lebih ramai lagi insan berhati mulia seperti Noorkhiriah ini.
Pecah Rekod Jualan 7 Angka, Dr Maliq Alias Pejuang Kosmetik Selamat Bebas Merkuri & Jadi Rujukan!

Karisma dan pemikiran optimis Dr. Abdullah @ Maliq Alias dalam mengemudi empayar perniagaan estetik miliknya wajar menjadi inspirasi kepada individu yang mahu bergelar usahawan.
Meskipun sedar industri kosmetik dan kecantikan masa kini berdepan banyak persaingan namun anak jati kelahiran Johor ini nekad mendalami lapangan kerjaya berkenaan bersandarkan niat murninya untuk memberikan khidmat rawatan terbaik dengan cara yang selamat.
Menelusuri latar belakang Dr. Abdullah @ Maliq atau mesra disapa Dr. Maliq, beliau yang merupakan Pengarah Urusan Dr Cute International Sdn Bhd memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang perubatan dan berpengetahuan luas dalam dunia kecantikan selama tujuh tahun.
Graduan Ijazah Sains Bioperubatan ini menerima pentauliahan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) pada tahun 2015 dan pengiktirafan sebagai Doktor Estetik dua tahun kemudian.
Terdahulu, Dr. Maliq pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ketua Unit Non-Communicable Disease (NCD), Ketua Unit Penyelidikan dan Ketua Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS). Pada tahun 2016, Dr. Maliq membuka klinik pertamanya iaitu Poliklinik Desaru di Johor Bahru.

Mengulas pembabitannya dalam dunia kecantikan, anak bongsu daripada lapan beradik ini memberitahu beliau sendiri tidak menyangka mampu menguruskan pusat kecantikan estetik sendiri biarpun minat terhadap kesihatan dan kecantikan mula bercambah dalam diri sejak kecil lagi.
“Tahun 2016 saya bina kerjaya sebagai General Practice dengan buka klinik sendiri dan kegembiraan itu tak berpanjangan kerana ibu saya meninggal dunia pada tahun sama. Saya rancang buka klinik estetik tapi bila berlakunya Covid-19, saya mula ubah nature bisnes dan lebih fokus kepada online.
Maka tahun 2021 lahirlah jenama Dr Cute atau DC. Alhamdulillah walau tak pernah terlintas hendak jadi doktor kecantikan pada mulanya. Tapi saya syukur dengan percaturan Allah,” ujar Dr. Maliq yang mendedahkan penyebab utama beliau menjadi doktor estetik kerana masalah kulit berjerawat yang dialami hingga membuatkannya mahu menghasilkan produk penjagaan kulit formulasi sendiri.
“Saya sendiri buat R&D dan kumpulkan bahan-bahan untuk formulasi produk. Semuanya bermula dua tahun lepas dengan kerjasama beberapa kilang. Sebelum dijual, kami terlebih dahulu uji keberkesanan produk itu. Kalau keputusan baik dan tak memudaratkan baru ia dikomersial di pasaran.
Seperti fesyen, dunia kecantikan juga berubah-ubah dengan pantas. Bila ada new ingredient yang dipercayai berkesan untuk kulit, saya sebagai doktor tak mahu masyarakat kita ketinggalan supaya produk tempatan memiliki kualiti yang setanding antarabangsa.”
Sepanjang dua tahun DC berada di pasaran, Dr. Maliq sudah menghasilkan 10 rangkaian produk termasuk penjagaan kulit dan supplemen seperti pembersih wajah, krim pencerah, sunscreen, serum, set jeragat, vitamin C dan minuman pelangsingan.

