
Di sebalik kejayaan seorang atlet, sering kali ada doa dan debaran yang setia mengiringi dari jauh. Begitulah yang dirasai oleh Datin Athiah Ilyana, isteri kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, saat menyaksikan suaminya kembali mencipta sejarah di pentas dunia.
Pelumba yang digelar The Pocket Rocketman itu sekali lagi membuktikan dirinya masih berbisa apabila merangkul pingat emas acara keirin dalam siri Piala Dunia Berbasikal Trek di Perth, Australia.
Namun di sebalik sorakan kemenangan dan gemilang di velodrom, ada hati yang berdebar sepanjang malam. Hati seorang isteri yang tidak putus-putus menatap layar, menyaksikan detik kemenangan insan tersayang.

“I just can’t sleep… I keep watching him over and over again. At the age of 38, his enthusiasm and winning mentality are simply incredible as he wins gold in the World Cup!
My husband is not young anymore, like he said… but his spirit and determination are stronger than ever,” tulis Datin Athiah Ilyana yang mesra disapa Tya.
Luahan itu cukup sederhana, namun sarat dengan rasa bangga dan syukur. Bagi ibu kepada empat cahaya mata ini, melihat Datuk Azizulhasni Awang terus berjuang di pentas antarabangsa pada usia 38 tahun adalah sesuatu yang benar-benar mengagumkan.
Walaupun jadual Datuk Azizulhasni Awang sering dipenuhi latihan intensif dan kejohanan bertaraf dunia, beliau tetap tidak pernah melupakan peranan sebagai seorang bapa. Momen-momen kecil bersama anak-anak perempuan sering dikongsikan, memperlihatkan sisi lembut seorang juara yang pulang ke rumah sebagai seorang ayah.
Di sisi beliau pula, Datin Tya sentiasa menjadi penyokong paling setia. sanggup menemani perjalanan suaminya ke mana sahaja demi memberikan kekuatan moral yang tidak ternilai sepanjang perjalanan karier Azizulhasni Awang sebagai atlet negara.



Menyedari bahawa usia Azizulhasni Awang kini sudah mencecah 38 tahun, Datin Tya turut menitipkan kata-kata yang menyentuh perasaan.
“Another medal for Malaysia! I’m totally in awe of his performance at the age of 38.
For your information, Azizul won his first men’s sprint medal at the 2009 World Championship when he was just 21 years old.
Hopefully, we will see more new riders competing strongly like him in the future. Azizul Awang is not young anymore, mate! Time to see new faces i believe…”
Kata-kata itu bukan sekadar pujian kepada seorang suami, tetapi juga penghargaan terhadap perjalanan panjang Datuk Azizulhasni Awang yang telah mengharumkan nama negara sejak usia muda.
Rangkul Emas Dalam Perlumbaan Mendebarkan
Dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Velodrom Perth Speed Dome, Azizulhasni Awang menamatkan saingan dengan catatan masa 9.862 saat (s). Catatan itu cukup untuk menewaskan pelumba nombor satu dunia dari Great Britain, Matthew Richardson, dengan perbezaan tipis hanya 0.002s.
Pingat gangsa pula dimenangi oleh pelumba Australia, Leigh Hoffman.
Perlumbaan tersebut berlangsung penuh dramatik. Pada satu ketika, Azizulhasni Awang berada di kedudukan keenam sebelum loceng pusingan akhir dibunyikan. Detik itulah yang menyaksikan beliau mula menghambat pelumba lain dengan strategi yang penuh ketelitian.
Cabaran paling sengit datang daripada Richardson, sehingga keputusan pemenang terpaksa ditentukan melalui photo finish.

Pujian Pengulas Antarabangsa
Kemenangan Azizulhasni Awang turut mencuri perhatian pengulas sukan berpengalaman, Scott McGrory, yang tidak menyembunyikan kekagumannya terhadap persembahan jaguh Malaysia itu ketika siaran langsung perlumbaan.
Menurut McGrory, Azizulhasni Awang kekal sebagai antara pelumba pecut paling bijak di dunia walaupun sudah berada pada usia 38 tahun.
“Pada usia 38 tahun, Azizulhasni kekal antara pelumba pecut paling bijak di dunia. Ini benar-benar persembahan ‘master class’ daripada jaguh Malaysia.
Tempat pertama miliknya dan dia kelihatan semakin hebat seiring peningkatan usia,” katanya ketika mengulas aksi final di Velodrom Perth SpeedDome.

Dalam perlumbaan tersebut, Azizulhasni Awang yang juga dikenali dengan panggilan Jijoe bermula di kedudukan kelima sebelum bijak membaca rentak perlumbaan. Beliau mengekori rapat pelumba nombor satu dunia, Matthew Richardson, sambil menunggu masa paling sesuai untuk melakukan serangan.
Pengalaman luas yang dimiliki jelas menjadi kelebihan utama dalam perlumbaan berintensiti tinggi seperti acara keirin.
“Azizulhasni memang luar biasa… Dia kekal rapat di belakang roda, menunggu saat yang sesuai sebelum melepaskan pecutan untuk memintas di saat akhir,” tambah McGrory.
Seperti dijangka, Richardson terlebih dahulu memulakan pecutan, namun Azizulhasni Awang menggunakan ketajaman taktikal serta pengalaman bertahun-tahun di trek untuk memintas di penghujung perlumbaan.
Kemenangan tersebut akhirnya disahkan selepas semakan photo finish, apabila Azizulhasni Awang didapati melintasi garisan penamat terlebih dahulu untuk menghadiahkan emas kepada Malaysia.
Semangat Juara Azizulhasni Awang
Di usia yang sering dianggap penghujung karier bagi seorang atlet, Azizulhasni Awang membuktikan satu perkara yang cukup jelas. Usia mungkin meningkat, namun semangat juang seorang juara tidak pernah mengenal had.
Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan namanya sebagai antara legenda sukan berbasikal trek negara dan menjadi inspirasi kepada generasi pelumba muda Malaysia untuk terus berani mengejar impian di pentas dunia seperti yang dilakukan oleh Azizulhasni Awang.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/rina-nose-pembedahan-plastik/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





