Bernikah dan membina rumah tangga bersama yang dicintai tentu sangat membahagiakan. Tetapi perlu diingat ia mungkin tidak selamanya indah kerana perjalanan rumahtangga itu sendiri sentiasa ada rintangan. Pasti ada masanya yang sukar bersama pasangan.

IKLAN

Percayalah, demi mencapai kebahagiaan kadangkala kita harus melalui masa-masa sukar terlebih dahulu. Namun ada yang mudah menyerah, menyalahkan pasangan dan tidak ambil pusing dengan apa yang berlaku. Sudahnya masalah itu dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian bersama. Hanya pertengkaran yang ‘mewarnai’ rumahtangga.

5 masa sukar ini antara faktor utama yang sering menghantui pasangan suami isteri.

MASALAH KEWANGAN

Sering terjadi sebagai punca pertengkaran suami isteri. Keadaan kewangan yang tidak stabil atau keperluan keluarga tidak dipenuhi menjadi beban tersendiri khususnya bagi suami sebagai pencari nafkah. Isteri tidak seharusnya lepas tangan kerana suami isteri boleh berbincang mencari jalan terbaik untuk menyesuaikan keadaan kewangan dengan cara hidup.

MENCAPAI KEPUTUSAN BERSAMA

Sudah tentu berkaitan dengan masalah rumahtangga yang sukar diselesaikan bersama. Masing-masing bertahan dengan persepsinya sendiri sehingga enggan menerima pendapat pasangan. Sebaiknya selesaikan dengan cara baik dan turunkan ego masing-masing.

ZURIAT

Kehadiran anak juga boleh menjadi masa sukar bagi pasangan suami isteri. Kehadiran zuriat yang tidak kunjung tiba setelah penantian panjang boleh menjadi punca pertengkaran dalam rumahtangga. Ketika ini suami isteri haruslah saling menyokong dan mendoakan. Bukan saling menyalahkan.

HUBUNGAN INTIM

Kadangkala pasangan saling berselindung daripada membicarakan permasalahan yang sedang dialami. Mungkin kerana malu atau tidak merasa puas dengan pasangan. Jika dibiarkan berlarutan boleh menjejaskan keharmonian hubungan intim suami isteri. Kuncinya ialah keterbukaan.

MENYESUAIKAN DIRI DENGAN KELUARGA MASING-MASING

Penyesuaian diri dalam keluarga besar selalunya menjadi masa sukar pada tahun-tahun pertama perkahwinan. Di awal perkahwinan mungkin rasa susah kerana dalam tempoh menyesuaikan diri dengan cara hidup keluarga baru. Namun ia boleh diselesaikan dengan adanya sokongan daripada pasangan.