“Produk DC tergolong gred perubatan, bermakna proses formulasi produk kulit itu melibatkan ramuan aktif yang lebih fokus membantu masalah kulit misalnya kalau pengguna berjeragat, kami akan gabung bahan seperti alpha arbutin dan niacinamide bagi merawat masalah berkenaan.
Satu kelebihan bila doktor menjadi pengasas produk ialah kami hasilkan produk yang selamat serta tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti merkuri yang dikategori di bawah racun terkawal.”
Aktif memasarkan produk secara atas talian, nama Dr Cute bukan lagi asing dalam platform media sosial terutamanya TikTok.
Dr. Maliq memiliki ratusan ribu followers di media sosial tersebut dan menggunakan pengaruhnya untuk memperjuang produk kulit selamat kepada pengguna khususnya golongan wanita. Bahkan dia sering menjadi rujukan warga maya berkaitan isu kesedaran produk berbahaya dan seumpamanya.
Tak hairanlah dalam tempoh dua tahun jenama DC diasaskan ia berjaya mencapai jualan mencecah enam angka.
“Tahun ni kita dah pecah rekod dan berjaya capai jualan sasaran RM7,000,000. Saya pun dah ada kilang sendiri di Kuala Terengganu tahun ini. Kami looking forward untuk ada lebih banyak produk.
Saya syukur ia diterima baik masyarakat dan klien. InsyaAllah sedikit waktu lagi, kita akan berkolaborasi dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk penyelidikan berkaitan kesihatan kulit.
Tak dinafikan bila saya selaku pengasas lantang bersuara mengenai produk berbahaya di media sosial dan beritahu kebenaran, ada segelintir pihak yang rasa kurang senang dengan mengatakan saya cuba tutup periuk nasi orang dan mahu lariskan produk sendiri.
Hakikatnya, keselamatan pengguna menjadi keutamaan kerana saya juga seorang doktor yang perlu jaga keselamatan mereka,” telus Dr. Maliq yang pernah menerima ugutan dan kecaman di media sosial.

Sudah menjadi lumrah usahawan dan pengasas yang tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran sebelum mendaki puncak kejayaan. Begitu juga Dr. Maliq yang tidak terkecuali menerima kritikan dan tohmahan pihak tertentu sepanjang berkecimpung dalam industri ini.
“Sepanjang bergiat aktif secara online, saya dapat banyak sangat tentangan, ugutan dan dikecam teruk. Kalau dulu, bertugas sebagai doktor saya tak expose diri ke hadapan. Apatah lagi saya pun seorang introvert.
Bila dikecam, saya menangis. Waktu itu saya rasa keliru adakah ini jalan yang saya pilih. Tapi bila mengenangkan idola saya iaitu Rasulullah SAW, saya kembali bangkit.
Saya kena kuat dalam perjuangan ini supaya saya dapat kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya produk merkuri yang bukan sekadar menjejaskan kulit tapi juga kesihatan tubuh badan.
Semua orang nak cantik, putih dan miliki kulit mulus tapi berpada-pada. Pilihlah produk atau item yang selamat sebab nyawa kita hanya satu. Bila buah pinggang rosak, tak boleh ganti.
Sepanjang saya kerja di klinik dan bertugas sebagai doktor di KKM, saya jumpa ramai pesakit yang menderita sebab nak cantik. Paling teruk, pesakit umur 20an yang alami buah pinggang rosak disebabkan ambil supplemen berbahaya, drip putih dan pakai produk merkuri. Ada juga masalah kemandulan disebabkan produk merkuri,” tegasnya.
Sebelum mengakhiri perbualan, doktor berusia 41 tahun ini memandang persaingan positif dengan keistimewaan produk keluarannya biarpun kebanyakan pengasas produk kecantikan terdiri daripada individu popular seperti selebriti dan pempengaruh media sosial.
“Saya suka persaingan sihat ini dan untuk saya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang perubatan, saya lebih fokus kepada memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat. Bukan semata-mata untuk melariskan produk jualan sendiri.
Pada akhirnya, produk yang berkesan dan berkualiti akan kekal lama di pasaran. Selagi boleh beri yang terbaik, saya akan berusaha sebab kita tahu bisnes ini kalau lihat dari perspektif lebih luas ia menjurus kepada menyelesaikan masalah orang. Bagaimana kita nak bawa diri dan berikan yang terbaik kepada komuniti.”